Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, August 15, 2014

Cerpen "Mencari Nafas Baharu" dan "Segala yang Tercinta Ada di Sana"



CERPEN:
Mencari Nafas Baharu
(Ayusari MJ)

Sinopsis
                 Cerpen ini mengisahkan Ana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampung Chat, Hulu Pahang. Ana dan semua guru gigih berusaha menaikkan nama sekolah. Ana mula gelisah apabila anak murid kesayangannya, Milah tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut. Ana terus ke rumah Milah untuk menziarahinya. Dia mendapati  Milah sakit dan dalam keadaan yang lemah. Ana membawa Milah ke hospital dan doktor mengesahkan Milah menghidap penyakit leukemia jenis limfoblastik (ALL). Ana sedih kerana Milah meninggal dunia akibat penyakit tersebut sebelum sempat menerima sumsum tulang daripadanya. Peristiwa sedih itu menyebabkan Ana memohon ditukarkan kembali ke tempat  kelahirannya.

Tema
Cerpen ini bertemakan pengorbanan seorang guru.
          Ana sanggup mengajar di sebuah sekolah di pedalaman Pahang. Dia bersama-sama guru di situ berusaha keras menaikkan prestasi sekolah. Dia juga berhasrat untuk mendermakan sumsum tulang kepada muridnya, Milah yang menghidap leukemia. Malangnya, Milah meninggal dunia  sebelum sempat menerima sumsum tulang  Ana.

Persoalan
      i.        Kegigihan guru-guru untuk menaikkan prestasi sekolah.
Contoh: Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chat bekerja keras menaikkan prestasi sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum.
     ii.        Pengorbanan guru terhadap murid.
Contoh: Ana sanggup berkorban dengan mendermakan sumsum tulang kepada Milah.
     iii.        Kasih sayang guru terhadap murid.
Contoh:  Ana menyayangi Milah seperti adik sendiri.
   iv.        Suka duka guru yang mengajar di pedalaman.
Contoh: Ana gembira mengajar di pedalaman Pahang namun dia amat sedih apabila anak murid kesayangannya meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulangnya.

    v.        Kepentingan perubatan moden.
Contoh: Ana membawa Milah ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah dia tidak sembuh dengan cara perubatan tradisional.

Latihan I:
Nyatakan Pola Ayat Dasar dalam cerpen "Mencari Nafas Baharu":

Bil.
Ayat
Pola Ayat Dasar
01.
Ana merenung jauh.

02.
Minah anak sulung.

03.
Perbualan mereka semakin rancak.

04.
Ajal maut di tangan Tuhan.

05.
Ana mengangkat tangan memohon restu Illahi.


CERPEN:
Segala yang Tercinta Ada di Sana
(Zainal Rashid Ahmad)

Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan kehidupan penulis dan rakan-rakannya yang dibesarkan di kampung.  Rata-rata penduduk kampung merupakan masyarakat miskin yang terpaksa bergantung kepada semua sumber tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling untuk mengubati penyakit kerana kos perubatan mahal.  Mereka diajar mengaji oleh Hajah Tom yang sering bermurah hati dan dan amat disayangi oleh mereka.  Mereka juga diajar tentang hal ehwal agama oleh Imam Haji Salleh Pumpong.  Hubungan penulis dan rakan-rakan amat rapat dengan Hajah Tom dan Haji Salleh Pumpong. Kematian kedua-dua orang yang disayangi ini memberikan kesan kepada penulis dan rakan-rakan.

Tema
Cerpen ini bertemakan tradisi kehidupan dalam masyarakat Melayu tradisional di kampung.  Masyarakat kampung bergantung kepada tumbuh-tumbuhan semula jadi bagi menjalani kehidupan mereka termasuklah dalam perubatan tradisional dan sumber makanan harian bagi mereka.  Guru mengaji dan imam pula merupakan tempat rujukan bagi mendalami ilmu agama dan mengatasi sebarang masalah dalam kehidupan harian. 


Persoalan

  1. Kepentingan alam semula jadi dalam meneruskan kehidupan harian.
Contoh: Herba tumbuhan seperti daun melong, ubi jaga, asam jawa dan buah kundur digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. 
  1. Pendidikan agama dalam masyarakat.
Contoh: Bagi masyarakat Melayu tradisional, guru mengaji dan imam merupakan orang-orang penting bagi mendidik ahli-ahli dalam masyarakat
  1. Ketaatan kepada guru.
Contoh: Masyarakat kampung tradisional, terutamanya kanak-kanak amat taat kepada guru mengaji dan imam kampung.
  1. Kemiskinan masyarakat di kampung
Contoh: Masyarakat kampung digambarkan sebagai masyarakat yang miskin.  Penulis dan rakan-rakannya digambarkan sebagai orang miskin yang sudah lali dengan kelaparan.

Latihan II:
Cari makna kosa kata dalam cerpen "Segala yang Tercinta Ada di Sana":

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Meramukan

02.
Melimpah

03.
Serapah

04.
Memustajabkan

05.
Terkehel

06.
Melecet

07.
Semalaman

08.
Gusar

09.
Khatam

10.
Bertawakal

11.
Terjungkit

12.
Sejengkal

13.
Daif

14
Jenazah

15.
Terjengul



·         Cikgu Chai Loon Guan, PPP DG 48 - Munsyi Dewan (Bahasa), SMK Methodist, Tg. Malim.

No comments: