Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, May 31, 2013

Ucapan Tahniah

Tahniah, YBhg. Prof. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka! Salam Bahasa Jiwa Bangsa.


WIRA CENDEKIA BAHASA
(buat YBhg. Prof. Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP bersempena dengan Muzakarah Munsyi Dewan pada 28 November – 01 Disember 2012 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands)

Dikau bagaikan sang tukang ukir
yang mahir
Antara pahat metafora
dan tukul personifikasi
Tabah cekal mengukir
Seni wasilah bahasa
Untuk telaahan bangsa
Untuk khazanah nusa
zaman-berzaman.

Dikau bagaikan sang petani
Dari daerah pedalaman yang bening
Antara cangkul diksi dan kudrat harapan
Penuh kasih kausemai akrab
benih-benih bahasa
Di kebun ilmu
Di kebun bangsa.

Dikau bagaikan sang tukang jahit zaman
Antara jejarum frasa dan bebenang klausa
Kaucipta busana susila bahasa
manifestasi peradaban
nilai kesantunan
citra ketamadunan
bangsa
di persada nusa
di persada nusantara
di persada antarabangsa

Dikau bagaikan wira sepanjang zaman
Antara merah darah perjuangan
dan keris peradaban
Kaulangkah gagah di persada wacana
Melahirkan anak-anak merdeka
Yang cekal akal budi
Yang tekal jati diri

Wira cendekia bahasaku
Dikau persis kandil ilmu
Obor menerangi buana zulmat
Terampil wibawa menongkah arus cabaran
Pena ilmu di buana manusiawi
Wacana ilmu di buana rabbani

Dirgahayu
Wira cendekia bahasaku
Bahasawan yang cemerlang
Bahasawan yang terbilang
Bahasawan sepanjang zaman!

Chai Loon Guan,
Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.
28 November – 01 Disember 2012.

 

DAULAT TUANKU!


NASIB

Apabila binatang mula bercerita tentang nasib manusia dan buana kehidupannya di sarwajagat yang serba menduga ini...

Thursday, May 30, 2013

Cerpen - ASN12



Cerpen untuk Mingguan Malaysia:
ASN12
oleh Chai Loon Guan

28 Mei 2013, Selasa - 1.30 tengah hari:

          Dari rumah, aku menjejaki perjalanan ke stesen ETS Tanjong Malim. Cukup sekadar sebuah beg galas untuk kembara selama dua hari satu malam.

1.40 tengah hari:

          Tiket ETS Keretapi Tanah Melayu (KTM), kelas primer dapat kuperoleh sejam sebelum jadual perjalanan dengan harga potongan 50%, yakni RM10.00. Nilai tiket tempahan awal berharga RM20.00, yakni tambang perjalanan dari Tanjong Malim ke Sentral Kuala Lumpur. Syukur. Sesungguhnya, pembaziran itu amalan syaitan. Berjimat cermat amalan yang mulia.

2.10 petang:

          Penulis masih menunggu ketibaan tren ETS dari Ipoh di Pelantaran 1. Selang-seli, suasana di stesen KTM Tanjong Malim dimeriahkan oleh bunyi rel kereta api barangan YTL dan Komuter Rawang - Tanjong Malim.

"Coach for ladies only!"

          Sintaksis yang menggambarkan seolah-olah setiap warga Malaysia yang masih tidak memahami dan mengerti bahasa Melayu. Kenapa bahasa Melayu, bahasa kebangsaan masih dipinggirkan? Benarkah nasib bahasa Melayu seperti melukut di tepi gantang?

          Kedengaran pengumuman daripada juruhebah KTM. "Tren ke Kuala Lumpur dijangka lewat. KTM memohon maaf di atas kelewatan tersebut. Terima kasih." Yang jelas frasa "di atas" tidak persis. Sepatutnya kata sendi "atas" lebih tepat dalam konteks ayat di atas. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!

2.15 petang:

          Tren ETS dari Ipoh dijangka tiba di stesen Tanjong Malim. Para penumpang dinasihati berdiri di belakang garisan kuning Pelantaran 1.

          Meluncur  tren ETS. Sahlah, aku  kini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, kota kosmopolitan. Barangkali, Kuala Lumpur sudah boleh digelar kota metropolitan. ETS semakin ligat membelah kiri kanan landasan rel. Semak-samun dan belukar yang menghijau terlintas pandang oleh mata.

          Sayonara Tanjong Malim! Destinasiku, Kuala Lumpur.

          Skrin televisyen ETS menyiarkan butiran tren. Kelajuan tren mencecah 124 km/j. Masa menunjukkan pukul 2.19 petang. Ada tayangan filem. Filem orang putih. Peliknya, kenapa tidak ditayangkan filem dokumentari tentang keindahan tanah air? Keunikan budaya dan adab resam masyarakat majmuk Malaysia? Ceritera tanah tinggi, pulau, laut, kota dan desa pedalaman negara? Maklum, kita terlebih biasa akan ayam goreng KFC, roti dan mentega keju agaknya! Apa salahnya, sesekali, kita bersarapan dengan menu utamanya nasi lemak kampung, tose (sejenis makanan India yang dibuat daripada beras dan dimakan bersama dengan kuah dal) atau kuetiau goreng ala Taiping?

          Geseran dan gegaran rel kereta api sesekali turut mengganggu keselesaan para penumpang. Yang bosan sedang melayan diri dengan muzik daripada telefon bimbit mutakhir, Samsung Galaxy S4. Yang haus dan lapar pula sudah berada di kafetaria ETS. Sambil menghirup secawan kopi, mata cuba menangkap setiap  pemandangan yang terlintas. Tiada gebang. Tiada bual bicara. Tidak banyak yang membaca. Benarkah amalan membaca kurang diberikan keutamaan dalam kehidupan kita sehari-hari? Bukankah membaca itu jambatan ilmu? Manusia ETS sedang bergelut dengan monolog diri masing-masing. Monolog dalaman. Yang terlena pula sedang berpuisi dengan bait-bait kata dan frasa mimpi di siang hari. Bercerita tentang manusia, teringat aku akan bait-bait sajak Baha Zain.

          Topeng-topeng
          ini dunia menjadi rumah segala peristiwa
          topeng-topeng menari dari bayang ke bayang
          "dan kita usah bimbang
          subuh pasti datang menyerahkan segumpal cahaya
          penyelesaian dan kemenangan
          hidup kita akan lega".

          ini dunia menjadi  rumah topeng-topeng
          Dewi Pemurah dan Dewa Penyelamat
          bagi mereka yang gentar keberanian
          bagi mereka yang gagal berikhtiar
          bagi mereka yang besar berdoa
          berkacalah dengan topeng
          dari bayang ke bayang

          ini dunia menjadi rumah segala mimpi
          dalam gendang perang nanti malam
          akulah Rawana dengan topeng Hanuman
          sebelum tiba subuh yang mereka harapkan
          Rama roboh dengan satu panggilan
          demi Sita lambang segala kejujuran
          berbicaralah kau kebenaran
          di muka penonton sekian lama dibodohkan

          di sekitarku peristiwa
          di sekitarku topeng
          di sekitarku mereka
          ini aku
          wajah telanjang
          di muka
          kekonyolan!
          Baha Zain
          (Dewan Sastera, Julai 1971)

2.26 petang:

          Kelajuan ETS menurun. Kelajuannya mencapai 106 km/j. Barangkali, tren sedang mendaki tanah tinggi. Bukit. Filem Inggeris sudah berakhir. Muncul pula siri kartun - Mr. Bean. Terbayang baris-baris senyuman pada wajah penumpang ETS. Fiil Mr. Bean mencuit hati mereka. Gerak-geri Mr. Bean mengusik kalbu resah mereka, barangkali.

          Mula kelihatan pokok-pokok pisang tumbuh meliar di kiri kanan perjalanan. Belukar. Parit. Kolam. Kebun. Panorama itu selari dengan jajaran Banjaran Titiwangsa. Biarpun dipanahi panas terik mentari petang, pengguna ETS selesa akan dingin penyaman udara di dalam koc penumpang.

3.05 petang:

          Hadir lukisan grafiti di tembok-tembok bahagian kiri kanan perjalanan ketika tren ETS semakin menghampiri sebuah kota yang bernama Kuala Lumpur.

          "Stesen berikutnya, Stesen Kuala Lumpur! Anda menghampiri destinasi anda. Sila pastikan tiada barangan yang tertinggal."

          Syabas, bahasa Melayu didahulukan. Bahasa Melayu diutamakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

3.11 petang - Stesen Kuala Lumpur:

          Ada sketsa tanah runtuh kecil di sana sini. ETS perlu melalui terowong gelap. Gelap-gelita. Kerja-kerja baik pulih sedang berlangsung. Seni grafiti mengalu-alukan kehadiran setiap penumpang ETS. Selamat datang ke Kuala Lumpur. Selamat datang ke kota kosmopolitan. Selamat datang ke kota metropolitan. Bangunan pencakar langit tersergam megah mengagumkan penumpang. Penumpang baharu yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kuala Lumpur!

          "Destinasi ini destinasi yang terakhir. Kami mengucapkan terima kasih kerana anda telah menggunakan perkhidmatan ETS. Harap kita dapat berjumpa lagi. Terima kasih."
Sentral Kuala Lumpur:

          Orang ramai berpusu-pusu mengejar destinasi masing-masing. Antaranya, termasuklah seorang aku, musafir dari Tanjong Malim atau Tanjong Mu'alim ataupun Tanjong Jambu! Beratur aku di kaunter untuk membeli tiket teksi berpakej.

          "Nak ke mana, Encik?"
          "Hotel Swiss Garden, Jalan Pudu!"
          "RM 13.00, Encik!"
          "Ini duitnya, Cik!"
          "Terima kasih!"

          Alangkah moleknya, setiap kaunter perkhidmatan menawarkan perkhidmatan yang mesra pengguna. Bual bicara dalam bahasa yang santun dan bertatasusila mencerminkan maruah dan imej diri yang terpuji. Kakitangan sedemikianlah merupakan aset kesayangan syarikat. Pengguna didahulukan, pencapaian diutamakan.

4.00 petang;

          Selepas daftar masuk, sempat aku maklumkan ketibaan melalui mesej sms kepada isteriku. Bilik 1515, tingkat lima belas. Dari sudut jendela kamar, dapat kutatap sebahagian wajah bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. Kenderaan bagaikan anai-anai, satu persatu sedang bertali arus ke destinasi masing-masing.  Benar, Kuala Lumpur - kota hutan batu!

          Terlena aku seketika menghilangkan penat yang membelenggu diri, mental dan fizikal seharian.

6.30 petang:

          Terbangun aku dek isyarat bunyi dari telefon bimbit aku, Nokia. Mandi dan bersiap-siap sebelum turun ke lobi hotel. Dua pilihan menunggu, teksi hotel atau teksi awam. Keselesaan dan keselamatan menjadi keutamaan.

7.15 malam:

          Aku sudah berada di dalam perut teksi eksekutif biru menuju Hotel Royale Chulan. Biarpun berbangsa Tionghoa, lebih selesa aku berbahasa Melayu dengan drebar teksi itu. Orangnya peramah. Bijak dan teratur memberikan pendapat. Yang penting santun bicaranya biarpun sesekali kedengaran pelat atau telor bahasa Melayunya. Yang bagusnya, dia mahu berbicara dalam bahasa Melayu!

          Kesesakan lalu-lintas merancakkan bual bicara kami. Banyak hal yang disentuh. Hal tentang teksi. Lesen dan permitnya. Mata pencarian. Sumber rezeki. Persaingan. Dan, yang penting, dunia kehidupan di kota kosmopolitan yang senantiasa sibuk, lincah dan ruwet. Selain kesesakan lalu-lintas, yang jelas, hotel bertaraf antarabangsa dan pusat beli-belah elit bagai cendawan tumbuh menambahserikan wajah Kuala Lumpur.

8.00 malam.

          Aku sudah berada di pintu depan Hotel Royale Chulan. Permaidani merah sudah siap terbentang menunggu ketibaan dif-dif kehormat. Ya, Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-12!

          "Selamat datang!"
          "Apa khabar, Puan?"
         "Baik, terima kasih. Meja Cikgu Chai, meja bernombor 11!" ujar Puan Roslida Mustapha penuh sopan, selaku Urus setia Pendaftaran.
          "Terima kasih, kembali!"

          Meja bulat mula dipenuhi tetamu undangan. Dif-dif kehormat. Yang jauh dan yang dekat kelihatan bersalam-salaman. Jelas, dalam majlis anugerah seumpama ini, dapat aku bertanyakan khabar dan berkenalan dengan sahabat, sasterawan, ilmuwan, budayawan dan kuasawan! Wah, semeja aku dengan penulis terkenal Tuan Ahmad Patria Abdullah dan Puan Raja Rajeswari Seetha Raman. Maka, berbicaralah kami tentang dunia bahasa, budaya dan susastera bahasa Melayu mutakhir.

          "Tahniah, puan! Makalah puan bertajuk "Ketandusan Penulis Bukan Melayu" tersiar dalam Mingguan Malaysia pada 26 Mei 2013!" ucapku sungguh-sungguh.
         
          "Terima kasih, tuan. Hakikatnya, karya penulis bukan Melayu kian tandus akhir-akhir ini. Bilangan penulis bukan Melayu yang masih aktif berkarya kian kecil. Dulu ada Nagalingam, G.Soosai, Goh Thean Chye, Goh Hin San, Joseph Selvam, Cheng Poh Hock, Lim Swee Tin, Lim Kim Hui, Amir Tan, Saroja Theavy Balakrishnan, Siow Siew Sing, Lee Keok Chih, Lai Choy, Eh Deng Eh Chih, Margi Leo, Danial Jebon Janaun, Jong Chian Lai, Suwanlerd Pro Paul, Poul Nanggang, Jair Sulai, dan banyak lagi. Kini, hanya tinggal beberapa orang penulis yang masih aktif berkarya di persada kesusasteraan nusa, tuan! Di mana barisan pelapisnya, tuan..." keluhannya menyerlahkan sedikit banyak kebimbangan.

          "Usaha proaktif perlu ditingkatkan oleh pihak yang berwajib!"
          "Bagaimana, tuan?"

        "Sayembara Hadiah Sastera Kategori Penulis Bukan Melayu perlu dikembalikan! Wujudkan ikon penulis bukan Melayu tanah air untuk dijadikan suri teladan kepada masyarakat. Adakan bengkel, seminar, ceramah dan penataran penulisan kreatif mengikut zon di seluruh negara untuk mencungkil bakat tunas muda dan pelapis. Gunakan kepakaran Sasterawan Negara, novelis, cerpenis, dramatis dan penyair mapan tanah air. Barangkali dalam hal ini, DBP mampu menghulurkan bantuan kepakaran. Sokongan, keprihatinan dan iltizam daripada sektor korporat seperti Petronas, Telekom Malaysia Berhad, Maxis, Shell, Sime Darby, PNB, media arus perdana dituntut dan amat dialu-alukan, dan..."

          Aku mula memberikan buah fikiran. Gelas kordial oren saya rapatkan ke mulutku. Perlahan-lahan seteguk demi seteguk air itu, kuhirup puas-puas.

          "Dan, apalagi tuan?" tanya Puan Raja Rajeswari lagi. Minat perbincangan kami kian rancak dan menarik dalam riuh-rendah perbualan para hadirin di majlis perdana ASN12!

          "Karya-karya penulis bukan Melayu perlu dikumpul, diulas, diberikan ruang dan peluang siaran serta diantologikan untuk tatapan anak cucu kita pada masa-masa yang akan datang. Pada hemat saya, karya pelbagai genre sama ada ilmiah atau kreatif mampu menambahkan khazanah bahasa dan kesusasteraan tanah air di samping menjadi rujukan para pengkaji bahasa dan kesusasteraan Melayu tanah air. Sesungguhnya, penulis bukan Melayu turut menggalas tanggungjawab dan memainkan peranan yang penting untuk melestarikan serta mendaulatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di persada tanah air di samping sebagai wahana perpaduan nasional!"

          Meja-meja bulat di segenap ruang di Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur sudah dipenuhi. Sesungguhnya, majlis pengurniaan ASN12 kali ini cukup meriah dan terserlah. Syabas dan tahniah, DBP selaku penganjur utama!

          "Saya amat berharap agar makalah puan akan dapat menyerlahkan impian dan membuahkan harapan untuk melahirkan lebih banyak penulis bukan Melayu di buana kebahasaan dan kesusasteraan Melayu tanah air!"

          "Moga-moga, saudara. Yang penting, usaha melahirkan karya yang bermutu perlu kita teruskan selagi hayat dikandung badan!"

          Suara juruacara majlis mula kedengaran.  

          Lagu Negaraku dimainkan sebaik keberangkatan tiba DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Raja Permaisuri Agong serta diiringi dif-dif kehormat.

          Santapan dimulakan. Sup ayam cendawan tiram. Nasi beriani gajus berlaukkan ayam rempah, jenahak pais kelapa, sayur campur, kuzi kambing, daging halia, perencah ulam, sambal belacan, sambal colek dan acar buah selain pencuci mulut sagu gula kabung, minuman kordial oren, teh dan kopi. Di atas pentas utama pula, persembahan dekon puisi sedang dipertontonkan, dan diselang-selikan deklamasi sajak oleh YBhg. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail dan Dr. Shamsudin Othman.

          Usai dekon dan persembahan beberapa buah lagu irama Malaysia yang segar dan mengasyikkan, maka bermulalah ucapan alu-aluan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Panel Penilai Anugerah Sastera Negara ke-12.

          Kemudian, YBhg. Dato' (Dr.) Haji Baharuddin bin Zainal dijemput ke persada utama sebelum laporan panel hakim disampaikan oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Md. Salleh bin Yaapar, Ketua Panel Penilai Anugerah Sastera Negara ke-12.

           
Biodata SN Dato' (Dr.) Haji Baharuddin bin Zainal (Baha Zain)

          Baha Zain atau (Dr.) Baharuddin Zainal dilahirkan di Hutan Melintang, Perak Darul Ridzuan pada 22 Mei 1939. Beliau lulusan Cambridge Overseas School Certificate sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1963. Pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyelidik DBP (1963) dan Bahagian Perkamusan sebelum melanjutkan pelajaran ke Fakultas Sastera Universitas Indonesia, Rawamangun, Jakarta. Beliau di bawah bimbingan H.B.Jassin, tokoh pengkritik terkenal Indonesia.

          Baha Zain bertugas sebagai Ketua Cawangan Kajian di Bahagian Perkembangan Sastera pada 1972. Pada 1982, beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah DBP. Pada tahun 1985, beliau menubuhkan syarikat Pustaka Cipta Sdn.Bhd. dan menerbitkan majalah berita Era.

          Baha Zain menulis esei, kritikan, puisi, cerpen dan terjemahan. Beliau juga telah menyusun semula Hikayat Bakhtiar (DBP, 1962), Hikayat Umar Umaiyah (DBP, 1964, 1988) dan Hikayat Cekel Waneng Pati (DBP, 1965). Pada tahun 1967, buku Hikayat Cekel Waneng Pati menerima hadiah UNESCO sebagai bacaan tambahan yang baik untuk pelajar sekolah menengah.

          Baha Zain menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Awards) pada tahun 1980. Pada tahun 1982 beliau dianugerahi Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang di-Pertuan Agong. Kemudian pada tahun 1986, beliau dikurniai pula Darjah Cura Simanja Kini (PCM) dan beberapa tahun kemudian (1998) beliau dikurniai gelaran Dato' Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Perak. Sebagai pengiktirafan terhadap kegiatannya yang berterusan dalam gerakan kebahasaan, penulisan dan persuratan, Baha Zain menerima Anugerah Penyair GAPENA (1998), Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budaya GAPENA (2008), Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 2010 dan Anugerah Tokoh PENA (2012). Pada tahun 2013, Kerajaan Malaysia mengurniai beliau Anugerah Sastera Negara dan seterusnya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-12.

          Acara kemuncak, majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-12 kepada YBhg. SN Dato' (Dr.) Hj. Baharuddin Zainal oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

          Maka, bermadahlah YBhg. SN Dato' (Dr.) Haji Baharuddin  Zainal:

          Bahasa Melayu sejak dahulukala sangat akrab dengan masyarakat, tradisi, agama dan ekosistemnya seperti yang tercermin dalam pantun, mantera, syair, hikayat dan kitab-kitabnya. Demikianlah juga kebudayaan bangsa kita tak terpisah daripada kekayaan alam, agama Islam dan  juga rentetan perjalanan sejarah masyarakat peribumi sejak ribuan tahun dahulu.

          Bahasa dan kebudayaanlah yang membezakan tamadun sesuatu bangsa dengan tamadun bangsa lain. Kemerdekaan dan kebebasan negara bangsa itu bermakna bukan sahaja tertegaknya keadilan politik, keadilan ekonomi dan keadilan sosial, tetapi juga keadilan kebudayaan, terutama yang berkaitan tradisi, nilai-nilai unggul dan tasawur atau pandangan dunia manusianya.

          Kemajuan ekonomi dan teknologi amat penting untuk pertumbuhan pendapatan, tetapi pembangunan kebudayaan juga penting untuk melahirkan jenis watak manusia yang menyumbang kepada produktiviti dan kestabilan negara. Ekonomi dan kebudayaan itu pada hakikatnya saling menunjangi. Membangunkan manusia yang berbudaya, pandai berbahasa, penyayang, inovatif dan berorientasikan masyarakat sangat penting untuk mengimbangi sifat-sifat individualistik, kebendaan dan kerakusan yang didatangkan oleh kemodenan pada hari ini.

          Dan, berbicaralah para tokoh tentang YBhg. SN Dato' (Dr.) Hj. Baharuddin Zainal:

          Dalam mengungkapkan persoalan atau tema sosial, Baha bukan menempatkan dirinya sebagai pemerhati semata-mata yang akan hanya menyediakan hati nuraninya kepada emosi dan keharuan manusia. Beliau dengan penuh pengertian meninjau kenyataan sebagai pemikir yang sekali gus menyatakan sikapnya. Hal ini menyebabkan sajak-sajaknya dapat disempurnakan dalam kejituan dan kehalusan urutan pemikiran yang diperteguh dengan suatu kesimpulan. - Dharmawijaya (Dewan Sastera, Jun 1977)

          Di dalam dirinya, beliau tahu bahawa beliau tidak perlu berpura-pura memahami topeng atau role, atau mengeluarkan kata-kata yang diharapkan oleh orang yang dikasihinya atau yang bekerja bersamanya. Diselubungi rahmat malam, dikelilingi oleh manusia yang lebih mudah memahaminya, dikuatkan oleh ingatan yang dijaga kemanusiaannya, penyair kembali menjadi dirinya sendiri, penuh dan peka. - Muhammad Haji Salleh (1980)

          Dasar falsafah puitik Baha Zain ialah pertentangan antara nilai-nilai yang benar dan nilai-nilai yang palsu. Setiap benda, peristiwa atau tindakan ditinjau dari segi kebenarannya. Taraf kebenaran sebuah benda atau peristiwa ditentukan oleh penyair berdasarkan "kedalaman"nya yang menjadi kriteria!
- Vladimir Braginsky (1989)

          Mahahebat dan mahaunggul, Sasterawan Negara Dato' (Dr.) Haji Baharuddin Zainal! Tahniah dan syabas, YBhg. Dato'! Gilang-gemilang. Meriah. Majlis pengurniaan yang telah disaksikan oleh ratusan tetamu jemputan dan dif-dif kehormat, sasterawan, bahasawan, budayawan dan kuasawan.

10.30 malam:

          Lagu Negaraku kedengaran. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan majlis.

          Sebelum bersurai, sempat aku bersalam-salaman dengan para sahabat bahasa dan susastera bahasa Melayu. Selain oleh-oleh buku cenderamata ASN12, aku turut dihadiahi kad nama para sahabat. Salam ukhuwah, Tuan Ahmad Patria Abdullah, Tuan Eh Pon Awang Din (Praphan Krungnit) dan Puan Raja Rajeswari Seetha Raman! Salam 1Malaysia!

          Lobi hotel kembali sibuk. Meriah. Kereta demi kereta berjenama memperagakan diri di hadapan pintu utama hotel untuk menjemput tuan masing-masing pulang.

10.45 malam:

          Malam kian tua. Jalan-jalan raya di kota kosmopolitan Kuala Lumpur kian lenggang. Ajaib. Tiada pula kesesakan lalu-lintas yang serius. Agaknya, pada malam itu, orang Kuala Lumpur berkenduri di dalam rumah. Tiada pesta lewat malam atau awal pagi barangkali. Lumrahnya, bukankah Kuala Lumpur milik mereka? Tiba-tiba, teringat pula aku akan novel SN Datuk Abdullah bin Hussain. Ya, Kuala Lumpur Kita Punya!

          Aku tiba di Hotel Swiss Garden, Jalan Pudu dengan sebuah teksi kota. Tambang balik dari Hotel Royale Chulan cuma RM 7.00 berbanding dengan tambang bertolak datang, RM18.00. Hampir dua kali setengah kos tambang teksi! Demikianlah rempah-ratus teksi dan jalan-jalan raya di kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang perlu kita lalui sebagai sang musafir jalanan.

          Senyuman kakitangan di lobi hotel menyambut ketibaanku. Barangkali senyuman itulah yang telah melariskan perniagaan hotel tersebut sejak dua dasawarsa yang lalu.

          Bilik 1515 menanti aku penuh setia. Selamat kembali aku untuk bersiram dan beristirahat di kamar bujang pada malam itu. Biarpun tiada bintang-bintang di dada langit namun kerlipan dan sinaran lampu-lampu neon bangunan dan kenderaan yang bertali arus menambahserikan panorama malam. Sebelum aku dibuai mimpi yang mengasyikkan lewat tidurku, sempat aku menelaah buku majlis pengurniaan, laporan panel dan ucapan penerimaan oleh YBhg. SN Dato' (Dr.) Haji Baharuddin Zainal.

          Bahasa Alam

          kehijauan adalah bahasa alam
          yang minta diabadikan,
          Tuhan Maha Pencipta dan manusia
          kecil di dalamnya.

          Dialah Penyair yang melukiskan
          mendung dan warna,
          kita manusia resah tertegun
          dalam sinar-Nya.

          Baha Zain
          (Bahasa Alam, 1983)

Selamat malam, Kuala Lumpur agar esok dan hari-hari yang berikutnya menjanjikan sejuta harapan yang membahagiakan!

29 Mei 2013 - Rabu, 9.00 pagi:

          Sarapan di kafetaria hotel. Dua keping roti, mentega dan jem limau import. Secawan kopi pekat kurang manis. Sepinggan kecil potongan nanas dan tembikai. Dan, yang pasti segelas susu segar Hotel Swiss Garden, Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

9.45 pagi:

          Daftar keluar aku selepas beg galas siap dikemas. Kad kunci 1515 diserahkan dan bayaran penginapan dilangsaikan. Demi cinta akan bahasa dan lestari akan buana kesusasteraan Melayu tanah air, ongkos itu cuma sekelumit iltizam.

10.10 pagi:

          Berjalan kaki aku ke UTC Pudu Sentral. Dulu UTC Pudu Sentral dikenal sebagai Pudu Raya Kuala Lumpur. Beli tiket bas 626 Ekspres Kuala Lumpur - Tg.Malim. Bergentayangan aku seketika di Kedai Buku 1Malaysia. Ingat, hanya 20 minit sahaja sebelum bergegas turun aku ke Pelantaran 6 agar tidak ketinggalan bas!

          Berjaya aku akhirnya memiliki dua naskhah antologi cerpen, iaitu kumpulan cerpen Bidadari Burung karya S.M.Zakir dan Catatan Cinta Anakanda Bonda nukilan pena Kamariah Kamarudin. Kedua-dua naskhah antologi cerpen dicetak kemas dan comel. Syabas dan tahniah, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA)!

          Bas Ekspres 626 Kuala Lumpur - Tanjong Malim perlahan-lahan meninggalkan UTC Pudu Sentral, melewati Jalan Petaling, Pasar Seni dan kota kosmopolitan Kuala Lumpur menuju Jalan Persekutuan. Selamat tinggal, Kuala Lumpur!

          Ya, kembali aku dalam perjalanan pulang ke pangkuan keluarga. Tanjong Malim dalam gamitan biarpun dua hari satu malam telah aku telusuri dan nikmati saat meriah, gilang-gemilang dan bitaranya  majlis ASN12 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur! Terima kasih, Dewan Bahasa dan Pustaka! Terima kasih, Malaysia! Salam Bahasa Jiwa Bangsa!