Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, November 25, 2014

Klinik Ping Pong MMS - MDTM 2014

LAPORAN KEGIATAN - KLINIK PING PONG

Majlis Masyarakat Sivil (MMS) dengan kerjasama MAJLIS DAERAH TANJONG MALIM (MDTM) telah berjaya menganjurkan Klinik Ping Pong pada 22 November 2014 bertempat di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, Behrang 2020. Majlis perasmian Klinik Ping Pong ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Mohd Khusairi bin Abdul Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Slim.

Klinik Ping Pong anjuran MMS - MDTM ini terbuka kepada murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar kawasan Tanjong Malim, Behrang dan Slim River. Antara matlamat utama penganjuran klinik ini adalah untuk mendedahkan permainan ping pong kepada generasi muda, khasnya kanak-kanak di Daerah Mu'alim selain menggalakkan anak-anak didik pelbagai kaum untuk mengambil bahagian, sekali gus memupuk kesedaran tentang kepentingan kesihatan melalui aktiviti riadah dalam kehidupan sehari-hari. Para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi dan mempererat tali silaturahim antara peserta/pemain yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang di Daerah Mu'alim. Yang menariknya, para peserta klinik diajar tentang teknik dan taktik pukulan hadapan, pukulan belakang, kawalan bola, servis, yakni servis putaran tepi, servis putaran bawah, servis putaran bawah dan tepi, selain perancangan masa, pergerakan kaki ke kiri dan ke kanan, dan pergerakan kaki masuk dan keluar. Minuman pagi dan makan tengah hari turut disediakan oleh urus setia untuk peserta, tetamu dan pegawai meja.

Yang jelas, nilai integrasi nasional dapat dipupuk secara sihat, cergas dan cerdas melalui aktiviti sukan dan permainan. Klinik sehari suntuk ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Tharmizi bin Mohamed Som, PJK, Jurulatih Tahap 1, Persatuan Ping Pong Malaysia. Majlis penyampaian sijil kepada peserta klinik telah disempurnakan oleh Wakil Majlis Masyarakat Sivil, Majlis Daerah Tanjong Malim sebelum berakhir dengan kudapan petang.

• Encik Chai Loon Guan, MMS - MDTM 2014@Munsyi Dewan (Bahasa)

No comments: