Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, June 6, 2014

Makalah - Antara Kosa Kata "Bihun" dengan "Mihun" BM...



Antara Kosa Kata "Bihun" dengan "Mihun" dalam Kalangan Masyarakat Cina Suku Hokkien Malaysia.
oleh Chai Loon Guan

          Bersempena dengan sambutan Hari Guru 2014, anak bongsu saya, Wuang Xing telah mengemukakan cadangan agar bapanya yang bertugas sebagai seorang guru penolong di Tanjong Malim diraikan bersama-sama keluarga yang tersayang. Barangkali, tema Hari Guru, Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi telah mencetuskan ilham dan menggerakkan hasrat anak bongsu saya untuk memeriahkan majlis tersebut pada tahun ini. Destinasinya, Easy Cafe Tg. Malim.

          Sebaik duduk di meja pilihan, kami didatangi pelayan Easy Cafe Tg. Malim yang mesra pelanggan sambil menghulurkan brosur menu untuk tempahan seisi keluarga. Antara makanan yang terkenal di Easy Cafe Tg. Malim ialah nasi lemak, ayam rendang, kentang goreng, bihun atau mihun sup, mi yee dan beberapa masakan ala barat.

          Sambil menghirup air kelapa muda yang diimport khas dari Negeri Thai, saya dikejutkan oleh pertanyaan daripada anak bongsu saya, yakni ciri perbezaan antara kosa kata "bihun" dengan "mihun".

          Menurut Kamus Dewan, kosa kata "bihun" bermaksud sejenis mi halus yang dibuat daripada tepung beras manakala "mihun" pula sejenis makanan seperti mi yang halus-halus diperbuat daripada tepung beras. Contohnya, mihun goreng, mihun sup, mihun kicap, dan mihun Singapura. Berdasarkan makna Kamus Dewan, jelaslah bahawa kedua-dua kosa kata pinjaman tersebut membawa pengertian yang sama, yakni 'mi halus daripada tepung beras'.

          Jika ditelusuri makna dari sudut pandangan suku kaum Hokkien Malaysia, yakni suku kaum Cina yang berasal dari daerah Amoy dan Fukien di tenggara China dan tinggal di serata tempat di dunia pula, "bihun" bermaksud "tepung beras" manakala "mihun" pula membawa konotasi makna sebagai "tepung gandum". Sehubungan dengan hal itu, "mihun" atau tepung gandum digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan "mi", iaitu sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning. Daripada "mi", maka lahirlah frasa mi goreng, mi sup, mi rebus, mi kicap, Mi Bandung, Mi Hailam dan sebagainya. Yang jelas, kedua-dua kosa kata, yakni "bihun" dan "mihun" tidak menepati maksud 'mi halus daripada tepung beras' sebaliknya kedua-dua kosa kata tersebut merujuk kepada makanan yang berlainan dalam konteks sosiobudaya masyarakat Tionghoa suku Hokkien Cina Malaysia.

          "Bihun sup, satu!"
          "Baik, tuan!"

          Tiba-tiba dialog antara pelanggan dengan pelayan di Easy Cafe Tg. Malim telah mematikan lamunan saya seketika pada kedua-dua kosa kata pinjaman bahasa Melayu, iaitu "bihun" dan "mihun". Yang penting, pada hemat saya,  maksud bagi kedua-dua kosa kata tersebut perlu dikaji dan dilihat semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, terutamanya Bahagian Perkamusan agar kekeliruan dan kerancuan makna kosa kata tersebut dapat ditangani sebaik-baiknya demi kelangsungan bahasa Melayu di persada tanah air. Bahasa Jiwa Bangsa.

No comments: