Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, February 27, 2013

JOHAN BK MSSD BATANG PADANG 2013

Pasukan Bola Keranjang Zon 4 (SMJK Katholik,Tg.Malim dan SMK Methodist, Tg. Malim) telah berjaya menjuarai Kejohanan Bola Keranjang MSSD Batang Padang 18TKB (Lelaki) pada 27 Februari 2013 di Gelanggang Bola Keranjang SJK(C) Choong Hua 2, Bidor. Pasukan ZON 4 telah mengalahkan pasukan Zon 1 (SMK Chenderiang dan SMK Sri Tapah: 41 - 33)) dan pasukan Zon 2 (SMJK Choong Hua, Bidor dan SMK Bidor: 49 - 41) dalam perlawanan yang penuh dramatik. Sebanyak 6 orang pemain daripada Zon 4 (3 orang daripada SMJK Katholik, Tg. Malim dan 3 orang daripada SMK Methodist, Tg.Malim) terpilih untuk menjalani latihan pusat pasukan bola keranjang Daerah Batang Padang ke Kejohanan Bola Keranjang MSSPK 2013. Syabas dan tahniah, pasukan bola keranjang ZON 4 - Tg.Malim. Salam.

Tuesday, February 26, 2013

Endah Bahasa

Karya penulis - "Klinik Kasut" dan "Doktor Cermin" dalam majalah Pelita Bahasa Februari 2013. Selamat membaca.

Watikah Pemimpin Murid 2013

Majlis Penyampaian Watikah Pemimpin Murid 2013
SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
                                                                                                             
Dengan segala hormatnya dijemput Presiden dan AJK Induk MESA ke majlis tersebut pada:

Tarikh: 4 MAC 2013 (Isnin)
Masa: 7.30 - 9.00 pagi
Tempat: Dataran Goodwill MES

Kehadiran YBhg. Profesor Dr. dan tuan/puan dialu-alukan dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Monday, February 25, 2013

PB dan DS

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya majalah langganan pos saya, iaitu Pelita Bahasa dan Dewan Sastera (Edisi Januari dan Februari 2013) selamat saya terima pada waktu tengah hari, hari ini bersamaan 25 Februari 2013 (Isnin). Terima kasih kepada pihak pengurusan dan pengedaran majalah DAWAMA SDN. BHD. Salam.

BK MSSD Batang Padang 2013

Biarpun tewas kepada pasukan bola keranjang SMJK Katholik, Tg. Malim (57 - 44) pada hari ini bersamaan 25 Februari 2013, namun lima orang pemain utama pasukan bola keranjang SMK Methodist, Tg. Malim terpilih untuk mewakili pasukan bola keranjang Zon 4 (Tg. Malim) ke Pertandingan Bola Keranjang MSSD Batang Padang 18TKB (Lelaki) 2013 di Gelanggang Bola Keranjang SMJK Choong Hua, Bidor pada 27 Februari 2013 (Rabu - 3 petang dan 4.30 petang).

Bangunan Baharu MES

Projek pembinaan bangunan baharu, blok tiga tingkat, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan sedang giat dimulakan pada 25 Februari 2013 (Isnin). Impian MES akan menjadi kenyataan. Syabas kepada Lembaga Pengelola Sekolah, SMK Methodist, Tg. Malim atas iltizam, dedikasi dan kesungguhan yang membanggakan setiap warga MES khasnya dan masyarakat Tg. Malim amnya.

Saturday, February 23, 2013

Garis Panduan Deklamasi Sajak


Garis Panduan Deklamasi Sajak - Deklamator

Vokal
Suara - Bagi mendeklamasikan puisi kemerdekaan, suara memainkan peranan yang penting. Aspek ni adalah untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan audiens. Calon mesti memastikan mempunyai suara yang besar, lantang, dan parau. Keseluruhan markah ditentukan oleh kesesuaian suara bagi puisi jenis ini.

Intonasi
Turun naik suara. Peserta dapat mengawal tinggi rendah/panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan menggunakan jeda, patah-patah kata, dan hentian yang betul diambil kira.

Nada
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi mengikut 'mood' sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut 'mood' dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperoleh markah yang tinggi.

Kelancaran/Artikulasi
Kelancaran bererti peserta dapat mendeklamasi sajak dari awal tanpa tersekat-sekat atau terhenti atau terlupa. Sekiranya peserta tertinggal lebih dua perkataan, markah bagi bahagian ini akan kurang kerana kesilapan ini mungkin akan mengubah maksud puisi tersebut. Artikulasi bererti dapat menyebut bunyi atau mengujarkan kata dengan jelas. Sebutan dapat difahami dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.

Mimik Muka
Peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat dan perasaan dalam puisi.
Contoh:
Kalau terdapat perkataan yang membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka amat penting bagi peserta berkomunikasi dengan audiens untuk menyuarakan maksud puisi.

Penghayatan
Peserta dapat mengalami dan merasai mesej sajak dalam batin, mengalami dan merasai, dan meresap ke dalam jiwa. Kesimpulannya, peserta mesti berada dalam puisi tersebut. Penghayatan dapat dirasai oleh audiens daripada keseluruhan sajak yang dideklamasikan.

Bahasa Tubuh/Gesture
Penggunaan anggota badan bagi menyokong, menguatkan maksud kata lagi bait dalam deklamasi. Penggunaan anggota betul dan tepat amat penting untuk menarik minat audiens.
Contoh:
Ayuh mari kita bestarikan tanah hitam putih tanah hadhari milik kita yang pasti. Mungkin penggunaan tangan sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. Kalau tangan menunjuk ke langit adalah salah tetapi kalau tangan menunjuk ke bawah atau mendasar adalah tepat. Oleh itu, peserta mesti berhati-hati.

Penampilan
Penampilan diri sebenar amat penting selain kostum, alat seawa (kalau ada) sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak amat penting juga.
Hakim turut mengambil kira seawal langkah pertama peserta berjalan di pentas. Di sini, disiplin pentas, disiplin diri, pengawalan pentas dan pengawalan pembesar suara dianggap penting.

(Sumber: Brosur Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Ke-25, GAPENA - UPSI, Tg. Malim - MAKUM)
·        Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan DBP: 24 Februari 2013.

Friday, February 22, 2013

Gelanggang BK Tg.Malim




Pagi tadi (23 Februari 2013), pemain pasukan bola keranjang MES dan SMJK Katholik Tg. Malim membuat latihan dan persediaan akhir di Gelanggang Bola Keranjang MDTM (bersebelahan Medan Selera dan Balai Bomba Tg.Malim) menjelang pertandingan MSSD Batang Padang 2013 (Zon 4) pada 25 Februari 2013. Penulis dan pelatih turut dapat menghayati tumbuh-tumbuhan menghijau menghiasi landskap tempat duduk bersimen di gelanggang tersebut. Terima kasih. Salam buat Ahli Majlis MDTM. Ahli MMS Tg.Malim.

Kunjungan Hormat Alumni MES


YBhg. Tuan Miow Ab Malek bin Miow Yahya, Bendahari Kehormat, Alumni MES membuat kunjungan hormat ke alma mater - SMK Methodist, Tanjong Malim pada 31 Januari 2013 (Khamis).

Beliau turut menyerahkan cek sumbangan terkumpul (Makan Malam Alumni 2012, sumbangan YB Datuk Seri Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Tg. Malim, Datuk DJ Dave dan orang-perseorangan) kepada YBrs. Encik Lee Weng Woh, Pengetua, SMK Methodist, Tanjong Malim.

Sumbangan tersebut merupakan dana daripada program yang telah diusahakan bersama-sama oleh Alumni MES, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), PIBG dan pihak sekolah untuk merealisasikan pembinaan Dewan Terbuka Goodwill MES.

Pihak Alumni, LPS, PIBG dan sekolah masih mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada sektor korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), profesional, bekas murid dan orang-perseorangan dari semasa ke semasa. Sekian, terima kasih. Salam 1MES dan 1Malaysia.

Wednesday, February 20, 2013

Pameran

Pelukis dan penyair tanah air - Latiff Mohidin.

Bola Keranjang MSSD BP 2013

Mulai 19 Februari 2013, penulis diberi tanggungjawab untuk melatih dan mengurus latihan pemilihan pasukan bola keranjang SMK Methodist, Tg. Malim ke Kejohanan Bola Keranjang 18TKB (Lelaki) MSSD Batang Padang (Zon 4) 2013. Dapatkah pasukan MES mempertahankan keunggulan, yakni muncul sebagai JOHAN Daerah Batang Padang pada tahun 2010?

Pasukan bola keranjang MES akan menyertai pertandingan pada 25 Februari 2013 (Isnin - 3.30 petang) di Gelanggang Bola Keranjang SMJK Katholik, Tg. Malim. Majulah Sukan untuk Negara. Salam.

Tuesday, February 19, 2013

Sajak - DINIHARI


DINIHARI

dinihari
yang bening sepi
membangunkan aku
daripada lena yang panjang
duduk seketika di kamar diri
menghayati indahnya sepi
dalam muhasabah diri
di rumah hidup
akukah
sang pengembara tua
tercari-cari jalan pulang
dari perjalanan yang panjang?

mahu aku telusuri dinihari
bersama mimpi
kenangan
berteman impi
masa depan
dalam insaf
dan reda
bersyukur aku kepada-Nya
dilapangkan waktu
untuk aku
bertamu rindu
di taman asmaraloka
bernafas bebas
di buana luas
sebelum tiba giliran
untuk aku berangkat pulang
ke pangkuan-Mu, Tuhan!


Chai Loon Guan,
Taman Berop Idaman, Tg. Malim.

Sunday, February 17, 2013

Tokoh Nilam Negeri Perak


Kedua-dua pelajar, mantan Tokoh Nilam Perak Darul Ridzuan sedang melanjutkan pelajaran masing-masing dalam bidang perubatan, iaitu Cik Vikhnapriya a/p Ganesan di Ireland, England dan Cik Anis Salman di Moscow, Russia. Tahniah, syabas dan selamat maju jaya dalam memburu impian dan cita-cita. Salam. Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan DBP - Jurulatih Utama Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan.

Robotik WRO 2012

Pasukan Robotik WRO MES mewakili Malaysia ke Kejohanan Robotik WRO Sedunia (Kategori Terbuka) 2012 di Kuala Lumpur.
Tahniah dan Syabas, MES!

Saturday, February 16, 2013

Karangan Contoh BM SPM II - Latihan Melengkapkan Teks


Latihan Melengkapkan Karangan Contoh BM SPM II
Anda telah membaca sebuah cerpen yang tersiar dalam akhbar tempatan. Cerpen itu sangat menarik pada pandangan anda dan anda ingin membuat ulasan tentang cerpen tersebut untuk dihantar kepada editor sebuah majalah sastera. Sediakan ulasan tentang cerpen tersebut selengkapnya.

Tajuk cerpen:                           Namaku Miskin
Pengarang:                               Ghazali Lateh
Media:                                      Minda Pelajar
Hari siaran:                               Isnin
Tarikh siaran:                            23 Januari 2006
Pengulas:                                 Khairunnisa Aleya Mohd. Elman

          Cerpen ialah genre penulisan yang popular. Saya gemar untuk membaca cerpen kerana pembacaan cerpen ______________ masa yang pendek untuk dihabiskan. Istilah "cerpen" bermaksud "cerita pendek". Biasanya sebuah cerpen mengungkapkan seorang watak dan watak ini terlibat dalam satu konflik yang ringkas dan terhad. Panjangnya sesebuah cerpen pula lebih kurang antara seribu hingga lima ribu _________ perkataan.

          Salah sebuah cerpen yang pernah saya baca ialah cerpen yang berjudul "Namaku Miskin". Cerpen ini tersiar ________ akhbar sisipan dalam Berita Harian, iaitu Minda Pelajar beberapa tahun yang lalu. Cerpen ini ________________ seorang remaja yang bernama Miskin bin Budiman. Nama itu telah menimbulkan konflik kepada dirinya. Kebetulan pula keluarga Miskin memang keluarga yang amat sederhana. Bapanya bekerja ________ penoreh getah. Sementara itu, namanya menjadi bahan ejekan kawan-kawan.

          Miskin sedar bahawa nama bukanlah perkara yang menghalang seseorang untuk ____________ kemajuan. Oleh hal yang demikian, dia bertekad _________ menjadi seorang yang berlawanan dengan makna namanya itu. Untuk merealisasikan tekadnya itu, Miskin menjangkau sehabis tangan untuk membuktikan bahawa dia mampu untuk menjadi seorang yang berjaya. Berkat ______________ dan kecekalan Miskin, dia akhirnya berjaya menjada seorang yang berjaya. Berkat kesungguhan dan kecekalan Miskin, dia akhirnya berjaya menjadi seorang doktor. Walaupun telah berjaya, timbul perasan terkilan dalam diri Miskin kerana bapanya tidak sempat untuk ______________ kejayaannya kerana bapanya telah meninggal dunia. Dia berasa alangkah baiknya jika bapanya menjadi orang yang pertama yang memanggil namanya sebagai "Doktor Miskin".

          Ditinjau daripada aspek temanya, cerpen ini mengetengahkan tema kesungguhan dan kecekalan hati seorang remaja untuk membuktikan sesiapa sahaja mampu untuk ____________ kejayaan jika ada kemahuan. Tema ini disokong pula oleh persoalan bahawa nama memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang. Ada kalanya nama seseorang _______ untuk memotivasikan seseorang bagi memajukan diri. Persoalan lain termasuklah suasana kehidupan masyarakat kampung yang serba kekurangan kerana mata ____________ sebagai penoreh getah tidaklah lumayan.

          Cerpen ini juga memaparkan persoalan sikap segelintir masyarakat yang memandang rendah serta gemar untuk mempersendakan nama-nama orang yang dianggap sebagai kurang menarik. Dalam hal ini, Miskin sering menjadi _______ ejekan kawan-kawan kerana namanya itu membawa makna yang negatif. Namun, ejekan itu tidak ____________ semangat Miskin, sebaliknya menjadi dorongan kepadanya untuk menjadi seorang yang berjaya.

          Watak merupakan perkara penting dalam kajian sesebuah cerpen. Cerpen ini memaparkan watak Miskin yang mempunyai pendirian yang tegas. Miskin juga _____________ sebagai penyabar. Hal ini dapat dibuktikan apabila Miskin menerima ejekan kawan-kawannya dengan tenang. Dia tidak menunjukkan kemarahan atau rasa tersinggung oleh ejekan itu. Setiap kali dia diejek, semangatnya untuk _______________ diri semakin memuncak.

          Miskin juga pelajar yang rajin. Dia belajar _______ dengan matlamat untuk menjadi doktor. Dia berbasikal ke sekolah setiap hari walaupun jarak rumahnya ke sekolah melebihi sepuluh kilometer. Berkat kerajinannya, dia berjaya untuk melanjutkan ______________ ke universiti dalam bidang perubatan. Hal ini terbukti apabila pengarang menggambarkan Miskin menerima ijazah dalam majlis __________________ di universiti tempat dia belajar.

          Cerpen ini disampaikan dengan teknik imbas kembali. Miskin yang berada di dewan, mengenang pengalaman hidupnya semasa bersekolah kembali. Setiap perlakuannya semasa menunggu giliran untuk menerima ___________ ijazah itu mengaitkannya dengan pengalaman-pengalaman pahit yang pernah dilaluinya dahulu. Daripada segi plotnya, cerpen ini disampaikan secara kronologi tetapi diselitkan ___________ unsur imbas kembali yang ketara.

          Gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang amat baik. Pengarang mampu untuk membangkitkan minat pembaca untuk ______________ detik demi detik dalam cerpen berkenaan. Gaya bahasa pengarang juga mampu untuk menyentuh perasaan pembaca apabila watak utamanya mengenang bapanya yang telah meninggal dunia. Watak Miskin berasa kejayaannya tidak begitu bererti kerana dia terlalu ingin bapanya menjadi orang ______________ memanggilnya dengan nama "Doktor Miskin".

          Sebagai kesimpulannya, cerpen "Namaku Miskin" ialah sebuah cerpen yang menarik. Cerpen ini ________________ tema dan persoalan yang mengungkapkan nilai serta pengajaran yang dapat dijadikan sebagai __________ oleh pembaca. Penggunaan sudut pandangan orang pertama oleh pengarang menjadikan cerpen ini terasa begitu dekat dengan pembaca. Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa ___________ dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

(Sumber: Esensi Bahasa Malaysia SPM - Longman/Pearson: Julai 2012)
·         Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan, SMK Methodist, Tg. Malim.

Penulis Bukan Melayu

Benarkah spesies penulis bukan Melayu kian pupus di buana bahasa dan kesusasteraan Melayu tanah air?
(Sumber: Berita Harian/Universiti Malaya)

Friday, February 15, 2013

Ahli Matematik Muda


Izinkan AKU...

Izinkan aku bernafas di buana yang fana ini tanpa rasuah, fitnah dan pecah amanah.

Thursday, February 14, 2013

Bahasa SMS

(Sumber: Prof.Dr.Abdullah Hassan)

Wednesday, February 13, 2013

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Azfa Hanani


Kajian Novel Tingkatan 4
Tajuk: AZFA HANANI
Penulis: HALIS AZHAN MOHD HANAFIAH
Tajuk Tugasan: NILAI DAN PENGAJARAN

NILAI 

Kasih sayang

Kasih sayang seorang ibu terhadap anak
Datin Maziah sangat sayang akan anak perempuan tunggalnya,  iaitu Tengku Murni. Beliau tidak boleh menerima hakikat bahawa anaknya telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. (Hal. 20-21)

Kasih sayang seorang anak kepada keluarga angkatnya 
Azfa Hanani sangat sayang akan ibu dan bapa saudaranya, iaitu pak long dan mak long yang telah memeliharanya setelah kematian ibu bapanya. Dia begitu sayang hendak meninggalkan keluarga yang telah banyak berjasa kepadanya. (Hal. 21)

Kasih sayang seorang anak terhadap ibunya
Anak Datin Maziah, iaitu Tengku Mazran sangat sayang  akan ibunya. Dia tidak sanggup melihat kemelut ibunya yang tidak boleh menerima hakikat kematian adiknya, iaitu Tengku Murni. Dia terpaksa berbohong kepada ibunya bahawa Tengku Murni pergi ke Jepun untuk program pertukaran pelajar. Dalam masa itu, dia dan  isterinya, Syafinaz membawa pulang Azfa Hanani ke Kuala Lumpur untuk menggantikan tempat adiknya kerana Azfa Hanani mempunyai wajah yang seiras dengan Azfa Hanani. (Hal. 31-32)

      Ketabahan 
      Azfa Hanani seorang yang tabah menghadapi dugaan hidupnya semasa belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Dia sentiasa tabah menghadapi kritikan dan sindiran tajam daripada rakan-rakan yang masih tidak memahami jiwanya terutama Laili, Syafikah dan Fuziana. (Hal. 57)

      Kesyukuran
      Azfa Hanani bersyukur kerana Abang Muzaffar telah berubah perangainya. Jika dahulu Abang Muzaffar sering menyindirnya tetapi kini hubungan mereka semakin baik dan mesra. Abang Muzaffar juga sudi mengajarkan cara-cara menggunakan komputer kepada Azfa Hanani. (Hal. 156)

      Kegigihan
      Azfa Hanani berusaha dengan gigih untuk memantapkan dirinya supaya dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Dia berusaha untuk mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua. (Hal. 93)

      Berdikari
      Ekran belajar erti berdikari dengan menjual burger dekat dengan Plaza Cahaya. Dia menjual burger sebagai satu langkah untuk memantapkan/mempraktikkan diri dalam dunia perniagaan. (Hal. 101)
                 
      Kerajinan  
      Azfa Hanani seorang pelajar yang rajin belajar dan bertanya kepada kawan-kawannya. Beberapa buah buku rujukan dibeli olehnya untuk dibuat ulang kaji. Dia juga menampakkan kerajinan apabila belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. (Hal. 80)
      Bekerjasama
      Para pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Taman Sari sentiasa memberikan kerjasama kepada pengerusi Persatuan Pelajar Tingkatan Lima SMTS, iaitu Ekran bagi menjayakan Program Hari Sumbangsih untuk memungut derma sebanyak RM 16 000 untuk dana sekolah. (Hal.75-76)

      Keberanian 
      Azfa Hanani sudah bersiap sedia dan berani menghadapi apa-apa jua kemungkinan yang akan berlaku terhadap dirinya. Dia sudah beranggapan bahawa Datin Maziah tidak akan kekal berkeadaan sedemikian selama-lamanya. Baginya, Datin Maziah akan mengetahui penyamarannya sebagai Tengku Murni. Jika perkara itu terbongkar, dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan. (Hal. 23) 
      Prihatin 
      Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah prihatin akan nasib yang dialami oleh Azfa Hanani. Ibu bapanya telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dan pada masa itu Azfa Hanani yang masih bayi lagi menangis kelaparan. Datin Maziah menyusuinya. Keluarga ini, iaitu Tengku Mazran juga memberikan bantuan kepada pak long dan mak long untuk mengubati anak mereka, Zuraini di Indonesia. (Hal. 203)

PENGAJARAN 

Kita hendaklah tabah menghadapi ujian hidup
Azfa Hanani begitu tabah menghadapi ujian hidupnya sebagai anak yatim piatu. Dia terpaksa tinggal bersama-sama dengan pak long dan mak long yang hidup dalam kemiskinan. Walaupun hidup dalam kesempitan sebegitu, hatinya tetap tabah.
Kita hendaklah berusaha dengan gigih jika mahu berjaya dalam pelajaran
Azfa Hanani sangat gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran, terutama ketika belajar di Sekolah Menengah Taman Sari untuk menhadapi SPM pada tahun itu. Dia belajar dengan gigih di kelas tuisyen untuk menguasai bahasa Inggeris. Dia juga amat gigih  mungulang kaji pelajaran dengan membaca buku rujukan dan sering bertanya kepada kawan jika tidak memahami mata pelajaran yang diajarkan oleh guru di dalam kelas. 

Kita hendaklah sentiasa mendengar nasihat orang tua-tua
Azfa Hanani sentiasa mendengar nasihat orang tua-tua, terutama pak long dan mak long supaya menjaga maruah diri apabila berada di tempat orang. Mak long berpesan kepada Azfa Hanani bahawa pemergiannya ke rumah Datin Maziah di Kuala Lumpur hanyalah sebagai orang yang menumpang dan dia tidak boleh sekali-kali bersikap melampau. Kata-kata mak long itu sentiasa diamatinya dan diikutinya. 

Kita hendaklah sentiasa menjaga maruah diri 
Azfa Hanani seorang gadis yang sentiasa menjaga maruah diri agar tidak tercemar. Selepas mengikuti kelas di Institut Lingua Franca, dia terserempak dengan seorang pemuda yang tidak dikenali, iaitu Iskandar. Iskandar telah mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah dengan menaiki motosikal. Azfa Hanani menolak dengan tegas kerana dia tidak mengenali Iskandar. 

Kita hendaklah sentiasa bersikap rasional 
Azfa Hanani selalu berfikir dan bertindak secara rasional apabila berhadapan dengan Laili, Syafikah dan Fuziana. Dia tidak membantah atau menyakitkan  hati mereka walaupun dirinya disindir dengan kata-kata yang pedas dan menyakitkan hati. Dia pernah menolak pelawaan Laili dan rakan-rakannya untuk menjadi juruacara Malam Bakat Sumbangsih dengan cara yang baik walaupun tidak disukai oleh mereka. 

Kita hendaklah sentiasa bekerja dalam satu pasukan 
Azfa Hanani, Tengku Ellina, Fuad, Adlan dan Fazlina sering memberikan kerjasama yang padu dalam pasukan fórum remaja. Mereka berbincang bersama dan membuat latihan bagi memastikan kemenangan pasukan sekolah mereka. Oleh sebab ketiadaan masa, mereka sanggup berkumpul dan berbincang di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, pasukan fórum mereka telah berjaya dan Azfa Hanani menjadi pengerusi fórum terbaik. 

Kita hendaklah berani menegakkan kebenaran 
Azfa Hanani berani bertengkar dengan Abang Muzaffar demi menegakkan kebenaran. Dia tidak suka akan sikap Abang Muzaffar yang bongkak dan melarangnya menjalinkan hubungan dengan Ekran. Dia tidak mahu Abang Muzaffar mencampuri urusan hidupnya kerana dia bukannya Tengku Murni.

Kita hendaklah berani menegakkan kebenaran 
Azfa Hanani memaafkan kesalahan dan kesilapan Datin Maziah yang telah menghalaunya keluar dari rumahnya tempoh hari. Datin Maziah telah mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina Azfa Hanani sebelum menamparnya. Oleh sebab Datin Maziah memohon maaf atas kesilapannya itu, maka Azfa Hanani sudi menerima kemaafan itu.  

Disediakan oleh:
Chai Wei Xin, Danesh, Shuhaily dan Hasya Zakirah, Kumpulan 2, Tingkatan 4 Sains I, SMK Methodist, Tg. Malim.