Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, December 18, 2014

Berita PULARA 5 dan HSDR 4



 

PUISI DAN LAGU RAKYAT ANTARABANGSA (PULARA) PANGKOR dan HADIAH SASTERA DARUL RIDZUAN 2014

        Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan kerjasama Pengurusan Pelancongan Perak Berhad (Perak Tourism Management Berhad), Institut Darul Ridzuan (IDR), PORT dan Yayasan Kampung Karyawan Malim telah berjaya menganjurkan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA 5) dan majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan 4 (HSDR 4) di Arena Pangkor, Pulau Pangkor pada 11 - 14 Disember 2014.

        Tema PULARA 5 kali ini ialah "Puisi dan Lagu Rakyat Nusantara ke Persada Dunia" sekali gus mendukung objektif festival untuk menyedarkan masyarakat milieu akan peranan seni dalam memantapkan jati diri bangsa dan perpaduan. Selain itu, festival juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi seni dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi remaja. 
        Pihak penganjur juga berharap agar PULARA 5 dapat membangunkan masyarakat luar bandar yang kreatif, sejajar dengan hasrat kerajaan kini. Konsep PULARA 5 pula ialah "penggabungan berbagai-bagai genre seni dan wacana intelektual (forum, bicara karya dan dialog)" bagi mempopularkan seni, bahasa, budaya dan susastera nusa bangsa.
Deklamasi Sajak - Chai Loon Guan

        Hadiah Sastera Darul Ridzuan 4 pula diwujudkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan kepada para penulis Perak Darul Ridzuan kerana sumbangan yang diberikan dalam bidang pengembangan bahasa dan susastera kebangsaan. Program ini diharapkan dapat mendorong dan menjana kreativiti penulis Perak agar lebih produktif dan mencipta karya sastera yang lebih bermutu sebagai khazanah persuratan nusa bangsa. Secara rincinya, matlamat HSDR 4 ialah:

a.     Meneliti dan menilai perkembangan kesusasteraan di Negeri Perak  Darul Ridzuan.
b.   Menjadi ukuran terpenting untuk memantau prestasi penulis-penulis   Negeri Perak Darul Ridzuan.
c.     Menjadi dorongan kepada para penulis untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.
d.   Mendapatkan hasil karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu.
e.    Menggalakkan para penggiat sastera dan persuratan untuk berusaha lebih giat lagi dalam pengembangan bahasa dan susastera di Perak Darul Ridzuan.
f.      Memberikan penghargaan kepada para penulis Perak Darul Ridzuan yang telah menghasilkan karya-karya bermutu tinggi dan mengharumkan nama negeri.

Seni Tari Sumatera

        Sepanjang empat hari tiga malam di Hotel Coral Bay, Resort Puteri Bayu dan Arena Pangkor, Pasir Bogak, Pulau Pangkor, para peserta festival termasuk YBhg. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh, SN Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan SN Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) berpeluang untuk mengikuti beberapa aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu nusantara, termasuklah bicara karya, deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi moden, persembahan lagu rakyat, dendangan puisi tradisional seperti syair, gurindam, dan nazam, forum, tarian, paluan alat muzik 1Malaysia dan pembentangan beberapa kertas kerja oleh para sarjana dari dalam dan luar negara, termasuklah dari Indonesia, Perancis, dan Brunei Darul Salam.

Bicara Karya - Antologi Sajak KKF

        Antara program yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta ialah bicara karya antologi puisi, "Kembali kepada Fitrah" karya Rosmiaty Shaari, novel "Luka Nering" karya Dr. Hj. Malim Ghozali PK, ulasan buku, "Politik, Politik, Politik" karya Zambry A.K., antologi cerpen, "Perlanggaran Mimpi" karya Ramli Daud (Sasterawan Felda) dan antologi esei, "Sajak Serumpun Melayu" karya Dr. Shafwan Hadi Umry dari Indonesia. Sebelum sesi Minum Petang bersama dengan YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Besar, Perak Darul Ridzuan di Resort Puteri Bayu, peserta juga dipertontonkan filem yang berjudul "Ten", yakni sebuah filem arahan Sutradara Abbas Kiarostami di Dewan Merulina, Hotel Coral Bay, Pasir Bogak, Pulau Pangkor.

        Pada 13 Disember 2014, acara malam kemuncak Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 5 (PULARA 5) dan majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan 4 (HSDR 4) pula telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, Menteri Besar, Perak Darul Ridzuan di Arena Pangkor, Pasir Bogak, Pulau Pangkor disusuli ucaptama seni bahasa, budaya dan susastera Melayu oleh YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad.

Barisan Penerima Anugerah HSDR 4 (19 Kategori)

        Sebanyak sembilan belas kategori hadiah ditawarkan untuk dimenangi oleh para penulis dan penggiat bahasa dan susastera Melayu di Negeri Perak Darul Ridzuan, tidak termasuk Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan, Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan dan Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat. Panel Penilai HSDR 4 dipengerusikan oleh YBhg. Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, YBhg. Profesor Madya Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) dan YBrs. Tn. Hj. Abdul Rahim Abdullah.

Dr. Hj. Malim Ghozali PK - Penerima Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan.

        Sekalung tahniah dan syabas kepada Dr. Hj. Malim Ghozali PK, penerima Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan, Dr. Hj. Zabidin Hj. Ismail, penerima Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan dan Datuk Mohd. Mansor Abdullah, penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Perak Darul Ridzuan serta sembilan belas pemenang/penulis Perak Darul Ridzuan.

        PULARA 5 dan HSDR 4  berakhir dengan penuh jaya, bergaya dan nostalgik di lobi Hotel Coral Bay pada pagi Ahad, bersamaan 14 Disember 2014 dengan segmen acara "Secawan Kopi Seuntai Puisi". Salam Perak Aman Jaya. Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan,
Munsyi Dewan (Bahasa)
35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: