Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, May 18, 2013

Karangan Murid Tingkatan 2



Kebaikan-kebaikan Pelajar Belajar dalam Kumpulan

          Setiap pelajar mempunyai cara belajar yang tersendiri. Sesetengah pelajar suka belajar secara bersendirian dan tidak kurang pula yang suka belajar dalam kumpulan. Hari ini, banyak pelajar suka belajar dalam kumpulan. Sebenarnya, belajar dalam kumpulan banyak membawa kebaikan kepada pelajar sama ada di sekolah bandar atau di sekolah luar bandar.

          Pertama sekali, amalan belajar dalam kumpulan dapat memudahkan kita menerima pelajaran. Apabila berhadapan dengan masalah dalam pelajaran, maka kita berkeupayaan untuk meminta bantuan daripada rakan sekumpulan yang lebih arif untuk membimbing kita. Usaha sedemikian membolehkan kita berinteraksi secara sihat sekali gus menjimatkan masa kerana masa itu emas.

         Semasa belajar dalam kumpulan, kita diwajibkan menyertai sesi perbincangan. Sesi perbincangan ini sedikit banyak dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kita tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan kepercayaan. Usaha murni ini membolehkan kita berbincang dalam suasana yang menyeronokkan sekali gus menyemaikan nilai-nilai kemesraan di samping membantu kita menghindarkan diri daripada belenggu kebosanan.

         Di samping itu, amalan belajar dalam kumpulan membolehkan kita mengurangkan kos membeli bahan bacaan dan latihan. Kita boleh berkongsi buku rujukan dan bahan-bahan bacaan yang lain bersama-sama. Hal ini juga membolehkan kita  berkongsi maklumat secara bermanfaat dengan rakan-rakan dalam kumpulan perbincangan.

         Selain itu, belajar dalam kumpulan juga dapat menilai tahap pencapaian diri masing-masing lebih-lebih lagi, setiap ahli kumpulan mempunyai pesaing ilmu yang sihat dalam kumpulan. Persaingan yang sihat ini dapat meningkatkan motivasi kita untuk belajar dengan lebih rajin dan bersungguh-sungguh ketika mengulang kaji pelajaran, terutamanya menjelang peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.

         Kesimpulannya, pembelajaran dan pengajaran boleh dijalankan dalam kumpulan sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Kejayaan teknik belajar secara berkumpulan juga banyak bergantung kepada kerjasama, usaha dan iltizam yang ditunjukkan oleh setiap ahli dalam kumpulan tersebut. Marilah kita mengamalkan sesi pembelajaran dalam kumpulan untuk masa depan yang cemerlang dan gemilang.

Disediakan oleh,
Tan Qian Rou, Tingkatan 2 Meekness, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: