Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, January 31, 2014

Sajak - CLG



CLG
(...menjelang ulang tahun kehidupan ke-54, 9 Februari 2014)

cahaya mata
hadir dalam sepi dinihari, bersaksikan usia
anak kecil desa membesar di buana
insan sebuah tanjung bernama mu'alim

lorong kehidupan yang ditelusuri adalah sketsa hayat
onak duri yang menduga
ombak duka yang membahagia, siaga mendewasakan usia
notelun hidup penuh rona berirama

gah megah, berdiri ia, seorang lelaki bernama dewasa
untuk  berbakti, menyemaikan jasa di bumi manusia
atas mulianya aksara kemanusiaan
nodus bahasa keinsanan, di kebun kehidupan zaman-berzaman!

Chai Loon Guan,
1 Februari 2014.


Thursday, January 30, 2014

Biodata Penulis Kembara Amira



Analisis Novel Kembara Amira
Penulis: Amer Hamzah bin L. Kadir

Biodata Penulis
Amer Hamzah bin L. Kadir dilahirkan pada 19 Jun 1966 di Dungun, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Bukit Bertam dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim. Beliau telah memperoleh B. Ed (Hons) dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia dan M. Ed dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kini, beliau bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang, Kulim, Kedah Darul Aman. Amer mula menceburi bidang penulisan sekitar tahun 1994. Tumpuan awal beliau adalah dalam bidang penulisan cerpen dan kini lebih cenderung dalam penulisan novel.
Penglibatan dalam dunia sastera bermula dengan Projek Hadiah Galakan Sastera Kenyalang, satu projek memupuk bakat penulisan dalam kalangan penulis baharu di Sarawak. Pada tahun yang sama, cerpennya yang bertajuk “Caturrangga” telah dijadikan judul antologi cerpen dan puisi bagi projek ini. Cerpen Belasungkawa telah diberikan pengiktirafan antara cerpen terbaik dalam projek tersebut. Kedua-dua cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu. Penerbitan antologi ini diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Bank Utama pada 1999.
Penglibatan dalam penulisan novel bermula pada tahun 2004 apabila novel pertama berjudul Biar Bintang Berguguran telah diterbitkan. Kemudian diikuti dengan novel kedua pada tahun 2005 dengan judul Demi Kasih Katrina. Krisandra & Cinta yang Lara diterbitkan oleh Tintarona Publications Sdn. Bhd.
Kembara Amira ialah novel yang telah memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 dan diterbitkan pada 2006. Kala Yuda ialah novel beliau yang telah mengungguli tempat pertama dalam Sayembara Fiksyen, Sains dan Teknologi UTM - Kumpulan Utasan.

  
Hasil kerja:
Lee Ming Kai, Tan Yan Siang, Chai Wei Kit, Liew Sen Fei dan Lavaenya a/p Batamalar (Kumpulan 7), Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, 35900 Perak Darul Ridzuan.

Pesta Ponggal 2014

Pesta Ponggal SMK Methodist, Tg. Malim pada 30 Januari 2014.


Tema dan Persoalan dalam Kembara Amira


Analisis Novel Kembara Amira
Penulis: Amer Hamzah bin L. Kadir.
Tema dan Persoalan


TEMA

Kesanggupan remaja mencari pengalaman yang mencabar untuk memanfaatkan masa cuti persekolahan.
Sebagai contoh, Amira bersama-sama Jacinta ke Bukit Mat Raya membantu ibunya,
Profesor Zaidah yang mengetuai kerja cari gali untuk mendapatkan bahan artifak bagi
memastikan kehijauan hutan dikekalkan daripada
pembalakan dan pengusaha cari gali emas.

PERSOALAN

1)   Sikap anak yang tidak menerima ayah kahwin baharu.
-             Sebagai contoh, Jacinta tidak menerima kenyataan yang ayahnya
berkahwin baharu menyebabkan setiap cuti persekolahan dihabiskan di
asrama sekolah dan sekali mengikut Amira ke Bukit Mat Raya.
2)   Kekecewaan seorang suami apabila isterinya lari.
-             Contohnya, Tau berasa kecewa apabila isterinya, Ipah telah
meninggalkannya bersama-sama anak sulung mereka, Sabi
menyebabkan dia membawa diri dan tinggal di dalam hutan.
3)   Pengharapan seorang ibu agar anaknya mengenali hutan tempat kelahiran.
-             Sebagai contoh, Jennifer mendesak anaknya, Malique mengikut
program yang diaturkan oleh John O’Hara dengan harapan anaknya dekat
dengan dunia tempatnya membesar.
4)   Kesanggupan menghadapi cabaran untuk menyelamatkan orang yang dikenali.
-             Contohnya, Amira dengan bantuan Itai, Jacinta, Pak Lias dan Roslan
menghadapi cabaran mendaki Gunung Gua Gajah untuk menyelamatkan
Malique yang telah diculik oleh makhluk yang berbulu beruang.
5)   Rasa bersalah seorang ibu kerana mengabaikan perasaan anaknya.
-             Sebagai contoh, Profesor Zaidah menyesali sikapnya yang kurang
memberikan perhatian terhadap anaknya, Amira, terutamanya ketika
Amira hampir lemas, menyebabkan dia menangis penuh kekesalan.
6)   Sikap negatif masyarakat yang tidak menerima seseorang yang berlainan warna kulit.
-             Contohnya, Ipah tidak diterima oleh masyarakatnya kerana kulitnya
putih dan matanya biru menyebabkan rakan sebaya dalam kalangan
Orang Asli memulaukannya. 
7)  Kasih sayang seorang bapa/ibu terhadap anak
-             Tau sangat merindui anaknya, Sabi yang dilarikan oleh isterinya, Ipah. Tau  masih dapat mengenalinya meskipun anak itu sudah besar dan ditukarkan nama kepada Malique.
-             Profesor Zaidah sangat menyayangi Amira dan amat risau akan keselamatan anaknya, semasa Amira membantu mencari Malique.
8)  Sikap mementingkan diri dan keuntungan
-             Tindakan O’hara yang terus berusaha membuktikan kawasan tersebut mempunyai emas akan menyebabkan kawasan itu musnah oleh sebab kesan   aktiviti perlombongan emas.
9)  Persahabatan yang erat dalam kehidupan
-             Contohnya, Amira dan Jacinta bersahabat baik dan menjaga nilai-nilai   persahabatan serta saling menghormati antara satu sama lain.
10) Tolong-menolong dalam kehidupan
-             Contohnya, Itai menyelamatkan Amira daripada mati lemas di sungai dan  Tau pula menyelamatkan Jacinta yang tersesat jalan lalu pengsan ketika hendak menjejaki Amira. Ludin pula merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya dengan kaedah perubatan tradisional.
11) Kebijaksanaan dalam tindakan
-             Contohnya, Amira menunjukkan kebijaksanaannya dengan bertindak pantas dan tepat pada masanya untuk menggerakkan usaha demi menyelamatkan Malique.
12) Sayang akan alam sekitar daripada kemusnahan
-             Contohnya, Tau benci akan orang yang telah merosakkan dan memusnahkan habitat hutan dan haiwan yang terdapat di dalam hutan.
13) Ketaatan kepada perintah Tuhan
-             Contohnya, pelajar-pelajar Profesor Zaidah menunaikan kewajipan mereka kepada Allah, iaitu dengan menunaikan solat seperti solat subuh.
14) Permuafakatan dalam membuat keputusan
-             Contohnya, masyarakat kampung orang Asli berbincang untuk mencapai kata sepakat dalam menghadapi sebarang permasalahan seperti hendak membuat  keputusan berkaitan dengan peristiwa Itai yang membawa Amira ke sungai yang terdapat ketulan emas.

Hasil Kerja:
Lee Ming Kai, Chai Wei Kit, Liew Sen Fei, Tan Yan Siang dan Lavaenya a/p Batamalar (Kumpulan 7), Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, 35900 Perak Darul Ridzuan.

Wednesday, January 29, 2014

TBC 2014

SELAMAT TAHUN BAHARU CINA 2014
Gong Xi Fa Cai

Seni Fotografi

"Untouchable" by I Dewa Gede Wipa Wira Utama.

Monday, January 27, 2014

AJK PPC

AJK Persatuan Pengajian Cina bergambar kenangan seusai menggantungkan hasil seni rekaan TBC menggunakan bungkusan angpau Tahun Baharu Cina 2014 di sepanjang laluan kaki lima bilik guru SMK Methodist, Tg. Malim.

T3 ENDURANCE 2014

Murid-muridku - Tingkatan 3 Endurance, MES Tg.Malim.

Antologi Puisi Sasterawan Negara

Antologi puisi terbaharu YBhg. Sasterawan Negara Dato' Ahmad Khamal Abdullah (Kemala).

Saturday, January 25, 2014

Guru Oh Guru

Dalam menelusuri perjalanan usia yang kian senja dan kurang berdaya, penulis masih sedang sibuk menyediakan jadual rekod pentaksiran PBS Bahasa Melayu T3 (masih belum didedahkan dari aspek praktik dan pengaplikasian dalam pdp), cap-mengecap pentaksiran awal B1DL1E1, B1DB1E1, B2DT1E1 pada buku latihan murid, menyemak latihan karangan rangsangan murid-murid Tingkatan 5 Sains I, menyediakan borang senarai nama pemain bola keranjang 16TKB (L dan P), menghalusi program peningkatan pasukan bola keranjang 16 TKB 2014, bahan edaran untuk Mesyuarat Majlis Perasmian Bangunan Baharu dan HAG MES 2014, minit mesyuarat ringkas mesyuarat AJK Prasarana Sekolah dan mengemaskinikan rekod persediaan mengajar sebelum dibolehkan (mohon kebenaran diri, jika tidak kena surat tunjuk sebab, STS) untuk singgah sebentar di Skyway Genting Highlands (menunaikan tanggungjawab seorang bapa kepada sebuah keluarga). Bahasa Jiwa Bangsa.

Sajak - GONG XI FA CAI




GONG XI FA CAI
(...bersempena dengan zodiak kuda)

datang lagi
tahun baharu
azam baharu
dalam manisnya
limau mandarin
dan meriahnya
getar gegar mercun
terkenang-kenang aku
pada nian gao ibu
pada kuih kapit ibu
ternanti-nanti aku
pada angpau abah
pada nasi sayur abah
ah, kenangan indah
sesekali kembali bermukim
di buana kehidupan

datang lagi
tahun baharu
tekad baharu
semakin tahun
semakin tinggi
setahun lagi kehidupan
setingkat lagi kemajuan
terngiang-ngiang aku
ucap selamat
sihat sejahtera
ucap keramat
hidup bahagia
erat persaudaraan
rapat perpaduan
sesama insan
gong xi fa cai

Chai Loon Guan,
Taman Berop Idaman,
Tg. Malim.

  • Sajak "GONG XI FA CAI" pertama kali telah dideklamasikan oleh penulis di hadapan murid-murid dan guru-guru SMK Methodist, 35900 Tg. Malim bersempena dengan perhimpunan mingguan pada hari Isnin bersamaan 27 Januari 2014. Bahasa Jiwa Bangsa.
  • Sajak "GONG XI FA CAI" pertama kali tersiar dalam akhbar Berita Harian 2 Februari 2014.