Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, July 24, 2014

Karangan BM T4



Pada setiap tahun, sekolah anda menjalankan aktiviti sukan dan riadah serta anda sering terlibat dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Berikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan yang diperoleh apabila anda menyertai aktiviti sukan dan riadah.

        Sukan merupakan suatu kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai pertandingan, manakala riadah pula berbentuk hiburan, atau aktiviti sihat pada masa yang lapang. Pada tahun 2010, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana sukan memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan manusia sejagat. Oleh sebab itu, pada setiap tahun, iaitu bulan Ogos sekolah saya akan mengadakan aktiviti sukan dan riadah untuk merealisasikan dasar 1Murid 1Sukan sekali gus mendorong murid-murid bersukan dan beriadah selain menjalani aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Contoh aktiviti sukan yang sering diadakan ialah acara olahraga, senamrobik, merentas desa, permainan bola sepak, badminton, hoki dan bola keranjang. Terdapat beberapa kebaikan yang dapat saya peroleh melalui aktiviti sukan dan riadah di sekolah.

        Pertama sekali, seperti murid-murid yang lain, saya juga dapat menggunakan dan memanfaatkan masa lapang saya dengan baik. Dengan menyertai aktiviti sukan dan riadah ini, aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menyalahgunakan dadah, merokok, melepak dan jenayah dapat kita jauhi. Secara tidak langsung, saya dan rakan-rakan dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial yang negatif dan merugikan masa depan. Jadi, kita harus menyertai aktiviti sukan dan riadah dari semasa ke semasa. Masa lapang yang tersedia ada dapat kita penuhi dengan acara olahraga dan permainan yang mampu membina kecergasan bukan sahaja pada fizikal bahkan juga kepada minda, bak kata peribahasa Melayu, otak yang cerdas berada pada badan yang cergas. Oleh itu, aktiviti sukan dan riadah dapat memenuhi masa lapang kita dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat tanpa perlu kita membazirkan masa oleh sebab masa itu emas.

        Selain itu, aktiviti sukan dan riadah sama ada di sekolah atau di luar sekolah membolehkan saya dan kawan-kawan mengukuhkan semangat perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Setiap kelab atau persatuan mempunyai ahli-ahli yang terdiri daripada murid pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Apabila aktiviti sukan dijalankan,  ahli-ahli yang terdiri daripada berbilang ras dan agama dapat berkongsi dan bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan aktiviti sukan dan riadah lebih-lebih lagi dalam aktiviti sukan dan riadah secara berpasukan. Dengan adanya kerjasama yang intim dan disusuli semangat kesukanan yang tinggi, maka kita dapat berkomunikasi dengan baik dan seterusnya berkongsi pengalaman demi faedah bersama. Yang jelas, hubungan dan semangat kemuafakatan antara rakan yang berbilang ras dan agama dapat diperkukuh dan dipererat dari sehari ke sehari, bak kata peribahasa, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

        Seterusnya, dengan menyertai aktiviti sukan dan riadah di sekolah kita dapat membentuk dan memantapkan disiplin diri yang tinggi. Disiplin diri merupakan suatu keperluan asas hidup yang amat penting kepada murid-murid untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Contohnya, sebelum melakukan sesuatu aktiviti sukan dan riadah di sekolah, kita akan senantiasa dilatih agar menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh guru-guru di sekolah selain mengakuri setiap syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam aktiviti sukan dan riadah demi keadilan pertandingan dan keselamatan diri. Oleh sebab itu, setiap ahli yang menyertai aktiviti sukan dan riadah dapat melakukan aktiviti yang ditetapkan oleh penganjur dengan penuh disiplin dan tidak bersikap sambalewa. Tuntasnya, disiplin diri murid dapat dimantapkan melalui aktiviti sukan dan riadah, sekali gus melahirkan modal insan yang berhemah tinggi dan berketerampilan pada masa depan. Sesungguhnya, generasi muda pada hari ini merupakan pemimpin nusa bangsa pada masa depan.

        Di samping itu, aktiviti sukan dan riadah juga dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental saya dan rakan-rakan. Kehidupan pada zaman serba moden ini memperlihatkan setiap pelajar didapati banyak menggunakan tenaga dan daya pemikiran dalam kehidupan sehari-hari, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi murid di sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi. Kesibukan murid yang terlalu mengejar dunia ilmu tanpa banyak melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan riadah telah mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan fizikal dan mental seperti penyakit jantung, kencing manis, darah tingggi, stres dan kemurungan. Jika penglibatan murid-murid dalam aktiviti sukan dan riadah dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa, maka masalah penyakit kronik tersebut dapat dielakkan bak kata pepatah Melayu, mencegah lebih baik daripada merawat. Tegasnya, penglibatan murid dalam aktiviti sukan dan riadah dapat melahirkan masyarakat yang cergas, cerdas, dan sihat.

        Akhir sekali, dengan bersukan dan beriadah juga, kita dapat mengharumkan nama baik sekolah di persada sukan peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa. Sekiranya berbakat besar dalam bidang sukan, maka kita dapat mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kejayaan kita nanti dapat mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara di arena sukan antarabangsa, seperti Sukan Komanwel, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik. Tambahan pula, aktiviti sukan juga dapat memberikan ruang dan peluang untuk kita tingkatkan sumber pendapatan secara individu atau berkumpulan. Murid-murid yang telah berjaya mencapai tahap profesional berkeupayaan untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Pemain  badminton antarabangsa seperti Datuk Lee Chong Wei dan pemain squash antarabangsa, Datuk Nicol Ann David telah menjadikan sukan sebagai kerjaya profesional yang cemerlang dan menjanjikan pulangan yang lumayan.

        Sebagai kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila saya dan kawan-kawan menyertai aktiviti sukan dan riadah di sekolah. Oleh itu, saya mengesyorkan agar rakan-rakan memanfaatkan masa lapang dengan menyertai aktiviti sukan dan riadah yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah dan ibu bapa juga haruslah berganding bahu menggalakkan anak-anak remaja mereka untuk menyertai aktiviti sukan dan riadah sebagai aktiviti yang sihat sekali gus melahirkan generasi murid yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik dan kokurikulum bahkan juga dalam aspek kesahsiahan diri. Sesungguhnya, masa depan negara bangsa amat bergantung kepada kewibawaan generasi murid pada hari ini.

Chai Wuang Xing, Tingkatan 4 Sains 1, SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.
       
       

No comments: