Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, June 11, 2014

Galeri Buku




Galeri Buku

          "Antologi Puisi Pangkor 2" menghimpunkan 30 buah puisi yang telah dideklamasikan pada edisi Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 yang telah berlangsung dari 16 hingga 18 Disember 2011.

          30 buah puisi ini memperlihatkan kepelbagaian genta rasa penyair di samping menampilkan kelainan bentuk dan gaya. "Antologi Puisi Pangkor 2" ini telah diselenggarakan oleh Malim Ghozali Pk dan telah diterbitkan oleh Institut Darul Ridzuan dan Yayasan Karyawan Malim pada Disember 2012. Antara karya penyair tempatan yang terpilih untuk dimuatkan dalam antologi tersebut ialah Zambry A.K. (Suara Pelaut), A.Ghafar Ibrahim (Apa Yang Nak), A.Rahim Abdullah (Bulan Gerhana), Ahmad A.Talib (Abah), Amran Daud (Catatan Seorang Penyair III), AnBakri (Ya Latif), Arbak Othman (Pangkor), Azian Mohd Arif (Perak), Chai Loon Guan (Akulah, Pelaut Hidup), Gopa Bahari (Kemana Perginya Penyair Malam), Ibrahim Ghaffar (Pangkor: Ternyata Mereka Tidak Jujur), Irwan Abu Bakar (Kata Hati Hang Tuah), Jasni Matlani (Sajak Kunang-kunang), Kemala (Surat Wasiat), Malim Ghozali PK (Sajak-sajakku Tak Pernah Tahu), Marsli NO (Politikus), Mior Kamarul Shahid (Sebuah Bangsa), Mohamed Mansor Abdullah (Pertama Kali Kuinjakkan Kaki ke  Dadamu Pangkor), Puzi Hadi (Pangkor, Nostalgia II), Rahman  Shaari (Mencari Isteri), Ahmad Salleh Ahmad (Gambar Membakar), Salmiah Ismail (Warkah Buat Bonda), Siti Kamesah M. Hashim (Bahasa Penyair), Talib Samat (Memburu Khusnul Khatimah), Zainol Fadzi Paharudin (Yang Putih Hitam Metalik),  dan Zaiton Ajamain (Tentang Kata, Ketam, Sesumpah).

          Puisi-puisi daripada penyair Nusantara, khususnya Singapura dan Indonesia turut dimuatkan dalam Antologi Puisi Pangkor 2. Antara lain, penyair Djamal Tukimin (Laa Ilaha Illah'Allah), Isbedy Stiawan ZS (Kau Adalah Laut),  Shafwan Hadi Umry (Kuala Pangkor) dan Viddy AP Daery (ATTALA: Sejarah Awal Nusantara).

          Sama ada mereka berbicara tentang laut dan alam, sejarah, ketuhanan, politik, atau bangsa, puisi-puisi dalam antologi ini memperlihatkan lembut kerasnya bahasa sang penyair. Ternyata Pulau Pangkor sendiri sudah menjadi subjek yang intim dalam kalangan penyair. Puisi Pangkor 2 kaya akan ragam dan gaya kepenyairan alam bahasa, budaya dan susastera Melayu Nusantara. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan,
MES Tg.Malim.

No comments: