Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, February 23, 2013

Garis Panduan Deklamasi Sajak


Garis Panduan Deklamasi Sajak - Deklamator

Vokal
Suara - Bagi mendeklamasikan puisi kemerdekaan, suara memainkan peranan yang penting. Aspek ni adalah untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan audiens. Calon mesti memastikan mempunyai suara yang besar, lantang, dan parau. Keseluruhan markah ditentukan oleh kesesuaian suara bagi puisi jenis ini.

Intonasi
Turun naik suara. Peserta dapat mengawal tinggi rendah/panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan menggunakan jeda, patah-patah kata, dan hentian yang betul diambil kira.

Nada
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi mengikut 'mood' sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut 'mood' dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperoleh markah yang tinggi.

Kelancaran/Artikulasi
Kelancaran bererti peserta dapat mendeklamasi sajak dari awal tanpa tersekat-sekat atau terhenti atau terlupa. Sekiranya peserta tertinggal lebih dua perkataan, markah bagi bahagian ini akan kurang kerana kesilapan ini mungkin akan mengubah maksud puisi tersebut. Artikulasi bererti dapat menyebut bunyi atau mengujarkan kata dengan jelas. Sebutan dapat difahami dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.

Mimik Muka
Peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat dan perasaan dalam puisi.
Contoh:
Kalau terdapat perkataan yang membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka amat penting bagi peserta berkomunikasi dengan audiens untuk menyuarakan maksud puisi.

Penghayatan
Peserta dapat mengalami dan merasai mesej sajak dalam batin, mengalami dan merasai, dan meresap ke dalam jiwa. Kesimpulannya, peserta mesti berada dalam puisi tersebut. Penghayatan dapat dirasai oleh audiens daripada keseluruhan sajak yang dideklamasikan.

Bahasa Tubuh/Gesture
Penggunaan anggota badan bagi menyokong, menguatkan maksud kata lagi bait dalam deklamasi. Penggunaan anggota betul dan tepat amat penting untuk menarik minat audiens.
Contoh:
Ayuh mari kita bestarikan tanah hitam putih tanah hadhari milik kita yang pasti. Mungkin penggunaan tangan sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. Kalau tangan menunjuk ke langit adalah salah tetapi kalau tangan menunjuk ke bawah atau mendasar adalah tepat. Oleh itu, peserta mesti berhati-hati.

Penampilan
Penampilan diri sebenar amat penting selain kostum, alat seawa (kalau ada) sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak amat penting juga.
Hakim turut mengambil kira seawal langkah pertama peserta berjalan di pentas. Di sini, disiplin pentas, disiplin diri, pengawalan pentas dan pengawalan pembesar suara dianggap penting.

(Sumber: Brosur Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Ke-25, GAPENA - UPSI, Tg. Malim - MAKUM)
·        Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan DBP: 24 Februari 2013.

No comments: