Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, July 31, 2013

Dinihari Ogos 2013

Kusambut dinihari 1 Ogos di rumahmu - KLCC Kuala Lumpur.

Tuesday, July 30, 2013

Majlis Iftar MES Tg.Malim

Majlis Iftar (berbuka puasa) kakitangan MES, Tg. Malim pada 30 Julai 2013 di Trolak Country Resort, Trolak.

Saturday, July 27, 2013

Friday, July 26, 2013

Drama BM T1



Drama - Arah ke Mana (Johan Jaaffar)
Sinopsis

Babak I
Haji Pakir dan Hajah Derisah berlutut di hadapan kubur Rohani. Mereka menangis teresak-esak. Haji Pakir meluahkan perasaan sedihnya mengenangkan anaknya, Rohani tidak dapat bersama-sama mereka meraikan hari raya Aidilfitri. Hajah Derisah memujuk suaminya, Haji Pakir supaya bersabar kerana semuanya ketentuan Tuhan. Haji Pakir berdoa semoga Tuhan menerima pemergian anaknya. Dalam pada itu, Haji Pakir tertanya-tanya tentang perkara sebenar yang berlaku kepada Rohani.

Babak II
Haji Pakir dan Hajah Derisah bercakap tentang Rohani yang masih belum pulang ke rumah. Pertengkaran kecil berlaku antara Haji Pakir dengan Hajah Derisah tentang sikap Rohani yang sudah tidak menghormati orang tua dan kelihatan sedang mengalami masalah. Mereka saling menyalahkan sesama sendiri. Haji Pakir mula sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya, Rohani. Dia menyalahkan Hajah Derisah yang tidak pandai menjaga anak. Haji Pakir sedar juga bahawa cara dia dan isterinya mendidik anak mereka selama ini salah. Tindakan mereka yang terlalu memanjakan Rohani menyebabkan anak mereka itu bersikap biadab. Hajah Derisah menangis mendengar kata-kata suaminya. Dia terus mempertahankan Rohani. Apabila Rohani pulang ke rumah, Haji Pakir memarahinya. Haji Pakir menegur sikap Rohani yang selalu keluar dan bercampur dengan budak-budak liar. Rohani melawan kata-kata ayahnya. Bagi Rohani, ayahnya terlalu mengongkong kehidupannya. Haji Pakir tahu juga bahawa Rohani telah menjadi penagih dadah. Rohani terus melawan kata-kata Haji Pakir dan menuduh ayahnya sengaja mencari kesalahannya. Oleh sebab terlalu marah, Haji Pakir menghalau Rohani keluar dari rumah. Rohani terus meninggalkan rumah itu.

Babak III
Haji Pakir terus meratapi kematian anak kesayangannya, Rohani. Haji Pakir sangat menyesal dan merasakan dirinya turut bertanggungjawab atas peristiwa yang menimpa Rohani. Hajah Derisah terus menenangkan suaminya. Dia mengatakan bahawa segala-galanya sudah tersurat dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Tema
Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak dapat mengundang padah. Tindakan Haji Pakir dan Hajah Derisah yang terlalu memanjakan Rohani telah menyebabkan anak mereka itu selalu keluar rumah, bercampur dengan budak-budak liar, dan terjebak dalam najis dadah sehingga meninggal dunia.

Persoalan
a. Sikap ibu bapa yang tidak mengambil tahu tentang aktiviti yang dilakukan oleh anak di luar rumah.
b. Tindakan anak yang menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa.
c. Sikap anak yang tidak menghormati ibu bapa.
d. Dadah membawa kecelakaan.
e. Perasaan kesal dan insaf atas kesalahan yang telah dilakukan.

(Sumber: Kupasan & Kajian KOMSAS 2011, Sasbadi Sdn.Bhd.)

Ayat Majmuk BM


Ayat Majmuk Bahasa Melayu
Definisi:
Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.

Contoh:
1.  [Ali sedang membaca buku] dan [Fatimah sedang membuat latihan matematik].
1a.    Ali sedang membaca buku.
1b.    Fatimah sedang membuat latihan matematik.
        Kata hubung - dan

Ayat majmuk terbahagi kepada tiga jenis yang utama, iaitu:
i.      Ayat majmuk gabungan.
ii.      Ayat majmuk pancangan.
iii.     Ayat majmuk campuran.

Ayat Majmuk Gabungan
Ayat Majmuk Gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya.

Contoh:
2.     [Murid-murid berlari] dan [bernyanyi].
2a.    Murid-murid berlari.
2b.    Murid-murid bernyanyi.
        Kata hubung - dan

3.  [Ceramah motivasi itu amat berguna] tambahan pula [penyampaiannya sangat menarik].
3a.    Cermah motivasi itu amat berguna.
3b.    Penyampaiannya sangat menarik.
        Kata hubung - tambahan pula

(Ayat Majmuk Gabungan yang terdiri daripada susunan fakta yang berterusan menggunakan kata hubung seperti dan, lalu, lagi, serta, sambil, tambahan pula, malahan, kemudian, akhirnya, dan sebagainya.)

4.     [Ahmad kurus] tetapi [adiknya gemuk].
4a.    Ahmad kurus.
4b.    Adiknya gemuk.
        Kata hubung - tetapi

5.     [Saya akan ke Kuala Lumpur] manakala [abang akan ke Tanjong Malim].
5a.    Saya akan ke Kuala Lumpur.
5b.    Abang akan ke Tanjong Malim.
        Kata hubung - manakala

(Ayat Majmuk Gabungan yang terdiri daripada susunan fakta yang membawa maksud pertentangan menggunakan kata hubung seperti tetapi, sebaliknya, melainkan, manakala, padahal, dan sebagainya.)

Ayat Majmuk Pancangan
Ayat Majmuk Pancangan terdiri daripada ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu.

Ayat Majmuk Pancangan terbahagi kepada:
i.       Ayat majmuk pancangan relatif
ii.      Ayat majmuk pancangan komplemen
iii.     Ayat majmuk pancangan keterangan

Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ayat relatif ialah ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan yang, seperti contoh yang berikut:

6.     [Saya membeli baju] yang berwarna merah.
6a.    Ayat induk:
        Saya membeli baju.
6b.    Ayat kecil:
        Baju berwarna merah.
        Kata hubung - yang

7.     [Bas] yang dinaiki adik saya [itu bas ekspres].
7a.    Ayat induk:
        Bas itu bas ekspres.
7b.    Ayat kecil:
        Bas itu dinaiki adik saya.
        Kata hubung - yang

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ayat majmuk komplemen ialah ayat majmuk yang mempunyai bahagian komplemen yang berfungsi sebagai unsur yang melengkapkan ayat tersebut. Bahagian komplemen itu terdiri daripada satu klausa yang dikenali sebagai ayat komplemen. Terdapat dua kata hubung komplemen dalam bahasa Malaysia, iaitu bahawa dan untuk.

Contohnya:
8.     [Dia menyatakan] bahawa [dia akan pulang esok].
8a.    Ayat induk:
        Dia menyatakan (sesuatu).
8b.    Ayat kecil:
        Dia akan pulang esok.
        Kata hubung - bahawa

9.     Untuk [mereka menjawab soalan itu] sangat sukar.
9a.    Ayat induk:
        Mereka menjawab soalan itu.
9b.    Ayat komplemen:
        Soalan itu sangat sukar.
        Kata hubung - untuk

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Ayat majmuk pancangan keterangan ialah ayat majmuk yang mempunyai ayat keterangan atau klausa keterangan di dalamnya. Ayat seperti ini disambungkan dengan menggunakan kata hubung ketika, kerana, jika, oleh sebab, lantaran, dan sebagainya.

Contohnya:
10.    [Dia selalu ponteng sekolah] kerana malas belajar.
10a.   Ayat induk:
        Dia selalu ponteng sekolah.
10b.  Ayat keterangan:
        Dia malas belajar.
        Kata hubung - kerana

11.  Jika [saya berjaya dengan cemerlang], [saya ingin mengikuti kursus kejuruteraan di universiti itu].
11a.  Ayat induk:
        Saya ingin mengikuti kursus kejuruteraan di universiti itu.
11b.  Ayat keterangan:
        Saya berjaya dengan cemerlang.
        Kata hubung - jika

Ayat Majmuk Campuran
Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mempunyai lebih daripada satu jenis ayat yang terdiri daripada campuran beberapa ayat majmuk.

Contohnya:
12.  Ah Seng dan Mutu yang telah memenangi pertandingan itu akan menerima hadiah pada minggu depan.
12a. Ah Seng dan Mutu telah memenangi pertandingan itu.
12b. Ah Seng dan Mutu akan menerima hadiah pada minggu depan.

13.    Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang  sudah letih lesu telah lama tidur.
13a.  Ahmad sedang membaca buku.
13b.  Kawan-kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur.

14.    Kereta yang sentiasa rosak itu dibaiki lalu dijual olehnya.
14a.  Kereta itu dibaiki olehnya.
14b.  Kereta itu dijual olehnya.
14c.  Kereta itu sentiasa rosak.

Ayat Majmuk Aktif - Ayat Majmuk Pasif
Contoh:
Ayat Majmuk Gabungan

15a.  Ayat Majmuk Gabungan Aktif:
        Saya minum teh dan Aminah makan nasi.
15b.  Ayat Majmuk Gabungan Pasif:
        Teh saya minum dan nasi dimakan oleh Aminah.

Ayat Majmuk Pancangan Relatif

16a.  Ayat Majmuk Pancangan Relatif Aktif:
        Mereka menonton wayang yang lucu itu.
16b.   Ayat Majmuk Pancangan Relatif Pasif:
        Wayang yang lucu itu ditonton oleh mereka.

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen

17a.  Ayat Majmuk Pancangan Komplemen Aktif:
        Guru menerangkan bahawa ujian akan bermula pada bulan  hadapan.
17b.  Ayat Majmuk Pancangan Komplemen Pasif:
        Bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan diterangkan oleh  guru.

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan

18a.  Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Aktif:
        Ali akan membeli buku itu kalau ayah membenarkannya.
18b.  Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Pasif:
        Buku itu akan dibeli oleh Ali kalau ayah membenarkannya.


Kesimpulan
Yang jelas, sebagai pencinta dan pengguna bahasa Melayu, kita sewajarnya mengenali dan menguasai pola ayat majmuk bahasa Melayu yang betul dan persis dalam kehidupan sehari-hari. Sesungguhnya, kehadiran pelbagai jenis ayat majmuk dalam bahasa Melayu mencerminkan sintaksis bahasa Melayu cukup kaya, terampil dan indah sama ada dalam wacana lisan atau wacana penulisan.

Tugasan Kendiri:
Nyatakan jenis ayat di bawah ini, sama ada ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen, ayat majmuk pancangan keterangan, ayat majmuk campuran, atau ayat majmuk (gabungan, pancangan relatif, komplemen, atau keterangan) pasif.

Bil.
Ayat Majmuk
Jenis Ayat Majmuk
01.
Sungguhpun badannya letih, majlis perayaan itu tetap dihadiri oleh Aliah.

02.
Dia menyatakan bahawa dia tidak bersalah sama sekali.

03.
Ai Leng tidak hadir kerana dia menghidap demam denggi.

04.
Saya dan pegawai itu terlibat dalam seminar yang akan berlangsung esok.

05.
Apabila hujan turun, mereka berteduh di bawah pokok itu.

06.
Saya diperhatikan oleh beliau ketika beliau berdiri di situ.

07.
Kereta Ahmad pula ditanduk oleh lembu yang menanduk kereta saya itu.

08.
Bahawa wabak taun telah merebak di negara itu dilaporkan oleh akhbar tempatan.

09.
Bangsa kita memang terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah lembut dan bertatatertib yang tinggi nilainya dan mulia.

10.
Anak itu menangis kerana ia lapar.

11.
Saya sangat yakin bahawa dia akan berjaya.

12.
Untuk dia mendapat tempat pertama dalam peperiksaan itu memang susah.

13.
Orang yang baru datang itu membawa buah tangan.

14.
Beliau memandang saya sambil tersenyum.

15.
Ahmad rajin belajar tetapi adiknya malas.

16.
Pemuda yang berusaha bersungguh-sungguh itu memenangi hadiah.

17.
Untuk dia lulus ujian itu amatlah senang.

18.
Ia bersorak terlalu kuat hingga serak suaranya.

19.
Meskipun hari sudah lewat, pemuda itu masih mahu meneruskan perjalanannya.

20.
Murid-murid itu mengetahui bahawa peraturan itu penting dan mereka menyedari bahawa walaupun mereka tidak senang hati dengannya, peraturan itu mesti dipatuhi.


Sumber:
1. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, DBP: 2008
2. Esensi BM PMR - Longman Pearson: 2012