Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, July 3, 2014

Drama PT3 - CABARAN



Drama - CABARAN oleh A. Ghafar Ibrahim
SINOPSIS
Babak 1
Perbualan Yahya, Mariah, Firdaus, Hani, Zainal dan Husin tentang cabaran yang dihadapi pada masa sekarang, iaitu cabaran kemajuan ekonomi dan pelajaran. Kemunduran berpunca daripada sikap masyarakat yang suka membuang masa dan bersikap negatif. Zainal dianggap mementingkan diri. Perbincangan bertambah sengit apabila Zainal tidak mahu menerima pendapat orang lain.
Babak 2
Perbualan berlangsung antara Yahya dan Mariah tentang sikap masyarakat yang suka bertekak dan  berbual kosong. Mariah  mengatakan bahawa masyarakat kita miskin namun bercita-cita tinggi. Yahya mencadangkan agar masyarakat mencari jalan untuk mengumpul wang dan kemudiannya berniaga agar boleh menubuhkan yayasan. Hal ini dapat membantu anak-anak ke universiti. Barisan Pembela Rakyat Desa ditubuhkan. Pertubuhan tersebut telah mengadakan  kelas kepemimpinan dan  berusaha menubuhkan Kedai Syarikat Kerjasama.
Babak 3
Hani menyatakan ketidakpuasan hatinya tentang sikap pemuda yang suka melepak. Firdaus menjelaskan bahawa masyarakat sendiri yang bersikap lemah dan beku. Hani mempersoalkan sikap pemuda yang tidak mahu berubah ke  arah kebaikan. Firdaus pula menegaskan bahawa sikap kerjasama amat penting dalam masyarakat kampung yang kekurangan modal.
Babak 4
Babak ini mengimbas kembali sikap Yang Berhormat Encik Osman yang pandai menabur janji ketika berkempen bagi meraih undi.
Babak 5
Yahya berpendapat bahawa orang Melayu mesti melibatkan diri dalam bidang perusahaan jika ingin maju. Pendapatnya disanggah oleh Zainal yang menjadikan penutupan Syarikat Kilang Padi sebagai bukti  orang Melayu belum layak melibatkan diri dalam bidang tersebut. Firdaus memaklumkan sebab sebenar penutupan kilang tersebut yang berpunca daripada orang kita yang gelap mata. Zainal menyindir rakan-rakannya yang bercita-cita besar. Namun Firdaus menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh lagi merendah diri jika tidak mahu ditindas suatu hari nanti.
Dia mengajak masyarakat Melayu menjadi generasi yang progresif dan dinamis. Husin juga bersetuju dengan pandangan dan ajakan Firdaus bersandarkan contoh kepimpinan Nabi Muhammad.
Babak 6
Yahya gembira kerana rancangan mereka telah berjaya. Zainal akhirnya menyedari kekuatan permuafakatan.
PEMIKIRAN/TEMA
Perubahan sikap dan pemikiran generasi muda dalam mencapai kemajuan. Firdaus dan Yahya mempunyai gagasan fikiran untuk membela nasib masyarakat kampung. Antara perubahan yang cuba diketengahkan ialah menubuhkan barisan Pembela Rakyat Desa dengan harapan dapat membela masyarakat.
PERSOALAN
a. Penentangan arus perubahan. Persoalan ini dapat dilihat daripada watak Zainal yang sentiasa tidak mahu mengikut arus perkembangan.
b. Kepentingan berpegang pada janji. Perkara ini dapat dilihat dalam watak Yang Berhormat Encik Osman yang pandai menabur janji semasa berkempen untuk pilihan raya.
c. Kepentingan kejujuran dalam memegang amanah. Hal ini dapat dilihat melalui sikap orang-orang yang menggelapkan keuntungan syarikat sehingga kilang padi terpaksa ditutup.
d. Keperluan perubahan sikap dalam masyarakat. Perkara ini dapat dilihat dalam watak-watak seperti Yahya dan Firdaus yang mahu akan perubahan dalam masyarakatnya. Contohnya Yahya telah menubuhkan barisan Pembela Rakyat untuk membantu rakyat desa.

Latihan Pemahaman:
1. Nyatakan cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat kampung dalam drama "CABARAN"?
a. Cabaran kemajuan dalam bidang ekonomi.
b. Cabaran kemajuan dalam bidang pendidikan.
2. Apakah sikap-sikap negatif masyarakat kampung yang telah digambarkan dalam drama "CABARAN"?
a. Masyarakat yang bersikap tidak serius.
b. Masyarakat yang suka berbual-bual kosong di kedai kopi.
c. Masyarakat yang gemar berhutang dan gagal melunaskan hutang.
d. Masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan berfikiran sempit.
e. Masyarakat yang tidak mahu menerima perubahan dan kurang bermuafakat.
3. Ulaskan perwatakan YB Encik Osman dalam drama tersebut.
a. Wakil Rakyat yang tidak bertanggungjawab dan tidak menepati janji.
b. Wakil Rakyat yang bijak berkempen dan berkata-kata. 
Cikgu Chai Loon Guan, PPP DG 48, Munsyi Dewan (Bahasa), DBP dan mantan Guru Cemerlang BM.

No comments: