Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, June 29, 2014

BM PT2 - Membaca Jambatan Ilmu



Membaca Jambatan Ilmu

          Pada zaman literasi komputer ini, didapati masyarakat, khususnya golongan muda-mudi kurang membaca. Sebenarnya, amalan membaca merupakan antara kegiatan yang amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari.

          Budaya membaca harus diamalkan bukan sahaja di sekolah, kolej, universiti bahkan juga dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman kita. Membaca juga akan memastikan kita agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan pembangunan global pada hari ini.

          Sebenarnya, membaca ialah amalan hidup yang baik, terutamanya pada masa lapang. Yang sedihnya, generasi muda pada hari ini selalu menggunakan masa lapang untuk melayari Internet atau berinteraksi dengan kawan-kawan dengan menggunakan telefon mutakhir, melepak, dan sebagainya. Jadi, kita perlulah digalakkan untuk menggunakan masa lapang dengan melakukan sesuatu yang berfaedah seperti membaca dan beriadah, bak kata pepatah masa itu emas.

          Seterusnya, membaca banyak memberikan manfaat kepada pembaca. Membaca membolehkan kita meluaskan minda agar tidak seumpama katak di bawah tempurung. Sebagai pelajar/murid pula, amalan membaca juga turut membantu kita dalam pelajaran dari sehari ke sehari. Kita akan memperoleh lebih banyak idea atau ilham untuk menulis karangan, menyiapkan tugasan folio, dan menghasilkan kertas kerja pembentangan yang lebih kreatif, mantap dan menarik.

          Sebagai kesimpulannya, membaca jambatan ilmu. Oleh itu, semaikanlah amalan yang mulia ini dalam kehidupan kita sehari-hari selagi hayat dikandung badan!

Yoon Yan Jia, Tingkatan 2 Meekness, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sajak - Ceritera Kucing dan Tikus



Ceritera Kucing dan Tikus

kucing
yang kekenyangan
sering terlelap
lena
bersama mimpi
enak
wangi cita-cita
di persada kuasa

dan,
bergentayanganlah
tikus-tikus kelaparan
bercatur hidup
di pentas siasah
sempat berebutan
sepotong kek si kaya
di kaki lima integriti

pecah amanah,
kucing yang kekenyangan
dibelenggu nafsu
leka dalam kebendaan
lena dalam kemewahan
rakus mencabuli ketelusan
di buana luka yang sakit
di buana noda yang jijik

dan,
bergentayanganlah
tikus-tikus kebuluran
di buana kehidupan!

Chai Loon Guan,
MMS MDTM, Tg. Malim.



Saturday, June 28, 2014

BM dan PBT

Ceritera Bahasa dalam akhbar harian BH: Bahasa JIwa Bangsa
(Sumber: BH, 28 Jun 2014)

Salam Ramadan

...daripada Chai Loon Guan sekeluarga kepada umat Islam di seluruh dunia.

Sajak - Selipar Sepasang



Selipar Sepasang

biarpun murah
selipar sepasang
bisa menyelesakan tapak
sepasang kaki
bisa mencantikkan aura
keanggunan tuannya

selipar sepasang
melindungi kaki
daripada luka
selipar sepasang
menjauhkan kaki
daripada petaka

kerana adanya
selipar sepasang
tidak perlu tuannya
berkaki ayam!

Chai Loon Guan,
Pasar Lambak Tg. Malim.

Friday, June 27, 2014

Keluarga



KELUARGA
          Anggota keluarga merupakan orang yang paling penting dalam hidup kita. Sesebuah keluarga biasanya terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak. Keluarga ini dinamakan keluarga asas. Selain keluarga asas,  terdapat juga anggota keluarga kembangan (luas) yang terdiri daripada datuk, nenek, bapa saudara, sepupu, dan anggota keluarga yang lain.
    
          Kita  seharusya  memahami anggota  keluarga  sendiri. Kita  sepatutnya mengetahui makanan, minuman, pakaian, warna  kegemaran  dan hobi  mereka. Selain  itu, kita  juga  sepatutnya  mengetahui  perlakuan  yang  disenangi  dan  tidak  disenangi  oleh anggota  keluarga. Hubungan  kekeluargaan  akan  lebih  kukuh, intim  dan  mesra  apabila  anggota  keluarga  saling  memahami dan mengambil berat antara  satu  sama  lain. Persefahaman  yang  terjalin  ini  juga  dapat  mengelakkan  kita  daripada  menyakiti  hati  dan menyinggung  perasaan  anggota keluarga kita dari semasa ke semasa.
   
          Sebagai  anggota  keluarga, kita juga  mesti menyayangi  antara  satu  sama  lain. Kita  boleh  menunjukkan  kasih  sayang  dengan  berkongsikan  masa  suka  dan duka  bersama-sama  anggota keluarga. Kita  perlu  menghormati  anggota  keluarga,  terutama  yang lebih  tua dan berpengalaman seperti  datuk, nenek, ayah, ibu, abang dan kakak. Pertuturan  dan tingkah laku  kita juga  mestilah  sentiasa  bersopan-santun semasa  berinteraksi  dengan  anggota  keluarga. Kita  juga  mesti  akur   dan  patuh  akan  nasihat  dan  larangan  keluarga. Kita  sewajarnya  bersyukur  kepada  Tuhan  kerana  dianugerahi  sebuah  keluarga yang sihat dan bahagia.

          Dalam kehidupan, anggota keluarga merupakan orang yang paling rapat dengan kita. Mereka banyak berjasa dan sanggup berkorban untuk kita pada bila-bila masa. Kita sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Kita boleh menghargai jasa dan pengorbanan mereka dengan menulis kata-kata untuk menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kita terhadap mereka selain sumbangan penghargaan yang bersifat penyayang dan mampu mengeratkan tali silaturahim antara keluarga.

          Sebagai kesimpulannya, setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing. Kita wajar berasa bangga kerana mempunyai sebuah keluarga yang sihat, harmoni dan bertanggungjawab. Oleh itu, kita mestilah mengenali, menghormati dan menyayangi setiap anggota keluarga kita kerana merekalah sumber ilham kepada kehidupan kita sehari-hari.

Choo Kah Wei, Tingkatan 2 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

SUKAN



SUKAN ASAS PERPADUAN NEGARA

          Sukan ialah aktiviti fizikal yang dilakukan  untuk pelbagai tujuan dan boleh diterjemahkan dalam bentuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran dan kecemerlangan. Pada era globalisasi ini, masyarakat kita, khususnya generasi muda banyak didedahkan mengenai sukan dan permainan. Sukan ini secara umumnya terbuka kepada semua orang, peringkat dan latar belakang. Pelbagai kaum boleh menyertai aktiviti yang disediakan atau yang dianjurkan oleh kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta seperti  acara olahraga, permainan, dan aktiviti-aktiviti lasak.

          Sebenarnya, acara sukan yang dianjurkan dari semasa ke semasa dapat mengeratkan silaturahim antara peserta pelbagai kaum sekali gus mengeratkan perpaduan kaum di negara kita bak kata sukan merupakan asas kepada perpaduan negara. Selain dapat menarik perhatian orang ramai, pebagai acara sukan dan permainan yang dipertandingkan dapat memberikan motivasi kepada masyarakat agar senantiasa berusaha dan mengamalkan cara hidup yang sihat. Pernah orang tua-tua berkata bahawa otak yang cerdas berada pada badan yang cergas. Tanpa kesihatan, maka seseorang itu mudah diserang oleh aneka penyakit yang berbahaya sehingga membawa kematian.

          Selain itu, acara sukan yang dipertandingkan ini dapat meningkatkan dan menyemaikan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat. Semangat kesukanan yang dijana dan disemaikan dalam jiwa setiap atlet dapat mewujudkan semangat kerjasama yang intim sekali gus merealisasikan semangat berpasukan yang kental. Dalam konteks kenegaraan, semangat berpasukan dan nilai kerjasama yang utuh dapat melahirkan generasi Malaysia yang bertanggungjawab, dedikasi dan senantiasa mengutamakan semangat kerjasama yang telus bak kata peribahasa Melayu, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Sesungguhnya, nilai dan semangat muafakat akan membawa berkat kepada bangsa dan negara pada hari ini dan masa-masa yang akan datang.

          Penganjuran pelbagai acara sukan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa bukan sahaja akan membawa pulangan kewangan dari segi jangka panjang, bahkan juga berkeupayaan untuk menjana sumber pendapatan dan ekonomi rakyat dan negara. Sehubungan dengan hal ini, masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan masyarakat turut dapat ditangani secara beransur-ansur. Atas daya usaha dan kesedaran inilah, maka masyarakat Malaysia tanpa mengira jantina dan kaum, dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat, ceria dan membahagiakan. Tambahan pula, acara-acara sukan dan permainan yang dianjurkan dari semasa ke semasa ini dapat mengisi masa lapang kita dengan lebih bermanfaat dan sihat sekali gus menjauhkan diri kita daripada aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan merugikan kita pada masa hadapan.

          Sebagai kesimpulannya, sukan merupakan asas perpaduan dan amat wajar sekali digalakkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Rakyat jelata tiada sebab atau alasan untuk menolak atau mengetepikan kegiatan sukan sebagai antara aktiviti yang bermanfaat kepada pembinaan bangsa dan negara, bak kata pepatah, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Marilah kita sama-sama menyemarakkan sukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Majulah sukan untuk bangsa dan negara.

Hasil kerja:
Wong Shun Xin, Tingkatan 3 Meekness, SMK Methodist 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.