Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, September 21, 2014

PdP Cerpen "Hutan Rimba" - BM T5



PdP Cerpen "Hutan Rimba" dalam Sajak
oleh Chai Loon Guan
Pendahuluan

          PdP cerpen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak semestinya hanya bergantung pada buku teks komsas semata-mata, malah sebaliknya sebagai munsyi bahasa, guru sewajarnya memikirkan kaedah, pendekatan dan teknik yang bersesuaian untuk mengajarkan aspek cerpen (prosa moden) di dalam bilik darjah, lebih-lebih lagi apabila guru berhadapan dengan murid yang berada pada Band  1, 2 dan 3 atau boleh saya kategorikan sebagai murid-murid yang mempunyai tahap penguasaan bahasa yang sederhana lemah, lemah dan amat lemah sekali. Barangkali, usaha guru menterjemahkan teks cerpen pengajaran ke dalam teks sajak dapat sedikit banyak membantu murid-murid dalam kategori tersebut untuk membaca, menghayati dan memahami jalan cerita atau plot secara berkesan sebelum murid-murid diuji dengan soalan pemahaman berlainan aras sebagai latihan pengukuhan.  Sebagai langkah pengayaan pula, guru bahasa Melayu juga dapat menguji kemampuan murid-murid dalam aspek gaya bahasa sajak, yakni merangkum aspek anafora, personifikasi, metafora, selain mendedahkan kosa kata baharu bersertakan maknanya sebagai langkah awal untuk membolehkan murid-murid membina ayat atau sintaksis bahasa Melayu sebagai latihan tambahan.

Cerpen:
Hutan Rimba dalam Sajak (Sasjira)

bersama jentolak Caterpiller
Pak Tua meneroka
hutan rimba
alam flora menjerit luka
alam fauna meratap hiba
satu persatu hutan rimba
menyembah bumi

tiga dekad
nostalgia mengusik memori duka
gauman sombong
lori-lori balak dan asap hitam
menelusuri jalan tanah merah
timbunan kayu
berakit di Sg. Kinabatangan
sebelum berlabuh
di Daerah Sandakan
kembalilah, unggasku
kembalilah, mergastuaku
kembali mendiami hutan belantara
yang rimbun menghijau
di tanah leluhur
"Sudahlah...kita cuma mencari rezeki!" kata Mak Tua
anak-anak Pak Tua
Ajam, Bakar, Melati dan Budi
sudah membesar dewasa
dan berkerjaya
seorang peniaga
seorang pengurus ladang
seorang pensyarah
seorang guru
syukur, keberhasilan anak-anak harapan
berkat harta warisan - hutan rimba dan terumbu karang
menjadi korban dalam iltizam

Sesungguhnya,
tidak lupa daratan, Pak Tua
di sinilah, Sg. Kinabatangan menjadi saksi
terbinanya sebuah cinta
Pak Tua dengan gadis sungai
di rumah bahagia
kini, senja usia
sudah bersketsa di garis horizon
kehidupan
masih sempat Pak Tua
melestarikan harta warisan alam
daripada kemusnahan
daripada pencemaran
dan, berkampunglah Pak Tua sekeluarga
suri, anak cucu menantu
di rumah kebun
di hutan simpan
bersaksikan pepohon merimbun
menjalar melata aneka tumbuhan
anggerik liar
buah-buahan dan menu kasih
keluarga yang tercinta
akrab intim Pak Tua
mendongeng sambil membelai manja
cucu
sesekali diselangselikan nyanyian cengkerik
dan bunyi-bunyian unggas
memadamkan mimpi ngeri silam
di buana kehidupan!
Chai Loon Guan, Tg. Malim.
(Sumber: Antologi Dirgahayu Bahasaku, DBP 2010.)

Gaya Bahasa dalam Sajak "Hutan Rimba"

Frasa
Gaya Bahasa
hutan rimba menyembah bumi
nostalgia mengusik memori duka
alam flora menjerit luka
alam fauna meratap hiba
Personifikasi
Memori duka
Gauman sombong
rumah bahagia
senja usia
menu kasih
buana kehidupan
lupa daratan
Metafora
kembalilah, unggasku
kembalilah, mergastuaku
alam flora menjerit luka
alam fauna meratap hiba
daripada kemusnahan
daripada pencemaran
di rumah kebun
di hutan simpan
Anafora

Kosa Kata dan Makna dalam Sajak "Hutan Rimba"

Kosa Kata
Makna
Meratap
Mengeluh, menangis, menjerit
Nostalgia
Kerinduan pada sesuatu yang pernah dialami pada masa lalu, kenangan
Memori
Kenangan, ingatan
Melestarikan
Mengekalkan, menetapkan
Cengkerik
Sejenis serangga, keridik
Unggas
Segala jenis burung
Mergastua
Binatang-binatang di hutan
Leluhur
Nenek moyang
Keberhasilan
Perihal berhasil
Berkat
Rahmat, restu
Warisan
Harta pusaka, harta peninggalan
Iltizam
Pengorbanan

Berpandukan kosa kata dan makna yang telah dibincangkan, murid-murid diminta membina ayat yang gramatis seperti yang berikut:


Kosa Kata
Ayat / Sintaksis
Meratap
Warga dunia yang prihatin dan bersimpati meratap kematian rakyat Palestin yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza.
Nostalgia
Peristiwa silam dua dekad setengah yang lalu menjadi nostalgia Ah Seng dan keluarganya.
Memori
Tragedi berdarah itu menjadi memori luka bagi keluarga Pak Cik Mutu.
Melestarikan
Pelbagai usaha telah dijalankan untuk melestarikan Bahasa Melayu di persada tanah air.
Cengkerik
Bunyi-bunyian cengkerik kedengaran di desa pedalaman pada waktu malam.
Unggas
Unggas di Malaysia menjadi daya tarikan para wisatawan luar negara ke Malaysia.
Mergastua
Profesor Dr. Ahmad, pakar mergastua di benua Nusantara.
Leluhur
Leluhur saya seorang ahli seni kung fu yang terkenal di Asia Tenggara.
Keberhasilan
Malaysia dijangka akan mencapai keberhasilan utama dalam bidang teknologi  maklumat menjelang Wawasan 2020.
Berkat
Kejayaan Ali dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini berkat daya usaha gigihnya sejak dua tahun yang lalu.
Warisan
Seni kata lagu "Warisan" nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad menjadi warisan bangsa dan negara.
Iltizam
Iltizam, kesungguhan dan kecekalan amat diperlukan untuk kita bangunkan cita-cita di buana kerjaya pada masa depan.

Latihan Pemahaman Cerpen - Hutan Rimba

1. Berikan maksud frasa "...di tanah leluhur" dalam cerpen di atas.

2. Berikan dua kepentingan hutan kepada manusia.

3. Nyatakan dua langkah lain selain menjadikan tanah pusakanya sebagai hutan simpan yang boleh diambil oleh Pak Tua untuk melestarikan warisan alam.

Jawapan

1. Frasa "...di tanah leluhur" bermaksud di negeri atau daerah nenek moyang.

2. Dua kepentingan hutan ialah sebagai sumber makanan dan sumber herba dan akar kayu untuk perubatan.

3. Pak Tua wajar memberikan penerangan tentang kepentingan khazanah alam kepada para pengunjung dusunnya dan bekerjasama dengan Jabatan Hutan agar hasil hutan simpannya tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesimpulan

          Sebagai kesimpulannya, daya kreativiti guru bahasa dapat menjadikan PdP di dalam bilik darjah berkesan dan menarik. Selain, objektif pengajaran guru tercapai, murid-murid di dalam bilik darjah dapat menimba ilmu dan kemahiran hasil daripada pembelajaran cerpen "Hutan Rimba" dalam genre sajak. Sebagai langkah pengukuhan atau barangkali pengayaan, murid-murid diminta menjawab tiga soalan pemahaman berpandukan teks asal cerpen dalam kumpulan masing-masing dengan bimbingan guru di dalam bilik darjah. PdP berasaskan semangat musyawarah menyerlahkan nilai-nilai kerjasama dan merancakkan PdP di samping mengukuhkan semangat berpasukan murid dalam satu pasukan,  yakni menjayakan pengajaran dan pembelajaran cerpen "Hutan Rimba" dalam kalangan murid Tingkatan 5 di dalam bilik darjah.

(Hak Cipta Terpelihara - CLG)

No comments: