Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, December 3, 2014

TEH



Teh dalam Weltanschauung Bahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

          Pada umumnya, masyarakat Cina cukup berminat untuk minum teh dan sering kelihatan melayani sahabat handai dan tetamu mereka dengan minuman teh. Yang jelas, dedaun teh merupakan suatu keperluan dalam dunia kehidupan masyarakat Cina selain nasi, bahasa dan budaya Cina.

          Sebenarnya, spesies dan pokok teh berasal dari Tanah Besar China walaupun masyarakat Cina dahulu kala menggunakan bahan berasaskan teh buat pertama kali dalam bidang perubatan tradisional Cina sebelum menjadikan teh sebagai minuman utama sekitar 2000 tahun dahulu. Kemudian, mereka mula beransur-ansur mempelajari teknik penanaman teh dan menggunakan dedaunnya untuk menghasilkan pelbagai jenis minuman teh yang boleh dikategorikan sebagai teh hijau, teh hitam, teh oolong, teh tuo (daun teh yang telah dipadatkan di dalam mangkuk bulat), dan teh bata.

          Teh hijau tidak difermentasikan. Antara lain termasuklah teh Longjing dari benua di sebelah tasik barat Hangzhou, teh Biluochun dari Jiangsu, teh Maofeng dari Pergunungan Huangshan, Wilayah Anhui dan teh Liu'an Guapian dari negeri Liu'an, Wilayah Anhui.

          Teh hitam yang difermentasikan (mengalami proses penapaian) dan berwarna merah, kemerah-merahan. Antara teh hitam yang terkenal ialah teh keemun dari Wilayah Anhui dan teh hitam Dian dari Wilayah Yunnan. Teh oolong difermentasikan separuh. Dedaun tehnya tidak padat tetapi tebal dan berwarna kuning keemasan. Teh oolong yang terbaik bergelar bohea hasil dari Pergunungan Wuyi, Wilayah Fujian.

          Teh tuo pula dapat ditemukan di Wilayah Yunnan dan Sichuan. Bentuknya padat dan bersifat ban bulat yang telah dikukus. Teh bata berbentuk bata dan amat digemari oleh masyarakat Mongolia dan kumpulan etnik Tibet, di kawasan pergunungan Himalaya. Menurut kepercayaan turun-temurun, amalan minum teh dapat menghilangkan tahap kedahagaan seseorang, melegakan atau menghilangkan keletihan, kelesuan, kepenatan dan kelelahan, selain membantu proses penghadaman sekali gus menjauhkan badan kita daripada serangan beberapa jenis penyakit yang berbahaya. Amalan minum teh sepanjang kehidupan didapati memberikan impak positif kepada penjagaan dan pemuliharaan kesihatan manusia sejagat.

          Menurut Kamus Dewan, pokok teh bermaksud sejenis tumbuhan (pokok renek yang daunnya dikeringkan dan dibuat minuman), Camelia sinensis, daun teh  bermaksud daun daripada pokok teh yang telah dikeringkan (dibuat minuman dengan air) manakala air teh pula bermaksud minuman yang dibuat daripada daun teh (KD, halaman 1628).

          Dalam konteks kehidupan dan budaya Melayu, minuman teh pula boleh kita kategorikan sebagai:

Jenis
Teh
Keterangan
1.
Teh encer
Air teh cair
2.
Teh hutan
Teh kampung
3.
Teh kosong
Air teh yang tidak dicampur gula
4.
Teh makau
Sejenis tumbuhan (herba)
5.
Teh O
Teh kosong,  air teh yang tidak dibubuh susu tetapi ada gulanya
6.
Teh tarik
Teh susu yang ditarik, biasanya ke atas ke bawah berulang kali dengan menggunakan dua kole supaya lebih enak rasanya
7.
Teh
Nama timbang-timbangan bagi anak yang keenam (Perak), panggilan untuk anak yang keempat (Pahang)

          Jika ditelusuri, dapat saya temukan contoh simpulan bahasa Melayu yang boleh dihubungkaitkan dengan kosa kata "teh", yakni duit teh yang bermaksud wang yang diberikan kepada seseorang untuk memastikan mendapat sesuatu yang diminta, wang suap (sogok), wang rasuah atau boleh kita asosiasikan dengan simpulan bahasa makan suap atau makan sogok (sogok, menerima suap, rasuah), duit kopi (wang rasuah), tumbuk rusuk (perbuatan rasuah), duit haram (wang yang didapati dengan cara yang salah) dan apabila tabiat buruk yang tersenarai itu diamalkan, sama ada oleh si pemberi atau si penerima, maka akan berlakulah perbuatan pecah amanah, yakni perbuatan menyia-nyiakan atau melanggar amanah, dan sering dikategorikan sebagai jenayah di tempat kerja. Oleh itu, sebagai insan yang senantiasa mengamalkan dan memartabatkan nilai-nilai murni dan agama serta berintegriti, maka seharusnyalah tabiat-tabiat negatif tersebut kita banteras habis-habisan tanpa sebarang kompromi.

          Marilah kita minum secawan teh kosong selepas makan, beriadah atau menghadiri jamuan teh (majlis yang menyajikan teh, minuman, dan makanan ringan lain) agar badan kita sihat-walafiat di samping mengeratkan tali silaturahim dan muhibah dalam kalangan anggota keluarga, jiran tetangga, dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama di buana kehidupan kita sehari-hari. Sesungguhnya, benarlah kata pujangga dunia, kesihatan asas kebahagiaan hidup.

Bibliografi:
Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1993.
Common Knowledge about Chinese Culture, The Overseas Chinese Affairs Office of the
State Council China Overseas Exchanges Association, Disember 2001.
Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2007.

No comments: