Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, November 20, 2014

BBK di Daerah Mu'alim



Berita III:
Bulan Bahasa Kebangsaan di Daerah Mu'alim

            Majlis Masyarakat Sivil, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah berjaya melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Daerah Mu'alim pada 18 November 2014 bertempat di Auditorium, Aras 3, MDTM. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan dengan rasminya oleh YBhg. Tuan Khairil Akhtar bin Ghazali, AMP, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim.
            Selain nyanyian lagu kebangsaan, "Negaraku" dan "Bahasa Jiwa Bangsa", beberapa aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu telah disusunaturkan untuk penyertaan masyarakat sekitar Tanjong Malim, Behrang dan Slim River. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dan mendapat sambutan masyarakat adalah  seperti Ceramah Bahasa, Sayembara Deklamasi Sajak, Pertandingan Bercerita dan Pameran Buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Antara matlamat sambutan BBK peringkat Daerah Mu'alim adalah untuk mendekatkan masyarakat Tanjong Malim dan sekitarnya kepada penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan gramatis selain usaha MMS - MDTM untuk menyemarakkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus memupuk semangat jati diri nusa bangsa yang tercinta, Malaysia.

            Sesi Ceramah Bahasa merangkumi dua slot, iaitu Slot I bertajuk, "Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa" dan Slot II pula menyentuh aspek penulisan minit mesyuarat yang bermutu dan berkesan. Kedua-dua slot tersebut telah dikendalikan oleh Encik Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka. Puan Norsaedah Che Ri (Hakim pertandingan) turut sempat mendendangkan serangkap dua gurindam yang bertemakan "Bahasa Jiwa Bangsa" (Nukilan spontan oleh Encik Mohd Hashim Osman, hakim pertandingan) kepada para hadirin di Auditorium MDTM.

            Majlis penyampaian hadiah dan cenderamata kepada barisan pemenang pertandingan deklamasi sajak dan bercerita serta para hakim telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Siti Azura bt. Haji Juki, Setiausaha, Majlis Daerah Tanjong Malim sebelum para peserta pertandingan dan ceramah, hakim, dif-dif jemputan dan urus setia diraikan dengan jamuan makan tengah hari. Bahasa Jiwa Bangsa.

Kiriman:
Chai Loon Guan, 
Ahli MMS, Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
18 November 2014.

No comments: