Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, March 21, 2015

Cerpen - SIFU AH TI


Cerpen:
SIFU AH TI
oleh Chai Loon Guan

1960

          Hidup kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Tiada dapat kita duga akan masa depan. Yang penting, hadapilah hari demi hari dengan tabah. Yang penting, hadapi hari demi hari dengan cekal. Yang penting, hadapi hari demi hari dengan usaha. Yang lain, berdoa dan pasrah kepada Tuhan.

          Lamunan Ah Ti kian bergentayangan. Sejak dilahirkan lima dekad setengah yang lalu, Ah Ti belum berkeupayaan untuk mewarnai kehidupan sepenuhnya. Yang penting, Ah Ti dapat pergi ke sekolah. Yang penting,  Ah Ti dapat makan dan minum pada setiap hari. Yang penting, Ah Ti mempunyai rumah untuk berteduh. Rumah yang melindungi dirinya dan keluarga daripada hujan panas alam. Rumah yang selamat daripada aneka ancaman. Rumah harmoni biarpun sebuah rumah usang peninggalan leluhurnya di pinggir sebuah pekan bernama Tanjong Malim, Daerah Mu'alim.

          Setiap pagi ke sekolah, Ah Ti tidak pernah tidak dibekali wang saku. Dua kupang pada setiap hari. Maklumlah, tahun enam puluhan. Sekupang untuk Ovaltine panas secawan. Baki sekupang lagi untuk biskut coklat atau pisang goreng di kantin sekolah. Pak Sinamuthu, pengoperasinya. Biarpun miskin, Ah Ti dapat naik beca ke sekolah. Beca Pak Tua. Pak Tua kenalan rapat abahnya. Pak Tua, bujang marhaen sedaerah di tanah lelulur abah. Tanah leluhur Fujian, Tanah Besar Tiongkok. Tiada bayaran dikenakan. Kebetulan, setiap pagi, Pak Tua akan memulakan rutin kerjanya di pekan Tanjong Malim. Beca tuanya pasti akan melalui rumah usang Ah Ti, Kampung Berop kecuali hari-hari keuzuran Pak Tua.

          Demikianlah, dunia tadika, prasekolah yang dilalui sebelum menjejaki sekolah rendah dan menengah. Alam persekolahan alam kanak-kanak. Indah dan duka lara berbaur sepanjang perjalanan. Dua tahun di tadika. Enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Mahu jadi apa selepas dewasa nanti? Doktor? Jurutera? Peguam? Politikus? Barangkali bukan kerjaya itu. Tidak terlintas pun di minda Ah Ti, anak marhaen, yang serba-serbi kekurangan di sebuah desa, di pinggir pekan Tg. Malim.

          Jadi, mahu jadi apa? Pensyarah? Guru? Kerani? Kerjaya yang pernah tercatat pada Kad 001 di alam persekolahan. Tiada guru kaunseling ketika itu. Atau barangkali kuli, seperti abahnya? Yang penting kerjanya halal, tidak korup dan miskin integritinya.

          Abah, kuli kedai pemborong barang-barang runcit di Tanjong Malim. Syarikat Sin Teck Soon. Syarikat milik anak-beranak tiga generasi. Ada bau-bau bacang dengan keluarga leluhur Ah Ti. Sejak 1922, zaman British, pendudukan Nippon, era Bintang Tiga - MPAJA - PKM dan pascamerdeka Persekutuan Tanah Melayu, syarikat itu berdiri gah biarpun pernah jatuh dan hampir muflis pada zaman Nippon. Ingat, kerja abah mulia! Jasa abah cukup besar! Kuli seperti abahlah yang menjadikan syarikat itu dapat berdiri gah. Gah megah memberikan pulangan kepada tauke dan keluarganya, generasi demi generasi.

          Kuli seperti abahlah, membawa laba kepada Tauke Teh. Kuli seperti abahlah, anak-anak Ah Hai sebanyak enam orang membesar dewasa. Abang Chuan, Kak Kiew, Kak We, Adik Bee dan Adik Poo, termasuk Ah Ti. Semuanya diberi pendidikan, biarpun tidak mengapai menara gading. Sekurang-kurangnya pendidikan Darjah Enam, setinggi-tingginya Tingkatan Lima. Janji anak-anak bisa hidup, tahu hidup, kenal hidup dan mampu menghadapi sepak terajang kehidupan yang berona. Awas, kata abah, jangan sekali-kali jadi perosak masyarakat! Jangan sekali-kali jadi sampah masyarakat. Jangan sekali-kali jadi pengkhianat. Pengkhianat nusa pengkhianat bangsa. Biar kita miskin asalkan kaya ilmu. Biar kita miskin asalkan kaya budi bahasa. Biar kita miskin asalkan kaya usaha. Biar kita miskin asalkan kaya adab budaya. Biar kita miskin asalkan kaya akhlak. Ada maruah, ada integriti. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Di sana padi di sini padi,
        Itulah nama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
        Barulah sempurna bernama orang.

          Kata-kata perangsang abah masih terngiang-ngiang di gua telinga Ah Ti.
         "Daripada kemiskinan, kita bangkit! Daripada kemunduran, kita bangun! Kita majukan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman. Kita bangkit memajukan diri. Janji esok lebih baik daripada hari ini dan hari-hari sebelumnya!" Bertalu-talu, mutiara nasihat abah bersipongang sebagai monolog dalaman Ah Ti. Nasihat abah berdasarkan pengalaman hidup selama 77 tahun tanpa pelajaran. Abah buta huruf. Pelajaran abah ialah kegagalan. Pelajaran abah ialah kejayaan. Pelajaran abah ialah pengalaman. Pengalaman suka duka itulah bersepadu membina dan membesarkan keluarga, termasuklah Abang Chuan, mangsa tragedi nahas di Jalan Persekutuan Rawang, lima dekad yang lalu. Sungguh, malang tidak berbau. Jangan bala lalu dibawa singgah. Kita, insan kerdil di sisi Tuhan. Kita bisa merancang dan melaksanakannya sungguh-sungguh. Segala-galanya, di tangan takdir. Biarpun, pernah bijak pandai bermadah, jika kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal sebenarnya.

1980

          "Ah Ti akan bangkit, abah! Ah Ti akan berusaha! Janji, keluarga bebas daripada belenggu kemiskinan, abah!" ujar Ah Ti sungguh-sungguh ketika melihat lambaian abahnya di stesen bas Len, bertentangan Restoran Asia, Jalan Douglas. Keberangkatan Ah Ti ke Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) ditemani Abang Yee, abang saudaranya. Sejak kecil, Abang Yee dijaga dan dibesarkan oleh abah dan mama setelah kematian ibu kandung di tanah leluhur akibat batuk kering. Kini, Abang Yee dan Kak Lan menetap di Enschede, Netherlands. Maka bermulalah dunia Ah Ti sebagai guru pelatih MPIK. Mopiko kata seteru ketatnya, MPT. Kalau MPIK digelar Mopiko, maka MPT pula diasosiasikan 'seteru' sebagai Maktab Perguruan Toyol! Toyol?

          Bakal gurulah, Ah Ti. Bakal pendidiklah, Ah Ti. Syukur, dengan enam kepujian dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education, MCE, permohonan Ah Ti ke maktab perguruan berjaya selepas dua percubaan. Barangkali kejayaan dibantu oleh pengalaman sebagai guru sementara di SMJK Katholik (Persendirian), Tg. Malim. Di situlah, minat Ah Ti mula berputik. Di situlah, kecenderungan Ah Ti membenih subur di kebun perguruan. Tidak dapat dinafikan bahawa pengalaman telah mendewasakan kehidupan insan. 

          "Bagus, Ah Ti!"
          "Bakal guru, Ah Ti!"
        "Kerja cikgu, senang Ah Ti! Banyak cuti. Gaji tinggi. Banyak rehat. Boleh makan angin. Boleh buat tuisyen! Boleh buat insurans! Yang penting ada wang sara. Ada pencen seumur hidup!"

      Pandangan jiran tetangga, sahabat handai dan sanak-saudara bersipongang. Suara-suara itulah dijadikan iktibar buat Ah Ti di MPIK. Mulai hari itu, Ah Ti perlu belajar membiasakan diri dengan dunia kehidupan baharu lagi terasing di ibu kota. Kota metropolitan Kuala Lumpur. Kota yang senantiasa hidup, sama ada siang atau malam dengan rempah ratus warga asingnya!

          Di buana perguruan MPIKlah, Ah Ti mula mempelajari ilmu pedagogi, ilmu psikologi, ilmu sosiologi selain bergiat aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar, kokurikulum, bahasa dan kesusasteraan. Biarpun beropsyen Ilmu Hisab, Ah Ti turut aktif dalam genre penulisan. Perbahasan antara opsyen. Pementasan teater. Pestarama. Latihan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) dan Latihan Amali di SMK Kepong, Kepong. MPIK juga membolehkan Ah Ti berinteraksi dengan rakan semaktab biarpun berlainan opsyen. Siva, Kirar Sare, Eng Eng, Igian dan Halele. Kenal-mengenal. Bantu-membantu. Hormat-menghormati. Persefahaman ke arah perpaduan. Integrasi nasional. 1Malaysia. Kepelbagaian dalam persamaan. Usaha sedemikianlah yang harus disemaikan dan digalakkan dalam kehidupan kita mutakhir. Bukan diri aku, aku. Diri engkau, engkau. Sampai bila? Yang penting setiap warga perlu tahu, sedar dan insaf akan batas sempadan masing-masing. Elakkan kontroversi, tingkatkan prestasi, perkukuh integrasi!

          Jodoh pertemuan di tangan-Nya. Begitu jua, ajal maut. Hidup bagaikan putaran. Lahirnya seorang bayi ke dunia, membesar ia sebagai kanak-kanak, remaja, belia dan kemudian dewasa. Cita-cita, kerjaya, rumah tangga, tua dan akhirnya menunggu giliran untuk dipanggil oleh-Nya ke alam baqa. Demikianlah, kehidupan. Ah Ti faham benar akan takdir kehidupan. Malaikatulmaut di buana sakaratulmaut kehidupan. Segala-galanya, harus kita pasrah kepada-Nya.

1982

          Tercatatlah sejarah hidup Ah Ti. Bergelarlah dia, seorang guru maktab PPPBS C2 yang bertauliah di SM Dato Bendahara CM Yusuf, Tanjung Tualang. Tualang? Pekan bijih timah. Kampung udang galah. Lembah Kinta. Sebuah pekan kecil di Lembah Kinta yang pernah menjadi denyut nadi ekonomi nusa bangsa. Duduk di kuarter bujang guru. Dua kamar, dapur, bilik mandi dan tandas. RM40.00 sewa bulanan. Berkongsi pula bayaran sewa, termasuk bil air dan elektrik dengan Cikgu Padmanapan Thambi. Orang Kamunting, Taiping. Keturunan Malayalam. Sememangnya benar. Kos hidup ketika itu rendah. Murah. Pertama kali menerima emolumen RM370.00, terketar-ketar tangan Ah Ti membilang setiap ringgit dan sen. Syukur Ah Ti kepada Tuhan. Di sinilah, hidupnya sebuah pekan kecil bernama Tanjung Tualang, tempat Ah Ti mencurahkan jasa bakti kepada anak-anak bangsa.
         
          "Selamat datang ke Tualang, Cikgu!"
          "Terima kasih!"

        Di SM Dato Bendahara CM Yusuf, Tanjung Tualang, Ah Ti mula mempelajari selok-belok pergaulan, adab budaya dan fiil masyarakat setempat. Kampung Air Papan, Sg. Galah, Kampung Timah, A.A.Tin, Sg. Durian dan Kampung Batu Tujuh. Biarpun ditugaskan mengajarkan Matematik, mata pelajaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu turut ditelusurinya selangkah demi selangkah, penuh yakin dan wibawa.

          "Orang muda perlu banyak belajar, cikgu!" tegur Tuan Haji Khairul Fauzi, pengetua yang baru dikenalinya. Ah Ti angguk dan tekun mendengar.
          "Sekiranya, ada masalah, sila rujuki Cikgu N.Ramasamy. Yang penting, cikgu perlu banyak bersabar dan tabah mendidik murid-murid di kawasan ini. Maklumlah, anak-anak buruh lombong," pesan pengetua itu lagi.

          Dua tahun kemudian, Tuan Haji dinaikkan pangkat sebagai Ketua PPD Kuala Kangsar. Tahun demi tahun dilalui oleh Ah Ti dengan tabah dan sabar. Masalah demi masalah dihadapi, dihalusi dan ditangani oleh Ah Ti dengan bijaksana, sabar, tabah dan berani. Kata orang, kalau takut bermain dengan ombak, jangan berkampung di tepi pantai. Pengalaman Sifu Ah Ti menjalani latihan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) di SMK Kepong, Kepong cukup banyak membantu mendewasakan diri.

          "Cikgu Ah Ti!" Jeritan itu kasar. Nadanya tinggi rendah bagaikan ngauman sang harimau lapar. Cikgu Ah Ti terpinga-pinga keseorangan di stesen pemantauan, berdekatan dengan kawasan sekolah pada suatu pagi ketika berlangsungnya acara merentas desa akhir.
          "Ada apa, Pak Ali?" tanya Cikgu Ah Ti penuh sopan. Aspek kesantunan berbahasa dipraktikkannya sungguh-sungguh bak kata terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya.

          "Cikgukah yang membawa mulut tentang kelakuan anak saya? Riuh satu dunia!"
       "Maaf, Pak Ali, bukan saya. Masalah disiplin anak Pak Ali sudah diketahui oleh kebanyakan orang di sekolah," ujar Sifu Ah Ti, cuba memberikan penjelasan untuk meleraikan kekusutan yang timbul.
          "Kami cuba membantu, Pak Ali..."  Belum sempat Sifu Ah Ti menjelaskan keadaan, tiba-tiba lehernya diterkam oleh jari-jemari kasar Pak Ali. Ganas dan kemas. Sakit!
          "Ingat, cikgu! Cikgu orang luar. Jangan tunjuk lagak di sini! Tempat cari makan jangan diberak. Nanti buruk padahnya, faham!" Amaran keras Pak Ali meninggalkan seribu satu persoalan di benak fikir Sifu Ah Ti. Tergaman seketika Sifu Ah Ti. Kelu lidah untuk berkata-kata.

          "Salahkah, seorang guru menegur murid sekiranya hadir salah laku?" bisik hati kecil Sifu Ah Ti sambil meninggalkan jejak-jejak peninggalan Pak Ali bersendirian. Peristiwa Sifu Ah Ti diserang ugut oleh Pak Ali menjadi buah mulut masyarakat setempat. Atas nasihat pengetua, laporan polis dibuat. Biarkan pihak polis menyiasat dan menangani masalah yang berbangkit. Yang benar perlu ditegakkan. Yang kusut perlu dileraikan agar peristiwa itu tidak berpanjangan. Yang penting peristiwa hitam itu tidak berulang. Akhirnya, PIBG campur tangan. Suatu mesyuarat tergempar dipanggil. Yang turut hadir, Sifu Ah Ti, Pak Ali, pemimpin masyarakat, polis dan pengetua. Bermusyawarahlah mereka. Bermuzakarahlah mereka. Masing-masing mencari titik pertemuan, titik penyelesaian. Akhirnya, Pak Ali mengakui keterlanjurannya tempoh hari. Bertindak ia tanpa soal selidik. Bertindak ia tanpa rasional. Emosi syaitan sudah bertakhta di hatinya yang bercelaru. Bermaaf-maafanlah Sifu Ah Ti dengan Pak Ali di depan khalayak. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Perjalanan hidup ini perlu diteruskan. Tinggalkan sejarah pahit sebagai pengajaran agar pisang tidak berbuah dua kali.
  
1986

          Tahun yang membawa perubahan dalam hidup Sifu Ah Ti. Berita kematian mendiang ayah cukup menyentuh hatinya. Terpaksalah Sifu Ah Ti memikirkan masa depannya. Masa depan keluarganya. Keluarga tidak boleh diurus oleh Abang Chuan. Abang Chuan, abang skiforenia. Pertukaran amat diperlukan untuk pulang ke desa kelahiran. Pertama-tama, menguruskan keluarga luasnya. Kedua, menjaga ibunya yang semakin tua dan uzur. Ketiga, barangkali sudah tiba waktunya, Sifu Ah Ti berumah tangga dengan gadis pilihan dari negeri Kelantan Darul Naim.

          SMK Sungkai, sekolah ketiga Sifu Ah Ti. Pengalaman demi pengalaman yang ditimba cukup mendewasakan Sifu Ah Ti di buana perguruan. Latar tempat dan latar masyarakat berbeza-beza.  Rata-rata anak muridnya daripada keluarga marhaen. Prestasi anak muridnya sederhana rendah. Ibu bapa di pekan kecil ini berpendapatan rendah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada waktunya anak-anak diminta membantu. Tidak mengapa ponteng sekolah sehari dua, asalkan dapat membantu keluarga menambahkan sumber pendapatan harian. Musim durian pun sama. Musim petai pun sama. Musim-musim seumpama itu, pendapatan keluarga dapat ditambah. Kata orang tua-tua, rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.

          Hampir lima tahun, Sifu Ah Ti berulang alik dari Tg. Malim ke Sungkai. Bas Mogah. Sudah lima tahun, Sifu Ah Ti berkawan dengan setiap pemandu, termasuk Pak Busu, yang petah berceritera. Di Sungkai pula, dapat Sifu Ah Ti berkenalan dengan Cikgu Lee Kim Ching, Cikgu Zaini Kadir, dan Cikgu Kulasingam, veteran dalam bidang perguruan dan keguruan. Yang jelas, setiap guru mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bukan semua guru mempunyai kebolehan yang sama. Aras berbeza-beza. Band pun berbeza-beza. Pengalaman pelbagai. Hal inilah yang harus dihalusi oleh barisan pentadbir (peneraju pendidikan) tanpa gagal. Jadi, semangat berpasukan dalam satu pasukan amat diperlukan untuk merealisasikan setiap program murid sekali gus menaikkan imej sekolah di persada pendidikan. Di sekolah inilah, Sifu Ah Ti belajar bertolak ansur dalam banyak perkara. Dalam lembut bicara, seseorang guru bisa memberikan teguran yang membina. Dalam kesantunan bahasa, seseorang guru dapat menyampaikan buah fikiran tanpa kepentingan peribadi. Bertegur sapa kita demi kepentingan dan kemajuan murid-murid. Kita menasihati demi kelangsungan profesion perguruan dan kemajuan anak-anak bangsa. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Ingat, semangat berpasukan dalam satu pasukan!

          Seperti rutin kerja yang dijadualkan, Sifu Ah Ti menunaikan tugas dan tanggungjawab tanpa gagal. Guru Kelas. Guru Disiplin. Guru Penasihat Persatuan. Guru Unit Beruniform. Guru SPBT. Yang SU pula, jadi SU Akademik. SU Hal-Ehwal Murid. SU PIBG. Setiausaha LPS, Penyelaras Alumni, SU Sukan. SU Peperiksaan. SU Kokurikulum. Di tangan gurulah, anak-anak didik menimba ilmu, kemahiran dan pengalaman tanpa gagal. Yang penting, bagi Sifu Ah Ti, guru haruslah proaktif, kreatif dan inovatif. Dari desa perlombongan, Tg. Tualang, Sifu Ah Ti beralih angin mengajar di pekan perladangan getah dan kelapa sawit, Sungkai. Rata-rata penduduk di sini berkebun, bekerja sendiri. Dinihari menjadi penoreh, siang hari pula bekerja di kilang yang berdekatan demi sesuap nasi, seteguk air untuk membangunkan sebuah keluarga.

          Dari segi pedagogi, kaedah, teknik dan pendekatan pembelajaran dan pengajaran (pemudahcaraan) Sifu Ah Ti disesuaikan dengan latar masa, latar tempat dan latar masyarakat (murid). Yang cerdik perlu didorong. Yang sederhana perlu dibimbing. Yang lemah perlu dibantu, penuh simpati dan empati. Faktor geografi dan latar masyarakat turut mencorakwarnakan sketsa disiplin anak-anak. Yang sedih, ibu bapa sering ketiadaan masa untuk kebajikan anak-anak di sekolah. Sibuk. Ah, benar! Sesuap rezeki untuk melangsungkan dunia kehidupan!

          Yang penting, guru mengajar, murid belajar. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jangan sekali-kali menjatuhkan hukum tanpa menghalusi masalah yang berbangkit. Sebagai pendidik, kita harus senantiasa bertanya, mengambil tahu, merancang, meneliti, menangani dan berdampingan dengan setiap anak didik agar masalah mereka dapat dihalusi dan ditangani. Segan bertanya, sesat jalan. Yang jelas, sebagai guru, terutamanya barisan pentadbir, aspek IQ (Intelligence Quotient) dan EQ (Emotional Quotient) haruslah seimbang untuk mengawal, memberikan reaksi dan respons ketika berhadapan dengan sesuatu situasi. Boss? Leader?  Pemimpin perlu mempunyai keupayaan, bakat memikat dan menambat hati orang yang dipimpin. Jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita. Amalkan sikap, mempermudah bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling. Pemimpin yang memahami dan menghormati perasaan pekerja akan melahirkan emosi penghargaan dan kasih sayang daripada majikan. Rahsia yang terbesar untuk menyelesaikan masalah dunia ialah kasih sayang. Berikan kasih sayang, bersangka baik dan percaya akan pekerja. Kata-kata Profesor Dr. Muhaya Muhamad muncul di skrin ingatan Sifu Ah Ti. Yang jelas, sekolah bukan sektor korporat. Yang jelas sekolah bukan kilang pembuatan. Yang jelas, sekolah sebuah rumah kehidupan yang mampu melahirkan modal insan yang penyayang, berilmu, berakhlak, muhibah, berintegriti, dan berketerampilan menerajui dunia masa depan.

          Daerah Sungkai mencetuskan ilham Sifu Ah Ti untuk meluaskan ilmu di universiti. Jadi, Sifu Ah Ti perlu mencukupkan bilangan hari menghadiri kursus profesional. Kursus perguruan khas setahun sebagai prasyarat menyertai Program Kembar. Hasrat Sifu Ah Ti tertangguh seketika. Langkah awal, dia perlu mengikuti Kursus Perguruan Khas (KPK). Kursus Bacaan dan Penulisan di IPSI Tg. Malim menjadi pilihan. Dipanggil temu duga. Gagal. Tahun kedua, dimohon lagi. Kursus yang sama, Bapen. Dipanggil temu duga. Gagal. Kenapa gagal?

          "Dari segi kelayakan dan pengalaman, kaulayak!" Tn. Hj. Radzuan, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, IPSI memberitahu Sifu Ah Ti.
          "Jadi, Tuan Haji?"
          "Akan saya kemukakan cadangan kepada BPG agar kursus yang sama diadakan di Institut Bahasa!" ujar Tn. Hj. Radzuan sungguh-sungguh. Nampak, beliau benar-benar mahu guru-guru meningkatkan tahap profesionalisme mereka, termasuk Sifu Ah Ti.
          "Terima kasih, Tuan Hj."
        "Sebenarnya cikgu, kalau nak jadi penulis, biarlah jadi penulis yang berijazah!"  Kata-kata itulah yang menyemarakkan semangat Sifu Ah Ti untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

1991

          Sifu Ah Ti menjadi pelajar semula setelah dua belas tahun menjadi guru. Kali ini, berpeluanglah sifu menimba ilmu dan pengalaman di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Kursus Bacaan dan Penulisan. Ilmu pedagogi dimantapkan. Ilmu psikologi diperkukuh. Ilmu tatabahasa diperluas. Banyak ilmu ditimba daripada Pak Kassim Ismail, Pak Dahalan Ramli, Dr. Robiah Kulop Hamzah, Encik Siow Siew Sing, Puan Jauhara Tak, dan Encik S. Balakrishnan.

          "Terima kasih daun keladi. Jasa baik tuan dan puan selama ini, akan saya kenang selagi hayat dikandung badan!" bisik hati kecil Sifu Ah Ti.

1992

          Sifu Ah Ti ke sekolah semula. Pengalaman di Institut Bahasa, Kuala Lumpur banyak memberikan iktibar dan pengajaran kepada Sifu Ah Ti. Dunia sebuah pentas, dan manusialah sutradara serta watak-watak yang bakal mementaskan lakonan masing-masing. Skrip sedia ada untuk dipentaskan. Pentas opera manusia di sarwajagat ini.

          Ah, kenangan pahit harus dibawa pergi! Setidak-tidaknya ditinggalkan. Mampukah kita sebagai insan yang lemah di sarwajagat hidup ini? Iklan pertukaran guru keluar lagi. Dalam diam-diam Sifu Ah Ti mohon. Siapa tahu, atas dasar perikemanusiaan, permohonan akan mendapat pertimbangan daripada pihak atasan. Dalam senyap-senyap, Sifu Ah Ti turut berusaha. Yang penting, usaha. Kedua, doa harapan agar hasrat termakbul. Ya, mahu dia kembali ke Tg. Malim untuk berkhidmat kepada alma maternya pula.

          Sementara menunggu keputusan, tugas hakiki perlu diutamakan dan didahulukan biarpun  tiada dasar Melindungi Masa Instruktional (MMI). Itulah bezanya, guru dahulu dengan guru sekarang. Itulah lainnya, guru tua dengan guru muda! Jangan lupa, yang tua pernah menjadi muda suatu ketika dahulu. Maka, yang muda harus belajar daripada yang tua. Demikianlah lumrah alam biarpun yang muda memiliki ijazah yang berjela-jela! Buana perguruan dan keguruan memerlukan tenaga pengajar yang cekap, beriltizam dan berkesan. Bukan sahaja perlu berilmu tinggi, guru amat memerlukan kemahiran tambahan, kewibawaan mengawal kelas dan menangani disiplin murid, kebolehupayaan mengakses ICT, berinovatif, kreatif dan proaktif sejajar dengan matlamat PPPM dan Pendidikan Abad Ke-21! Yang penting, nilai IQ dan EQnya!

yang pandai berpakat
dengan bahasa muafakat
beras sama segenggam
jagung sama secekak
rempah sama secubit
santan sama seperah
ikan sama seramas
teradun riang
di dalam kawah

          Kembali akhirnya, Sifu Ah Ti ke pangkuan alma maternya. Sirih pulang ke gagang. Ikan pulang ke lubuk. Pinang pulang ke tampuk. Dalam diam-diam, Sifu Ah Ti mengenal pasti tapak, membina pelan dan berusaha ke arah merealisasikan impian yang belum tertunai, yakni menjadi mahasiswa di UA! Ada hati guru tua mahu melanjutkan pelajaran. Ada hati guru tua mahu belajar lagi. Biarkan. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Sepucuk surat daripada UPM telah merubah segala-galanya. Berjaya akhirnya, permohonan Sifu Ah Ti untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. UPM, Bachelor Pendidikan, BM sebagai bahasa pertama. Malangnya, hasrat Sifu Ah Ti berhalangan lagi. Manusia sekadar boleh merancang. Segala-gala berserah kepada Tuhan. Pasrah kepada-Nya!

1994 - 1999
          Dengan izin dan hidayah-Nya, hadir peluang kedua. Dapatlah Sifu Ah Ti melanjutkan pelajaran ke Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Universiti terulung tanah air. Maka, bergurulah Sifu Ah Ti dengan barisan profesor terulung dan bitara di UM. Barisan profesor dan profesor madya yang hebat belaka. Antaranya, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dengan ilmu tatabahasa normatifnya! Di UMlah, Sifu Ah Ti mendewasakan diri di buana ilmu kebahasaan dan kesusasteraan Melayu. Di UMlah, Sifu Ah Ti mematangkan diri di buana kehidupan. Dan, kembali beliau nanti, menyaksikan seorang guru lepasan maktab perguruan bergelar PPPS! Syukur, Sifu Ah Ti kepada Tuhan. Terima kasih, Sifu Ah Ti kepada isteri, anak-anak dan keluarga yang prihatin. Terima kasih, Sifu Ah Ti kepada rakan-rakan seperjuangan yang senantiasa membimbing dan memberikan galakan tanpa gagal. Hanya Tuhan sahajalah yang dapat membalas jasa dan budi baik insan-insan yang mulia. Tugas Sifu Ah Ti sebagai PPPS bermula di SMK Slim, Slim River sebelum kembali ke kampung halaman, Tanjong Malim, Daerah Mu'alim. 

2000 - 2013

          Setelah puas berkhidmat di tempat orang, akhirnya kembalilah Sifu Ah Ti ke rumah alma mater, SMK Methodist, Tg. Malim buat kali keduanya Seperti biasa, orang baharu akan diberi tugas yang luar biasa banyak biarpun Sifu Ah Ti berbekalkan pengalaman tidak kurang daripada delapan belas tahun perkhidmatan di buana perguruan dan keguruan. Kononnya, tradisi. Maka, bermulalah rutin tugas sebagai guru. Bermulalah rutin tugas sebagai munsyi. Bermulalah rutin tanggungjawab sebagai pendidik. Matlamat setiap guru adalah untuk melahirkan Modal Insan Minda Kelas Pertama, yakni modal insan yang berpengetahuan (knowledge person), modal insan yang berguna (useful person) dan warganegara yang baik (good citizen),  berwibawa dan berketerampilan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara dan PPPM.

          Pertama kali, kembali berkhidmat di alma mater sendiri cukup memberangsangkan Sifu Ah Ti. Banyak yang ingin diterjemahkan untuk manfaat anak-anak didik. Jadilah Sifu Ah Ti, penasihat kelab, unit beruniform dan permainan. Jadilah Sifu Ah Ti, pembimbing persatuan penulisan kreatif. Jadilah Sifu Ah Ti, perintis aktiviti Alumni MES. Jadilah Sifu Ah Ti, AJK PIBG. Jadilah Sifu Ah Ti, AJK LPS. Semuanya, oleh sebab matlamatnya satu. Demi alma mater, demi anak-anak didik dan demi nusa bangsa yang tercinta. Dalam bidang akademik pula, jadilah Sifu Ah Ti, ketua panitia. Jadilah Sifu Ah Ti, guru cemerlang BM. Jadilah Sifu Ah Ti, pemudah cara Nilam Daerah dan Negeri. Jadilah Ah Ti, Munsyi Dewan Bahasa. Fasilitator. Moderator. Deklamator. Hebat, Sifu Ah Ti. Proaktif, Sifu Ah Ti. Berwawasan, Sifu Ah Ti. Malangnya, iltizam Sifu Ah Ti dipersoalkan. Pengorbanan Sifu Ah Ti diperkatakan. Geram. Lemas, cukup melemaskan melayan kerenah sandiwara hidup segelintir manusia hipokrit di buana perguruan.

          "Asyik keluar sahaja GC kita!" suara-suara nakal bergema di sudut GK, bilik guru. Gema kian kuat dek biliknya yang sempit dan dipenuhi fail, buku dan evidens PBS, alat bantu atau bahan edaran PT3. Yang jelas, bilik guru ketika itu persis reban ayam!

          "Tak nampak pun peranannya di sekolah!"
          "Eloklah dia ditempatkan di PPD atau di JPN. Tak payahlah kerap kita ganti kelas PdP beliau!"
          Suara nakal guru kanan bersipongang. Suara sinis GK menambahkan kehangatan perbincangan dan melebarkan dosa sumpah seranah fitnah. Bisik-bisik tidak mati di bilik guru. Bisik-bisik mula merebak ke bilik KH. Bisik-bisik mula bergema di kantin sekolah. Bisik-bisik mula kedengaran di dalam mesyuarat, taklimat dan perjumpaan kecil. Bilik Gerakan sekolah menjadi tumpuan. Kisah Sifu Ah Ti kian sensasi. Barangkali, kian sensasi dipolitikkan oleh algojo yang berkepentingan.

          Dalam diam-diam, setiap kata, frasa, klausa dan sintaksis dikutip oleh Sifu Ah Ti satu persatu. Dia mahu menotelunkan wacana tersebut untuk dijadikan evidens dalam pelaporan yang berjilid. Yang jelas bukan evidens untuk PBS! Sifu Ah Ti menjadualkan aktivitinya semula. Pertama-tama, bilangan waktu PdPnya. Tugas kurikulum akademik dan kokurikulumnya sepanjang tiga tahun berturut-turut. Tugasan di peringkat sekolah. Tugasan di peringkat daerah. Tugasan di peringkat negeri. Hatta, tugasan di peringkat kebangsaan sebagai JU, GC, atau Munsyi Dewan. Sebaik buku pelaporannya siap, Sifu Ah Ti menfotostat dan menjilid kemas beberapa naskhah. Senaskhah untuk setiap guru kanan. Senaskhah untuk setiap penolong kanan. Selain salinan peribadi, yang asal dicetak untuk ketua jabatan.

Pintu bilik pengetua diketuk beberapa kali. Denyut nadi Sifu Ah Ti sedang berperang di dada kalbu. 
        "Selamat pagi, cikgu! Sila masuk!" pelawa Tuan Pengetua. Santun dan berbudi bahasa.
          Sifu Ah Ti sempat menghulurkan buku pelaporan tersebut kepada ketua jabatannya.
          "Maksud cikgu?"
        "Sudilah sekiranya tuan telaah dan simpan senaskhah buku pelaporan ini agar isu atau fitnah yang berbangkit dapat ditangani!" Sifu Ah Ti berterus terang. Musyawarah seumpama ini cukup berkesan untuk menyelesaikan sebarang kekalutan yang berbangkit.
      "Tak payah, cikgu. Sebagai ketua jabatan, saya tahu akan tugas cikgu kepada anak-anak murid di sekolah ini! Usah ambil kisah akan pandangan liar yang tidak berasas. Teruskan usaha dedikasi cikgu selama ini. Saya sokong cikgu!"

"Bahawa fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh," – Surah Al- Baqarah: 191

          Terkejut Sifu Ah Ti mendengar jaminan daripada ketua jabatannya. Kata-kata ketua jabatan, kembali menyemarakkan azam, iltizam dan usaha Sifu Ah Ti kepada anak-anak bangsa. Biarpun sudah bergelar MD atau GC, namun Sifu Ah Ti tidak lupa akan tugas hakikinya. Mendidik anak-anak bangsa matlamat utamanya. Tidak timbul soal mengutamakan tugas di luar lebih daripada tugas di dalam sekolah. Segala-galanya sudah terbukti. Yang jelas, catatan headcount TOV, ETR, dan ATR 123 mata pelajaran BM di sekolah cukup memberangsangkan. Calon-calon PMR (PT3) dan SPM berjaya memperoleh target kejayaan dan kecemerlangan. Bilangan yang gagal atau gagal mencapai kelulusan minimum dapat dikurangkan dari setahap ke setahap. Nah, bukankah data-data tersebut mencerminkan hakikatnya! Ah, sudah menjadi lumrah sikap segelintir manusia! Kuman di seberang lautan nampak, gajah (bertengger) di pelupuk mata tiada tampak.

          Seperti dunia siasah, dunia perguruan juga banyak kerenah politiknya. Politik kawan. Politik gender. Politik sosial. Politik tugas. Politik jawatan. Politik pangkat. Politik APC! Biarkan, biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Yang penting, yang benar perlu dipertahankan. Yang layak perlu diberi penghargaan dan pengiktirafan. Yang fitnah, perlu ditangani sebelum kudis menjadi tokak. Amar makruf, nahi mungkar. Jika tidak, rosak dunia kerjaya perguruan yang mulia ini. Jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis sekandang dipalitnya. Perbuatan melontar batu, sembunyi tangan harus diperangi hingga akar umbi agar profesion ini kembali mulia dimartabatkan di persada nusa bangsa.

          Yang penting, guru junior perlu belajar daripada guru senior. Yang senior perlu membimbing yang junior. Yang senior tidak boleh berada di zon selesa. Dulu, ketika baru keluar maktab perguruan, Sifu Ah Ti, akur, cekal dan tabah memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa banyak soal. Daripada tugas tersebutlah, Sifu Ah Ti dapat menimba ilmu dan pengalaman. Benar kata mendiang abah, kegagalan dan kejayaan intipati pengalaman hidup. Di situlah, Sifu Ah Ti mematangkan diri dan menyerlahkan kepakaran di buana perguruan dan keguruan! Pantang Sifu Ah Ti, jadi guru akhir bulan sahaja. Segala-galanya harus bermula dari bawah! Bermonolog lagi, Sifu Ah Ti. Mungkin seribu kali. Mungkin sejuta kali. Ingat bukan mudah kita bergelar guru. Bukan mudah kita bergelar pendidik. Naik setahap demi setahap. Naik setahun demi setahun. Tiada jalan pintas. Tiada jalan singkat kecuali GC, SISC+ dan SIP+.

          Mula dengan PPPBS DG6. Kemudian, naik PPPS DG 41. PPPS  DG44. Kini, Sifu Ah Ti berjawatan PPP DG48! Syukur kepada Tuhan. Sememangnya diakui, bukan mudah bergelar pengetua, guru besar, munsyi apatah lagi guru cemerlang, JU, SISC+ atau SIP+ hatta Nazir Bebas! Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Amanah dan tanggungjawab tidak tertanggung oleh pundak kita. Jika bersikap sambalewa, berkepentingan, dibelenggu kebobrokan integriti, uzur dan ketandusan ilmu di dada, usahlah kita pikul tugas yang diamanahkan. Kenapa? Tugas dan tanggungjawab guru adalah untuk membina kecemerlangan dan kebitaraan modal insan. Zaman pendidikan kini berteraskan KBAT dan Lapan Peta Pemikiran i-Think! Zaman HOTaCS bukan LOTS! HOTaCS? Higher Order Thinking and Creative Skill! Sistem Pendidikan Abad Ke-21! Modal insan yang berilmu, berakhlak, berwibawa, berketerampilan, berwawasan dan bertaraf global seperti yang termaktub dalam PPPM perlu kita lahirkan. Ingat, transformasi dalam pendidikan. Sebelas anjakan utama untuk transformasi sistem. Tujuh belas inisiatif utama. Lapan inisiatif tambahan, yakni dua puluh lima inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Faham?

          Sifu Ah Ti menarik nafas panjang seketika. Sambil mencatatkan aksara demi aksara di dalam diari usang. Dia mahu bercerita lagi. Barangkali Sifu Ah Ti sekadar mahu berkongsikan pengalaman. Pengalaman beliau selama tiga dekad suku dalam dunia perguruan dan keguruan. Daripada guru maktab perguruan kepada guru berijazah universiti awam. Sesungguhnya, keterampilan dan kewibawaan seseorang guru yang berjaya bukan semata-mata dinilai pada sekeping dua sijil lusuh atau segulung dua ijazah tinggi hatta doktor falsafah! Yang penting, insan guru perlu berjiwa pendidik, mampu mengawal disiplin murid di dalam bilik darjah, kreatif, inovatif, dan melaksanakan PdP (termasuk pemudahcaraan) yang berkesan. Yang penting, insan guru bermatlamat dan berwawasan demi masa depan anak-anak didik. Yang penting, insan guru berasa gembira, bangga dan puas melihat anak-anak didiknya membesar menjadi modal insan yang berjaya dan berguna kepada manusia dan kehidupan sejagat. Biarpun kini, Sifu Ah Ti sudah melewati usia lima dekad setengah, azam dan iltizam tetap kekal dan subur, yakni mahu melihat lahirnya anak-anak bangsa yang muhibah, berilmu, berhemah, berketerampilan, berjaya dan berjiwa wasatiyyah. Ah, mampukah dia? Mampukah Sifu Ah Ti? Dunia ICT kian mendepani kita. Dunia globalisasi kian mengasak kita. Pelbagai isu manusia dan persekitaran kian membelenggu kita.

          Tiada sesiapa pun yang mampu menafikan kekuasaan takdir. Usia lewat lima puluhan menyaksikan satu persatu penyakit mahu melamar Sifu Ah Ti. Benarlah kata-kata mendiang ayah, waktu muda kita gunakan kudrat sasa untuk mencari rezeki dan memburu wang, cita-cita, kerjaya, pangkat dan kebahagiaan. Kebahagiaan? Waktu tua pula, terpaksa kita habiskan wang pencen, gratuiti dan harta kekayaan yang kita kumpul selama ini untuk menjauhi, memerangi atau mengubati penyakit moden yang tidak diduga. Dunia kehidupan umpama sebuah roda. Lingkaran hidup yang perlu dilalui oleh setiap manusia. Hanya ajal maut sahaja yang akan memisahkan diri daripada sandiwara manusia dan kehidupan yang fana. Hakikatnya, kudrat Sifu Ah Ti semakin lemah. Minda Sifu Ah Ti tidak secerdas guru muda, lulusan UA, IPGM atau IPT luar negara. Sesekali, pernah jua aksara-aksara ingatan Sifu Ah Ti tercicir di pertengahan jalan kehidupan. Sifu Ah Ti faham benar akan keadaan dirinya. Sifu Ah Ti tidak mahu menjadi liabiliti kepada sekolah. Liabiliti kepada anak-anak bangsa. Liabiliti kepada sistem. Maka, berbincanglah Sifu Ah Ti dengan isteri dan anak-anak, WZhuang, WShen dan WXing  tentang hasrat dan keinginan untuk bersara pilihan. Usia lima dekad setengah! Tiga dekad suku dalam dunia perguruan dan keguruan!

2014

          "Mahu bersara awal?" usik Cikgu Siti, Ketua Panitia Bahasa Melayu, bakal GC.
         "Eh, usia masih muda, cikgu! Masih boleh berkhidmat hingga enam puluh tahun, cikgu!" syor Cikgu Muniandy, antara guru senior dan berpengalaman di sekolah Sifu Ah Ti.  
          "Jangan bergurau, cikgu!" usik Cikgu Aniza, calon pascasiswazah yang bakal bergelar Doktor nanti.
          "Sekolah akan kehilangan seorang guru yang dedikasi dan berkualiti, cikgu!" bisik Yang Berusaha Cik Irene Teh, Pengetua, MES Tg. Malim.
          "Benar, Cikgu Siti!"
          "Umur sudah meniti lima dekad setengah, Cikgu Muniandy!"
          "Serius, Cikgu (Dr.) Aniza!"
         "Terima kasih, YBrs. Cik Irene Teh! Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti!" jawab Sifu Ah Ti, ringkas, tepat, dan padat.

          Muktamad. Keputusan telah diambil. Tiada pertimbangan semula. Yang penting, keputusan untuk bersara pilihan merupakan keputusan yang tepat. Barangkali, keputusan nekad itu mampu membahagiakan Sifu Ah Ti setelah berkhidmat di bawah dua belas orang pengetua, termasuk Pengetua Cemerlang, Ketua PPD, Ketua Sektor, Timbalan Pengarah dan Pengarah. Sifu Ah Ti mahu berehat sebelum memulakan daya usaha baharu jika diizinkan oleh Tuhan. Wang bukan segala-galanya. Kepuasan dan kebahagiaan hidup bukan mutlak dapat diukur oleh wang ringgit atau dunia kebendaan semata-mata. Yang penting, ketenangan. Yang penting kesihatan. Yang penting ruang kebersamaan dengan keluarga yang tersayang. Yang penting melunaskan hasrat dan kegemaran yang sudah sekian lama bertangguh dan tertangguh. Berdekad-dekad lamanya. Istirahat, darmawisata, mengenali alam, insan dan dunia kehidupan, menelaah buku-buku, berkarya, mempererat silaturahim sesama insan dan barangkali mencari kedamaian abadi di rumah Tuhan.

          Hakikat? Usia kian memanjat tua. Kudrat kian lesu dan tidak secergas guru-guru muda yang terampil, kreatif dan inovatif. Nafsu ada, kudrat terbatas. Minda, pengalaman dan kepakaran ada namun tubuh tidak mahu menghulurkan kerjasama. Daripada dilambung ombak duga alaf baharu yang cacar marba, eloklah ia bersara pilihan. Hati senang, jiwa tenteram. Yang penting, tidak perlu pening-pening lalat atau stres memikirkan isu pendidikan yang masih belum bernoktah. Berdialog hati sanubari Sifu Ah Ti. Bermonolog jiwa raga Sifu Ah Ti. Relakanlah aku bersara pilihan. Barangkali sudah tiba masanya, aku bergelar YB, Yang Bersara.

          Renungan Sifu Ah Ti cukup tajam. Nafas ditarik dalam-dalam. Kemudian, dalam perlahan-lahan dilepasbebaskan. Ah, legalah hidup aku! Aman tanpa gangguan. Lega tanpa beban. Tenang tanpa umpatan. Sejahtera tanpa fitnah. Harmoni tanpa pilih kasih. Bahagia tanpa politik perguruan. Bebaslah aku daripada belenggu algojo kecil yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Barangkali kehidupan seumpama itu akan mencergaskan kesihatannya kembali. Barangkali juga kehidupan sepersis itu akan mencerdaskan akal mindanya semula. Ya, mahu aku kembali menceburi dunia kegemaranku. Dunia persuratan di Daerah Mu'alim. Yang pasti, menulis dan menghayati karya-karya nan bermutu. Yang pasti, berdarmawisata, mendampingi dan menghayati alam sambil bermeditasi agar insan kerdil ini lebih mengenali dan menginsafi diri.

          Fail demi fail akademik, kokurikulum dan jabatan direnungnya dari jauh. Tidak lama lagi, rak yang berwarna Oak itu akan dikosongkan. Fail-fail lama akan dilupuskan, setidak-tidaknya dikitar semula. Puluhan sijil penyertaan, penghargaan, dan pencapaian peribadi selama tiga dekad suku sebagai guru, fasilitator, moderator, pemakalah, JU, Munsyi Dewan, dan GC akan disimpan dalam fail kenangan. Cenderamata, plak dan pingat penghormatan akan kusimpan sebagai khazanah warisan anak cucu di almari arkib. Rak yang dikosongkan akan diisi dengan buku-buku bacaan terbaharu. Genre biografi, memoir, autobiografi, travelog, antologi, novel, catatan pemikiran filsuf dan keagamaan. Yang pasti, fail-fail baharu dalam komputer riba ASUS A43S akan mula diisi dengan karya-karya mutakhir berupa cerpen, sajak dan makalah sebelum diedit dan di-e-melkan kepada editor akhbar atau majalah arus perdana tanah air. Selamat datang dunia baharuku! Dunia persaraan. Dunia seorang YB di Tanjong Malim, Daerah Mu'alim!

1 MAC 2015

          Senja sudah sekian lama berlabuh. Gelap-gelita. Masih tiada bintang-bintang yang berkerlipan di dada awan. Barangkali, alam sedang bersimpati menelusuri notelun kerjaya Sifu Ah Ti. Hampir tiga dekad suku, Sifu Ah Ti menelusuri profesion mulia perguruan. Gigih mendidik dan memimpin. Pernah luka, dilukai dan terluka. Pernah bahagia, bangga dan teruja atas kejayaan anak-anak murid di bumi watan, nusantara dan antarabangsa. Bayangkan berapa banyakkah anak didik Sifu Ah Ti di alam sarwajagat ini? Yang berjaya (cemerlang), yang sederhana (potensi cemerlang, lulus - polus) dan yang kurang berjaya (harapan lulus - halus, gagal lulus - galus), barangkali itulah had kemampuan dan amanah yang mampu dipikul, ditangani dan diterjemahkan oleh Sifu Ah Ti, seorang guru tua di buana pendidikan, perguruan dan keguruan nusa bangsa yang tercinta! Fail persaraan yang berwarna kemerah-merahan saga itu dikatup kembali sebelum disimpan rapi di dalam almari arkib. Sempat sejenak Sifu Ah Ti melepaskan sekelumit persoalan yang masih terpenjara sekian lama di dada cakerawala malam tanpa bintang-bintang. Esok, sudah merdekakah, aku? Esok, sudah bahagiakah, aku? Pasrah Sifu Ah Ti kepada-Nya. Hanya esok yang datang akan menentukan kiblat hidupnya selagi hayat dikandung badan. Terima kasih, anak-anak didikku! Terima kasih, rakan-rakan seperjuanganku! Terima kasih, mahaguruku! Terima kasih, keluargaku! Terima kasih, tanah airku! Terima kasih, Tuhan!

No comments: