Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, November 10, 2014

Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja 2014




Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja 2014
          Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama intim Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) 2014 di One City, Sky Park, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan pada 7 - 9 November 2014.
          Bengkel yang julung-julung kali diadakan ini merupakan program penulisan yang diberikan khusus untuk membimbing para penulis remaja di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh Malaysia seiring dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menyokong dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris atau ringkasnya, MBMMBI.
          Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama akrab DBP telah mengambil daya usaha untuk mengadakan bengkel penulisan cerpen dan puisi (sajak) kepada para murid dari Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh Malaysia.
          Menurut Presiden, Pusat Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Datuk Goh Hin San bahawa program ini bertujuan untuk membina dan menggilap bakat penulis baharu dalam kalangan remaja. Bengkel ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan susastera Melayu, tetapi juga melatih tunas remaja menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dengan baik, kreatif dan betul.
          Bengkel penulisan cerpen telah dibimbing oleh cerpenis dan penganalisis susastera Melayu tanah air, Puan Zaleha bt. Ahmat manakala bengkel penulisan sajak pula dibimbing oleh Munsyi Dewan (Bahasa) dan penulis bukan Melayu tanah air, Encik Chai Loon Guan. Selain bimbingan dan tunjuk ajar secara bersistematik dan berkesan, setiap peserta tunas remaja SMPC juga diwajibkan menghasilkan dua buah cerpen dan tiga buah sajak mencakupi pelbagai tema dan persoalan sebagai tugasan untuk dinilai dan diedit sebelum diterbitkan dalam sebuah antologi cerpen dan sajak oleh DBP menjelang Jun 2015.

Kiriman: Chai Loon Guan, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.


No comments: