Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, June 10, 2014

Makalah - "PINTU" dalam Bahasa Melayu.



Kosa Kata "Pintu" dalam Bahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan.

          Cuti persekolahan pertengahan semester datang lagi. Seusai tugasan dan tanggungjawab menelaah, menyemak dan memasukkan markah kertas Bahasa Melayu, Peperiksaan Pertengahan Tahun ke dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), maka lapanglah seketika insan yang bergelar sebagai guru. Tibalah waktunya untuk saya berehat dan menterjemahkan masa yang terluang dalam bentuk hobi atau aktiviti kegemaran seperti menghasilkan karya, membaca dan berdarmawisata.

          Maka, berangkatlah kami sekeluarga ke Genting Highlands untuk menghayati keindahan alam malar hijau sambil bersantai dan berlibur. Dari Taman Intan Setia, Jalan Ketoyong, Tanjong Malim, maka bertolaklah kami dengan kereta Inokom Matrix 1.6 GLM menyusuri liku-liku jalan curam seperti ular kena palu ke puncak tanah tinggi, iaitu Genting Highlands. Tanah tinggi yang telah dibangunkan oleh ikon, pelopor dan pengasasnya, iaitu mendiang Tan Sri Dato' Seri Lim Goh Tong. Kini, tanah tinggi Genting Highlands terus-menerus menggamit kunjungan para wisatawan bukan sahaja dari dalam negara bahkan juga dari luar negara.

          Dari Skyway Genting Highlands, kami menaiki kereta kabel ke puncaknya. Dalam gerak perlahan-lahan dan beransur-ansur laju, kereta kabel membelahi bukit, lurah dan tanah tinggi yang indah, segar dan mengagumkan biarpun sesekali diselimuti kabus dingin, barangkali mengalu-alukan kunjungan para pelancong dari seluruh pelosok dunia sama ada dari atas angin atau dari bawah angin.

          Sebagai munsyi, tiba-tiba terpandang dan tertarik oleh saya akan seperenggan arahan dalam bahasa Melayu yang tertera jelas di dalam kereta kabel tersebut. Daripada perenggan arahan tersebutlah, maka dapat saya temukan frasa  yang barangkali baharu dan pertama kali dilihat tertera dan digunakan di tempat umum atau khalayak, yakni frasa yang berbunyi "pintu gondola". Apakah maksud frasa "pintu gondola"?

          Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, kosa kata pintu bermaksud ruang untuk keluar atau masuk (bilik, kereta, rumah dll.), papan untuk menutup ruang pintu, kesempatan untuk mencapai sesuatu, dan jalan ke sesuatu tempat atau hala tuju. Contohnya membuka pintu untuk perundingan damai; kalau kita mempunyai ijazah, pintu pekerjaan akan terbuka bagi kita; politik pintu terbuka, yakni politik yang membolehkan penanaman modal dari negeri asing; palang pada jalan yang melintasi landasan kereta api selain berfungsi sebagai penjodoh bilangan bagi rumah, kedai, dan sebagainya. Contohnya "ada kira-kira sepuluh pintu kedai yang terletak di kiri kanan jalan raya, cukai pintu, iaitu cukai yang dikenakan pada pemilik rumah di kawasan perbandaran,  pintu air, pintu gerbang (gapura, lawang), pintu jendela, pintu mati, pintu rangkap, dan pintu sorong(an).

          Kosa kata "gondola" pula bererti kabin yang tergantung dari kapal udara, belon, kereta api kabel dan sebagainya. "Gondola" juga bermaksud sejenis sampan yang panjang, leper bahagian bawahnya dan melengkung di kedua-dua hujungnya. Yang jelas frasa "pintu gondola" merujuk ruang untuk keluar atau masuk kabin yang tergantung dari kapal udara, belon, kereta api kabel dan sebagainya.

          Selain frasa, kosa kata pintu juga turut hadir dalam peribahasa Melayu. Contohnya adalah seperti yang berikut bersertakan maksudnya.

Bil.
Peribahasa Melayu
Maksud
01.
Bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi.
Sesuatu yang membahayakan.
02.
Satu pintu kalau tertutup, sepuluh pintu lagi terbuka.
a. Suatu perkara yang tidak dapat dirahsiakan lagi.
b. Orang yang mahir dalam berbagai-bagai pekerjaan walau diberhentikan daripada pekerjaannya, banyak pekerjaan lain yang boleh dibuatnya.
03.
Pintu angin (simpulan bahasa)
Tingkap untuk udara masuk.
04.
Pintu belakang (simpulan bahasa)
Tidak jujur.
05.
Pintu darurat (simpulan bahasa)
Pintu untuk masa kecemasan.
06.
Pintu depan (simpulan bahasa)
Jujur.
07.
Pintu hati (simpulan bahasa)
Perasaan.
08.
Pintu gol (simpulan bahasa)
Kawasan di antara dua tiang gol.
09.
Pintu kecemasan (simpulan bahasa)
Pintu keselamatan masa kecemasan.
10.
Pintu keluar masuk (simpulan bahasa)
Tempat pemeriksaan imigresen dan kastam.
11.
Pintu maling (simpulan bahasa)
Pintu di belakang atau di tepi rumah.
12.
Pintu masuk (simpulan bahasa)
Tempat pemeriksaan imigresen dan kastam.
13.
Pintu monyet (simpulan bahasa)
Pintu yang mempunyai dua daun di bahagian atas dan bawah rumah.
14.
Pintu rezeki (simpulan bahasa)
Peluang pendapatan.
15.
Pintu salah (simpulan bahasa)
Tingkap pada dinding istana.
16.
Pintu sorok (simpulan bahasa)
Pintu rahsia.
17.
Pintu syurga (simpulan bahasa)
Bahagia sesudah mati.
18.
Pintu tani (simpulan bahasa)
Pintu gerbang istana.
19.
Pintu taubat (simpulan bahasa)
Peluang untuk insaf.
20.
Pintu terbuka (simpulan bahasa)
Sedia menerima.

          Daripada kata dasar "pintu", maka terbentuklah kata terbitan seperti berpintu dan berpintukan dalam perbendaharaan kata Bahasa Melayu. Lamunan sekitar bicara kosa kata "pintu" terhenti seketika sebaik sahaja "pintu gondola" kereta kabel Genting Highlands terbuka. Kami pun turun dengan langkah kanan, penuh tertib dan waspada. Maka, berdirilah kami di puncak tanah tinggi Genting Highlands, menghayati keindahan alam semula jadi sambil menimba ilmu dan pengalaman bak kata pepatah Melayu, sambil menyelam, minum air. Yang pasti darmawisata singkat kami sekeluarga kali ini menepati hasrat dan tema "Visit Malaysia Year 2014"! Selamat datang ke Genting Highlands.

No comments: