Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, February 7, 2015

Antologi Cerpen - BENDERA PUTIH (ITBM, 2015)

Citra Kaum Cina dalam Antologi Cerpen, BENDERA PUTIH – Bahagian 1
 2 Februari 2015 oleh UTHAYA SANKAR SB

“Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal usulku. Cuma ada satu pesan buat cucu. …”
Karya kreatif seperti novel dan cerpen merupakan salah satu cara mudah untuk pembaca mengenali, menghayati dan memahami budaya masyarakat pelbagai kaum.

Cerpen dalam Bahasa Malaysia amat unik kerana ditulis oleh pengarang daripada latar budaya, agama, keturunan, etnik dan adat-resam yang berbeza menggunakan suatu bahasa yang difahami seluruh rakyat Malaysia.

Sebaik sahaja kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) yang menghimpunkan sebelas karya Chai Loon Guan sampai ke tangan pada 23 Januari 2015, saya terus membaca sambil membuat catatan pada buku itu sendiri.

Buku ini adalah kumpulan cerpen kedua Chai Loon Guan, selepas Di Perantauan Impian (2009). Manakala kumpulan sajak sulung oleh penulis kelahiran Tanjong Malim, Perak ini berjudul Di Padang Kehidupan (2008).

Tiga cerpen terawal dalam kumpulan ini menampilkan watak Ah Hai serta pengalamannya sejak tiba di Singapura pada tahun 1926 sehingga kejayaannya dalam perniagaan dan politik tempatan menjelang tahun 1945.

Empat buah cerpen menampilkan watak bernama Ah Ti tetapi tidak merujuk kepada watak yang sama. Nama “Ah Ti” mungkin begitu penting sehingga membuatkan editor buku meletakkan nama itu menggantikan “Ah Hai” pada bahagian blurb (kulit belakang) buku ini.

Watak Ah Ti dalam cerpen “Ayah” adalah seorang bakal guru yang sedang menuntut di sebuah maktab perguruan. Adik-beradiknya bernama Ah Moi, Ah Chew, Ah Meng dan Ah Kim, manakala abang sulung tidak dinyatakan nama.

Identiti keturunan sudah semakin hilang
Cerpen berkenaan mula-mula tersiar di akhbar Mingguan Malaysia (24 Mei 1987) sebelum menang Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1987. Apa yang menarik, gelaran nama seperti Ah Moi, Ah Chew dan seumpamanya masih menjadi amalan dan kebiasaan dalam kalangan kaum Cina pada latar waktu itu.

Dalam buku Mariam’s Kitten and The Lost Baby (1963) tulisan B Smith yang pernah saya baca di perpustakaan SRK Convent Aulong, Taiping sekitar tahun 1970-an, misalnya, ada watak Ah Meng dan Ah Beng.

Cerita-cerita yang ditulis pengarang Melayu pada tahun 1970-an serta buku-buku teks sekolah pada zaman itu juga sering menampilkan watak-watak bernama Ah Meng, Ah Seng, Ah Beng, Ah Moi, Ah Chong dan segala macam “Ah”.

Nampaknya pengarang kaum Cina pada masa sekarang juga selesa dengan nama-nama seperti itu yang sebenarnya tidak menampakkan identiti keturunan berdasarkan nama keluarga (surname).
Cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB” jelas berciri autobiografi dan catatan pengalaman Chai Loon Guan selaku penulis sajak dan cerpen, peminat “bahasa dan susastera Bahasa Melayu”, Munsyi Bahasa yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pembentang kertas kerja pada Muzakarah Munsyi di Tanah Tinggi Genting.

Menerusi cerpen itu yang berlatarkan tahun 2012, watak “Aku” yang secara terang-terangan mewakili diri penulis – atau alter ego – dipanggil oleh kakak sulungnya menggunakan nama timangan Ah Ti.

Seorang sahabat bernama Din yang merupakan “penulis dan penggiat persatuan karyawan” serta “penyelaras Seminar Rao dan penyelenggara antologi Puisi dan Cerpen Pawang Ana” memanggilnya sebagai Adi. Kebetulan, Adichonan adalah nama pena Chai Loon Guan.

Suara misteri nenek-moyang
Petikan dialog pada bahagian awal makalah ini dipetik daripada cerpen “Ayah”. Semasa Ah Ti sedang tidur lelap di bilik sewa, dia terdengar suatu suara yang membuatkan matanya terpaku, bibir membisu, lidah kelu dan hati mulai cemas.

“Cu, bertenanglah. … Bertenanglah wahai cucuku. … Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal usulku. Cuma ada satu pesan buat cucu. … Tapi, cu … nafas kematian itu ada di mana-mana. Carilah pegangan itu agar dirimu tidak sesat. Sembahyanglah sebelum diri cucu disembahyangkan!”
Demikian antara pesanan suara misteri itu yang digambarkan sebagai “mirip-mirip suara seorang tua yang alim” yang terhasil daripada “suatu sinar kerdipan menyilau mata.”

Pada keesokan hari, ayahnya yang “baru saja jatuh sakit” sudah meninggal dunia sebelum Ah Ti sempat pulang ke rumah. Digambarkan budaya kaum Cina di mana anak-anak mendiang memakai baju warna hitam manakala cucu-cucu memakai baju warna biru sebagai tanda berkabung.
Persoalan mengenai suara misteri itu dibiarkan begitu sahaja tanpa dijawab. Tidak diketahui siapakah itu: orang alim yang membawa nur Islam atau suara nenek-moyang yang biasanya disembah masyarakat Cina.

Suara misteri itu muncul semula dalam cerpen “Kedai” dan bercakap dengan watak Nyonya Tanteh, iaitu balu kepada Ah Ti. Untuk makluman, Ah Ti ini yang “telah pulang ke alam baqa 100 hari yang lalu” merupakan pemilik sebuah kedai papan dua tingkat yang sudah usang. Dia tidak sama dengan Ah Ti, si bakal guru, dalam cerpen “Ayah”.

Nyonya Tanteh berada dalam dilema apabila anak-anak cuba memujuknya supaya menjual harta warisan iaitu kedai runcit usang di Kampung Baru Yong dan berpindah ke Kuala Lumpur.
Pada malam itu, hujan lebat dan “kilat masih mahu berlagu” sementara “angin kencang masih belum mahu reda”. Tiba-tiba muncul “segaris sinar” yang “makin membesar” sehingga menyebabkan bilik wanita tua itu “yang gelap-gelita tiba-tiba bergemerlapan.”
– (Sumber: Roketkini.com)
Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau juga penulis sepenuh masa.

Citra Kaum Cina dalam Antologi Cerpen, BENDERA PUTIH – Bahagian 2
8 Februari 2015 oleh UTHAYA SANKAR SB

“Bersabar cucuku. … Cucuku, beribadatlah selalu. Carilah dalam sembahyangmu,” kata suara halus yang tenang sebelum ghaib dalam cerpen “Kedai”. Serta-merta hujan dan kilat tidak ada lagi.
Sebagai seorang pembaca kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) karya Chai Loon Guan, saya mengandaikan bahawa kejadian nenek-moyang yang sudah meninggal dunia muncul dalam bentuk cahaya dan suara misteri merupakan sesuatu yang lumrah dalam budaya kaum Cina.

Sementara itu, kalau kedai warisan usang dalam cerpen “Kedai” usianya menjangkau “dua dekad setengah” (25 tahun), rumah pusaka usang milik watak Ah Ti dalam cerpen “Rumah” pula berusia tiga dekad (30 tahun).

Tentulah Ah Ti dalam cerpen “Rumah” tidak ada sebarang kaitan dengan watak-watak namesake dalam cerpen-cerpen lain. Kali ini dia seorang perokok tegar dan pengusaha kebun sayur di atas tanah terbiar yang terletak tidak jauh dari rumah pusaka.

Ah Ti dan isterinya, Ah Moi – tidak sama dengan Ah Moi dalam cerpen “Ayah” – menghadapi dilema selepas menerima notis berpindah dari rumah pusaka yang digambarkan mempunyai zink karat dan siling usang.

Rupa-rupanya rumah pusaka itu dibina oleh mendiang datuknya di atas tanah terbiar. Kini sudah ada pemaju yang mengambil-alih tanah berkenaan. Ah Ti dan Ah Moi pergi bertemu “Tauke Lim, buaya darat tu” (sepatutnya “lintah darat”) yang digambarkan memiliki wajah berseri-seri, gemuk, putih melepak, pendek dan bermata bulat yang galak.

Seperti yang dapat diduga, pasangan suami-isteri “Cina miskin” itu gagal mendapat keadilan daripada “Cina kaya”. Hal ini amat berbeza dengan nasib watak Ah Hai dalam “Sayonara Pura Singa”, “Irrashaimase Tanah Melayu!” dan “Bendera Putih” yang berlatarkan tahun 1926-45.

Penerapan unsur ajaran Buddha
Mungkinkah Ah Hai bernasib baik kerana ada hubungan kekeluargaan dengan Pak Cik Teh, pemilik Syarikat Sin Teck Soon di Tanjong Malim? Hubungan itu pula berlarutan dari daerah Engchun, Tiongkok (China).

Kedatangan sin kheh (orang baru) seperti Ah Hai diberikan sokongan, perlindungan dan bantuan oleh orang lama, kheh thau (ketua) dan saudara-mara di Tanah Melayu untuk maju.
Bagaimanapun, pada masa kini, seolah-olah “Cina kaya” seperti Tauke Lim terlalu mementingkan diri sendiri dan keuntungan. Maka mereka langsung tidak memikirkan soal mahu membantu “Cina miskin” seperti yang pernah berlaku dahulu.

Cerpen “Abang Skizofrenia” menampilkan watak “Aku” (Ah Guan) yang mengimbas kisah abangnya yang dikatakan menghidap penyakit mental berikutan kemalangan jalan raya sewaktu berumur 21 tahun. Abang Chuan meninggal dunia selepas usia melewati 63 tahun.

Fakta sains dan psikologi mengenai skizofrenia kurang meyakinkan tetapi saya tidak mahu menyentuh mengenainya. Sebaliknya saya tertarik pada beberapa citra budaya Cina dan ajaran Buddha yang diselitkan oleh Chai Loon Guan dalam cerpen ini.

Unsur ajaran Buddha dimasukkan secara bijak dan bersahaja oleh individu yang menggelarkan dirinya “penulis bukan Melayu yang menulis karya-karya susastera berbahasa Melayu” berdasarkan “pahit manis dan suka duka pengalaman penulis”.

“Kata emak, jika kita rajin berusaha, Tuhan akan memakbulkan usaha kita. Yang penting, apa yang kita usahakan mestilah berlandaskan pandangan yang betul, pemikiran yang betul, ucapan yang betul, perlakuan yang betul, kehidupan yang betul, usaha yang betul, peringatan yang betul dan tafakur yang betul. Jalan Tengah itulah yang dapat mengekang nafsu liar …”

Petikan di atas daripada cerpen “Abang Skizofrenia” jelas menunjukkan kehadiran “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) dalam ajaran Siddhartha Gautama Buddha yang juga disebut sebagai “Jalan Tengah” (The Middle Way).

Mengharapkan bantuan Tuhan
Watak emak “memanjatkan doa” dan “berdoa kepada Tuhan” serta “ke tokong untuk bersembahyang”. Ayah dan seisi keluarga dalam cerpen itu turut berdoa. Dalam cerpen “Ayah” juga dicatatkan bahawa “masing-masing berdoa kepada Tuhan”.

Kehadiran “Tuhan” dengan “T” huruf besar pada cerpen-cerpen dalam kumpulan ini amat menggembirakan dan melegakan. Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selaku penerbit wajar dipuji kerana tidak melakukan diskriminasi agama.

Apa tidaknya! Semasa panel khas yang ditugaskan meminda novel Interlok: Edisi Murid (2010) berbincang di bangunan Parlimen pada 16 Mac 2011, ada pihak yang membantah penggunaan “Tuhan” (huruf besar) apabila melibatkan watak Bukan Islam.

Kononnya “Tuhan” hanya bagi orang Islam dan “tuhan” (huruf kecil) sahaja layak bagi Bukan Islam. Mujurlah penulis seperti Chai Loon Guan masih waras dan tegas dengan pendirian menggunakan “Tuhan” (huruf besar) walaupun tidak merujuk kepada Allah dalam konteks Islam.

Bagaimanapun, agak pelik apabila pengarang menulis: “Hanya mukjizat Tuhanlah yang dapat menyembuhkan penyakit Abang Chuan!” Hal ini kerana “mukjizat” merujuk kepada kurniaan Allah kepada nabi dan rasul; bukan kelebihan yang dimiliki Tuhan. Mungkin penulis dan editor terlepas pandang.

Gambaran secara sekilas lalu mengenai budaya kaum Cina turut dikemukakan dalam cerpen yang sama. Misalnya “upacara pengebumian emak berlangsung dengan teratur dan penuh dengan adat istiadat masyarakat Tionghoa.”

Walaupun adat-istiadat kaum Cina tidak dipaparkan secara langsung, terperinci dan mendalam, Chai Loon Guan tetap berjaya membuka ruang bagi pembaca pelbagai kaum memahami budaya, amalan dan pemikiran kaumnya.

Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau juga penulis sepenuh masa.
.
Like ·

No comments: