Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, October 3, 2014

Cerpen T4 - ISRAK



ISRAK
(Erda Roslan Khairi)
Sinopsis

          Cerpen Israk mengisahkan Adam, iaitu anak tunggal Wah, telah balik ke kampung bersama-sama isterinya, Siti Hawa dan anak-anaknya, Israk dan Mikraj di Kampung Sayong Perak. Keadaan rumah yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas dan keselesaan menyebabkan anaknya Israk berasa kurang senang dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung. Namun adiknya, Mikraj suka akan suasana kampung dan menyebabkan mereka sering bertikam lidah. Hal ini berlaku kerana Israk telah dibesarkan di luar negara. Tindakan Israk yang sering menghina dan menggores perasaan Wah menimbulkan rasa kurang senang Mikraj dan dia sering mempertikaikan perbuatan Israk terhadap Wah. Perbezaan pendapat ini telah mencetuskan perang mulut antara mereka. Namun Wah tidak suka mereka bertengkar bagai anjing dengan kucing dan mahu mereka berbaik-baik semula walaupun hati Wah terluka. Suatu hari, bekalan air paip di kampung Sayong telah terputus menyebabkan Mikraj mencadangkan agar abangnya mandi di sungai. Namun, Israk telah terjatuh dan Wahlah yang berusaha menyelamatkan Israk sehingga naik ke tebing. Akhirnya, Israk insaf dan berubah. Dia mula memakai baju Melayu, makan nasi, dan mencari jering serta tempoyak untuk dimakan.

Tema
          Perbezaan budaya dan kehidupan dalam sebuah keluarga sehingga mencetuskan pertentangan pandangan dan nilai. Israk yang dibesarkan di Perth, Australia mempunyai pandangan yang berbeza dengan adiknya tentang kampung, kehidupan dan diri neneknya, Wah.

Persoalan
Persoalan jati diri
Israk yang dibesarkan di Perth, Australia tidak mempunyai jati diri ketimuran akibat persekitaran dan cara dia dibesarkan. Hal ini bertentangan dengan sifat adiknya, Mikraj yang lebih kukuh dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran.

Persoalan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Wah seorang nenek yang menyayangi cucunya, walaupun cucunya amat ego dan selalu melukakan hatinya namun Wah tetap sabar. Hal ini terpancar apabila Wah menyelamatkan Israk yang hampir lemas dengan tenaga tuanya.

Persoalan tanggungjawab bapa terhadap keluarga.
Adam menjalankan tanggungjawabnya kepada anak-anak. Dia membiasakan anak-anak dengan kehidupan kampung di tempat dia dibesarkan agar anak-anaknya tidak sombong dan lupa diri kerana biasa hidup mewah di bandar.

Latihan Pemahaman:
                1. Mengapakah Israk berasa tidak selesa hidup di kampung?         
                2. Mengapakah Wah tidak mahu menjual rumah uzurnya kepada Majlis Daerah?
Jawapan:
1. Israk berasa tidak selesa hidup di kampung kerana dia dibesarkan di Perth, Australia yang mewah dengan kekayaan lebih-lebih lagi dia bakal menjadi orang korporat.   
    2.  Wah tidak mahu menjual rumah uzurnya kerana masih berpegang pada amanah ibunya lebih-lebih lagi rumah itu menyimpan sejuta rahsia hati dan kenangan dalam kehidupan Wah.
     (Sumber: BPK KPM)


No comments: