Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, July 22, 2014

BM PT2 - Analisis Novel ESP



Novel: Erti Sebuah Pengorbanan
(Zaihanim bt. Zainal Abidin)

Bab 1: Kisah Seorang Kawan
                Iman Zulaikha, gadis berusia 13 tahun, bersahabat baik dengan Pei Wen. Mereka tinggal berdekatan dan belajar bersama-sama. Ibu bapa Iman telah bercerai ketika Iman berusia 12 tahun. Iman tinggal bersama-sama datuk dan neneknya, setelah ibunya melanjutkan pelajaran ijazah kedoktoran di New Zealand selama dua tahun.

                Linda dan Iman bermusuh ketat di sekolah. Linda tidak mahu menganggotai kumpulan kerja kursus Sejarah Iman. Akhirnya, Iman bertindak menyertai kumpulan Zulkarnain dan Mohana. Iman turut bersimpati akan nasib Pei Wen. Saban hari, Pei Wen perlu berhadapan dengan ibu tirinya yang garang. Ketika merenung gambar keluarga, Iman terkenang akan perpisahan ibu dan bapanya. Walaupun mereka sudah berpisah, namun ibu dan bapanya masih bersahabat dan berharap agar Iman belajar berdikari dan menerima kenyataan.

                Selepas waktu zuhur, Pei Wen mengunjungi rumah Iman. Pei Wen meluahkan perasaannya tentang ibu tirinya (mak cik, gelar Pei Wen) dan kehadiran lelaki asing kepada Iman. Sikap ibu tirinya (mak cik) berubah sejak dia keguguran apatah lagi bapa Pei Wen senantiasa sibuk di gerai ikan. Ibu tirinya pula sibuk menyiapkan tempahan kain baju pelanggan. Datuk dan nenek Iman telah menasihati Pei Wen.

                Sebelum tidur, Iman akan membaca dan membalas e-mel ibunya di New Zealand. Melalui e-mel, ibu memberitahu Iman tentang kesibukan kuliah dan tugasannya. Turut disebut, Albert, pemuda Inggeris yang berkaca mata, kenalan baharu ibu. Menurut Iman, ayahnya baru balik dari Manila. Iman bertekad untuk menyatukan ibu dan ayahnya semula. Dia mempunyai rancangan  pada 15 hari bulan kerana hari tersebut ialah hari jadi ibunya.
Bab 2: Pemilihan
            Di dalam kelas Tingkatan Satu Dinamik,  Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial kepada murid-murid Tingkatan Satu Dinamik. Adif Danial bertukar dari SMK Damansara. Linda pula mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Adif dan bersedia untuk menolong Adif.

            Cikgu Julia mengumumkan bahawa pertandingan pidato peringkat daerah. Pelajar yang bernama Ai Ling mencadangkan agar Iman dipilih untuk mewakili sekolah. Malangnya, Linda tidak bersetuju. Sebenarnya, Linda ingin bertanding dengan Iman. Cikgu Julia akan berbincang dengan Cikgu Osman, guru Perbama tentang tarikh pertandingan bersertakan tajuknya. Berkat dorongan dan sokongan rakan-rakan, akhirnya Iman bersetuju untuk berentap dengan Linda.

            Selepas waktu rehat, Iman dan Pei Wen berbual-bual tentang ibu tiri Pei Wen. Menurut Pei Wen, ibu tirinya meminta maaf dan berpesan agar hal yang berlaku tidak sampai ke pengetahuan bapanya. Zulkarnain dan Adif Danial menghampiri mereka. Mereka  menyatakan rasa tidak puas hati  terhadap sikap Linda semasa di dalam kelas tadi.
            Pada suatu pagi, Iman bersemuka dengan Linda. Iman ingin tahu akan alasan yang menyebabkan Linda benci kepadanya.Linda menuduh Iman bertindak  mempengaruhi kawan. Iman segera meninggalkan kelas. Pei Wen mengekorinya ke tandas. Iman menangis di dalam tandas. Dia ingin menarik diri daripada pertandingan piadato. Pei Wen tidak berpuas hati sambil bertindak memberikan dorongan kepada Iman. Akhirnya, semangat baharu menular ke dalam diri Iman.
Bab 3: Ibu dan Ayah
            Iman memberitahu ibunya bahawa dia akan menyertai pertandingan pidato melalui e-mel. Iman mengingatkan bapanya tentang hari jadi ibunya. Iman mendesak agar ayahnya mengirimkan kad ucapan bersempena dengan ulang tahun kelahiran ibu yang ke-38 tahun. Iman memohon izin untuk mengirimkan kad bagi pihak ayahnya. Ayah turut menyampaikan salam kepada datuk dan nenek Iman.

             Iman dikejutkan oleh kehadiran Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial. Mereka bersalaman dengan nenek Iman. Pei Wei sempat menghulurkan bungkusan berisi beberapa ekor ikan sungai kepada nenek. Iman muncul dan memohon kebenaran nenek untuk berlatih pidato di sekolah. Sekolah sibuk dengan akitiviti kokurikulum. Rupa-rupanya, kumpulan Linda sedang berlatih di dalamnya. Linda menyindir Iman tetapi Iman bersabar.
            Setiba di rumah, Iman mendapati bapanya berada di rumah. Iman sangat gembira. Dia meminta ayahnya datang pada hari pertandingan, tetapi bapanya tidak dapat berbuat demikian. Bapanya ingin membawa Iman serta datuk dan nenek ke pantai Port Dickson. Di Port Dickson, ketika menjamu selera, bapanya mempelawa Iman untuk tinggal bersama dengannya. Iman bercadang agar ibunya turut tinggal bersama dengan mereka kelak. Bapanya tidak memperlihatkan persetujuan dan meminta Iman bersiar-siar di kawasan pantai kerana ingin membincangkan sesuatu dengan datuk dan nenek.

            Sejak pulang dari Port Dickson, nenek Iman menjadi murung. Rupa-rupanya nenek berasa cemburu akan Yusri, ayah Iman. Nenek bimbang akan Yusri membawa Iman tinggal di bandar bersama dengannya. Menurut nenek, jika Iman tinggal bersama dengan ayahnya, maka akan sunyilah mereka berdua di kampung. Menurut Iman, dia hanya akan tinggal bersama dengan ayah sekiranya ibunya turut bersama semula.
Bab 4: Pertandingan
             Pertandingan pidato peringkat sekolah sedang berlangsung. Linda sedang berbincang dengan rakan-rakan. Iman duduk di sebelah Pei Wen dan Zulkarnain. Adif Danial tidak kelihatan. Kononnya, Adif Danial suka akan Iman. Keresahan Iman dapat ditangani dengan kehadiran Adif Danial.

            Selepas ucapan Guru Penasihat Bahasa Malaysia, tampil Cikgu Julia membaca syarat pertandingan. Peserta pertama, Norazlinda Borhan. Kemudian, tiba giliran Linda pula. Linda dapat menyampaikan pidatonya dengan lancar, bernas dan bersemangat. Sepuluh minit kemudian, giliran Iman pula. Iman terpandang akan ayahnya. Ayahnya muncul untuk memberikan dorongan semangat. Akhirnya, Iman muncul juara pidato dan mewakili sekolah di peringkat daerah. Kejayaan Iman disambut oleh rakan-rakan dan ayahnya.

             Iman memperkenalkan ayahnya kepada rakan-rakan. Ketika bapanya menghulurkan tangan kepada Adif Danial untuk bersalam, Arial Danial tidak menyambut salam itu. Iman kehairanan kerana bapanya mengenal Adif Danial. Adif Danial meminta diri dengan tiba-tiba. Cikgu Julia mengucapkan tahniah kepada Iman sambil mengingatkan bahawa pertandingan pada bulan yang berikutnya lebih bermakna. Iman perlu berusaha dengan sungguh-sungguh.

            Linda kelihatan sedih dan cuba mengelakkan diri daripada Iman. Iman mendekati Linda dan cuba memujuk Linda. Iman ingin tahu akan sebab Linda begitu marah akan dirinya. Menurut Linda, mereka boleh bersahabat dengan syarat Iman menarik diri sebagai wakil sekolah dalam pertandingan pidato daerah. Tempoh tiga hari diberikan kepada Iman. Iman mengurungkan diri di dalam bilik. Iman kekeliruan tentang Adif, permintaan Linda dan tajuk perbualan dengan ayahnya. Iman menulis e-mel kepada ibunya untuk mengadukan  perkara itu.
            Yusri, bapa Iman makan di restoran yang  di tepi sebuah tasik. Iman mendengar penjelasan daripada ayahnya tentang pengumuman nama pengganti ibunya. Wanita yang kematian suami itu bernama Sofia. Iman bertambah-tambah sedih  apabila diberitahu  bahawa  Arial Danial ialah anak tunggal Sofia. Hasrat untuk menyatukan ibu dan ayahnya tidak kesampaian.
Bab 5: Kawanku, Adif
            Pada hari Isnin, Iman masuk ke dalam kelas dengan wajah sedih. Adif masih belum tiba di sekolah lagi. Iman ditegur oleh Cikgu David kerana mengelamun di dalam kelas. Iman didenda berdiri di luar kelas.
         Pada waktu rehat,  Iman memberitahu Zulkarnain bahawa bapanya akan berkahwin lagi. Iman pun menceritakan hal perkahwinan ayahnya dengan Sofia, ibu kepada Adif Danial. Mereka bercadang ke rumah Adif pada petang itu.

            Pulang dari sekolah, datuk dan nenek Iman sedang membaca surat Razlan, anak bongsu datuk. Pak Su Razlan baru sahaja menamatkan pengajian universitinya di New Zealand dan pulang tidak lama lagi. Iman mendapat keizinan untuk pergi ke rumah Adif. Iman dan Zulkarnain tercegat di hadapan sebuah banglo. Selepas salam dibalas, muncul seorang lelaki sebaya usia datuk Iman. Zulkarnain bersalaman dengan lelaki itu sambil mendapat kepastian sama ada rumah itu rumah Adif Danial. Rupa-rupanya lelaki tua itu datuk Adif Danial. Mereka dijemput masuk.
             Zulkarnain bertanyakan khabar Adif. Giliran Iman pula berbual dengan Adif. Adif menyuruh mereka balik. Dia masih belum bersedia untuk membicarakan hal antara Iman dengan dirinya. Adif tidak memberikan peluang kepada Iman untuk memberikan penjelasan. Adif terus beredar ke tingkat atas tanpa mempedulikan Iman dan Zulkarnain. Sikap Adif ditegur oleh datuknya. Menurut datuk Adif, Adif tidak mahu tinggal bersama dengan ibunya di Kuala Lumpur kerana ibunya mahu berkahwin lagi.
            Sejak peristiwa itu, Iman tidak berani berbual dengan Adif lagi. Pada hari petang, Iman dan Pei Wen pergi ke sebuah kedai buku berdekatan dengan sekolah. Pei Wen mengajak Iman makan ais kacang di sebuah restoran yang berdekatan. Pei Wen bercerita tentang ibu tirinya sudah berbaik-baik dengannya. Lelaki misteri yang sering datang berjumpa dengan ibu tirinya ialah bekas suaminya. Bekas suaminya kerap datang untuk meminta wang daripada ibu tirinya. Akhirnya, lelaki itu telah diberkas oleh polis kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Mereka ternampak akan Linda dan Adif berjalan bersama –sama dan kelihatan rapat.
Bab 6: Kenapakah, Ibu?
            Iman berasa bimbang kerana sudah beberapa hari e-mel ibu tidak dibalas. Tidak lama lagi,  Peperiksaan Pertengahan Tahun akan bermula.  Iman tidak mempedulikan permintaan Linda. Ketika bertembung dengan Linda, Iman menjelaskan pendiriannya bahawa dia tetap akan bertanding. Keputusan itu menaikkan kemarahan Linda. Linda menolak Iman. Kaki Iman terpelecok, tersungkur di anak tangga yang terakhir dan jatuh terduduk. Linda segera beredar dari situ. Perbuatan itu terlihat oleh Mohana dan Adif Danial. Mujur Mohana memapah Iman ke biik guru.
            Iman telah berpakat dengan Pei Wen untuk merahsiakan hal tersebutkepada nenek Iman. Pei Wen cukup marah akan perbuatan Linda dan berasa bimbang akan tindakan Linda seterusnya. Iman bermohon agar hal itu juga tidak diberitahukan kepada Zulkarnain dan Adif Danial.
             Petang itu, Pak Su Razlan berkunjung ke rumah Iman.  Pak Su Razlan memberitahu Iman bahawa ibunya berhubungan mesra dengan seorang lelaki Inggeris. Iman berasa sedih kerana pada fikirannya, ibunya akan berkahwin dengan lelaki Inggeris itu. Keesokan harinya,  Iman ingin berjumpa dengan Cikgu Julia biarpun diajak oleh Pei Wen untuk pulang bersama. Selepas berkemas, Iman terserempak dengan Adif Danial dan Linda. Kemudian, Iman ke bilik guru. Akhirnya, Iman dapat berjumpa dengan Cikgu Julia. Iman meminta pandangan Cikgu Julia tentang ibunya. Iman menceritakan hal ibu dan bapanya satu persatu. Yang jelas, hasrat Iman untuk menyatukan ayah dan ibunya semula musnah kini.
Bab 7: Usaha dan Cabaran
             Peperiksaan menjelang tiba. Iman banyak memberikan perhatian terhadap pertandingan pidato. Iman semakin giat berlatih. Sudah genap sepuluh hari Iman tidak berutus e-mel dengan ibunya. Iman yakin bahawa ibunya telah menemui penggantin bapanya higga melupakannya. Iman berbual-bual dengan nenek dan nenek berkongsi luahan rasa Iman. Nenek tahu benar akan perangai ibu Iman. Tentu ada sebab ibunya tidak membalas e-melnya. Kata-kata nenek telah menyedarkan Iman.
            Tiba-tiba datuk memanggil nenek dan Iman, mereka dikejutkan dengan panggilan Ruhaida, ibu Iman dari New Zealand. Rupa-rupanya, ibu Iman terlantar di hospital selama sepuluh hari kerana kemalangan jalan raya. Iman menangis teresak-esak kerana bersalah menuduh ibunya. Iman meluahkan perasaannya melalui e-mel.
            Sehari sebelum pertandingan, Iman kehilangan diari. Dalam diari itu pula terselit teks pidatonya. Pei Wen berusaha mencari diari itu di beberapa tempat, tetapi gagal. Oleh sebab diari itu tidak ditemukan, Iman terpaksa menulis teks pidatonya semula. Tambahan pula, teks pidato perlu diserahkan kepada pihak penganjur sebagai memenuhi syarat pertandingan.
             Iman tiba di sekolah kira-kira pukul 8.15 pagi.  Setiap sekolah menghantar enam orang wakil. Iman peserta kedua terakhir. Pei Wen menjadi peneman dan pendorong utama Iman. Zulkarnain, Adif Danial dan Ai Ling turut hadir memberikan perangsang. Ayah Iman turut hadir. Yang penting, Iman memberikan tumpuan kepada persembahannya nanti.
Bab 8: Pengorbanan
             Kejayaan Iman muncul johan pidato daerah menjadi bahan perbualan di sekolahnya.  Dia menjadi popular. Iman menjadi lebih gembira kerana hubungannya dengan bapa kian erat.
            Hari terakhir sebelum sekolah mula bercuti selama dua minggu. Kelas Tingkatan Satu Dinamik riuh-rendah. Cikgu Julia akan mengumumkan keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun. Adif Danial, Iman Zulaikha dan Haris Fadzillah menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga di dalam kelas. Kedengaran tepukan dan ucapan tahniah. Zulkarnain dan Pei Wen mendapat tempat keenam dan kelapan. Pada keseluruhannya, Cikgu Julia amat berpuas hati dengan prestasi murid-muridnya. Cikgu Julia tidak lupa mengingatkan murid-muridnya agar mengulang kaji pelajaran pada musim cuti.
            Adif Danial pula akan bertukar ke Kuala Lumpur. Keadaan ini dijadikan modal untuk Zulkarnain untuk mengusik Adif Danial dan Iman. Dalam kesibukan murid-murid menyemak keputusan, muncul Cikgu Shaharudin, guru disiplin sekolah itu. Linda dan Iman dipanggil ke depan kelas. Diari ungu dikeluarkan daripada sampul surat. Iman tersentak. Linda tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Shaharudin. Salah seorang murid dari kelas Tingkatan Satu Anggerik telah membuat pengakuan bahawa dia telah mengambil diari Iman seperti yang telah dirancang oleh Linda. Linda menangis sambil menutup wajahnya dengan tapak tangan. Iman sedia memaafkan Linda seandaInya dia sedia berubah. Linda mendakap Iman dengan erat. Cikgu Shaharudin terpana melihat sikap terpuji yang ditunjukkan oleh Iman, anak murid kesayangan Cikgu Julia.
            Datuk dan nenek Iman mengadakan kenduri kesyukuran. Kawan-kawan Iman turut dijemput. Adif Danial datang bersama dengan ibunya, Mak Cik Sofia. Pei Wen pula datang dengan bapa dan ibu tirinya.
             Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. Rumah kembali sunyi. Bapa Iman mengemukakan cadangan kepada Iman. Bapa Iman ingin bercuti bersama dengan Iman ke New Zealand dan menziarahi ibunya. Bapa Iman Zulaikha, Yusri ingin membina ikatan kekeluargaan yang runtuh selama ini semula. Iman berasa sangat gembira dan bersyukur.
Disediakan oleh: Leong Kah Qian & Chua Hau Qin , Tingkatan 2H, SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Aman.

No comments: