Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, February 8, 2015

Novel BM T5 - Kembara Amira



Sinopsis Novel Tingkatan 5: Kembara Amira
Penulis: Amer Hamzah B.L. Kadir
Bab demi Bab
BAB 1  
       Amira Amir bersama dengan Jacinta dalam perjalanan dengan kereta api ke Bukit Mat Raya di tengah Banjaran Titiwangsa. Dia ingin menghabiskan masa cuti di tempat ibunya, Prof. Zaidah bersama dengan pelajar tahun akhir melakukan kerja cari gali untuk mencari bukti arkeologi. Jacinta ikut serta kerana tidak mahu pulang ke rumah. Dia tidak selesa berada di samping ibu tirinya. Dalam kereta api itu, Amira tertarik akan seorang pemuda berkulit sawo matang duduk di sebelah seorang lelaki tua berkulit putih. Pemuda itu ialah Malique yang terkilan kerana ibunya menyuruh dia mengikut O’ Hara. Dia tertanya-tanya akan hubungan ibunya dengan O’ Hara.  Sementara itu di Bukit Mat Raya hujan turun dengan lebat. Tali khemah putus. Peristiwa itu menjadi tanda tanya kepada Prof. Zaidah dan Dr. Zawawi. Namun mereka menyembunyikan hal tersebut daripada pengetahuan pelajar mereka.
BAB 2
          Amida dan Jacinta turun di Stesen Dahan Hijau. Pak Lias datang menjemput mereka. Dalam perjalanan melalui jalan tanah merah, sebuah kenderaan pacuan empat roda memotong kenderaan mereka. Amira nampak pemuda dan lelaki tua berkulit putih di dalam kenderaan tersebut. Malique juga terkejut apabila melihat Amira di dalam kenderaan Pak Lias. Pemandunya, Roslan menjelaskan bahawa mereka merupakan pelajar universiti yang melakukan kerja cari gali di bahagian matahari naik manakala mereka beroperasi di sebelah matahari jatuh.
BAB 3
          Malam itu Amira menegur sikap Jacinta yang sanggup berada di asrama walaupun pada masa cuti semata-mata tidak mahu bertemu dengan ibu tirinya. Perbuatan itu sudah diketahui oleh Prof. Zaidah. Prof. Zaidah telah menasihati Jacinta supaya mengambil masa untuk mengenal ibu Jacinta. Prof. Zaidah mahu Amira dan Jacinta tidur awal dan melakukan kerja cari gali di tapak 10 pada keesokan hari.                     
BAB 4
          Pada pagi itu Amira bersama dengan pelajar membersihkan diri di sebuah air terjun yang berdekatan. Di situ dia berjumpa dengan Malique. Mereka berkenalan. Malique menjelaskan bahawa dia berada di situ kerana desakan daripada ibunya. Dia juga merasakan bahawa hutan itu terlalu dekat dengan hatinya. Beberapa  orang pelajar menceritakan pengalaman pelik pada waktu malam. Mereka mendengar tapak kaki di luar khemah, terhidu akan bau rokok kretek dan peristiwa tali khemah terputus. Prof. Zaidah mendedahkan bahawa kawasan itu dipercayai mengandungi emas. Kumpulan pengkaji diketuai oleh seorang pakar telah berada di situ. Perkara pelik itu mungkin berpunca daripada kumpulan tertentu yang bertindak untuk menakutkan pelajar. Jika usaha Prof. Zaidah dan pelajarnya berjaya, maka kawasan itu akan dapat diselamatkan daripada aktiviti perlombongan emas. Amira berharap dapat bertemu dengan Malique untuk mengetahui perkara yang sebenar.                  
BAB 5
          Amira menunggu Malique di kawasan air terjun.  Malique tidak muncul walaupun sudah dua jam Amira menunggu. Jacinta datang melihat Amira. Amira terpijak batu yang licin lalu terjatuh ke dalam air deras. Jacinta mengejar Amira melalui jalan hutan. Amira kemudian telah diselamatkan oleh Itai, remaja Orang Asli bersama dengan bapa saudaranya, Tau. Amira berehat. Itai menangkap ikan sementara Tau menghidupkan api. Mereka makan ikan yang dibakar. Amira berasa tidak senang dengan sikap Tau. Namun Itai menunjukkan minat apabila Amira menjelaskan aktiviti ibunya dan kumpulan pelajar di Desa Karpus. Itai dan Tau menghantar Amira pulang.           
BAB 6
          Jacinta hilang. Gerakan mencari diketuai oleh Tau dan Itai dijalankan. Dengan pengalaman menjejak, Tau dan Itai menemui Jacinta yang jatuh pengsan di celah banir pokok. Mereka mengambil masa dua jam untuk membawa Jacinta pulang ke Desa Karpus. Pada pagi keesokannya, Prof. Zaidah menasihati Amira agar berhati-hati dalam segala tindakan kerana dia tidak senang akan persaingan pencari emas dan tentangan Orang Asli apabila memerhatikan sikap Tau. Amira telah menjelaskan perkara yang sebenar kepada ibunya. Amira berjanji tidak akan mengulangi perbuatan seperti itu.
BAB 7
          Malique berasa bosan mengikut O’ Hara selama dua hari ke Pulau Pinang. Tambahan pula dia tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang perbincangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, dia mengugut O’ Hara untuk pulang ke Melaka. O’ Hara telah memujuknya dan menjelaskan bahawa usaha itu akan menyelamatkan hutan di kawasan itu. Malique cuba mendapat penjelasan tentang hubungan O’ Hara dengan ibunya. Namun O’ Hara masih belum mahu menjelaskan. Prof. Zaidah dan Pak Lias menuju ke hentian kereta api untuk mengambil barang yang baru sampai. Dalam perjalanan, Pak Lias menasihati Prof.Zaidah agar memberikan sedikit perhatian kepada Amira. Prof. Zaidah menyedari kesilapannya. Semasa menuruni bukit, kenderaan mereka mengalami masalah brek. Pak Lias menghimpit kenderaan itu ke tepi tebing.
BAB 8
          Tau ke rumah abangnya, Ludin yang menjadi ketua kumpulan Orang Asli Semai di situ. Dia tidak senang dengan aktiviti Prof. Zaidah dan pelajarnya di Desa Karpus. Ludin menasihatinya agar jangan menghalang aktiviti tersebut. Ludin juga menasihati Tau bahawa Ipah dan Sabi, anak dan isteri Tau tidak akan kembali lagi ke hutan itu. Tau juga telah menyerahkan Itai kepada Ludin setelah sekian lama mendidik dan mengajarkan ilmu tentang kehidupan hutan kepada Itai. Ludin mahu Itai menggantikannya sebagai ketua pada suatu hari nanti. Amira meminta Jacinta terus berehat. Amira meminta maaf. Jacinta mengakui bahawa itulah cabaran yang diingini semasa mereka bercuti. Itai datang melawat Jacinta dengan membawa buah-buahan hutan. Tiba-tiba Rosdi datang memberitahu bahawa Prof. Zaidah kemalangan.       
BAB 9
          Tangan kiri Prof. Zaidah terseliuh. Prof. Zaidah rasa menyesal dan menangis kerana tidak memberikan perhatian. Dr. Zawawi mencadangkan agar kerja cari gali ditangguhkan. Namun Prof. Zaidah menbantah. Itai datang bersama dengan Ludin. Ludin melihat tangan Prof. Zaidah. Itai mendapatkan buluh yang dianyam dan daun hutan. Ludin merawat tangan Prof. Zaidah yang terseliuh.
BAB 10
        Malique dan O’ Hara tiba di hentian kereta api. Roslan datang menjemput mereka. Dalam perjalanan, Roslan memaklumkan kepada Malique tentang Amira yang lemas di sungai ketika menunggu Malique berhampiran air terjun. Dia juga menjelaskan bahawa Jacinta tersesat di dalam hutan dan Prof. Zaidah mengalami kemalangan. Kecederaan pada tangan Prof. Zaidah bertambah baik. Amira berasa hairan dengan rahsia perubatan tersebut. Itai menjelaskan bahawa sumber hutan mempunyai khasiat tersendiri. Amira baru perasan dan teringat bahawa Itai pernah terlibat dengan Pameran Saintis Muda 2002 dan telah mendapat tempat kedua dalam bahagian perubatan herba.
BAB 11
        Malam itu, Tau duduk di atas banir besar sambil memerhati Desa Karpus. Kawasan itu mengingatkan Tau tentang kisahnya dengan Ipah. Ipah tetap dianggap sebagai orang luar. Dia telah mengahwini Ipah dan mendapat anak yang diberi nama Sabi. Sikap Ipah telah berubah setelah bekerja di kem orang putih yang diketuai oleh Johnny. Johnny berjaya mempengaruhi Ipah. Ipah telah lari bersama dengan Johnny dan Sabi dibawah bersama. Seorang lagi anak yang masih kecil diserahkan oleh Tau kepada abangnya, Ludin untuk dijaga. Dia kemudiannya menyisihkan diri dan hidup bersendirian. Di kem, O’ Hara telah memarahi Ah Chin kerana tidak dapat mengawal pekerja baharu yang bergaduh kerana berjudi. Roslan menasihati Malique agar tidak mempedulikan hal tersebut. Malique hanya melakukan kerjanya, yakni memasukkan maklumat ke dalam komputer riba.
BAB 12
        Ludin datang dan membuka balutan buluh pada tangan Prof. Zaidah. Ludin menasihati Prof. Zaidah berwaspada kerana tangannya baru sahaja sembuh. Prof. Zaidah menunjukkan ketulan batu kecil yang disusun membentuk jari manusia. Prof. Zaidah memberitahu Ludin bahawa sekiranya mereka berjaya membuktikan kewujudan itu, operasi pembalakan dan cari gali emas di kawasan itu akan dibatalkan. Itai menyertai Amira dan Jacinta menggali di tapak cari gali. Itai mendapat tahu bahawa Jacinta amat berharap agar dapat menemukan batu kuarza. Itai ingin menggembirakan Jacinta. Dia memberitahu Amira bahawa mereka dapat menghadiahkan emas kepada Jacinta. Itai akan membawa Amira ke tempat yang mengandungi emas. Prof. Zaidah menerangkan lapisan warna tanah kepada Ludin dan tulang yang ditemukan di kawasan itu. Malique datang untuk bertemu dengan Amira. Prof. Zaidah dan Jacinta terkejut apabila mendapati Amira dan Itai tidak berada di kawasan itu.
BAB 13
        Amira mengikut Itai meredah hutan dan denai untuk ke tempat yang dimaksudkan oleh Itai. Dalam perjalanan itu, Itai bercerita tentang mitos dan misteri alam dan hutan. Itai menjelaskan bahawa makhluk berkaki dua dan berbulu telah menakutkan pekerja balak. Orang Asli berharap agar mereka tidak berjumpa dengan makhluk itu. Mereka tiba di sebatang sungai. Amira terkejut apabila mendapati kilauan emas di celahan batu. Itai mahu Amira memilih satu sahaja untuk Jacinta. Dia juga mahu Amira merahsiakan tentang emas tersebut. Ketika berjalan pulang, mereka terserempak dengan makhluk berkaki dua dan berbulu yang sedang mengheret seorang pencari emas dengan marah. Makhluk itu terhidu akan bau manusia lain. Itai menyedari keadaan itu dan mengajak Amira melarikan diri dengan sekuat hati. Semasa berlari, mereka tiba-tiba disergah oleh Tau.        
BAB 14
        Ah Chin masuk ke dalam hutan untuk mengesan seorang pekerja yang hilang dua hari yang lepas. Roslan dan Malique mengikut Ah Chin dengan menggunakan kenderaan lain. Hujan turun dengan lebat. Kenderaan mereka tersangkut di dalam lumpur licin. Roslan keluar untuk meninjau dan mendapatkan bantuan daripada beberapa orang yang berada di dalam kenderaan di hadapan mereka. Tiba-tiba aliran lumpur menghanyutkan kenderaan mereka ke dalam gaung.  
BAB 15
        Amira dan Jacinta pergi ke perkampungan Orang Asli setelah dua hari Itai tidak datang ke Desa Karpus. Di rumah Itai, Amira menyerahkan ketulan emas kepada Ludin. Daripada perbualan Ludin dengan Tau, Amira mendapat tahu bahawa Itai bersalah kerana membawa orang luar sepertinya ke kawasan emas. Ahli masyarakat Orang Asli  mula sangsi akan Itai yang telah mempercayai orang luar. Tau memberikan jaminan dengan darahnya untuk mempertahankan Itai. Itai memberitahu Amira bahawa dia dan Amira perlu menerima apa sahaja keputusan hukum adab yang akan ditetapkan.
BAB 16
        Usaha mencari diteruskan dengan tekun. Mereka menemukan beberapa artifak baharu. Amida dan Jacinta telah menemukan sebuah tembikar yang hampir sempurna. Penemuan itu merupakan penemuan penting dan menggembirakan Prof. Zaidah dan Dr. Zawawi. Itai datang bersama dengan Tau ke Desa Karpus untuk menemui Prof. Zaidah. Itulah kali pertama Tau menjejakkan kaki ke desa itu. Tujuan Tau adalah untuk membantu Prof. Zaidah mencari bukti arkeologi. Tau akan membawa mereka ke suatu tempat. Dr. Zawawi, Rosdi, Amira dan Jacinta dibenarkan mengikut Tau. Tau juga memberitahu bahawa dia selalu ke Desa Karpus pada waktu malam. Itai juga menyerahkan ketulan emas kepada Jacinta. Tau yang memujuk Ludin mendapatkan ketulan emas tersebut. Mereka kemudian didatangi oleh Pak Lias dan Roslan memberitahu Amira bahawa Malique telah hilang selepas kenderaannya terjatuh ke dalam gaung. Mereka mengambil keputusan untuk mengikut Tau terlebih dahulu.  
BAB 17
        Malique mendapati dirinya berada di dalam sebuah tempat yang gelap. Dia cuba berdiri tetapi gagal. Dia tidak dapat bergerak kerana tangan dan kakinya cedera dan berbalut tebal dengan buluh kecil. Keadaan di tempat itu berbau najis haiwan. Dia akan menerima makanan berupa daging panggang dan madu. Dia teringat akan ibunya di Melaka dan memikirkan perbezaan warna rambut, warna kulit dan warna mata antara dia dan ibunya. Dia juga sering menangis.         
BAB 18
        Setelah berjalan hampir sejam, mereka sampai di gunung batu kapur yang dikenali sebagai Gunung Gua Gajah. Itai berjanji kepada Amira bahawa dia akan membantu mencari Malique. Mereka mendaki gunung dan masuk ke dalam gua batu kapur. Mereka menemukan lukisan purba pada dinding gua yang dibuat menggunakan arang. Amira telah menemukan mobile disk yang menimbulkan tanda tanya kepadanya. Rosdi kemudian menemukan kapak batu di satu sudut gua.
BAB 19
        Penemuan kapak batu menggemparkan penghuni Desa Karpus. Menurut Prof. Zaidah, alat tersebut digunakan oleh manusia Melayu-Proto. Ketika Prof. Zaidah meneliti lakaran rakaman lukisan dinding gua, Amira mengajak Jacinta dan Itai ke dalam khemah. Amira menunjukkan mobile disk yang dijumpai. Dia pernah lihat mobile disk itu tergantung pada leher Malique. Amira menyambungkan mobile disk itu pada komputernya. Akhirnya mereka menemukan kata laluan untuk membuka fail dalam mobile disk tersebut. Mereka bersetuju untuk mencari Malique di gunung tersebut.
BAB 20
        O’ Hara gelisah akan kehilangan Malique. Dia memaklumkan kehilangan tersebut kepada ibu Malique, Jennifer. Jennifer berkeras untuk datang ke kem tersebut walaupun dihalang oleh O’ Hara. Pada malam itu, Amira menunggu Tau untuk mendapatkan bantuan mencari Malique. Tau tertidur. Dia bermimpi tentang Ipah yang melarikan diri bersama dengan Sabi. Apabila dia terjaga, dia mengambil kulit beruang dan berlari ke tempat Malique disembunyikan. Dia memakai kulit beruang yang berbulu lebat ketika menemui Malique. Dia memanggil Malique dengan panggilan Sabi. Dia memberitahu Malique bahawa Malique ialah anaknya. Malique menjerit kebingungan.   
BAB 21
        Amira, Itai dan Jacinta bergerak ke Gunung Gua Gajah untuk mencari Malique. Mereka bertemu dengan Pak Lias dan Roslan. Roslan pulang ke kem untuk mengambil kelengkapan. Ketika mereka tiba di kaki gunung, Roslan datang bersama dengan O’ Hara dan Jennifer. Mereka sailing berkenalan. Amira, Itai, Pak Lias dan Roslan mendaki dan masuk ke dalam gua. Jacinta bersama dengan Jennifer dan O’ Hara. Perbualan Jennifer dan O’ Hara tentang Malique menjadi tanda tanya kepada Jacinta. Jacinta cuba mendapatkan penjelasan tetapi Jennifer menafikan bahawa dia pernah ke kawasan itu. Tau mengetahui kedatangan Jennifer dan terus ke puncak gunung mendapatkan Malique.         
BAB 22
        Peristiwa imbas kembali. Pesawat yang dipandu oleh Ridley bersama dengan isterinya, Brenda dan anaknya, Samantha berhadapan dengan ribut kencang. Mereka dalam perjalanan pulang ke Australia setelah tiga bulan membuat kajian di Pulau Langkawi. Pesawat tidak dapat dikawal menyebabkan mereka membuat pendaratan cemas di dalam hutan. Ridley dan Brenda meninggal dunia manakala Samantha tercampak ke dalam semak. Samantha diselamatkan oleh Jidin, ayah kepada Ludin dan Tau. Anak itu dinamakan Ipah. Namun masyarakat setempat menolak kehadiran Ipah.
BAB 23
        Itai, Amira, Pak Lias dan Roslan terus mencari Malique. Itai bercerita kepada Amira bahawa dia kerap bermimpi tentang abangnya. Amira menemukan kesan tapak kaki tidak berkasut semakin jauh ke dalam gua. Mereka mengikut jejak itu. Mereka menemui lubang yang menuju ke permukaan gunung. Itai yang naik terlebih dahulu mendengar suara manusia mengerang kesakitan. Pak Lias, Amira dan Roslan naik dengan segera.                      
BAB 24
        Prof. Zaidah menyedari Amira dan Jacinta tiada di dalam khemah. Prof.Zaidah, Dr. Zawawi dan Rosdi  membuat keputusan untuk pergi ke Gunung Gua Gajah. Di puncak gunung, Itai dapat mengesan kehadiran manusia berdasarkan kesan ranting yang patah. Mereka menemukan kawasan lapang dan sebuah pondok.  Itai dan Amira masuk ke dalam pondok dan menemui satu pintu lagi di bahagian belakang pondok. Setelah memasuki lubang itu, mereka menemui Malique yang terbaring lemah. Mereka cuba mengeluarkan Malique. Sementara itu Prof. Zaidah bertembung dengan Ludin yang sedang menuju ke Gunung Gua Gajah.              

BAB 25
        Makhluk berbulu muncul dan terkejut melihat Itai dan Amira berada di situ. Mereka meminta agar Itai dan Amira menyerahkan Malique. Amira berasa hairan akan makhluk itu yang menyembunyikan Malique di puncak gunung. Prof. Zaidah, Dr. Zawawi, Rosdi dan Ludin sampai ke kaki gunung. Jennifer menegur Ludin. Mereka saling mengenali. Jennifer memberitahu Ludin bahawa Malique ialah anak kandungnya. Malique ialah Sabi. Ludin segera naik  ke puncak gunung. Makhluk berbulu ingin menyerang Pak Lias. Dia meminta agar Itai tidak masuk campur. Serangan itu ditangkis oleh Pak Lias. Ludin sampai dan memarahi Tau. Masing-masing kehairanan kerana Tau tidak ada di situ. Ludin memberitahu Tau bahawa anak-anak Tau sudah kembali. Tau meratap dan membuka kulit beruang. Ludin meminta Tau ke kaki gunung untuk menemui seseorang.      
BAB 26
        Malique dibawa turun dengan berhati-hati. Tau terduduk tidak berkata apa-apa. Ludin mencadangkan mereka menyelesaikan kekusutan itu di perkampungan Orang Asli. Namun O’ Hara membantah malah Jennifer telah bersumpah tidak akan menjejakkan kaki ke kampung itu. Itai mencadangkan agar Amira membuat keputusan. Amira mencadangkan agar mereka menyelesaikannya di Desa Karpus. Di Desa Karpus, Jennifer telah mengakui bahawa Tau ialah suaminya manakala Malique ialah anak mereka, Sabi. Malique terkejut. Jennifer ingin mengetahui seorang lagi anaknya yang ditinggalkan. Ludin menunjukkan ke arah Itai menyebabkan Itai terkejut. Ludin menjelaskan bahawa Itai ialah anak Tau dan anak saudaranya. O’ Hara dan Jennifer ingin membawa Malique pulang bersama dengan mereka untuk mendapatkan rawatan. Atas permintaan Tau, Jeniffer menjelaskan sebab sebenar dia meninggalkan Tau dahulu. Dia telah dipaksa oleh Johnny. Namun dia juga sengsara semasa bersama dengan Johnny. Tau berpuas hati dengan penjelasan tersebut. Jennifer berkeras untuk membawa Malique bersamanya. Namun Malique mahu ibunya meninggalkannya di dalam hutan itu bersama dengan ayah dan adiknya. Setelah O’ Hara dan Jennifer meninggalkan mereka, Tau meminta maaf daripada Pak Lias dan Amira atas perbuatannya di puncak gunung.  Dalam pada itu juga dia berbangga dengan Itai yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi persahabatan.
BAB 27
        Amira telah selesai menduduki ujian akhir tahun satu di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Dia tidak dapat melupakan pengalaman di hutan pada percutian yang lalu. Selepas mengemaskan barang-barangnya ke dalam stor, dia menyemak e-mel. E-mel pertama daripada Itai. Itai menjelaskan bahawa dia sedang menuntut dalam jurusan perubatan di Kubang Kerian. Itai berharap agar ibunya akan kembali pada suatu hari nanti. Dia juga mahu menyerahkan jawatan ketua di perkampungannya kepada Malique. E-mel kedua daripada Malique. Dia terlibat dengan projek IT di perkampungannya. Dia juga telah menggagalkan projek perlombongan dengan mencipta virus dalam kajiannya. Hubungannya dengan O’ Hara telah terputus. Dia juga telah memujuk ibunya untuk kembali ke perkampungan tersebut. Namun ibunya masih enggan. E-mel ketiga pula daripada Jacinta. Dia mengkhabarkan bahawa dia telah berada di Paris kerana terlibat dengan perniagaan fesyen keluarganya. Dia masih memakai rantai daripada ketulan emas yang diberikan kepadanya dahulu bagi mengenangkan jasa Itai dan Amira kepadanya. E-mel keempat daripada ibunya yang  masih berada di Bukit Mat Raya dalam fasa keempat. Ibunya mengajak Amira untuk berjumpa di rumah nenek mereka yang akan disertai oleh ayah Amira. E-mel yang terakhir pula daripada Dr. Zawawi. Dia menjelaskan bahawa dia telah bekerja dengan sebuah syarikat swasta sebagai pengesan khazanah Melayu yang tenggelam. Ketika itu, dia berada di Kuala Gula untuk berehat. Tempatnya di Bukit Mat Raya telah diganti oleh Rosdi.

Disediakan oleh:
Chai Wei Jian, Tingkatan 5 Sains 1, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: