Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, May 15, 2014

KOKURIKULUM melahirkan MODAL INSAN MURID yang CEMERLANG


Kegiatan Kokurikulum di Sekolah dapat Melahirkan Modal Insan Murid yang Cemerlang

          Menurut Kamus Dewan, kegiatan kokurikulum bererti perihal atau keadaan giat, kecergasan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan murid di sekolah. Misalnya kegiatan dalam persatuan, unit beruniform dan sukan. Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan kokurikulum memberikan peluang dan ruang kepada murid-murid untuk menambahkan, mengamalkan, mengukuhkan kemahiran dan nilai-nilai kehidupan. Yang jelas, kegiatan luar bilik darjah ini memberikan satu perspektif baharu kepada murid-murid dalam menjalani kehidupan di luar sekolah. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum banyak membawa impak positif kepada kehidupan murid-murid yang bakal menjadi modal insan nusa dan bangsa.

          Jika dihalusi, kegiatan kokurikulum memberi murid-murid keyakinan diri yang hakiki menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh sekolah. Keyakinan diri sering terserlah ketika setiap kali berjayanya murid-murid melaksanakan sesuatu tugas sama ada yang sukar atau yang senang. Melalui cabaran tersebut, murid-murid dapat menimba pengalaman yang banyak apabila mereka ingin melakukan aktiviti-aktiviti sampingan yang lain dalam kehidupan sehari-hari. Jelaslah bahawa penglibatan murid-murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah amat memberikan manfaat kepada mereka, khususnya dari aspek pengalaman dan kemahiran untuk beraktiviti dan bersosialisasi dalam kalangan masyarakat, khasnya masyarakat sekolah.

          Selain itu, murid-murid yang melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum dipercayai turut mempunyai tahap disiplin yang tinggi dalam diri mereka. Sebagai contoh, dalam aktiviti perkhemahan unit beruniform dan persatuan, setiap tugasan yang diberikan oleh guru-guru atau pemudah cara dapat meningkatkan kewibawaan dan kepemimpinan diri. Dengan mempunyai nilai disiplin yang terpuji dan terpimpin, maka seseorang murid pasti akan menyiapkan tugasan-tugasan yang diamanahkan sama ada secara individu mahupun berkumpulan dengan lancar. Yang jelas, kegiatan kokurikulum dapat melahirkan modal insan yang berdisiplin, berhemah, rajin, dedikasi dan beriltizam selain mengutamakan semangat berpasukan bak kata peribahasa Melayu, bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat.

          Di samping itu, kegiatan kokurikulum turut membuka ruang dan peluang kepada setiap murid untuk menunjukkan bakat dan kebolehan selain sikap bersaing yang kental dan tidak mudah putus asa. Sikap murid yang positif ini akan senantiasa mendorong mereka agar bersiap siaga untuk menghadapi setiap cabaran yang bakal dihadapi. Malah, mereka akan dilatih untuk membiasakan diri dengan dugaan sama ada di dalam sekolah atau dalam kehidupan seharian bak kata alah bisa tegal biasa. Yang penting kegiatan kokurikulum akan melahirkan generasi murid yang cekal dan kental di medan perjuangan, terutamanya ketika mereka menelusuri dunia globalisasi yang serba mencabar lewat alaf ini.

          Melalui kegiatan kokurikulum juga, murid-murid dapat menghabiskan masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah selepas sesi persekolahan. Hal ini dapat mengelakkan murd-murid daripada terpengaruh dan terlibat dalam kegiatan yang negatif di luar sekolah seperti melayari laman sesawang yang negatif, melepak, menyalahgunakan dadah atau terlibat dalam gejala gengsterisme, vandalisme atau mengamalkan cara hidup bebas. Yang jelas, aktiviti kokurikulum dapat mengisi masa lapang mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang bermanfaat sekali gus membentuk jati diri anak-anak muda yang bakal menjadi tonggak harapan bangsa dan negara, bak kata slogan 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara'.

          Seterusnya, penglibatan proaktif murid-murid dalam kegiatan kokurikulum dapat mencungkil bakat-bakat terpendam seseorang remaja merangkum pelbagai jenis genre atau bidang. Hal ini dapat dilihat apabila seseorang murid mengikuti aktiviti kelab atau mengambil bahagian dalam acara sukan dan permainan di bangku sekolah. Penglibatan secara proaktif bukan sahaja dapat mencungkil bakat mereka dalam bidang yang diceburi, bahkan juga membolehkan mereka menguasai kemahiran tertentu seperti kemahiran asas dalam sesuatu acara yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa selain berpeluang untuk mengembangkan potensi individu sebagai atlet-atlet pelapis negara pada masa yang akan datang. Selain menyertai sukan, murid-murid dapat mengambil bahagian dalam acara permainan dalam seperti catur, badminton atau berkecimpung dalam bidang pidato atau pengucapan awam selain seni pertahanan diri. Hal ini secara tidak langsung akan melahirkan modal insan yang cemerlang dan berwibawa dalam kalangan murid yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.

          Sebagai kesimpulannya, kegiatan kokurikulum amat penting dan senantiasa perlu diutamakan oleh murid-murid, ibu bapa dan guru dalam usaha kita untuk melahirkan generasi Malaysia yang berkualiti dan cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Ibu bapa atau penjaga tidak haruslah beranggapan bahawa kegiatan kokurilum tidak penting dan menyusahkan atau membazirkan masa dan wang anak-anak mereka. Yang jelas, penglibatan murid-murid dalam kegiatan kokurikulum, terutamanya kegiatan koakademik dapat membimbing mereka ke jalan yang bermanfaat, sihat dan berwawasan. Sesungguhnya, generasi murid pada hari ini merupakan umarak nusa bangsa pada masa depan!

Chai Wuang Xing,
Tingkatan 4 Sains 1, SMJK Katholik, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.


No comments: