Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, July 31, 2014

Sajak - Akhirnya Sebuah Perjalanan



Akhirnya Sebuah Perjalanan
(...setelah selesai menelaah sebuah ceritera tentang seekor hidup bernama semut)

duduk santai ia
di balkoni
sambil menghayati landskap alam
bertemankan secawan kopi
terlintas sang semut
mengangkut daun kehidupan
meredahi destinasi berliku
hentian demi hentian
pusingan demi pusingan
lencongan demi lencongan
sepanjang perjalanan

seketika,
ditemukan retak garis
di pertengahan perjalanan
berhenti sang semut itu
berfikir menghitung analisis
daun dijadikan titi
menyeberangi kehidupan
hebat sebenarnya,
sang semut itu
tanpa putus asa
sekecilmu, makhluk Tuhan
kaya akal untuk mentafsir
menemukan ikhtiar
sebelum pulang
ke rumah
sekecil sebuah lubang
yang tidak termuat akan
daun pencarian
yang dipikul
yang dijaga
sepanjang perjalanan

pulanglah akhirnya, sang semut
sehelai sepinggang
tanpa apa-apa
kecuali dewasa tua
oleh usia pengalaman
yang masih bersisa

demikianlah, kehidupan
bisik hati kecil, ia
sering kita dihambat
resah gelisah
tentang keluarga
tentang kerjaya
tentang kebendaan
tentang kediaman
porche, mercedes atau bmw
busana duniawi
pasrah
sebelum berangkat pulang
ke rumah-Nya
segala-galanya
akan kita tinggalkan
dunia fana ini
selama-lamanya!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

No comments: