Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, November 6, 2014

Antologi Sajak KINJANG



Sajak
Lata Kinjang
betapa
ajaib, Tuhanku
dari hulu ke hilir
kudus air di jerammu
daripada Titiwangsa
sapa-menyapa mesra
menuruni lembah
membasahi bumi
khatulistiwa
barangkali rahsia
rimba tropika
dan suburnya flora
dan fauna
mencelikkan warga
mengagumkan dunia
di sinilah, masih kedengaran
pujuk rayu
ikan-ikan bercengkenama
di kali akrab
melodi cinta
flora fauna berasmaraloka
di rimba intim
hidup damai aman terpelihara
tanpa perakus
dan algojo pembangunan

lumrah, buana kehidupan
adalah luka makmur
adalah duka bahagia
tanpa dosa tanpa noda
Kinjangku, mahu aku
mendakapmu penuh cinta
mengasihimu penuh setia
tanpa dusta
tanpa pura-pura
dirgahayu, Kinjangku!

Chai Loon Guan,
Tg.Malim.


KINJANG II
warnamu
hijau dalam sejuta
hijau
nafasmu
kudus sekudus
kabus
menyelimuti pergunungan
banjaran Titiwangsa

alammu
aman tenteram
dibeningkan oleh melodi Kitaro
bukan fatamorgana
tetapi menginsafkan insan
tentang keagungan Tuhan

makhlukmu
hidup harmoni
bebas tanpa asap polusi
cemar noda pembangunan rakus
sang algojo buas
dunia kebendaan

lata kinjang
ilham kepada insan
mententeramkan kehirukpikukan
dunia manusia skizofrenia
ilham kepada penyair
mendambakan bahasa alammu
di buana puisi
lata kinjang
keindahanmu
menggamit kedatanganku
sambil bertanyakan khabar
anak-anak Titiwangsa
dapat kupetik bait-bait aksara alammu
dapat kutelusuri laras rahsia sejarahmu,
menghiasi notelun puisi kinjangku!

Chai Loon Guan,
Taman Berop Idaman, Tg. Malim.
 

No comments: