Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, December 6, 2014

Berita PPPG Siri 3/KPM 2014



Program Pembangunan Pengkarya Guru Siri 3, Kementerian Pendidikan Malaysia 2014
          Unit Latihan, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pendidikan Malaysia telah berjaya menganjurkan Program Pembangunan Pengkarya Guru Siri 3/KPM untuk seratus orang peserta yang terdiri daripada guru, pegawai PPD, JPN, KPM dan pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari seluruh negara di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur pada 4 - 7 Disember 2014.
          Program Pembangunan Pengkarya Guru (PPPG) ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan asas tentang pelbagai teknik, kaedah dan pendekatan untuk menghasilkan karya buku (antologi perseorangan) yang merangkum genre kreatif dan non-kreatif yang akan diterbitkan oleh syarikat penerbit yang terkenal di tanah air. Selain itu, para peserta juga diberi bimbingan dan latihan khusus untuk mengenali aspek penulisan, dunia buku dan penerbitan. Para pengkarya guru juga turut dapat berkongsi pengalaman dengan penulis mapan tanah air, yakni Encik Chai Loon Guan (bidang tatabahasa dan penulisan sajak) dan Puan Sri Diah Shaharuddin (penerbitan buku cerita bergambar kanak-kanak dan novel). Yang menariknya, selain sesi perbengkelan berkumpulan dan perkongsian pengalaman, para pengkarya guru turut berkesempatan untuk menimba ilmu pemetaan kandungan buku melalui peta minda oleh Tuan Abd. Wahab Ibrahim, Pengarah, Unit Latihan, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia.
          Menurut pegawai merangkap Penyelaras, Unit Latihan MBKM, Kementerian Pendidikan Malaysia, Cik Siti Mazlin bt. Abdul Rahman @ Lynn Rahman, bahawa kursus seperti ini bertujuan untuk membina dan menggilap bakat penulis baharu dalam kalangan guru (diberi gelar sebagai pengkarya guru) untuk diketengahkan di arus penulisan dan penerbitan perdana. Bengkel ini juga bukan sahaja dapat memberikan pendedahan kepada pengkarya guru untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan, khususnya genre susastera Melayu, tetapi juga melatih pengkarya guru untuk menghasilkan buku atau antologi perseorangan masing-masing dalam genre novel, cerpen dan puisi sebagai bahan bacaan utama murid-murid di sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara, termasuk masyarakat umum. 

Kiriman:
Chai Loon Guan, Hotel Grand Continental Kuala Lumpur.
5 Disember 2014.

No comments: