Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, April 30, 2014

Hikayat Indera Neta



Hikayat Indera Neta dalam Sajak
(Komsas T4)

sukacita Tuanku Syah Alam
dan Si Batu Kembar
sebaik Indera Jenaka
tiba di Rom
lalu Tuanku
bertanyakan Si Piatu, Indera Neta
kehebatan Indera Neta
diceriterakan oleh Indera Jenaka
Indera Neta menyeberang lautan ke Pattani
Indera Neta berani berhadapan mergastua
Indera Neta memiliki kesaktian
pernah menyelamatkan Indera Jenaka

keberanian dan kebijaksanaan Indera Neta
mengagumkan Tuanku Syah Alam
maka tersebutlah kisah pengembaraan
Indera Neta
gunung didaki
rumah besar tinggi ditemukan
pakaian emas, mahligai dan tujuh orang puteri
bertanyalah Tuan Puteri Cendera Kesuma
nama, hasrat dan hajat kedatangan Indera Neta
ketika jin atau syaitan ketakutan
kalau-kalau dimakan raksasa

Indera Neta, anak Raja Rom
berbondakan Tuan Puteri Cenderawati
disuruh raja
mencari gajah bergadingkan emas
tertanya-tanya akan Tuan Puteri Cendera Kesuma
Puteri Cendana Kesuma anak Raja Mesir
Puteri Norlila anak Raja Baghdad
Puteri Indera Paksi anak Raja Siam
Puteri Ratna Cahaya anak Raja Kufah
Puteri Ratna Bagang anak Raja Iraq
Puteri Cendera Maha Dewi anak Raja Peringgi
apabila besar nanti
akan dibaham sang raksasa

Tuan Puteri Ketujuh
rela dibawa pulang
ke benua Rom oleh Indera Neta
maka berpantunlah mereka
dan riuh meriah mahligai
dengan tawa gembira
Indera Neta
amat kagum akan rupa paras
Tuan Puteri Cendera Kesuma
gilang-gemilang
cahayanya, berkilau-kilauan

hadir sepasang raksasa
tercium akan bau manusia
namun tertipu jua oleh kata-kata bijaksana
Tuan Puteri Cendera Kesuma
disuruh Tuan Puteri
mencari gajah bergadingkan emas
agar segera besar
hati mereka
sebelum boleh dimakan
oleh raksasa

atas takdir Tuhan
bertemulah raksasa
dengan Raja Rom
naik gajah bergadingkan emas
ketika berburu dengan menteri dan hulubalang
maka sekalian rakyat dan raja
habis dimakan oleh sang raksasa

sebelum kembali  ke mahligai
raksasa dimohon Tuan Puteri
agar dicarikan mereka kijang putih
bertanduk emas
kain hitam perlu disuciputihkan

turun Indera Neta dan Tuan Puteri
menunggang gajah
bersertakan perkakasan mahligai
sebaik kembali pasangan raksasa
gajah dan Tuan Puteri
terusir dalam tempik soraknya

sebaik tiba di tepi laut
Indera Neta dan Tuan Puteri
memohon bantuan
gemala hikmat Betara Gangga
datang lembur dan naga
menghulurkan bantuan
menyeberangkan Indera Neta dan Tuan Puteri sekalian
ke seberang laut
tinggallah raksasa
mati lemas di lautan
tujuh hari tujuh malam
sampailah Indera Neta
ke rumah bonda, Tuan Puteri Cenderawati
sukacita bonda
melihat Tuan Puteri
dan gajah bergadingkan emas
maka diceritakan oleh Indera Neta
dari awal hingga akhir
kepada bonda tersayang
dan, berdiamlah Tuan Puteri Cendera Kesuma
di sisi bonda Indera Neta,
Tuan Puteri Cenderawati!

Tema:
Pengembaraan dan keberanian luar biasa seorang putera raja bernama Indera Neta.

Persoalan:
a. Kehebatan putera raja.
b. Kebolehan bercakap/berinteraksi dengan haiwan.
c. Kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran.
d. Kasih sayang seorang ibu.
e. Sikap suka tolong-menolong sesama manusia.

Chai Loon Guan,
MES Tg. Malim.
1 MEI 2014.

Hari Pekerja

Aksara kata untuk renungan bersama bersempena dengan Hari Pekerja - 1 MEI 2014.

Universiti Malaya

Aku, alma mater Universiti Malaya. Rancangan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, 1994 - 1998. Dirgahayu Universiti Malaya.

Balai Kartun

Selamat Datang ke Balai Kartun ROSSEM.

Antologi Puisi - Segugus Pasrah Buatmu, MH 370


RENUNGAN

Selamat petang, Tg. Malim. Bahan bacaan untuk renungan bersama. Terima kasih.

Tuesday, April 29, 2014

HAG 2014 - MES Tg. Malim

26 APRIL 2014:
Penulis sempat bergambar kenangan dengan YB Dato' Rusnah bt. Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Negeri Perak Darul Ridzuan merangkap ADUN Kawasan Behrang sewaktu santapan tengah hari bersempena dengan Majlis Hari Anugerah Gemilang 2014,  MES Tg. Malim.

Malam Baca Puisi PENA - ITBM 2014


Sajak - SENJA



SENJA

aku
bahtera di laut usia
bertemankan merah senja
di garis horizon

barangkali
dapat kuhayati jinggamu
bahagia dalam nestapa
di landskap hidup
sambil mentafsir mimpi malam
tanpa bintang-bintang
di cakerawala hayat

kian pantas sebenarnya
waktu berlari
meninggalkan dinihari
pengalaman
mujur dapat kutelusuri
samudera kehidupan
dalam ribuan rona
yang mewarnai sketsa hidup
dalam jutaan aksara
yang membina wacana hayat
di lautan kehidupan
bernama insan

kudus
dalam khusyuk
terbisik suara kalbu
masih sempatkah aku
menyebut nama-Mu
Tuhan?

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

Monday, April 28, 2014

Hari Pekerja 2014


Sajak - AKU



Aku
sebuah bahtera
kehidupan
di tengah
samudera
dugaan!

Chai Loon Guan,
26 April 2014.


Saturday, April 26, 2014

Tokoh Murid MES 2013


Penerima Anugerah Gemilang Tokoh Murid 2013,
SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

THARANITHARAN  A/L  GANESAN
Biodata

        Tharanitharan a/l Ganesan dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 30 Mei 1996. Beliau merupakan anak ketiga daripada 3 orang adik-beradik kepada pasangan Encik Ganesan a/l Suppiah (PK Kokurikulum, SMK Methodist, Tg. Malim) dan Puan Devi a/p Maniam (PK Pentadbiran, SMJK Katholik, Tg. Malim).

Sejak bangku sekolah rendah lagi, Tharanitharan seorang murid yang mampu berdikari, bertanggungjawab, rajin, jujur, yakin dan mesra dalam kalangan murid dan guru. Dari segi kecemerlangan akademik, beliau telah berjaya memperoleh keputusan 5A (UPSR, 2008), 7A (PMR, 2011) dan 10 A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2013.

Tharanitharan merupakan seorang murid yang aktif dalam bidang kokurikulum, khususnya kokurikulum akademik sama ada di peringkat sekolah, daerah mahupun di peringkat kebangsaan. Keterampilan diri Tharanitharan terserlah apabila beliau menjuarai Pertandingan Terbuka Liga Lego Kebangsaan (2010), Naib Johan Tokoh Nilam Negeri Perak (2010), memperoleh hadiah sagu hati dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris peringkat Negeri Perak (2013) setelah mengungguli Daerah Batang Padang sejak tahun 2011. Beliau juga memperoleh gred cemerlang tertinggi dalam Kuiz Kimia Kebangsaan (2013) selain memperoleh hadiah sagu hati dalam Public Speaking Competition peringkat negeri Perak (2012). Keterampilan dan kewibawaan beliau terus terserlah dalam Pertandingan Mighty Minds Negeri Perak, Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Negeri Perak (2011) selain menyertai secara aktif dalam Malaysian Invention and Design Society (MINDS), (2013) peringkat kebangsaan, pertandingan Spell-it-Right (2011) peringkat negeri Perak. Sepanjang waktu pendidikan beliau di SMK Methodist, Tg. Malim, Tharanitharan turut menyertai Kem Kepimpinan, Kem Pelaburan 1Malaysia, Larian 1M1S, Worlwide Teachers Day Run, Program Majalah Dalam Kelas Dewan Bahasa dan Pustaka, Kursus Penulisan Bahasa Melayu (DBP Wilayah Utara), Program Khemah Membaca, DBP dan Perkhemahan Pendidikan Luar Pelajar Sekolah Menengah, Kem Kenaikan Pangkat KRS dan Pertandingan Saintis Muda.

Sebagai Ketua Pengawas Sekolah, SMK Methodist, Tg. Malim, Tharanitharan juga pernah memenangi beberapa anugerah yang berprestij. Antara lain, Anugerah Khas Pencapaian 'Straight A+' (2014), Anugerah Naib Johan Tokoh Nilam Negeri Perak (2010), Anugerah Tokoh Nilam Batang Padang (2010), Anugerah Gemilang Khas Kokurikulum Akademik (2011 dan 2013) dan Anugerah Gemilang Khas Akademik (2009, 2010, 2011, dan 2012). Dari segi bakat kepemimpinan dalam kegiatan kelab dan persatuan pula, Tharanitharan pernah menyandang jawatan sebagai Penolong Setiausaha (Koperal), Presiden, English Language Society, Presiden, Kelab Permainan Dalam, SMK Methodist, Tg. Malim.

Teruna yang berbudi bahasa, petah berbicara dalam tribahasa, senantiasa ceria bahagia, terampil berwibawa dan bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera petroleum yang berjaya,  THARANITHARAN A/L GANESAN, Tokoh Murid Gemilang, SMK Methodist, Tg. Malim bagi tahun 2013. 
       
Biodata disediakan oleh Cikgu Chai Loon Guan.         

HAG 2014 - MES Tg. Malim



Hari Anugerah Gemilang 2014, SMK Methodist, Tg. Malim.

26 APRIL 2014:
Tahniah, Sdra. Tharanitharan Ganesan, Tokoh Murid Gemilang MES 2013!
Jutaan terima kasih kepada YB Dato' Hjh. Rusnah bt. Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Negeri Perak Darul Ridzuan merangkap ADUN Kawasan Behrang kerana sudi hadir untuk menyempurnakan majlis dan menyampaikan anugerah kepada barisan pemenang yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cikgu Chai Loon Guan,
Penyelaras/Pengurus Majlis,
HAG 2014, MES Tg. Malim,
Perak Darul Ridzuan.

Friday, April 25, 2014

Perak Muncul Johan Nilam Kebangsaan 2014

Tahniah! Akhirnya Perak muncul sebagai JOHAN untuk dua kategori MBI (SR dan SM) dan memperoleh tempat ketiga dalam kategori MBM (SM) dalam Pertandingan Anugerah Nilam peringkat kebangsaan di BTPN, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 21 - 27 April 2014. Syabas dan tahniah kepada Sdra. Nakulan, Sdri. Cassandra dan Sdri. Nurhanisah. Nadi Ilmu Amalan Membaca.


Thursday, April 24, 2014

MES Juara Puisi dan Lagu SM Daerah Batang Padang 2014

Setelah berminggu-minggu lamanya berlatih bersertakan dugaan dan kekangan, akhirnya pasukan Puisi dan Lagu, SMK Methodist, Tg. Malim telah berjaya menjuarai Pertandingan Puisi dan Lagu Sekolah Menengah Daerah Batang Padang 2014 di Dewan Besar, SMK Bidor, Bidor, Perak Darul Ridzuan pada 24 April 2014. Berbekalkan sajak yang berjudul "CERITERA PERPADUAN", pasukan SMK Methodist, Tg. Malim turut berjaya memenangi kategori LAGU PUISI TERBAIK 2014. Syabas dan tahniah kepada pasukan puisi dan lagu, SMK Methodist, Tg. Malim, yakni Melvin Cheng Le Win, Mohamed Hafiy bin Badrol Halim, Armawati bt. Mohd Ali, Intan Natasha bt. Md. Fozi, Filzah Fasihah bt. Zaharul Lailiddin, Leong Ming Feng dan Goh Ge Xuan. Terima kasih juga kepada Cikgu Syufry bin Abdul Khalid, Cikgu Kamarudin Md Sudi dan Cikgu Chai Loon Guan. Yang jelas, berasaskan semangat berpasukan, MES Tg. Malim dalam satu pasukan telah berjaya memperoleh kejayaan dan akan mewakili Daerah Batang Padang ke Pertandingan Puisi dan Lagu peringkat Negeri Perak yang dijadualkan akan berlangsung di Daerah Manjung pada pertengahan bulan Jun 2014.
Syabas dan tahniah!