Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, April 7, 2015

Antara Bihun dengan Mihun...



Antara Kosa Kata "Bihun" dengan "Mihun" dalam Kalangan Masyarakat Cina Suku Hokkien Malaysia.
oleh Chai Loon Guan

          Menjelang sambutan Hari Guru 2015, pada 16 Mei setiap tahun, anak bongsu saya, Wuang Xing telah mengemukakan cadangan agar bapanya yang pernah bertugas sebagai seorang guru penolong, Ketua Panitia dan Guru Cemerlang BM di SMK Methodist, Tanjong Malim sebelum bersara pilihan diraikan bersama-sama keluarga yang tersayang. Barangkali, tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak telah mencetuskan ilham dan menggerakkan hasrat anak bongsu saya untuk memeriahkan majlis tersebut lebih awal sekali gus meraikan persaraan bapanya. Destinasinya, Easy Cafe Tg. Malim.

          Sebaik duduk di meja pilihan, kami didatangi pelayan Easy Cafe Tg. Malim yang mesra pelanggan sambil menghulurkan brosur menu untuk tempahan seisi keluarga. Antara makanan yang terkenal di Easy Cafe Tg. Malim ialah nasi lemak, ayam rendang, kentang goreng, bihun atau mihun sup, mi yee dan beberapa masakan ala barat.

          Sambil menghirup air kelapa muda yang diimport khas dari Negeri Thai, saya dikejutkan oleh pertanyaan daripada anak bongsu saya.

          "Bihun atau mihun, abah?"

          Menurut Kamus Dewan, kosa kata "bihun" bermaksud sejenis mi halus yang dibuat daripada tepung beras manakala "mihun" pula sejenis makanan seperti mi yang halus-halus diperbuat daripada tepung beras. Contohnya, mihun goreng, mihun sup, mihun kicap, dan mihun Singapura. Berdasarkan makna Kamus Dewan, jelaslah bahawa kedua-dua kosa kata pinjaman tersebut membawa pengertian yang sama, yakni 'mi halus daripada tepung beras'.

          Jika ditelusuri makna dari sudut pandangan suku Hokkien Malaysia, yakni kaum Cina yang berasal dari daerah Amoy dan Fukien di tenggara China dan yang tinggal di serata dunia, "bihun" bermaksud "tepung beras" manakala "mihun" pula membawa konotasi makna sebagai "tepung gandum". Sehubungan dengan hal itu, "mihun" atau tepung gandum digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan "mi", iaitu sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning. Daripada "mi", maka lahirlah frasa mi goreng, mi sup, mi rebus, mi kicap, Mi Bandung, Mi Hailam dan sebagainya. Yang jelas, kedua-dua kosa kata, yakni "bihun" dan "mihun" tidak menepati maksud 'mi halus daripada tepung beras' sebaliknya kedua-dua kosa kata tersebut merujuk makanan yang berlainan dalam konteks sosiobudaya masyarakat Tionghoa suku Hokkien Cina Malaysia.

          "Bihun sup, satu!"
          "Baik, tuan!"

          Tiba-tiba dialog antara pelanggan dengan pelayan di Easy Cafe Tg. Malim telah mengejutkan lamunan saya seketika pada kedua-dua kosa kata pinjaman bahasa Melayu, iaitu "bihun" dan "mihun". Yang penting, pada hemat saya,  maksud bagi kedua-dua kosa kata tersebut perlu dikaji dan dihalusi semula dari segi sosiolinguistik oleh Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka agar kekeliruan dan kerancuan makna kosa kata tersebut dapat ditangani sebaik-baiknya demi kepersisan dan kelangsungan bahasa Melayu di persada tanah air. Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan, Tg. Malim.

No comments: