Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, November 28, 2014

Puisi dan Lagu

Bengkel Pemantapan Puisi dan Lagu, Unit Kokurikulum Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pangkor Holiday Resort, Pulau Pangkor, Perak Darul Ridzuan pada 12 - 15 November 2014.

Thursday, November 27, 2014

NOSTALGIA SKPM 2014

Penulis dapat bergambar kenangan dengan para peserta Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Darulaman Gold dan Country Club, Wang Tepus, Jitra, Kedah Darul Aman pada 24 - 26 Oktober 2014. Bahasa Jiwa Bangsa.

Wednesday, November 26, 2014

Pelita Bahasa Disember 2014

Makalah penulis - Kosa kata "ketidaksiuman" atau "ketidaksiumanan" dalam Cemerlang Bahasa, Pelita Bahasa Disember 2014.

Tanjung Tualang

Darmawisata ke Tanjung Tualang pada 26 November 2014 (Rabu).

Tuesday, November 25, 2014

Klinik Ping Pong MMS - MDTM 2014

LAPORAN KEGIATAN - KLINIK PING PONG

Majlis Masyarakat Sivil (MMS) dengan kerjasama MAJLIS DAERAH TANJONG MALIM (MDTM) telah berjaya menganjurkan Klinik Ping Pong pada 22 November 2014 bertempat di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, Behrang 2020. Majlis perasmian Klinik Ping Pong ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Mohd Khusairi bin Abdul Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Slim.

Klinik Ping Pong anjuran MMS - MDTM ini terbuka kepada murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar kawasan Tanjong Malim, Behrang dan Slim River. Antara matlamat utama penganjuran klinik ini adalah untuk mendedahkan permainan ping pong kepada generasi muda, khasnya kanak-kanak di Daerah Mu'alim selain menggalakkan anak-anak didik pelbagai kaum untuk mengambil bahagian, sekali gus memupuk kesedaran tentang kepentingan kesihatan melalui aktiviti riadah dalam kehidupan sehari-hari. Para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi dan mempererat tali silaturahim antara peserta/pemain yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang di Daerah Mu'alim. Yang menariknya, para peserta klinik diajar tentang teknik dan taktik pukulan hadapan, pukulan belakang, kawalan bola, servis, yakni servis putaran tepi, servis putaran bawah, servis putaran bawah dan tepi, selain perancangan masa, pergerakan kaki ke kiri dan ke kanan, dan pergerakan kaki masuk dan keluar. Minuman pagi dan makan tengah hari turut disediakan oleh urus setia untuk peserta, tetamu dan pegawai meja.

Yang jelas, nilai integrasi nasional dapat dipupuk secara sihat, cergas dan cerdas melalui aktiviti sukan dan permainan. Klinik sehari suntuk ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Tharmizi bin Mohamed Som, PJK, Jurulatih Tahap 1, Persatuan Ping Pong Malaysia. Majlis penyampaian sijil kepada peserta klinik telah disempurnakan oleh Wakil Majlis Masyarakat Sivil, Majlis Daerah Tanjong Malim sebelum berakhir dengan kudapan petang.

• Encik Chai Loon Guan, MMS - MDTM 2014@Munsyi Dewan (Bahasa)

Saturday, November 22, 2014

Kosa Kata - ASLI

KOSA KATA:
Kata Asli pada kata nama Orang Asli itu rupanya berasal daripada bahasa Arab "asliyyun" yang bermaksud "asal".
The original Word in the noun Orang Asli was apparently derived from the Arabic "asliyyun" which means "origin".
(Sumber: Tuan Zaidi Ismail)

NOVEL dalam FILEM

NOVEL "MANISNYA CINTA" karya Anis Ayuni dalam FILEM "MANISNYA CINTA DI CAPPADOCIA". Yang bertudung jingga dalam gambar, penulis hebat - Anis Ayuni. Tahniah!

Friday, November 21, 2014

Klinik Ping Pong MMS - MDTM

Penulis sempat bergambar kenangan dengan YB Dato' Mohd Khusairi bin Abdul Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Slim bersempena dengan Klinik Ping Pong anjuran MMS - Majlis Daerah Tanjong Malim pada 22 November 2014 di Dewan Seri Tanjong, MDTM. Badan Cergas, Minda Cerdas.

Majlis Persaraan 2014

21 November 2014
Dewan Goodwill, Bangunan Lux Et Veritas, SMK Methodist (MES) Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
Hari ini tertera sejarah dalam hidup penulis di buana pendidikan dan perguruan. Pertama kali, penulis dapat turut sama meraikan majlis persaraan (bersara pilihan) bagi kedua-dua orang guru (sahabat lama sebenarnya), iaitu Cikgu Muniandy a/l Narayanasamy, GK Teknik dan Vokasional (1989 - 2014) pada 7.15 pagi dan Cikgu Rohani bt. Shafri, Guru Penolong Sains (1987 - 2014) pada 3.00 petang. Selamat Bersara Cikgu Muniandy a/l Narayanasamy dan Cikgu Rohani bt. Syafri. Jasa bakti tuan dan puan akan kami (guru dan murid) kenang selagi hayat dikandung badan.
(Sumber Gambar: Kughan Ramachandra)

Thursday, November 20, 2014

BAHASA MELAYU

(Sumber: Berita Harian, 20 November 2014)

Sudah tiba masanya, MCA bertindak proaktif menubuhkan Unit Bahasa Melayu (UBM), Biro Pendidikan MCA yang dianggotai oleh pensyarah IPTA, IPGM, JU, Munsyi Dewan (Bahasa) dan guru-guru BM yang berbangsa Tionghoa untuk bermuzakarah, membantu, mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah penguasaan BM (kemahiran bertutur, membaca dan menulis) dalam kalangan murid Cina selain membimbing, merangka modul dan memantau teknik, kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di prasekolah, SJK (C), SM Persendirian Cina (SMPC) dan SMJK di samping memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat Cina di seluruh negara tentang peranan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kerjaya, bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan, dan bahasa nusa bangsa. Bahasa Jiwa Bangsa.

BBK di Daerah Mu'alim



Berita III:
Bulan Bahasa Kebangsaan di Daerah Mu'alim

            Majlis Masyarakat Sivil, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah berjaya melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Daerah Mu'alim pada 18 November 2014 bertempat di Auditorium, Aras 3, MDTM. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan dengan rasminya oleh YBhg. Tuan Khairil Akhtar bin Ghazali, AMP, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim.
            Selain nyanyian lagu kebangsaan, "Negaraku" dan "Bahasa Jiwa Bangsa", beberapa aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu telah disusunaturkan untuk penyertaan masyarakat sekitar Tanjong Malim, Behrang dan Slim River. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dan mendapat sambutan masyarakat adalah  seperti Ceramah Bahasa, Sayembara Deklamasi Sajak, Pertandingan Bercerita dan Pameran Buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Antara matlamat sambutan BBK peringkat Daerah Mu'alim adalah untuk mendekatkan masyarakat Tanjong Malim dan sekitarnya kepada penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan gramatis selain usaha MMS - MDTM untuk menyemarakkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus memupuk semangat jati diri nusa bangsa yang tercinta, Malaysia.

            Sesi Ceramah Bahasa merangkumi dua slot, iaitu Slot I bertajuk, "Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa" dan Slot II pula menyentuh aspek penulisan minit mesyuarat yang bermutu dan berkesan. Kedua-dua slot tersebut telah dikendalikan oleh Encik Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka. Puan Norsaedah Che Ri (Hakim pertandingan) turut sempat mendendangkan serangkap dua gurindam yang bertemakan "Bahasa Jiwa Bangsa" (Nukilan spontan oleh Encik Mohd Hashim Osman, hakim pertandingan) kepada para hadirin di Auditorium MDTM.

            Majlis penyampaian hadiah dan cenderamata kepada barisan pemenang pertandingan deklamasi sajak dan bercerita serta para hakim telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Siti Azura bt. Haji Juki, Setiausaha, Majlis Daerah Tanjong Malim sebelum para peserta pertandingan dan ceramah, hakim, dif-dif jemputan dan urus setia diraikan dengan jamuan makan tengah hari. Bahasa Jiwa Bangsa.

Kiriman:
Chai Loon Guan, 
Ahli MMS, Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
18 November 2014.

Tugas

Menelusuri dunia tugas sepanjang bulan Oktober dan November 2014...


Wednesday, November 19, 2014

Sajak - SINGA KAPITALIS



SINGA KAPITALIS
(belasungkawa Cameron Highlands)

tiba-tiba
hadir segerombolan singa
yang lapar
di rimbamu, Cameron

atas nama
pembangunan
habitat fauna terkorban luka
atas nama
kemajuan
habitat flora termusnah lara
tanpa simpati
tanpa empati
hanya air mata
menjadi saksi

bangkit amarahmu
memuntahkan deras alirmu
di hulu
lumpur bertempur
tanpa bahasa
bangkit amarahmu
memuntahkan deras arusmu
di hilir
ganas-mengganas
tanpa ihsan
teragut jiwa
termusnah harta benda
amanah berdarah
di pasar integriti

buas rakus gerombolan
singa kapitalis
membaham masa depan
anak cucu warisan
sungai lumpur
dibanjiri sampah
pecah amanah
saudagar besar
penguat kuasa yang lapar

dibelenggu berahi nafsu
rimba indahku, Cameron ternoda
dimakan suap
rimba hijauku, Cameron terluka
rimba hijauku, Cameron terlara
rimba hijauku, Cameron sengsara!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

Monday, November 17, 2014

Berita II - Kursus Pemantapan Teknikal Kebudayaan JPNS 2014



Kursus Pemantapan Teknikal Kebudayaan (Puisi dan Lagu/Paluan Kompang Formasi) Guru-guru Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

          Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Darul Ehsan telah berjaya menganjurkan Kursus Pemantapan Teknikal Kebudayaan (Puisi dan Lagu/Paluan Kompang Formasi) bagi guru-guru pilihan setiap daerah Negeri Selangor Darul Ehsan di Pangkor Holiday Resort (PHR), Pulau Pangkor, Perak Darul Ridzuan pada 12 - 15 November 2014.
          Kursus pemantapan teknikal ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan asas tentang teknik pengurusan Pertandingan Puisi dan Lagu/ Paluan Kompang Formasi kepada guru-guru yang terpilih dari seluruh daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan. Selain itu, para peserta juga diberi bimbingan dan latihan khusus untuk mengenali aspek penulisan puisi, iaitu genre sajak selain variasi teknik pendeklamasian sajak. Bengkel penulisan sajak telah dikendalikan oleh Encik Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa) dan penulis bukan Melayu tanah air. Bengkel teknik asas paluan kompang formasi turut diadakan di bawah bimbingan dan tunjuk cara oleh Encik Aminuddin bin Abdul Rahman, mantan penyelia kokurikulum akademik (muzik), Jabatan Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan.
          Menurut Pegawai Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Darul Ehsan, Pn. Siti Dewi Marsitah bt. Ismail, bahawa kursus ini bertujuan untuk membina dan menggilap bakat penulis baharu dalam kalangan guru. Bengkel ini juga bukan sahaja dapat memberikan pendedahan kepada peserta (guru) untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan susastera Melayu, khususnya genre sajak, tetapi juga melatih guru-guru untuk menguasai teknik dan kemahiran paluan kompang sekali gus menjayakan pertandingan paluan kompang formasi di sekolah dan daerah masing-masing di Negeri Selangor Darul Ehsan. 

Kiriman: Chai Loon Guan, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Saturday, November 15, 2014

Cerpen "Sifu Ah Ti"

Kembali, penulis menekuni cerpen "Sifu Ah Ti" yang sudah sekian lama tertangguh dek kesibukan Peperiksaan Percubaan Tingkatan 3, Tingkatan 5, PT3, SPM dan tugasan-tugasan lain yang perlu dibereskan (menjelang akhir tahun) dan ditangani demi kelangsungan bahasa dan susastera tanah air. Cerpen "Sifu Ah Ti", kini sudah melewati 10 halaman, banyak menceritakan (suka duka) pengalaman penulis sebagai seorang pendidik (lepasan maktab perguruan dan lulusan universiti tempatan) bermula pada tahun 1982 hingga (akan) bersara pilihan (jika diluluskan) menjelang 2015. Bahasa Jiwa Bangsa.

Poskad dari Amerika Syarikat

Semalam, 14 November 2014, penulis selamat menerima sekeping poskad berlatarbelakangkan seni kartun Disney daripada (bekas) anak murid SMK Methodist (MES) Tg. Malim, Cik Nurul Izzah Mohd Amin yang kini sudah berpindah bersama-sama keluarga yang tersayang ke Amerika Syarikat (USA). Terima kasih dan maju jaya selalu hendaknya di perantauan orang, Cik Nurul Izzah Mohd Amin. Ingatan tulus ikhlas daripada Cikgu CLG, Malaysia.

Thursday, November 13, 2014

JPNS

Penulis menerima sijil penghargaan dan cenderamata daripada Pn. Siti Dewi Marsitah bt. Ismail, Pegawai Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Darul Ehsan seusai Bengkel Pemantapan Teknikal Kebudayaan Puisi dan Lagu pada 12 - 15 November 2014 di Pangkor Holiday Resort, Pulau Pangkor.

Tuesday, November 11, 2014

Cenderamata Kenangan 2014

Penulis menerima cenderamata kenangan daripada Pn. Hjh. Zaharah Rani, PK Pentadbiran bersempena dengan Majlis Jasamu Dikenang dan Jamuan Akhir Tahun 2014, SMK Methodist (MES), Tg. Malim di Hotel Concorde, Shah Alam pada 9 November 2014.

Guru Sidang Pagi SMK Methodist (MES), Tg. Malim

Aku, mantan pengetua, Cik Liew Swee Fong (kini, pengetua, SMJK Ave Maria Convent, Ipoh, Perak Darul Ridzuan), rakan-rakan seperjuangan di buana ilmu dan pendidikan bergambar kenangan untuk majalah Goodwill MES 2014.

Aku, mantan pengetua dan rakan-rakan...

Hotel Concorde Shah Alam - 9 November 2014

Jamuan Jasamu Dikenang MES Tg. Malim 2014

Hotel Concorde Shah Alam - 9 November 2014

Monday, November 10, 2014

Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja 2014




Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja 2014
          Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama intim Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) 2014 di One City, Sky Park, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan pada 7 - 9 November 2014.
          Bengkel yang julung-julung kali diadakan ini merupakan program penulisan yang diberikan khusus untuk membimbing para penulis remaja di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh Malaysia seiring dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menyokong dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris atau ringkasnya, MBMMBI.
          Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama akrab DBP telah mengambil daya usaha untuk mengadakan bengkel penulisan cerpen dan puisi (sajak) kepada para murid dari Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh Malaysia.
          Menurut Presiden, Pusat Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Datuk Goh Hin San bahawa program ini bertujuan untuk membina dan menggilap bakat penulis baharu dalam kalangan remaja. Bengkel ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan susastera Melayu, tetapi juga melatih tunas remaja menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dengan baik, kreatif dan betul.
          Bengkel penulisan cerpen telah dibimbing oleh cerpenis dan penganalisis susastera Melayu tanah air, Puan Zaleha bt. Ahmat manakala bengkel penulisan sajak pula dibimbing oleh Munsyi Dewan (Bahasa) dan penulis bukan Melayu tanah air, Encik Chai Loon Guan. Selain bimbingan dan tunjuk ajar secara bersistematik dan berkesan, setiap peserta tunas remaja SMPC juga diwajibkan menghasilkan dua buah cerpen dan tiga buah sajak mencakupi pelbagai tema dan persoalan sebagai tugasan untuk dinilai dan diedit sebelum diterbitkan dalam sebuah antologi cerpen dan sajak oleh DBP menjelang Jun 2015.

Kiriman: Chai Loon Guan, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.