Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, June 9, 2013

Cerpen - Mingguan Warta Perdana





BENDERA PUTIH
oleh Chai Loon Guan

Nippon kian mengganas. Nippon kian bermaharajalela. Nippon kian melebarkan sayap  ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Tanah Melayu mula bergelora. Api peperangan sudah bernyala. Semboyan perang sudah berbunyi. Pelik bin ajaib. Dalam dua purnama, Nippon sudah berjaya menguasai Malaya – Semenanjung Tanah Melayu.

Apapun, Ah Hai perlu menguruskan diri terlebih dahulu. Rambut perlu digunting. Diri perlu kemas. Diri perlu segak. Itu disiplin diri sejak di Tanah Besar. Ah Hai keluar sebentar  mencari Mutu, tukang gunting bergerak di kaki lima deretan kedai Sin Teck Soon. Bertemankan cermin yang retak di bucunya, sebuah bangku bulat dan sehelai kain putih melilit badannya, Mutu beroperasi di kaki lima kedai.

            “Gunting, Ah Hai?”
            “Macam biasa, Mutu!”
            “Baik…”

Orang ramai kelihatan bertali arus di kaki lima kedai. Masing-masing mempunyai urusan. Urusan peribadi. Urusan keluarga. Urusan perniagaan. Urusan kerajaan. Sana sini, orang berbicara tentang Nippon. Nippon sudah mendarat di Kota Bharu. Nippon sudah berjaya menenggelamkan dua buah kapal perang Inggeris, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales pada 10 Disember 1941 di Laut Cina Selatan. Ejen Nippon pula berselerak di seluruh pelosok Tanah Melayu. Ada yang berada di bandar. Ada yang berada di desa pedalaman.

Ejen Nippon berada di serata tempat. Tidak lama lagi akan bermula zaman ubi kayu. Zaman duit kertas pokok pisang Nippon.  Era penampar Jepun yang bengis. Inflasi. Masakan tidak, belacan zaman British bernilai lima sen sekati melambung tinggi harganya mencecah RM 250 sekati pada zaman Nippon!

“Ada projek, Ah Hai?”
“Projek apa? Kerjalah Mutu!”
“Out station?”
“Bisnes susah sikitlah, Mutu…”
“Zaman perang macam itulah Ah Hai!”

“Orang Putih sudah kalah. Nippon pula mari…” keluh Ah Hai berkali-kali.
“Betul, Ah Hai! Lu cakap ada betul!”

Mutu berhenti sebentar. Diludahnya sisa kahak sebentar. Kemudian diilap mulutnya dua tiga kali. Gunting dan sikat dalam capaian terus beroperasi. Ketika separuh jalan, suara jeritan kedengaran. Sayup-sayup kedengaran.

“Ah Hai!”

Macam biasa didengar suara itu. Suara Tauke Teh.

“Ah Hai!”
“Tauke?”
“Ah Hai, balik segera! Nippon mahu datang!”

Nippon? 

“Kemas segera! Bertolak ke Cameron!  Nippon nak tangkap awak!” Arah Tauke Teh tanpa  tolak ansur.

Belum habis bergunting, Ah Hai terpaksa bergegas ke kamarnya. Berbekalkan pakaian sekadar sepasang dua, sepatu lama dan sedikit wang,  Ah Hai ke stesen bas Tanjong Malim. Dicarinya bas ke Sungkai. Topi masih melekat di kepalanya. Imej tersebut dipercayai dapat mengalihkan perhatian ejen Nippon. Identitinya perlu disorok. Barangkali wajahnya sudah dalam senarai Nippon. Nippon dari Kuala Kubu Bharu.

Bas ke Sungkai melewati bandar Slim Village. Dari Slim River, bas Mogah terus menerjah liku-liku jalan ke Bidor. Ah Hai turun di stesen bas Bidor. Dia perlu bertukar bas ke Tapah. Dari Tapah, baru Ah Hai dapat meneruskan destinasinya ke Cameron Highlands. Jalan Cameron bagaikan ular kena palu. Bas bergerak perlahan-lahan  dari Tapah ke Ringlet.

Ringlet ke Tanah Rata. Tanah Rata ke Brinchang. Di Brinchanglah, Ah Hai perlu menghubungi Ah Yee. Ah Yee sudah bersiap siaga. Segala-galanya telah diuruskan oleh Tauke Teh. Tempat tinggal Ah Hai telah disediakan. Di situlah, Ah Hai menjalani kehidupan selama mungkin.  Kehidupan biarpun masih bebas tetapi terbatas dan terkurung dek kehadiran Nippon di Tanah Melayu. Jelas, Nippon bernafsu nafsi – raja di mata, sultan di hati.

Kenapa dengan Nippon? Nippon sedang memburu orang yang aktif menentang perjuangannya di Tanah Melayu. Barangkali, pertalian Ah Hai  dengan pemuda Kuomintang di Tanah Besar turut mendorong  Nippon  memburu Ah  Hai. Benar, Ah Hai aktif menyokong gerakan anti-Nippon. Ah Hai aktif dalam kegiatan pemuda Kuomintang. Pihak Kuomintang bukan sahaja menentang komunis di Tanah Besar tetapi juga menentang Nippon. Anti-Nippon mula tercetus selepas Jepun melanggar China pada 1937.  Masyarakat Tionghoa masih menumpukan taat setia kepada Tiongkok. Kutipan derma dibuat untuk membantu Tiongkok melawan Jepun. Barang-barang Jepun di Tanah Melayu dipulau. Yang jelas, Nippon anti-Tanah Besar. Anti-Tanah Besar bererti anti-Tionghoa. Tionghoa di Tanah Besar. Tionghoa di luar Tanah Besar. Tionghoa di Tanah Melayu. Maka, lahirlah MPAJA di Tanah Melayu, Bintang Tiga dan PKM.

Pada masa yang sama, Tentera Kebangsaan India ditubuhkan oleh Jepun. Jepun mahu masyarakat India membebaskan India daripada penjajahan British.  Malah kerajaan buangan, Azad Hind telah dibentuk di bawah kelolaan Subhas Chandra Bose.

            Maka berkelanalah Ah Hai di Tanah Tinggi Cameron. Sebulan. Dua bulan atau barangkali berbulan-bulan lamanya. Nippon tidak dapat memberkas Ah Hai. Nippon gagal dalam misi untuk menangkap Ah Hai. Nippon tewas untuk memberkas Ah Hai. Gagal Nippon untuk memasukkan Ah Hai ke dalam penjara maut. Gagal Nippon juga untuk menyoal  siasat Ah Hai. Gagal bererti banyak maklumat tidak diperoleh. Sebagai galang gantinya, Tauke Teh pula ditangkap. Tauke Teh ditahan dan disoal siasat selama tujuh hari. Pelbagai deraan, cacian, layanan buruk dan tekanan perlu dilalui oleh Tauke Teh. Keadaan ini amat merisaukan Ah Hai.  Ah Hai bagaikan cacing kepanasan.

            Sebenarnya, Nippon mahu akan maklumat Ah Hai. Namun, Tauke Teh tetap kental berahsia. Tauke Teh membisu seribu bahasa. Dia tidak membocorkan sebarang maklumat. Hal Ah Hai tiada kompromi biarpun dia terpaksa berhadapan dengan maut sekalipun. Sebaik Ah Hai mendapat khabar tentang penangkapan Tauke Teh, mahu saja dia kembali menyerah diri. Kenapa harus perjuangannya ditanggung oleh Tauke Teh? Namun hasrat Ah Hai tersekat dek sekeping nota ringkas yang  diseludup masuk oleh anak buah Tauke Teh kepadanya membantutkan niat asalnya.

            “Ah Hai, biar apapun berlaku, jangan sekali-kali kaupulang ke Tg.Malim. Ingat!”

            Maka terpaksa akurlah Ah Hai. Ah Hai terpaksa patuh akan isyarat Tauke Teh. Itu perintah orang tua. Arahan orang lama. Orang yang perlu dihormati. Orang yang perlu disanjungi. Orang yang sudah banyak menimba pengalaman. Asam garam hidupnya cukup banyak. Cukup matang. Cukup masak. Jika tidak, akan jadi sia-sialah tempoh tahanan Tauke Teh di kamar penjara Nippon di Tg. Malim.

            Kediaman Ah Hai sudah mula dihidu oleh Nippon. Tempat persembunyian Ah Hai mula dijejaki oleh Nippon. Maka perlu berkelana lagilah Ah Hai. Dari Brinchang, Ah Hai bergegas ke Sungai Siput. Dari Sungai Siput, Ah Hai perlu menginap beberapa hari di Batu Gajah. Batu Gajah ke Teluk Anson. Selama beberapa bulan, Ah Hai perlu berpindah randah macam nomad atau gipsi sehinggalah keadaan menjadi tenang dan terkawal. 

1941 - 1945

Gugurnya bom atom di Nagasaki dan Hiroshima menggemparkan dunia. Nippon di Tanah Melayu bagaikan dirasuk iblis syaitan ketewasan. Nippon yang pernah gah megah di Asia Timur akhirnya terpaksa menyerah kalah. Bendera Putih! Jeneral Yamashita terpaksa menyerah kalah kepada Jeneral MacArthur pada 2 September 1945 di atas kapal perang Amerika Syarikat, USS Missouri. Secara rasminya tarikh penyerahan bendera putih berlangsung pada 12 September 1945 di Victoria Institution Kuala Lumpur. Maka, berakhirlah era kekejaman dan kedurjanaan Nippon di Tanah Melayu.

Keadaan di Tanah Melayu masih belum reda. Berkuburnya kekejaman Nippon mengundang masalah baharu. MPAJA mula bermaharajalela. MPAJA mula menghidupkan sayapnya. Sayap kekejaman dan penindasan yang ditinggalkan oleh Nippon. Saki baki penyokong  Nippon  diburu, diberkas,  didera dan dibunuh oleh MPAJA dan konco-konconya. Ah, keluar dari mulut ular masuk ke dalam mulut naga! Maka, bermulalah era Bintang Tiga dan PKM bermaharajalela di Tanah Melayu sebelum kembalinya British.
 
            Sebenarnya, pelarian yang agak panjang banyak mematangkan Ah Hai. Pelarian dan persembunyian daripada buruan Nippon telah mendewasakan Ah Hai. Sebaik sahaja bendera putih Nippon berkibaran, Ah Hai dapat kembali ke pangkuan Tauke Teh. Ah Hai dapat kembali bertemu dengan handai taulan di Syarikat Sin Teck Soon.

            Pertama sekali menjejakkan kaki ke Tg. Malim selepas tamatnya episod pemburuan Nippon, dapatlah Ah Hai bersalaman dengan Tauke Teh, Ah Lian, Eng Chuan, Sarjit Singh dan Mutu. Tauke dan rakan-rakan sekerja yang peka dan prihatin. Kembali Ah Hai bererti dia dapat membantu operasi kedai di Sin Teck Soon semula. Ah Hai orang penting. Ayam tambatan. Sejak ketiadaan Ah Hai, operasi syarikat agak bercelaru. Bisnes kurang lancar. Lembab. Sesekali terbantut dek ancaman Nippon. Ah Hailah pakar runding syarikat dengan Inggeris di Tanah Melayu. Bayangkan, setiap tanda batu di bahu jalan Kuala Lumpur sudah dikira dan dihafal. Kali ini, Ah Hai tidak digelar rusa masuk kampung. Ah Hai sudah mahir. Ah Hai sudah cekap. Ah Hai jugalah orang penting dalam persatuan saudagar di Tg. Malim.

Hubungan Syarikat Sin Teck Soon dengan persatuan saudagar Tionghoa cukup akrab. Ada ikatan. Ada kerjasama. Ada persefahaman. Ada silaturahim yang sudah mula terjalin akrab. Orang moden boleh gelar Ah Hai sebagai PRO syarikat. Ingat, bukan GRO! Kalau dalam bidang politik, Ah Hai sudah setaraf dengan SU Politik ADUN atau Ahli Parlimen. Barangkali kerja Ah Hai sudah setaraf SU YB dan YAB!          

Biarlah pengalaman itu menjadi catatan peribadi yang berharga dan bermakna dalam hidupnya. Pengalaman inilah yang mampu memudahkan Ah Hai untuk menangani cabaran-cabaran yang mendatang. Ah Hai masih berstatus pemautautin tetap. Dia masih belum digelar warganegara. Ah Hai sedang berusaha ke arah itu. Hasrat itulah seringkali bermain-main dalam mindanya. Azamnya yang kuat barangkali mampu merealisasikan impian diri dan keluarga untuk bergelar warganegara di tanah yang  mahakaya ini – Semenanjung Tanah Melayu!

            “Apa khabar, Pak Cik Teh?”
“Syukur, Ah Hai. Sihat. Kau…bagaimana?”

“Maaf. Saya telah banyak menyusahkan Pak Cik selama ini…” suara hiba Ah Hai memenuhi ruang pejabat Tauke Teh pada suatu petang ketika tauke sedang bersantai di ruang pejabat kecilnya.

“Demikianlah kehidupan, Ah Hai. Adakalanya, hidup bagaikan lautan yang bergelora. Sang pelaut haruslah bijak menimbang gelora, melembutkan ribut, menghayati bahasa ombak dan mendalami sejarah lautan. Yang penting, Ah Hai, usah kita mudah kecewa atau putus asa,” ujar Tauke Teh semacam mahu berkongsi pahit manis pengalaman hidup dengan anak buah kesayangannya – Ah Hai.

(Sumber: Mingguan Warta Perdana, 16 Jun 2013)

2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Tahniah, Tuan. Baru sahaja tengok di kedai tadi. Ingatkan hendak khabarkan, tetapi sudah dimaklumkan di sini.

Tahniah juga untuk puisi di Mingguan Malaysia hari ini.

ADICHONAN said...

Terima kasih, Tuan Tetamu Istimewa. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.