Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, February 10, 2013

Karangan Contoh BM SPM I - Latihan Peribahasa


Karangan Contoh BM SPM I - PERIBAHASA
Anda ingin menyertai pertandingan penulisan rencana yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Tajuk rencana yang ditetapkan ialah "Usaha-usaha untuk Meningkatkan Semangat Kejiranan". Tulis rencana tersebut dengan lengkap.

Usaha-usaha untuk Meningkatkan Semangat Kejiranan
oleh Hanis Sofea Abdul Malik

            Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, sama ada di sebelah, di hadapan, ataupun di belakang rumah kita. Penduduk yang tinggal dalam satu taman atau kampung juga merupakan jiran tetangga kita. Malah, di rumah-rumah panjang, orang-orang yang menempati bilik-bilik dalam rumah yang sama juga merupakan jiran kita. Dalam konteks hidup bermasyarakat, jiran sangat penting kepada kita kerana merekalah yang menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ________________________________________. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita dapat sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

            Salah satu langkah yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti ini, jiran-jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa ____________________________________. Antara aktiviti yang dapat merealisasikan matlamat ini termasuklah aktiviti pembersihan kawasan taman, persiapan kenduri-kendara, hari keluarga dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

            Selain itu, kita juga boleh mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan atau hari kebesaran. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita tentang pengalaman masing-masing untuk dikongsi bersama. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contohnya, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krimas, Deepavali, dan sebagainya, majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan sebagai acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu untuk mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

            Seterusnya, kita juga boleh mengadakan aktiviti hari keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti dijalankan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, memakai terompah gergasi, dan sebagainya. Apabila aktiviti hari keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti ini boleh diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, dengan mengadakan aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ____________________________________________.

            Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, masyarakat setempat akan mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku secara bergilir-gilir. Semangat dan sikap saling membantu ini bertepatan dengan matlamat yang tergambar melalui peribahasa _________________________________________________________.


            Selain itu, kita juga haruslah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan supaya menziarahi jira kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contohnya, kita perlu berkunjung ke hospital untuk menziarahi jiran yang menghidap sesuatu penyakit atau yang ditimpa kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa _________________________________________________, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip _______________________________________________. Maksudnya ialah, jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasa segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami jiran kita itu.

            Sebagai kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat supaya sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulika orang seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu ______________________________________________________________ dapat dibuang jauh-jauh. Jika sikap mementingkan diri ini berkembang, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah Melayu yang menyatakan bahawa _________________________________________________. Oleh itu, dengan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman dan harmoni.

(Sumber: Esensi BM SPM Longman/Pearson: Julai 2012)
·         Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan.





No comments: