Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, April 21, 2014

Sajak - BICARA SEORANG CENDEKIA



BICARA SEORANG CENDEKIA
(dedikasi buat YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Dzulkifli Abdul Razak)

maka, berbicaralah
seorang cendekia
memikirkan tamadun
dunia ilmu
ujar beliau, hadir kotak hitam
dalam naik turun tamadun
jatuh bangunnya pusat ilmu
sebelum lahir tamadun baharu
yang jelas, mutakhir
perlu kita telusuri
google, budaya siber dan peperangan
manusia sejagat

sebenarnya
masih belum kita faham
akan Bayt. al-Hikma
yang nyata
lebih banyak pusat beli belah 
daripada perpustakaan
dalam kehidupan
tercari-cari kita akan renaissance
sedangkan garis masa
dipaksikan oleh tamadun yunani - rom
sebelum era kegelapan
bangkit ilmu serpihan barat
kita disetmindakan oleh dunia eropah
hadirnya kelompongan
yang mengajak kita terjemahkan
weltanschauung
tamadun Cina, India, Melayu dan Islam
dalam dunia ilmu
kotak hitam perlu kita rungkai
ilmu andalusia dalam kehidupan
sebelum berdepankan arus keruntuhan
fahaman berpusatkan barat

gejala pemanasan global
penyelewengan kemanusiaan
kerakusan, keborosan, keporak-perandaan
dan rempah ratus konflik keduniawian barat
kian kita telusuri
hari demi hari
di horizon usia
penyakit apakah itu?
ujar cendekiawan itu lagi
perlu ada kita, anjakan paradigma
transformasi ilmu, nilai, agama
budaya jati diri
memberikan roh kepada kehidupan
demi kesejahteraan alam dan insan
- insaniversiti di buana ilmu
- hati ilmu atau ilmu hati
agar minda dan jiwa
tidak lagi berpaksikan angka dan kebendaan
dalam menelusuri
alam maya kehidupan
mampukah
insan memberikan keinsanan
manusia memberikan kemanusiaan
di sarwajagat kehidupan?

antara pilihan
ilmu dalam kerohanian
atau peradaban
yang terkongkong, dan
pasrah akan alam siber
melahirkan masyarakat senyap
atau pendidikan mutakhir
persis kilang pekerjaan
inovasi untuk perdagangan
kreativiti untuk keuntungan
sebenarnya, kita
dahaga akan transformasi insan
pendidikan qalbu
minda berhati - hati berminda
insan bernilai insan berbudi
bukan ketaksuban
yang jelas
kesatuan dalam kepelbagaian
keinsanan manusia
kemanusiaan insan
di sarwajagat kehidupan!

Chai Loon Guan,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
21 April 2014

No comments: