Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, June 27, 2014

Keluarga



KELUARGA
          Anggota keluarga merupakan orang yang paling penting dalam hidup kita. Sesebuah keluarga biasanya terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak. Keluarga ini dinamakan keluarga asas. Selain keluarga asas,  terdapat juga anggota keluarga kembangan (luas) yang terdiri daripada datuk, nenek, bapa saudara, sepupu, dan anggota keluarga yang lain.
    
          Kita  seharusya  memahami anggota  keluarga  sendiri. Kita  sepatutnya mengetahui makanan, minuman, pakaian, warna  kegemaran  dan hobi  mereka. Selain  itu, kita  juga  sepatutnya  mengetahui  perlakuan  yang  disenangi  dan  tidak  disenangi  oleh anggota  keluarga. Hubungan  kekeluargaan  akan  lebih  kukuh, intim  dan  mesra  apabila  anggota  keluarga  saling  memahami dan mengambil berat antara  satu  sama  lain. Persefahaman  yang  terjalin  ini  juga  dapat  mengelakkan  kita  daripada  menyakiti  hati  dan menyinggung  perasaan  anggota keluarga kita dari semasa ke semasa.
   
          Sebagai  anggota  keluarga, kita juga  mesti menyayangi  antara  satu  sama  lain. Kita  boleh  menunjukkan  kasih  sayang  dengan  berkongsikan  masa  suka  dan duka  bersama-sama  anggota keluarga. Kita  perlu  menghormati  anggota  keluarga,  terutama  yang lebih  tua dan berpengalaman seperti  datuk, nenek, ayah, ibu, abang dan kakak. Pertuturan  dan tingkah laku  kita juga  mestilah  sentiasa  bersopan-santun semasa  berinteraksi  dengan  anggota  keluarga. Kita  juga  mesti  akur   dan  patuh  akan  nasihat  dan  larangan  keluarga. Kita  sewajarnya  bersyukur  kepada  Tuhan  kerana  dianugerahi  sebuah  keluarga yang sihat dan bahagia.

          Dalam kehidupan, anggota keluarga merupakan orang yang paling rapat dengan kita. Mereka banyak berjasa dan sanggup berkorban untuk kita pada bila-bila masa. Kita sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Kita boleh menghargai jasa dan pengorbanan mereka dengan menulis kata-kata untuk menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kita terhadap mereka selain sumbangan penghargaan yang bersifat penyayang dan mampu mengeratkan tali silaturahim antara keluarga.

          Sebagai kesimpulannya, setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing. Kita wajar berasa bangga kerana mempunyai sebuah keluarga yang sihat, harmoni dan bertanggungjawab. Oleh itu, kita mestilah mengenali, menghormati dan menyayangi setiap anggota keluarga kita kerana merekalah sumber ilham kepada kehidupan kita sehari-hari.

Choo Kah Wei, Tingkatan 2 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: