Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, March 24, 2015

Sajak - Belasungkawa Lee Kuan Yew


Belasungkawa Lee Kuan Yew
(1923 - 2015)

dari sebuah perkampungan
nelayan
sebuah pura bernama Singa
membesar dewasa
seorang anak watan
seorang pahlawan
seorang negarawan
bersama kental usaha
bersama cekal jiwa
menimba ilmu
anak watan itu
meniti pengalaman
di perantauan

kepulanganmu, Kuan Yew
seorang peguam
seorang pejuang kemerdekaan
pura singa di Tanah Melayu
kemenangan besar
Parti Tindakan Rakyat
dalam pilihan raya, 30 Mei 1959
melahirkan Malaysia, 16 September 1963
sebelum terpisah
melalui perjanjian bersejarah, 7 Ogos 1965

yang tumpah air mata
bersama keringat semangat setiap warga
kaubangunkan Singapura
kaumajukan Singapura
kaumetropolitankan Singapura

politik diperkukuh
sosial diperteguh
ekonomi diperluas
ke seantero benua
Nusantara
persada antarabangsa
dinamik hala tuju
Singapura maju

rasuah kaubanteras
cauvinis kaucantas
rasis kauberantas
tersemai nilai patriotisme
dalam nubari setiap anak watan
tersemai nilai nasionalisme
dalam jiwa setiap anak watan
mekar aroma wawasanmu
di kebun Singapura baharu

yang patah akan tumbuh
yang hilang akan berganti
namun
jasa baktimu, negarawan
tetap gah megah
usaha murnimu, negarawan
tetap terpahat bulat
dalam lipatan Sejarah
legasi muliamu, negarawan
tetap utuh terpelihara
memimpin Singapura
mewarnai alaf baharu
sepanjang hayatmu

Lee Kuan Yew,
kaulah arkitek moden
kaulah negarawan ulung
kaulah anak watan Nusantara nan terbilang
zaman-berzaman
belasungkawa, Lee Kuan Yew!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

No comments: