Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, October 31, 2014

SKPM 2014

Barisan penulis tanah air - Zainal Abas, Puzi Hadi, Wan Ahmad Ismail dan aku di Darulaman Golf dan Country Club, Jitra, Kedah Darul Aman pada 24 - 26 Oktober 2014 bersempena dengan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM).

Tuesday, October 28, 2014

SKPM 2014

Warna-warni kenangan bersempena dengan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Darulaman Golf dan Country Club, Wang Tepus, Jitra, Kedah Darul Aman pada 24 - 26 Oktober 2014. 
Bahasa Jiwa Bangsa.

Monday, October 27, 2014

Deklamasi Sajak Wasatiyyah 2014

Sajak
BISA KATA
(...bersempena dengan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Darulaman Golf & Country Club,, Jitra pada 24 - 26 Oktober 2014)

aba-daba kata
menjerit memekik menjelajah
di seluruh tubuh fitnah
bisa kata
membongkar menyelongkar
di segenap bucu
ceruk rantau agenda
melemaskan insan
di pentas kehidupan

sesekali
baris demi baris
kata kesopanan
baris demi baris
frasa kesantunan
baris demi baris
klausa kerukunan
perlu kita tafsir
tanpa waswas
perlu kita tafsir
tanpa culas
di rumah kehidupan

awas, seseketika
lidah tiba-tiba menjadi tajam
menghiris cinta dalam dendam
luka parah kita
dek lidah bercabang
kecundang hidup kita
dek lidah tak bertulang!

mari, marilah kita
perkukuh keakraban
mari, marilah kita
perkuat keazaman
mari, marilah kita
perteguh keiltizaman
mari, marilah kita
percantik keseimbangan
mari, marilah kita
persubur kemanusiaan
mari, marilah kita
pelihara keamanan
mari, marilah kita
perelok rumah impian
perindah rumah wasatiyyah
generasi demi generasi
bersendikan kepercayaan
berteraskan kemuhibahan
berpaksikan kemanusiaan
hormat-menghormati
kasih-mengasihi
di buana insan
di bumi Tuhan!

Chai Loon Guan,
Darulaman Golf & Country Club, 
Jitra.

Wednesday, October 22, 2014

Baca Puisi Wasatiyyah SKPM 2014

BACA PUISI WASATIYYAH DI SIDANG KEMUNCAK PENULIS MALAYSIA!
Anda dipersilakan hadir ke Baca Puisi Wasatiyyah pada malam 25 Oktober 2014 (Sabtu) di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia. Banyak penyair terkenal akan mendeklamasikan puisi yang berkonsepkan kesederhanaan, keseimbangan dan keadilan dalam kehidupan manusia.

Tuesday, October 21, 2014

Galeri Tan Sri Lim Goh Tong

Penulis tercari-cari akan aura mendiang Tan Sri Lim Goh Tong di Genting Highlands pada 21 Oktober 2014.

Monday, October 20, 2014

Sajak - GURUKU



GURUKU
[Dedikasi buat Cik Liew Swee Fong, mantan Pengetua, MES Tg. Malim (24 Oktober 2013 - 30 September 2014) / Pengetua, SMK Ave Maria Convent, Ipoh, Perak Darul Ridzuan mulai 1 Oktober 2014]


PROLOG
sebuah negara yang aman makmur
sebuah keluarga yang harmoni bahagia
sebuah sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang
banyak bergantung kepada peneraju atau umaraknya
yang gigih, beriman, berilmu, kasih mesra, adil saksama, berintegriti, muhibah, prihatin dan penyayang
benarlah kata-kata pujangga Shakespear, yakni
dunia adalah sebuah pentas
dan manusia ialah pelakon-pelakonnya
dengan mukadimah itu
izinkan saya dedikasikan sajak ini buat
Cik Liew Swee Fong

guruku
persis mualim
menitiskan ilmu
kebenaran
di buana manusia

guruku
persis muaddib
menyemaikan adab
di kebun murni
modal insan

guruku
persis mursyid
memberikan petunjuk
suri teladan kemuliaan
dunia akhirat

guruku
persis mudaris
pemudah cara
pengajaran pembelajaran
di buana pendidikan
di buana kemanusiaan
di buana kehidupan

terima kasih, guruku
nur ilmu
menerangi dunia kehidupan
wangi ilmu
mempersubur kebun kehidupan
sarwajagat insan
zaman-berzaman!

Chai Loon Guan, 
MES Tg. Malim. 

(Mingguan Malaysia, 20 Oktober 2013)

Sunday, October 19, 2014

Guru Oh Guru!

Seorang guru tua di buana ilmu. 
Terima kasih, MES Tg. Malim.

...menjelang persaraan 2015


Saturday, October 18, 2014

Hakim Teater Solo SJK Negeri Perak 2014

Barisan hakim Pertandingan Teater Solo SJK(C) dan SJK(T) Negeri Perak Darul Ridzuan 2014 di Dewan Kolej Vokasional Gerik pada 18 Oktober 2014. Bahasa Jiwa Bangsa.

Thursday, October 16, 2014

Pencinta BM

Penulis bergambar kenangan dengan rakan pencinta bahasa dan susastera BM: BPK, KPM di Hotel Everly Putrajaya pada 14 - 17 Oktober 2014.
STESEN
acapkali kesabaran
menguji penunggu
seperti aku
di stesen hidup
biarpun waktu  
membelenggu
dalam bisu
sesekali tewas jua aku
di medan lalai
di peraduan cuai
sebelum lemas
di samudera pilu
di horizon ngilu

sejujurnya, penantian
menyediakan ruang
muhasabah
merelakan peluang
muzakarah
mendewasakan insan
menelusuri perjalanan
yang bersimpang siur

barangkali aku,
seperti penunggu lain
masih setia menunggu
di stesen ini
sebelum bertolak pulang
tanpa harta tanpa nama tanpa keluarga
melainkan pahit manis kenangan
dalam dosa pahala amalan
di buana kehidupan!

Chai Loon Guan,
The Everly Putrajaya: 14 - 17 Oktober 2014.

Monday, October 13, 2014

Robot World Korea 2014

Cik Liew Swee Fong (Pengetua) dan Pn. Hjh. Zaharah bt. Rani (PK Pentadbiran), SMK Methodist (MES) Tg. Malim sempat bergambar kenangan dengan Pn. Lau Yoke Yin (Guru Pembimbing) dan Sdra. Liew Sen Fei, murid Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg. Malim, satu daripada dua orang peserta Malaysia yang terpilih ke Pertandingan Robot Sedunia - Robot World Korea 2014 yang dijadualkan akan berlangsung pada 23 - 28 Oktober 2014 di Korea Selatan. Syabas dan tahniah, Sdra. Liew Sen Fei! Kami (warga MES Tg.Malim) iringi sejuta doa dan harapan agar selamat berangkat ke Korea Selatan dan selamat pulang ke tanah air yang tercinta bersama dengan kejayaan dan kecemerlangan di buana robot antarabangsa, Sen Fei!

Saturday, October 11, 2014

Robot World Korea 2014

Penulis sempat bergambar kenangan dengan Sdra. Liew Sen Fei, murid Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg. Malim, satu daripada dua orang peserta Malaysia yang terpilih ke Pertandingan Robot Sedunia - Robot World Korea 2014 yang dijadualkan akan berlangsung pada 23 - 28 Oktober 2014 di Korea Selatan. Syabas dan tahniah, Sdra. Liew Sen Fei! Pulangmu nanti bersama dengan kejayaan dan kecemerlangan di buana robot antarabangsa, Sen Fei!

Friday, October 10, 2014

Ceritera Kekura



Ceritera Kekura

maaf,
terlalu lama
perlu kautunggu
dek belenggu
usia seabadku
di rumah kehidupan

barangkali,
seantero dunia
pernah terbaca
akan ceritera aku
dengan sang arnab
di medan perlumbaan

sejujurnya
telah aku tewas
dalam kemenangan
biarpun kebestarian
yang pernah menghuni di kamar kesabaran
yang pernah bertandang di rumah kedewasaan
menjuarakan aku
di garis penamat

sahabatku,
pengalaman hidup di kamar ilmu
ketakwaan amal di rumah Tuhan
telah mendewasakan keinsafan
telah memanusiakan kehidupan
INSAN di buana kemanusiaan!

Chai Loon Guan,
Dinihari Tg. Malim, 11 Oktober 2014.
(Sumber Foto: Pn. Nina Khoo)

BBK 2014


Wednesday, October 8, 2014

Semarak Bahasa



BUSUR PANAH BAHASA

Dari busur bahasa
Kaulepas bebaskan panah kata
Ke sasar hati
Berkocaklah kolam pilu
Sehingga tertumpah
Titisan darah amarah
Membasahi buana ceria

Dari busur bahasa
Kaulepas bebaskan panah frasa
Ke sasar jiwa
Terlukalah kalbu sukma
Sehingga berdarah
Nostalgia duka sejarah
Mewarnai sketsa bahagia

Ayuh, wirawan!
Angkatlah busur gahmu
Lepas bebaskan panah nahu sintaksismu
Ke cakerawala bahasa
Ke antero dunia
Agar nadi bahasa bonda kembali berdenyut
Sasa perkasa tanpa waswas
Berakal beriltizam memayungi gagasan ilmu
Wibawamu menghebat di buana nusa
Cendekiamu bermartabat di buana bangsa!

Chai Loon Guan,
Taman Intan Setia, 35900 Tg. Malim.
(Sumber: Antologi Nyala Api Dalam Dada)



Naib Johan Bicara Berirama MES Tg. Malim


Pasukan Bicara Berirama SMK Methodist (MES), Tg. Malim telah berjaya muncul sebagai NAIB JOHAN dalam Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan pada 13 September 2014 yang lalu di SMK Dr. Burhanuddin, Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama. Syabas dan tahniah, MES Tg. Malim!

Drama - Cempaka Berdarah



Drama Cempaka Berdarah
(A. Rahim Abdullah)

Sinopsis
Babak 1
Drama Cempaka Berdarah mengisahkan Mak Jah dan Cempaka sedang mengemas rumah. Mereka menanti kepulangan Zaman yang belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Kemudiannya, mereka terdengar orang memanggil di luar rumah. Mereka mengintai melalui lubang  pintu dan mendapati seorang lelaki Orang Putih muncul. Mak Jah menyuruh Cempaka masuk ke biliknya. Orang Putih itu memperkenalkan dirinya sebagai Prof. Peter, pensyarah Antropologi dan Sosiologi dan merupakan pensyarah Zaman di universiti. Dalam perbualan mereka, Prof. Peter  meminta Mak Jah menasihati Zaman supaya belajar betul-betul sekiranya hendak berjaya. Prof. Peter bertanya tentang Cempaka apabila melihat gambar Cempaka di dinding.

Babak 2
Semasa Zaman dan Cempaka mengambil buah bidara dan akar kayu di sebuah belukar, Zaman menyuruh Cempaka pulang untuk mengambil parang. Mereka berbincang tentang bonsai dan ukiran akar kayu. Semasa Cempaka pulang mengambil parang, Prof. Peter  muncul ditemani oleh Malik. Berlaku pertengkaran kecil antara mereka. Ketika Zaman mengambilkan  Cempaka  bunga kenanga, Prof. Peter dan Malik muncul semula. Berlaku lagi pertengkaran antara Prof. Peter dan Zaman. Prof. Peter mempersoalkan  rambut Cempaka yang berwarna perang. Zaman membuat kesimpulan, Maliklah yang menjadi orang perantaraan Prof. Peter. Dia juga mendakwa Cempaka ialah adiknya yang dicari-cari selama ini. Semasa perang Jepun, ibunya telah menyembunyikan  adiknya  di tebing sungai Bukit Putih dan  ditemui oleh Mak Jah. Dia hendak mengambil Cempaka dan mahu adiknya itu hidup dalam keluarganya. Sewaktu pertengkaran berlaku, Prof. Peter ternampak akan seekor ular lalu melepaskan tembakan. Cempaka rebah berlumuran darah. Mak Jah meraung melihat keadaan Cempaka. Zaman berasa marah dan berlaku pergelutan antara Zaman dan Prof. Peter. Prof. Peter telah melarikan diri ke dalam hutan. Zaman  mengejarnya dengan parang. Tiba-tiba terdengar satu das tembakan dan semuanya tercengang. Mak Jah bersyukur kerana Zaman selamat dan  mengangkat Cempaka yang tidak sedarkan diri itu.

Pemikiran
Keberanian mempertahankan  hak dan maruah keluarga daripada dirampas oleh orang luar. Zaman bertindak dengan berani dan bersungguh-sungguh ketika bertengkar dengan Prof. Peter.

Persoalan
Persoalan kasih sayang sesama insan tidak mengenal agama dan keturunan.
Persoalan pendidikan penting untuk mengubah dan membela nasib diri dan keluarga.
Persoalan mempertahankan hak dengan cara yang betul.
Persoalan peperangan yang menyebabkan perpisahan antara ahli keluarga.
Persoalan tentang  usaha mencari adik kandung yang hilang semasa perang Jepun.
(Sumber: BPK, Kementerian Pendidikan Malaysia)