Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, April 19, 2014

Analisis Cerpen PT3 BM



Analisis Cerpen PT3
Anak Penggunting Rambut
(Nor Hidayah Asari)

Tema:
Kasih sayang dua beranak, iaitu bapa kepada anaknya, dan anak kepada bapanya. Bapa, iaitu seorang penggunting rambut amat menyayangi anaknya, Manisah.

Persoalan:
Setiap bapa hendaklah menyayangi anaknya. Uda Ahmad masih menyayangi Manisah walaupun Manisah sudah meninggal dunia sebagai akibat penyakit leukemia.
Pengorbanan seorang bapa demi membesarkan anak. Selepas kematian isterinya, Uda Ahmad melakukan semua tugas di dapur dan menjaga anaknya.
Ketabahan tukang gunting rambut dalam mencari rezeki. Sewaktu tinggal di kampung, Uda Ahmad hidup susah. Walaupun dia mengambil upah bekerja di kebun kelapa namun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa.
Kesedihan yang dialami apabila kehilangan orang yang disayangi. Uda Ahmad amat sedih apabila anak yang sangat disayanginya itu, iaitu Manisah meninggal dunia sebagai akibat penyakit leukemia.
Sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara sungguh-sungguh akan menghasilkan pendapatan yang lumayan. Pekerjaan menggunting rambut yang dilakukan oleh Uda Ahmad telah banyak membantunya sebelum dia merantau ke tanah Felda.

Binaan Plot
Permulaan
"Aku" melamun dan teringat akan anak manjanya, Manisah. Anaknya itu digambarkan sebagai anak yang berambut pendek. Anaknya itu amat comel dan selalu tersenyum. Namun begitu, sejak kecil Manisah selalu sakit kepala sehingga kadang-kadang Manisah pitam. Oleh itu, "aku" menggunting rambut Manisah sehingga pendek.

Perkembangan
"Aku" teringat akan peristiwa semasa Manisah pertama kali pergi ke tadika. Manisah sedih dan menangis setelah diejek kerana berbapakan seorang penggunting rambut. Namun, Manisah mulai menyukai rambutnya yang pendek apabila dia berjaya memberikan kemenangan kepada kumpulannya dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala semasa sukan di tadikanya. Manisah masih mahu berambut pendek walaupun telah melangkah ke alam persekolahan. Manisah banyak menolong bapanya itu dalam hal menggunting rambut. Manisah akhirnya telah memahami pekerjaan bapanya itu dan berasa bangga berbapakan seorang penggunting rambut. Kini, Manisah telah dewasa dan melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, Manisah sudah semakin jarang pulang ke kampung. "Aku" terlalu merinduinya.

Klimaks
Lamunan panjang "aku" terhenti apabila mendapat panggilan telefon daripada rakan Manisah. Manisah sakit dan kini terlantar di hospital. "Aku" bergegas ke Kuala Lumpur. Di hospital, "aku" sangat sedih melihat kepala Manisah yang separuh botak.  Manisah disahkan menghidap penyakit leukemia. Manisah meninggal dunia di ribaan "aku".

Peleraian
"Aku" yang berasa sedih sudah tidak mahu menggunting rambut lagi. Tambahan pula, "aku" sudah terlalu tua.
·         Cikgu Chai Loon Guan, SMK Methodist, Tg. Malim dan Munsyi Dewan Bahasa, DBP.
·         Kupasan dan Kajian KOMSAS Tingkatan 2 - Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya.


No comments: