Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, March 6, 2013

Novel T4 - Azfa Hanani


Novel Tingkatan 4 - Azfa Hanani
Penulis - Halis Azhan Mohd Hanafiah
Tajuk – Biodata Pengarang, Tema dan Persoalan

BIODATA PENGARANG

Halis Azhan Mohd Hanafiah dilahirkan pada 1 Januari 1970 di Melor, Kota Bharu, Kelantan. Pendidikan awalnya diperolehnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Melor, Kelantan dan selanjutnya di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan. Pendidikan tertingginya diperolehnya di UKM dengan memperoleh B. Ed. TESL (Hons) pada tahun 1993 dan seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di UPM dengan memperoleh M.A. (Kesusasteraan Melayu) pada tahun 2002. Sekarang beliau berkhidmat sebagai pensyarah kursus Penulisan Kreatif di IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

       Bidang penulisan ini mula diceburinya pada 31 Januari 1984. Karya pertama beliau merupakan sebuah cerpen kanak-kanak yang berjudul “Anak Pungut” yang tersiar dalam majalah Bujal keluaran Januari 1986. Beliau turut menghasilkan beberapa buah novel remaja. Antara novel yang dihasilkannya termasuklah Konflik (Utusan Melayu, 1989), Krisis (Utusan Melayu, 1990), Cinta Gadis Nadia (Utusan Melayu, 1992), Biiduk Berlalu (Utusan Melayu, 1993), dan Seperti Sejalur Pelangi (DBP,2004). Di samping itu, beliau turut menghasilkan sekumpulan cerpen remaja seperti Dunia Kecil Kami (FIP,2007), Terjerat dalam Belenggu (FIP,2007), dan Cerita pada Hari Valentine (2007).
       Beliau memenangi pelbagai hadiah penulisan kreatif peringkat kebangsaan. Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1988, 1989, 1991, 1992, 1993, dan 1994 bagi kategori novel dan cerpen remaja; Hadiah Pertama Cerpen Kanak-kanak Mobil-DBP 1998; dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 bagi kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak.

       Beliau juga pernah menjadi panel hakim beberapa sayembara penulisan peringkat kebangsaan.

TEMA

          Novel yang dikaji ialah Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah. Novel ini bertemakan pengorbanan dan kemuliaan hati seorang gadis dalam menghadapi desakan hidup. Gadis yang dimaksudkan itu ialah Azfa Hanani yang merupakan watak utama dalam cerita. Azfa Hanani sanggup menyamar demi menyelamatkan seorang ibu daripada menghadapi tekanan jiwa kerana kehilangan anak kesayangan dalam kemalangan jalan raya. 

          Azfa Hanani seorang anak yatim piatu. Wajahnya mirip Tengku Murni yang telah meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Disebabkan hal ini, Encik Mazran dan isterinya bercadang untuk membawa Azfa Hanani tinggal bersama dengan mereka kerana ibunya, Datin Maziah yang turut sama dalam kemalangan dengan adik bongsu mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa anak kesayangannya meninggal dunia. 

          Demi kesihatan Datin Maziah, Azfa Hanani bersetuju untuk menyamar sebagai Tengku Murni namun bersyarat. Dengan menyamar sebagai Tengku Murni, dia juga dapat membantu mendapatkan kos rawatan untuk Zuraini yang lumpuh.

PERSOALAN

1. Kemiskinan menyebabkan pelajar melakukan perkara negatif
 - Azfa Hanani mengambil buku di perpustakaan tanpa pengetahuan sesiapa untuk dijadikan sebagai buku rujukan. Azfa Hanani terpaksa menyamar sebagai Tengku Murni untuk meneruskan pembelajarannya tanpa menyusahkan keluarga bapa saudaranya, Pak Madi.

2. Ketaatan kepada agama
- Azfa Hanani sering berdoa dan membaca al-Quran kepada arwah ibu bapanya.

3. Ketabahan seorang gadis remaja menghadapi kehidupan yang penuh ranjau
- Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada. Dia juga tabah menghadapi liku-liku hidup di banglo milik keluarga baharunya seperti dihina oleh Datuk Tengku Makmur dengan memberi Azfa Hanani RM500 pada setiap bulan, dilarang berkawan dengan Ekran yang dianggap orang miskin oleh Tengku Muzaffar serta ditampar dan diusir oleh Datin Maziah setelah penyamaran Azfa Hanani sebagai Tengku Murni terbongkar dan diketahui oleh Datin Maziah.

4. Keberanian menghadapi risiko
- Azfa Hanani, seorang gadis yang baru berumur 17 tahun tetap berani mengambil risiko menyamar sebagai Tengku Murni untuk membantu sepupunya.

5. Kegigihan menimba ilmu pengetahuan
- Walaupun berasal daripada keluarga miskin, Azfa Hanani gigih belajar dengan tujuan untuk membaiki masa depan keluarga dan hidupnya sehingga terpaksa menyamar sebagai Tengku Murni untuk meneruskan pelajarannya. 

6. Keegoan golongan elitis akan status diri mereka
- Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku Muzaffar begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka memandang hina terhadap Azfa Hanani. Rakan-rakan Azfa Hanani juga memandang rendah kepadanya kerana dia berasal dari kampung dan hidup miskin.

7. Kasih sayang antara keluarga
- Datin Maziah terlalu menyayangi Tengku Murni sehingga tidak dapat menerima hakikat bahawa Tengku Murni telah meninggal dunia. Abang Mazran meminta Azfa Hanani untuk menyamar sebagai Tengku Murni demi mengelakkan Datin Maziah daripada terus murung selepas kematian adiknya, Tengku Murni.

8. Keinsafan atas kesalahan yang dilakukan
- Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah mengakui kesalahan mereka mengusir Azfa Hanani serta menyebabkan kematian kedua-dua ibu bapa Azfa Hanani lalu memohon maaf daripada gadis tersebut. Untuk menebus kesalahan mereka, Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah ingin mengambil Azfa Hanani sebagai anak angkat dan menjemputnya tinggal bersama-sama mereka di banglo Datuk Tengku Makmur sebagai identitinya yang sebenar, iaitu Azfa Hanani dan bukannya Tengku Murni.

9. Kepatuhan pada janji
- Abang Mazran dan Kak Finaz memenuhi kehendak Azfa Hanani untuk mengubati sepupunya yang cacat sebagai balasan Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni.

10. Menghargai jasa seseorang
- Azfa Hanani sangat menghargai jasa baik dan pengorbanan mak long dan pak longnya kerana telah membesarkan dirinya dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang.

11. Berdikari dalam hidup
- Ekran menjual burger apabila ada kelapangan masa untuk mendapatkan pengalaman bagi mencapai cita-citanya, iaitu menjadi seorang akauntan di samping menambahkan wang saku.

12. Menghargai persahabatan
- Nordin sanggup bercuti untuk menjenguk Azfa Hanani di Kampung Merpati yang akan berpindah ke Kuala Lumpur. Walaupun telah berpindah ke Kuala Lumpur, Azfa Hanani tidak lupa menghubungi rakan-rakannya di SMK Sri Dian dan menelefon mereka dengan menggunakan telefon bimbit yang dipinjam oleh Abang Mazran.

13. Perubahan cara hidup
- Azfa Hanani terpaksa menyesuaikan diri dengan cara kehidupan di bandar yang serba moden. Dia juga terpaksa mengubah gaya hidupnya kerana menyamar sebagai Tengku Murni.

14. Pengorbanan dalam menempuh kehidupan
- Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz bagi menggantikan tempat Tengku Murni. Kesanggupannya itu juga membolehkan sepupunya mendapat rawatan penyakit lumpuhnya sebagai balasan. Azfa Hanani berkorban dengan meninggalkan rakan-rakannya dan keluarga di kampung. Azfa Hanani sanggup mengorbankan perasaannya yang tidak selesa tinggal di rumah Datin Maziah. Hal yang demikian kerana Azfa Hanani dapat merasakan bahawa Tengku Muzaffar dan Tengku Datuk Makmur seakan-akan tidak menyukai kehadirannya di rumah itu.

Hasil kerja Kumpulan 9
·        Lieu Zi Shan (K), Liew Sen Fei, Rashwinder Kaur dan Tan Yan Siang, Tingkatan 4 Sains I, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

No comments: