Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, May 30, 2014

Sajak - KINJANG II

KINJANG II

warnamu
hijau dalam sejuta
hijau
nafasmu
kudus sekudus
kabus
menyelimuti pergunungan
banjaran Titiwangsa

alammu
aman tenteram
dibeningkan oleh melodi Kitaro
bukan fatamorgana
tetap menginsafkan insan
tentang keagungan Tuhan

makhlukmu
hidup harmoni
bebas tanpa asap polusi
cemar noda pembangunan rakus
sang algojo buas
dunia kebendaan

lata kinjang
ilham kepada insan
mententeramkan kehirukpikukan
dunia manusia skizofrenia
ilham kepada penyair
mendambakan bahasa alammu
di buana puisi

lata kinjang
keindahanmu
menggamit kedatanganku
sambil bertanyakan khabar
anak-anak Titiwangsa
dapat kupetik bait-bait aksara alammu
dapat kutelusuri laras rahsia sejarahmu,
menghiasi notelun puisi kinjangku!

Chai Loon Guan,
Taman Berop Idaman,
Tg. Malim.


Biodata
CHAI LOON GUAN
chaimestm@yahoo.com / chaimestm.blogspot.com

            Chai Loon Guan atau nama pena beliau, Adichonan telah dilahirkan pada 9 Februari 1960 di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. Beliau mula mendapat pendidikan awal di SRJK Methodist, Tg.Malim dan SMJK Methodist, Tg. Malim sebelum melanjutkan pelajaran perguruan di MPIK, MPRM - IAB, Institut Bahasa dan Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya.

            Beliau memulakan kerjaya perguruan sebagai Guru Penolong, Ketua Panitia BM, Guru Cemerlang dan Munsyi Dewan (Bahasa) pada tahun 1982 sehingga kini (2014). Sebenarnya, beliau amat meminati bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu tanah air. Antara genre yang ditekuni ialah sajak, cerpen, dan makalah berbahasa Melayu.

            Chai Loon Guan banyak menyumbangkan karya penulisan dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Mingguan Malaysia dan Berita Harian. Beliau pernah memenangi  Hadiah Puisi MAYC Perak, Hadiah Sajak Hari Guru Perak, Hadiah Sastera Utusan – Public Bank, Hadiah Sastera DBP – Maybank, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008 - 2009.

            Beliau juga pernah dianugerahi beberapa anugerah yang berprestij tanah air. Antara lain Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2002 dan 2009), Munsyi Dewan DBP (2004), Guru Cemerlang Bahasa Melayu (2008), Anugerah Khas Hari Guru Daerah Batang Padang (2009) dan Anugerah Pingat Penghormatan Guru Negeri Perak 2013. Antara antologi perseorangan beliau yang pernah diterbitkan ialah "Di Padang Kehidupan" (Sajak) – DBP 2008 dan "Di  Perantauan Impian" (Cerpen) – DBP 2009.

No comments: