Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, July 26, 2014

Karangan BM PT2 - GURU



GURU

          Guru merupakan insan yang mulia di dunia ini. Guru dianggap sebagai ibu bapa kedua kepada semua murid atau pelajar. Guru boleh didefinisikan sebagai orang yang mengajar, mendidik, pengajar atau pengasuh. Guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangkan orang lain. Guru berkorban kepada kita tanpa meminta balasan. Guru hanyalah berharap agar setiap murid atau pelajar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara. 
         Guru berperanan penting kepada setiap insan di dunia ini. Tanpa guru, tanpa kita yang berjaya pada hari ini. Guru mendidik kita dari tadika ke menara gading. Guru telah mengajar kita dari peringkat mendengar, membaca, menulis, sampailah ke peringkat faham, boleh menerangkan atau mengajar murid lain. Selain menyalurkan ilmu pengetahuan, guru juga telah membantu murid untuk membina akhlak yang baik. Guru akan menegur kesalahan kelakuan kita dan menerangkan sebab-sebabnya supaya kekhilafan itu tidak berulang. Sebenarnya, jika dihalusi, insan bernama guru telah banyak berkorban, yakni dari pelbagai segi seperti masa untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan aktif dalam kehidupan.
          Sebagai seorang murid atau pelajar, kita seharusnya menghargai jasa setiap guru dengan hati yang ikhlas. Kita haruslah beradab sopan dan berbudi bahasa terhadap guru. Kita perlu mengucapkan selamat sejahtera dan memberikan salam semasa bertemu dengan guru tanpa mengira di dalam atau di luar sekolah. Berbising di dalam kelas atau bilik darjah sehingga mengganggu aktiviti pembelajaran dan pengajaran guru tidak harus kita lakukan. Sebaliknya, sebagai murid, kita haruslah memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa guru mengajar dan bertanya dengan tertib sekiranya berhadapan dengan kemusykilan dalam pelajaran. Usaha tertib dan berbudi bahasa ini membolehkan guru merasakan dirinya dihormati dan dihargai.
          Seterusnya, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjungi ke rumah guru sebagai tanda penghargaan. Kita harus menziarahi guru kita semasa hari perayaan dengan membawa buah tangan tanda penghargaan. Amalan kunjung-mengunjungi pada waktu kesusahan, kemalangan atau kematian juga dapat mengeratkan tali silaturahim antara murid dengan guru dalam kehidupan sehari-hari.
          Sebagai seorang murid atau pelajar, saya berharap agar guru akan senantiasa mencurahkan jasa bakti untuk mendidik anak-anak bangsa sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysai (PPPM). Bakat kreativiti dan inovasi guru sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dapat mendorong anak-anak didik untuk terus-menerus berminat menimba ilmu dan kemahiran. Sesungguhnya, guru merupakan suri teladan yang cukup berkesan kepada anak-anak didik untuk mentransformasikan diri sebagai modal insan yang berilmu, berakhlak dan berketerampilan di dunia sarwajagat yang serba mencabar ini.
          Sebagai kesimpulannya, guru atau pendidik perlulah sentiasa berusaha gigih untuk mendidik anak-anak bangsa di buana pendidikan. Gurulah, "umarak ilmu" yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada masyarakat, bangsa dan negara, khususnya dalam usaha melahirkan generasi murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Tanpa iltizam gigihmu, generasi negara bangsa akan ketinggalan dan tidak mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan masyarakat antarabangsa pada alaf globalisasi ini. Terima kasih, cikgu!


Hasil kerja ,
CHAW HUI JUN, Tingkatan 2 ENDURANCE,  SMK METHODIST TANJONG MALIM.

No comments: