Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, September 30, 2014

Tunas Cipta vs Pelita Bahasa

Makalah "Sumbangan Penulis Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan" 
dalam Tunas Cipta Ogos 2014.
Makalah "Menyajakkan Hikayat Langlang Buana" dalam Pelita Bahasa Ogos 2014. 
Selamat membaca. Bahasa Jiwa Bangsa.

BBK 2014

Bahasa Jiwa Bangsa

Monday, September 29, 2014

Penulis

Akukah penulis Bukan Melayu atau penulis Malaysia
Yang penting aku cinta akan bahasa dan susastera Melayu tanah air. 
Bahasa Jiwa Bangsa.

Forum Penulis

Usai sudah majlis forum yang bertajuk "Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?" di Dewan Seminar Dato' Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 29 September 2014. Ahli panel terdiri daripada YBhg. SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Dr. Lim Swee Tin, Dr. Ramzah Dambul dan YBhg. Prof. Madya Dr. Krishanan Maniam. Forum dipengerusikan oleh En. Mohd. Nazmi Yaakub, Editor Berita Harian. Bahasa Jiwa Bangsa.

Sunday, September 28, 2014

Sajak - Bahasa Jiwa Bangsa

28 September 2014 - AHAD
Menjelang senja hari, izinkan aku menelaah sajakku kembali. Terima kasih.
Sajak
BAHASA JIWA BANGSA

biarpun ada
deru kencang angin
biarpun ada
ombak ganas laut
biarpun ada
letus kuat gunung berapi
biarpun ada
terik panas mentari
biarpun ada
air bah tengkujuh
satu persatu duga
kaubina usaha
satu persatu duka
kaubina cinta
pasti yang kutahu
kau dan aku
tetap gah berpadu
mahu mempertahankan bahasa
bahasa jiwa bangsa
daripada dicela, dihina
di bumi yang tercinta
pasti yang kutahu
kau dan aku
tetap gah bersatu
mahu memartabatkan bahasa
bahasa jiwa bangsa
di persada nusa
di mercu jiwa setiap warga
di bumi yang tercinta
bahasa Melayu
bahasa milik bangsaku
MALAYSIA!

Chai Loon Guan,
8 - 11 Julai 2014,
Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan.

Saturday, September 27, 2014

Hakim Nilam Pera 2014

Barisan Hakim Pemilihan Tokoh Nilam Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 
(Kategori BM SR) 2014 di BTPN Perak pada 23 - 24 September 2014. 
Salam NILAM.
Sajak "SENJA" dalam Dewan Sastera Oktober 2014. 
Terima kasih, Editor Dewan Sastera. 
Bahasa Jiwa Bangsa.


Friday, September 26, 2014

Forum Kesusasteraan Kebangsaan

FORUM "PERLUKAH ADA LAGI KONSEP PENULIS MELAYU DAN BUKAN MELAYU DALAM KESUSASTERAAN KEBANGSAAN MASA KINI?"
pada 29 SEPTEMBER 2014 (Isnin, 2.30 petang) 
di DEWAN SEMINAR DATO' HASSAN AHMAD, ARAS 2, MENARA DBP, KUALA LUMPUR.

Monolog

Monolog Sang Burung, "Bebaskah aku walaupun tiada lagi sangkar emas yang mengurung dan membelenggu kehidupan aku?".

Wednesday, September 24, 2014

BBK 2014

Bulan Bahasa Kebangsaan 2014
BAHASA JIWA BANGSA
(Sumber: DBP)

Anugerah Tokoh Nilam Perak 2014 - 2015

Barisan Hakim Kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
Anugerah Tokoh Nilam Negeri Perak 2014/2015 
di BTPN Perak Darul Ridzuan pada 24 September 2014.

Hakim Nilam Negeri Perak 2014

Barisan Hakim Kategori Bahasa Melayu
Anugerah Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan 2014 - 2015
bergambar kenangan di BTPN Perak Darul Ridzuan 
pada 24 September 2014.

Nilam Perak 2014 - 2015

YBhg. Datuk Aznil Hj. Nawawi, YBrs. Pengarah BTPN Perak, AJK Pelaksana Anugerah Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan, barisan hakim dan aku di Dewan Besar, BTPN Perak Darul Ridzuan pada 22 September 2014. Nadi Ilmu Amalan Membaca - NILAM

Tuesday, September 23, 2014

Genre Seni Kreatif Pensel Warna

Tugasan PSV 3123 anak mutakhir - Seni Kreatif Pensel Warna oleh Chai Wuang Shen, IPGM Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Sunday, September 21, 2014

Lux Et Veritas

NOSTALGIA 
Aku antara penulis lirik lagu sekolah, Lux Et Veritas, 
SMK Methodist, Tg. Malim, alma materku.

PdP Cerpen "Hutan Rimba" - BM T5



PdP Cerpen "Hutan Rimba" dalam Sajak
oleh Chai Loon Guan
Pendahuluan

          PdP cerpen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak semestinya hanya bergantung pada buku teks komsas semata-mata, malah sebaliknya sebagai munsyi bahasa, guru sewajarnya memikirkan kaedah, pendekatan dan teknik yang bersesuaian untuk mengajarkan aspek cerpen (prosa moden) di dalam bilik darjah, lebih-lebih lagi apabila guru berhadapan dengan murid yang berada pada Band  1, 2 dan 3 atau boleh saya kategorikan sebagai murid-murid yang mempunyai tahap penguasaan bahasa yang sederhana lemah, lemah dan amat lemah sekali. Barangkali, usaha guru menterjemahkan teks cerpen pengajaran ke dalam teks sajak dapat sedikit banyak membantu murid-murid dalam kategori tersebut untuk membaca, menghayati dan memahami jalan cerita atau plot secara berkesan sebelum murid-murid diuji dengan soalan pemahaman berlainan aras sebagai latihan pengukuhan.  Sebagai langkah pengayaan pula, guru bahasa Melayu juga dapat menguji kemampuan murid-murid dalam aspek gaya bahasa sajak, yakni merangkum aspek anafora, personifikasi, metafora, selain mendedahkan kosa kata baharu bersertakan maknanya sebagai langkah awal untuk membolehkan murid-murid membina ayat atau sintaksis bahasa Melayu sebagai latihan tambahan.

Cerpen:
Hutan Rimba dalam Sajak (Sasjira)

bersama jentolak Caterpiller
Pak Tua meneroka
hutan rimba
alam flora menjerit luka
alam fauna meratap hiba
satu persatu hutan rimba
menyembah bumi

tiga dekad
nostalgia mengusik memori duka
gauman sombong
lori-lori balak dan asap hitam
menelusuri jalan tanah merah
timbunan kayu
berakit di Sg. Kinabatangan
sebelum berlabuh
di Daerah Sandakan
kembalilah, unggasku
kembalilah, mergastuaku
kembali mendiami hutan belantara
yang rimbun menghijau
di tanah leluhur
"Sudahlah...kita cuma mencari rezeki!" kata Mak Tua
anak-anak Pak Tua
Ajam, Bakar, Melati dan Budi
sudah membesar dewasa
dan berkerjaya
seorang peniaga
seorang pengurus ladang
seorang pensyarah
seorang guru
syukur, keberhasilan anak-anak harapan
berkat harta warisan - hutan rimba dan terumbu karang
menjadi korban dalam iltizam

Sesungguhnya,
tidak lupa daratan, Pak Tua
di sinilah, Sg. Kinabatangan menjadi saksi
terbinanya sebuah cinta
Pak Tua dengan gadis sungai
di rumah bahagia
kini, senja usia
sudah bersketsa di garis horizon
kehidupan
masih sempat Pak Tua
melestarikan harta warisan alam
daripada kemusnahan
daripada pencemaran
dan, berkampunglah Pak Tua sekeluarga
suri, anak cucu menantu
di rumah kebun
di hutan simpan
bersaksikan pepohon merimbun
menjalar melata aneka tumbuhan
anggerik liar
buah-buahan dan menu kasih
keluarga yang tercinta
akrab intim Pak Tua
mendongeng sambil membelai manja
cucu
sesekali diselangselikan nyanyian cengkerik
dan bunyi-bunyian unggas
memadamkan mimpi ngeri silam
di buana kehidupan!
Chai Loon Guan, Tg. Malim.
(Sumber: Antologi Dirgahayu Bahasaku, DBP 2010.)

Gaya Bahasa dalam Sajak "Hutan Rimba"

Frasa
Gaya Bahasa
hutan rimba menyembah bumi
nostalgia mengusik memori duka
alam flora menjerit luka
alam fauna meratap hiba
Personifikasi
Memori duka
Gauman sombong
rumah bahagia
senja usia
menu kasih
buana kehidupan
lupa daratan
Metafora
kembalilah, unggasku
kembalilah, mergastuaku
alam flora menjerit luka
alam fauna meratap hiba
daripada kemusnahan
daripada pencemaran
di rumah kebun
di hutan simpan
Anafora

Kosa Kata dan Makna dalam Sajak "Hutan Rimba"

Kosa Kata
Makna
Meratap
Mengeluh, menangis, menjerit
Nostalgia
Kerinduan pada sesuatu yang pernah dialami pada masa lalu, kenangan
Memori
Kenangan, ingatan
Melestarikan
Mengekalkan, menetapkan
Cengkerik
Sejenis serangga, keridik
Unggas
Segala jenis burung
Mergastua
Binatang-binatang di hutan
Leluhur
Nenek moyang
Keberhasilan
Perihal berhasil
Berkat
Rahmat, restu
Warisan
Harta pusaka, harta peninggalan
Iltizam
Pengorbanan

Berpandukan kosa kata dan makna yang telah dibincangkan, murid-murid diminta membina ayat yang gramatis seperti yang berikut:


Kosa Kata
Ayat / Sintaksis
Meratap
Warga dunia yang prihatin dan bersimpati meratap kematian rakyat Palestin yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza.
Nostalgia
Peristiwa silam dua dekad setengah yang lalu menjadi nostalgia Ah Seng dan keluarganya.
Memori
Tragedi berdarah itu menjadi memori luka bagi keluarga Pak Cik Mutu.
Melestarikan
Pelbagai usaha telah dijalankan untuk melestarikan Bahasa Melayu di persada tanah air.
Cengkerik
Bunyi-bunyian cengkerik kedengaran di desa pedalaman pada waktu malam.
Unggas
Unggas di Malaysia menjadi daya tarikan para wisatawan luar negara ke Malaysia.
Mergastua
Profesor Dr. Ahmad, pakar mergastua di benua Nusantara.
Leluhur
Leluhur saya seorang ahli seni kung fu yang terkenal di Asia Tenggara.
Keberhasilan
Malaysia dijangka akan mencapai keberhasilan utama dalam bidang teknologi  maklumat menjelang Wawasan 2020.
Berkat
Kejayaan Ali dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini berkat daya usaha gigihnya sejak dua tahun yang lalu.
Warisan
Seni kata lagu "Warisan" nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad menjadi warisan bangsa dan negara.
Iltizam
Iltizam, kesungguhan dan kecekalan amat diperlukan untuk kita bangunkan cita-cita di buana kerjaya pada masa depan.

Latihan Pemahaman Cerpen - Hutan Rimba

1. Berikan maksud frasa "...di tanah leluhur" dalam cerpen di atas.

2. Berikan dua kepentingan hutan kepada manusia.

3. Nyatakan dua langkah lain selain menjadikan tanah pusakanya sebagai hutan simpan yang boleh diambil oleh Pak Tua untuk melestarikan warisan alam.

Jawapan

1. Frasa "...di tanah leluhur" bermaksud di negeri atau daerah nenek moyang.

2. Dua kepentingan hutan ialah sebagai sumber makanan dan sumber herba dan akar kayu untuk perubatan.

3. Pak Tua wajar memberikan penerangan tentang kepentingan khazanah alam kepada para pengunjung dusunnya dan bekerjasama dengan Jabatan Hutan agar hasil hutan simpannya tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesimpulan

          Sebagai kesimpulannya, daya kreativiti guru bahasa dapat menjadikan PdP di dalam bilik darjah berkesan dan menarik. Selain, objektif pengajaran guru tercapai, murid-murid di dalam bilik darjah dapat menimba ilmu dan kemahiran hasil daripada pembelajaran cerpen "Hutan Rimba" dalam genre sajak. Sebagai langkah pengukuhan atau barangkali pengayaan, murid-murid diminta menjawab tiga soalan pemahaman berpandukan teks asal cerpen dalam kumpulan masing-masing dengan bimbingan guru di dalam bilik darjah. PdP berasaskan semangat musyawarah menyerlahkan nilai-nilai kerjasama dan merancakkan PdP di samping mengukuhkan semangat berpasukan murid dalam satu pasukan,  yakni menjayakan pengajaran dan pembelajaran cerpen "Hutan Rimba" dalam kalangan murid Tingkatan 5 di dalam bilik darjah.

(Hak Cipta Terpelihara - CLG)

Friday, September 19, 2014

Kembara



Kembara Tg. Malim - Cameron Highlands - Gua Musang - Kuala Krai - Kota Bharu - Tanah Merah - Belum - Banding - Gerik - Kuala Kangsar - Ipoh - Tg. Malim pada 16 - 19 September 2014. Jauh perjalanan luas pandangan. Selamat malam, Tg. Malim.

Thursday, September 18, 2014

Anugerah Tokoh Nilam Perak 2014

23 - 24 September 2014 di BTPN Perak Darul Ridzuan.
Nadi Ilmu Amalan Membaca - Membaca Jambatan Ilmu

Kafe Buku Mobil

Kafe Buku Mobil (Bergerak)
(Sumber Gambar: Prof. Dr. Abdullah Hassan)

Wednesday, September 17, 2014

Tuesday, September 16, 2014

Karangan BM T4



Tajuk karangan:
Air sangat penting dalam kehidupan. Tulis satu rencana tentang kepentingan air dan usaha-usaha untuk mengekalkan sumber air negara kita.

Kepentingan Air dan Usaha-usaha untuk Mengekalkan Sumber Air Negara Kita
oleh Chai Wei Jian

          Pada era globalisasi ini, selain oksigen, air sudah menjadi salah satu keperluan harian yang amat penting kepada kehidupan manusia, khususnya di negara kita mahupun negara-negara asing. Persoalannya, apakah definisi air? Menurut Kamus Perdana, air bermaksud cecair yang biasa kita minum dalam kehidupan seharian. Air menutupi hampir 71% permukaan bumi serta terdiri daripada dua elemen, iaitu hidrogen dan oksigen. Cecair tersebut juga telah menjadi elemen kehidupan yang tidak harus ditiadakan dalam kehidupan kita. Sebenarnya, terdapat banyak kepentingan air dalam kehidupan seharian kita.

          Pertama sekali, air dapat meningkatkan tenaga badan kita dengan efektif. Hal ini demikian kerana badan kita mengalami masalah kekurangan bekalan air dan sehingga kita merasa letih setelah melakukan aktiviti-aktiviti yang menggunakan tenaga kita. Antara contoh aktiviti yang boleh menghabiskan tenaga kita ialah bermain bola keranjang, berjoging, bermain bola sepak dan larian merentas desa. Biasanya, setelah kita melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, kita akan mudah berasa haus dan letih. Oleh sebab itu, jika adanya air, maka kita tidak perlu bergantung kepada jantung kita untuk bersusah payah untuk mengepamkan darah kita ke seluruh anggota badan kita semata-mata untuk memulihkan tenaga badan kita setelah menjalankan aktiviti-aktiviti yang lasak sama ada di gelanggang, padang atau stadium.

          Di samping itu, air juga boleh melancarkan proses penghadaman selain serat. Hal ini demikian kerana air dapat melarutkan sisa-sisa buangan dalam badan kita supaya membolehkan sisa-sisa tersebut untuk dikeluarkan melalui saluran penghadaman dengan lebih mudah dan efektif. Belakangan ini, banyak orang berasa amat susah untuk mengeluarkan sisa-sisa buangan daripada badan mereka, terutamanya orang yang sibuk bekerja sebagai pegawai berkolar putih di bandar-bandar besar. Antara sebab utama mereka mengalami masalah tersebut ialah mereka telah mengalami masalah dehidrasi yang serius. Sebagai kesannya, badan mereka pun mula menyerap bekalan air yang telah diminum oleh mereka dan menyebabkan usus besar mereka menjadi kering dan sekali gus menyukarkan proses pengeluaran sisa-sisa buangan di dalam badan kita.

          Seterusnya, air turut dapat mengurangkan pembentukan batu karang. Sebagai hakikat, orang yang jarang minum air dalam kehidupan seharian dapat memudahkan mereka untuk mengalami masalah pembentukan batu karang. Batu karang ini dibentuk dalam badan kita kerana garam dan mineral di dalam air kencing tidak dapat dilarutkan dengan sepenuhnya. Jika garam ini terlalu pekat, maka garam berlebihan itu akan menjadi keras dan dinamakan 'batu'. Batu karang yang besar boleh menyekat pengaliran air kencing dan menyebabkan seseorang mengalami masalah “renal colic”, iaitu kesakitan di sekeliling buah pinggang hingga bahagian kelangkang. Oleh sebab itu, kita harus banyak minum air untuk melarutkan sisa garam dan mineral di dalam air kencing kita serta mengurangkan risiko untuk mengalami masalah pembentukan batu karang.

          Sesungguhnya, air merupakan salah satu elemen yang paling penting dalam kehidupan seharian kita. Oleh sebab itu, kita haruslah mengambil tindakan dengan segera untuk mengekalkan sumber air bersih di dalam negara kita. Antara cara yang boleh kita lakukan untuk mengekalkan sumber air di negara kita ialah dengan menjimatkan penggunaan air dalam kehidupan seharian. Sebenarnya, terdapat beberapa cara yang dapat menjimatkan penggunaan air dengan berkesan. Sebagai contohnya, kita boleh menutup paip air apabila kita tidak menggunakan air untuk tujuan tertentu seperti menjalankan aktiviti membersihkan rumah, mandi, dan mencuci alat perkakas. Tambahan pula, kita boleh menggunakan baldi kecil untuk mengumpulkan air hujan supaya air tersebut boleh digunakan untuk menyiram pokok bunga dan mencuci kereta. Selain mengumpul air hujan, janganlah kita bazirkan bekalan air yang telah kita gunakan untuk mencuci beras. Kita boleh menggunakan bekalan air tersebut untuk menyiram pokok bunga kerana air tersebut boleh membekalkan nutrien yang mencukupi kepada pokok-pokok bunga. Oleh hal yang demikian, tidak dinafikan bahawa cara-cara yang dikemukakan itu boleh mengekalkan sumber air dengan berkesan.

          Selain itu, sumber air di negara kita dapat dikekalkan dengan mengadakan kempen kesedaran. Di negara kita, kekurangan kesedaran tentang isu-isu yang berkaitan dengan air dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara kita merupakan satu daripada sebab utama berlakunya masalah tersebut di negara kita. Sebagai kesannya, sumber air di negara kita pun dibazirkan dari semasa ke semasa. Oleh hal yang demikian, dengan adanya kempen kesedaran ini, maka kesedaran tentang pengekalan sumber air bersih dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita akan dapat ditingkatkan selain mengurangkan pembaziran sumber air dalam kehidupan seharian. Oleh itu, jelaslah bahawa kempen kesedaran membolehkan masyarakat di negara kita untuk mengetahui kepentingan air selain meningkatkan kesedaran tentang isu-isu yang berkaitan dengan air, krisis dan cabarannya pada masa depan.

          Sebagai kesimpulannya, air merupakan elemen kehidupan yang amat penting dalam kehidupan kita. Jika ketiadaan bekalan air, khususnya air bersih, maka tiadalah hidupan yang boleh hidup di dunia ini. Oleh hal yang demikian, semua pihak sama ada generasi tua atau generasi muda haruslah bekerjasama untuk mengekalkan sumber air bersih di negara kita supaya generasi pada masa hadapan dapat menggunakan sumber air untuk meneruskan kehidupan di persada dunia sarwajagat ini.

Disediakan oleh:
Chai Wei Jian, Tingkatan 4 Sains 1, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.