Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, May 7, 2014

PdP Cerpen "Pemain Catur" dalam Sajak



PEMBELAJARAN dan PENGAJARAN CERPEN "PEMAIN CATUR" dalam SAJAK
oleh Chai Loon Guan

Pendahuluan

        Setelah menelusuri pembelajaran dan pengajaran prosa moden, yakni cerpen Pemain Catur, karya Zaharah Nawawi (halaman 143 - 151) dalam antologi teks KOMSAS Bahasa Melayu Tingkatan 4 - Harga Sebuah Remaja bersama-sama  murid-murid Tingkatan 4, SMK Methodist, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan, terlahir akan ilham dan keinginan yang kuat dalam hati sanubari saya sebagai guru bahasa untuk memberikan ruang dan peluang kepada murid-murid untuk menelaah, menghayati dan memahami mesej teks prosa moden dari sudut wacana puisi moden, iaitu sajak pula. Barangkali, pendekatan secara kreatif atau inovatif ini setidak-tidaknya menepati strategi pembelajaran dan pengajaran yang berkonsepkan mesra murid dan seterusnya dapat menggalakkan murid-murid, terutamanya murid-murid bukan Melayu untuk mendekati teks prosa moden secara akrab sekali gus menjayakan proses pembelajaran dan pengajaran yang berkesan di dalam bilik darjah.

Cerpen "Pemain Catur" dalam Sajak
(Zaharah Nawawi)

Abang Uj ingin menguji
adik bongsu, Um
bermain catur
setelah diperhatikan
Um pernah mengajak
abang-abang Ul, Us, Uk dan Ur
menjadi pasangan
kononnya ingin menewaskan Uj
Ujar Um, sebenarnya dia
asyik memikirkan hipertensi ibu
diketepikan Uj
kerana ibu diawasi
oleh doktor berdua
dengan kos yang perlu dilangsaikan

Abang Ul, Us, Uk, Ur
adik-beradik, saudara-mara keluarga luas
di bawah teraju Uj
Um pula dididik
bagaikan anak emas
pernah diberitahukan Uj
leluhur keluarga
keturunan al-Hakam, rakan sepermainan
Abu Bakar Muhammad Yahya as-Suli,
shatrani yang disegani
pewaris permainan catur dunia
ada dikhabarkan
catur permainan minda Arab
sebelum diperkenalkan ke Eropah
pada kurun kedelapan
tidak jemu-jemu Uj
berceritera tentang anak cucu al-Hakam
mengembara ke serata dunia
mengembangkan syiar Islam
singgah di Tanah Melayu
berkahwin, beranak pinak, bercucu cicit
dan mati berkubur di sini

Maka, bermainlah Uj dan Um
dalam permainan dam
Um mewarisi bakat anugerah alam
tonggak harapan Uj
selain memanah
catur sukan tertua dunia
diwarnai tiga versi, yakni
ashtapada, senet dan petteia
catur India bergelar chaturanga
sebelum berhijrah ke Parsi dan tanah Arab
tertarik Um mendengar kempen Uj
mahu dia semasyhur Gary Kasparov, Paul Keres,
Mir Sultan Khan, Bobby Fischer, Alexander Alekhine,
dan Anatoly Karpov tanpa al-Hakam
di persada catur dunia

Um diuji penuh strategi
atas papan dam berkotak-kotak
hitam putih
tersusun buah catur seperti dam apit
raja dan permaisuri
diapit paderi, kuda dan istana
dibarisi lapan bala tentera
serang dan terkorban


ujar Uj lagi
perjalanan seribu batu
bermula dari langkah pertama

hadir bisikan batu api, Uk
mengerutkan dahi Uj
Khabarnya Um mahu mengatasi Uj
Kononnya Um kehilangan sabar
menunggu penyerahan kuasa
dengan berang, Uj mendabik dada
gelaran IGM (International Grandmaster)
diuar-uarkan
Uj memaksa Um, National Master
berlawan di hadapan keluarga
pertarungan jurulatih - pelatih
di meja percaturan
meresahkan keluarga

dalam permainan catur
percaturan nama dan ijazah
bukan penentu
hadir tuduh-menuduh dalam penipuan
terkuis Um
sebotol asid di bawah meja
Um menggelupur
Um meraung kesakitan
seisi keluarga gempar, rutup dan ruwet
ibu yang uzur kian sedih
diserang angin ahmar
melihat perbalahan darah daging
tuduh-menuduh bersipongang
pujukan berdamai ibu yang nazak
tidak diendahkan
rupanya dalam percaturan
masih ada perkiraan
yang kalah siapa
yang khianat siapa
ahli keluarga kian berbalah
berpecah belah
ada puak Uj
ada puak Um
permulaan kepada kejatuhan
sebuah keluarga besar
sebuah keluarga utuh!
Tema:

Keruntuhan moral dalam institusi kekeluargaan yang menyebabkan berlakunya perpecahan.

Sikap tidak mahu mengalah dan bertolak ansur menyebabkan berlakunya pergaduhan antara Uj dengan Um.  Mereka sanggup bertelingkah hanya kerana permainan catur. Malah pergaduhan itu juga telah menyebabkan perpecahan dalam keluarga mereka.  Ibu mereka yang sedang sakit juga telah diabaikan.

Persoalan:

1. Persoalan sikap bangga yang menguasai diri. 

Sikap Uj dan Um yang tidak mahu mengalah dan mahu menang menyebabkan mereka bertelagah sedangkan hubungan mereka adalah sedarah, iaitu adik-beradik.

2. Persoalan keharmonian dalam keluarga harus diutamakan.

Ibu yang sedang sakit amat risau akan pergaduhan anak-anaknya yang boleh menyebabkan keharmonian keluarga terganggu dan musnah.

3. Ketaasuban dalam sesuatu perkara dapat mengakibatkan persengketaan dan ketidakharmonian.

4. Sejarah cemerlang keluarga dan keturunan perlu ditersukan oleh setiap anggota keluarga dari satu generasi ke satu generasi.

Kosa kata/Makna

Bil.
Kosa Kata
Makna
1.
hipertensi
tekanan darah pada arteri yang tinggi
2.
dilangsaikan
habis dibayar
3.
leluhur
nenek moyang
4.
disegani
dihormati
5.
kedelapan
angka lapan
6.
syiar
lambang kebesaran, keagungan, atau kemuliaan
7.
mewarisi
mempusakai
8.
tonggak
tiang rumah, asas, dasar, pokok
9.
berhijrah
berpindah
10.
persada
lantai  yang tinggi bertingkat, taman
11.
mengerutkan
mengedutkan (kening atau dahi), mengecutkan, memendekkan
12.
mendabik
Menepuk dada menunjukkan keberanian atau kebanggaan
13.
terkuis
tertolak, tersepak
14.
menggelupur
Bergerak-gerak sambil memukul-mukulkan sayap, menggelepar
15.
rutup
riuh-rendah
16.
ruwet
tidak keruan, kacau, kalut, kusut, rumit
17.
bersipongang
bergaung, bergema
18.
nazak
keadaan orang yang hampir akan mati, teruk benar
19.
diendahkan
dipedulikan, diacuhkan
20.
khianat
Perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan pada orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia
21.
berbalah
berbantah, bertengkar

Kesimpulan

          Sajak tersebut turut boleh dideklamasikan oleh murid-murid di dalam bilik darjah sebelum mereka diberi latihan pemahaman berdasarkan petikan. Latihan seperti mencari makna kosa kata dan membina sintaksis (ayat tunggal atau ayat majmuk) boleh diberikan sebagai latihan tambahan atau pengayaan sama ada di dalam bilik darjah atau sebagai latihan kerja rumah. Sebagai kesimpulannya, sebagai guru atau munsyi Bahasa Melayu, kita haruslah senantiasa berusaha, mencuba dan mereka cipta aneka kaedah, pendekatan dan teknik pembelajaran dan pengajaran teks komponen sastera dalam Bahasa Melayu di dalam bilik darjah agar anak-anak didik kita dapat menimba ilmu dan pengalaman selain menguasai kemahiran berbahasa Melayu secara kreatif, menarik dan berkesan.

Cikgu Chai Loon Guan,
PPP DG 48, Munsyi Dewan (Bahasa)
SMK Methodist, Tg. Malim.

Sumber:
Antologi Harga Remaja, Tingkatan 4, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia: 2009.

No comments: