Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, June 23, 2014

Hikayat Marakarma - PT3



KOMSAS BM T3 - CERITA "HIKAYAT MARAKARMA"
Sinopsis
Peperangan, Perkahwinan dan Pertabalan:

          Maharaja Indera Dewa sangat marah kerana Maharaja Marakarma telah membuka negeri lalu mengambil keputusan untuk memerangi Maharaja Marakarma. Maharaja Marakarma dan saudaranya, Raja Mengindera Sari meminta izin daripada ayahanda dan bonda mereka untuk berperang.
          Pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku dengan hebat. Maharaja Marakarma mencabar Maharaja Indera Dewa. Setelah masing-masing memperlihatkan kesaktian, mereka saling bertikaman. Maharaja Marakarma berjaya membunuh Maharaja Indera Dewa. Sebelum mangkat, Maharaja Indera Dewa telah meminta Maharaja Marakarma menjaga anakandanya, Tuan Puteri Nila Cahaya. Kemangkatan Maharaja Indera Dewa mendukacitakan permaisurinya serta Tuan Puteri Nila Cahaya. Permaisurinya mati kerana tertusuk pada keris yang ada pada tangan suaminya.
          Cahaya Khairani terperanjat apabila melihat Raja Bujangga Indera, adindanya berada bersama-sama Maharaja Marakarma. Raja Bujangga Indera segera menyembah kekandanya, Tuan Puteri Cahaya Khairani. Tuan Puteri Cahaya Khairani menceritakan perihal jasa Maharaja Marakarma yang telah menyelamatkannya daripada tawanan raksasa. Berita penemuan Tuan Puteri Cahaya Khairani itu segera disampaikan kepada ayahanda bonda mereka di negeri Mercu Indera.
          Selepas kemangkatan Maharaja Indera Dewa, Tuan Puteri Nila Cahaya dilayan dengan baik. Melalui perbincangan antara Maharaja Marakarma dan anak-anak raja, mereka bersetuju untuk mengahwinkan Raja Bujangga Indera dengan Tuan Puteri Nila Cahaya. Raja Bujangga Indera ditabalkan sebagai maharaja di negeri Anta Beranta.

Maharaja Negeri Mercu Indera:
            Surat yang mengkhabarkan penemuan Puteri Cahaya Khairani telah diterima oleh ayahandanya, Maharaja Malai Kisna di negeri Mercu Indera. Seketika kemudian, rombongan Maharaja Marakarma yang membawa Tuan Puteri Cahaya Khairani sampai ke negeri itu. Sambutan besar-besaran diadakan. Maharaja Marakarma telah ditabalkan sebagai maharaja di negeri Mercu Indera. Sementara itu, Raja Mengindera Sari ditabalkan sebagai raja negeri Pelanggam Cahaya bagi menggantikan Maharaja Puspa Indera.

Tema:
Cerita ini bertemakan hubungan yang erat antara kerabat raja. Peperangan berlaku antara dua kuasa dan akhirnya menyatukan keluarga raja.
Persoalan:
·         Sifat iri hati dalam kalangan pemimpin - Maharaja Indera Dewa iri hati apabila Maharaja Marakarma membuka negeri baharu lalu menyerangnya. Serangan itu telah menyebabkan Maharaja Indera Dewa sendiri terbunuh.
·         Kesaktian yang dimiliki oleh raja-raja dahulu kala - Maharaja Marakarma dan Maharaja Indera Dewa memilliki kesaktian dan saling beradu kelebihan kesaktian mereka.
·         Keberanian untuk menempuh segala rintangan - Maharaja Marakarma berani untuk menghadapi angkatan tentera Maharaja Indera Dewa.
·         Kesediaan raja yang tua menyerahkan takhta kerajaan kepada anak atau menantunya - Maharaja Malai Kisna telah menyerahkan takhta kerajaan negeri Mercu Indera kepada Maharaja Marakarma.

(Sumber: Esensi BM PMR Longman-Pearson Malaysia Sdn. Bhd. 2013)

No comments: