Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, April 30, 2013

Sajak - SUSASTERA


SUSASTERA

Susastera
bukan sekadar aksara
teori, analisis atau karya

susastera
ada roh kehidupan
ada jiwa kemanusiaan
ada rasa keinsanan

bukan sekadar aroma
mewangi di taman
realiti atau ilusi
susastera
ada akar-akarnya
ada pepohonnya
ada rerantingnya
ada dedaunnya
ada bebenihnya
ada bebunganya
buah ranum
di kebun kehidupan insan

susastera
neraca antara dunia
digital
teknikal
empirikal
dalam buana
mata hati
insaniah
jasmaniah
modal insan
di sarwajagat kehidupan!

Chai Loon Guan,
P077 Tanjong Malim.
1 Mei 2013.

Hari Pekerja 2013

Renungan Hari Pekerja - 1 Mei 2013. Salam beristirahat dan bermuhasabah diri.


ALAM

Alam indah milik-Nya!



Sunday, April 28, 2013

MES - JOHAN!


Tahniah! SMK Methodist, 35900 Tg.Malim muncul sebagai JOHAN dalam Pertandingan Debat Ala Parlimen Bahasa Inggeris Sekolah Menengah peringkat Daerah Batang Padang 2013 di SMK Bandar Behrang 2020 pada 26 - 27 April 2013. Pasukan MES akan mewakili Daerah Batang Padang ke Pertandingan Debat Ala Parlimen Bahasa Inggeris Sekolah Menengah peringkat Negeri Perak pada bulan Jun 2013 nanti. Syabas, MES - alma materku! Salam.

MES


Papan, besi, simen - antara bahan yang digunakan untuk mendirikan tiang seri bangunan baharu (3 tingkat) SMK Methodist, 35900 Tg. Malim. Salam.

Saturday, April 27, 2013

Naib Johan Tokoh Nilam Kebangsaan 2013

Jaclyn Loh Hui Ling (SK Convent Kota, Taiping - wakil Negeri Perak Darul Ridzuan) telah berjaya muncul sebagai NAIB JOHAN Pertandingan Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2013 dalam kategori Sekolah Rendah Bahasa Inggeris. Tahniah dan syabas kepada Adik Jaclyn Loh Hui Ling. Salam NILAM.

Thursday, April 25, 2013

Tokoh Nilam Kebangsaan 2013

Selamat berjuang dan maju jaya selalu kepada Tokoh Nilam Negeri Perak yang sedang menyertai Pertandingan Tokoh Nilam Kebangsaan 2013 di BTPN Selangor Darul Ehsan pada 23 - 28 April 2013.

Sekolah Rendah Bahasa Melayu:-
Nur Aina Aqilah bt. Zulkifli (SK Seri Langkap)

Sekolah Rendah Bahasa Inggeris:-
Jaclyn Loh Hui Ling (SK Convent Kota)

Sekolah Menengah Bahasa Melayu:-
Anis Sofea bt. M. Hanim (SMK Dato' Hussein)

Sekolah Menengah Bahasa Inggeris:-
Ng Ray Man (SMK Gunung Rapat)

Salam NILAM.

Bengkel Pemantapan Munsyi Dewan (Bahasa) Zon Utara


Bergambar kenangan bersama-sama Tn.Hj. Zainuddin (Presiden Majlis Munsyi Dewan Malaysia), En. R.Tewarajoo dan Tn.Hj.Jamil (Munsyi Dewan) sebelum menjadi moderator Bengkel Pemantapan Munsyi Dewan (Bahasa) Zon Utara pada 12 - 13 April 2013 di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Wednesday, April 24, 2013

MES

Tapak dan tiang seri bangunan baharu (blok tiga tingkat) SMK Methodist, 35900 Tg. Malim dalam proses pembinaan. Salam MES.

Sunday, April 21, 2013

PUISI


Resort Century Pines, Lot 42, Jalan Masjid, Tanah Rata, Cameron Highlands, Malaysia bakal saya diami bersempena dengan tugas rasmi sebagai hakim Pertandingan Puisi dan Syair Sekolah Menengah Negeri Pahang Darul Makmur 2013 pada 23 - 24 April 2013.

Friday, April 19, 2013

Anugerah Sastera Darul Ridzuan 2013


Anugerah Sastera Darul Ridzuan 2013 wajar mengambil kira karya-karya eceran dan antologi buku bahasa dan susastera Melayu yang diterbitkan dari tahun 2008 - 2012 (5 tahun - separuh dekad) agar kriteria pemilihan lebih afdal, menyeluruh, bermutu dan mantap untuk menyemarakkan buana kebahasaan dan kesusasteraan Melayu di Perak Darul Ridzuan khasnya dan tanah air amnya. Terima kasih. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Thursday, April 18, 2013

Sajak - UNDI


UNDI

undi
kata bausastera
sesuatu untuk memilih
pilih-memilih
dalam kehidupan
undi-mengundi
dalam kenegaraan

undilah
dengan waras akal
bukan terbelenggu
oleh nafsu
undilah
dengan bijaksana
bukan terhutang
oleh budi
undilah
dengan adil
bukan termakan
oleh janji

undi kita
menentukan masa depan
undi kita
memberikan harapan
undi kita
memayungi perpaduan
undi kita
merintis perubahan
undi kita
memacu kemajuan

undilah
bebaskan kita
daripada hina-papa
bebaskan kita
daripada adu domba
bebaskan kita
daripada azab sengsara
bebaskan kita
daripada kepalsuan
bebaskan kita
daripada keculasan
bebaskan kita
daripada kebobrokan
bebaskan kita
daripada kemunduran
bebaskan kita
daripada kemiskinan

undilah
pemimpin yang amanah
undilah
pemimpin yang bijaksana
undilah
pemimpin yang takwa
undilah
pemimpin yang tawaduk
undilah
pemimpin yang berwibawa
umarak yang bersih
umarak yang gigih
umarak yang adil
umarak yang terampil
umarak yang amanah
umarak yang tabah
bervisi bermisi
adil, rasional dan saksama
untuk Malaysiaku, tanah air yang tercinta!

nyahkan
sang pelakon opera
atau sutradara sandiwara
di arena siasah dusta
di arena siasah cerca
di arena siasah pura-pura

undi-mengundi, kita
untuk masa depan
nusa bangsa cemerlang
untuk masa depan
negara bangsa gemilang
untuk masa depan
tanah air terbilang

undimu, undiku
biarpun satu
mampu
menterjemahkan makna
sejuta
untuk nusa bangsa
tercinta
undiku,undimu
obor hemah kemerdekaan
obor hemah kemajuan
obor hemah kebitaraan
melestarikan negara bangsa
bermaruah beramanah
di persada nusantara
di persada antarabangsa!

Chai Loon Guan,
P077 Tanjong Malim.

Pertandingan Deklamasi Puisi Negeri Pahang 2013


Pertandingan Deklamasi Puisi dan Syair Sekolah Menengah 2013 peringkat Negeri Pahang Darul Makmur pada 23 - 24 April 2013 di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Salam Puisi.


Dewan Budaya Mei 2013


Monday, April 15, 2013

Melengkapkan Karangan Laporan BM PMR - Frasa BM


Sambutan Bulan Kemerdekaan - Melengkapkan Karangan (Frasa BM)
Sebagai setiausaha Persatuan Sejarah sekolah, anda diminta menyediakan laporan tentang sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan SMK Klebang
Pada 17 Ogos hingga 16 September 2009 lalu, telah diadakan sambutan Bulan Kemerdekaan bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang. Tujuan diadakan ____________________ini adalah untuk mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang. 
Sambutan Bulan Kemerdekaan dapat menimbulkan kesedaran kepada para pelajar tentang pentingnya negara kita bebas________________________. Maka, kita semua patut bersyukur. Perasmian sambutan Bulan Kemerdekaan ini telah berlansung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang. Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang, iaitu Tuan Haji Saleh bin Ahmad.
Majlis dimulakan dengan aktiviti __________________________ patriotik. Antaranya termasuklah lagu Negaraku, Keranamu Malaysia, dan Jalur Gemilang. Kemudiannya, Pengetua telah memberikan ucapan seterusnya ______________________________ Sambutan Bulan Kemerdekaan tersebut. Dalam ucapan beliau, Tuan Pengetua banyak menceritakan jasa dan pengorbanan tokoh kemerdekaan tanah air.
Kami juga telah mengundang seorang tokoh sejarah tempatan yang terlibat secara langsung dalam usaha mencapai kemerdekaan. Beliau ialah Encik Hasmidan bin Selamat. Beliau menceritakan pahit maung yang telah ditanggung ________________ dan nenek kita yang akhirnya berjaya memerdekakan negera. Nasihat dan amanat beliau menimbulkan keinsafan kepada kami untuk mengisi kemerdekaan dengan sebaik-baiknya.
Bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan itu, _____________________ telah dianjurkan oleh pihak sekolah. Antaranya termasuklah pertandingan melukis potret tokoh kemerdekaan, pertandingan menulis kata-kata hikmat pada kain rentang, dan pertandingan deklamasi sajak. Sambutan ___________________________ amat menggalakkan. Melalui acara yang dianjurkan, bakat semula jadi pelajar dapat ditonjolkan.
Sambutan Bulan Kemerdekaan akan diadakan __________________ tahun. Sambutan ini dapat meningkatan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan semua lapisan masyarakat _______________ ini, khasnya para pelajar.
Disediakan oleh,                                                                                 5 September 2009
 Puah Kah Hong             
(Puah Kah Hong)
Setiausaha Persatuan Sejarah,
Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang.