Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, January 31, 2013

Kertas Kerja Muzakarah Munsyi Dewan 2012


Kertas Kerja Muzakarah Munsyi Dewan pada 28 November – 1 Disember 2012  di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Bahasa Melayu Asas Sistem Pendidikan Sebuah Negara
oleh Chai Loon Guan, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Pendahuluan

Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967  dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. Sebenarnya, bahasa Melayu berkaitan erat dengan proses pembinaan negara Malaysia dan merupakan asas kepada sistem pendidikan negara yang tercinta sejajar dengan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu, bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib, terutama di peringkat persekolahan. Di peringkat pengajian tinggi pula, kebanyakan universiti mempunyai dasar mewajibkan pelajar mengambil kursus bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu akademik dan lulus sebagai syarat untuk dikurniai ijazah.

Dr. Awang Sariyan (2004) membahagikan pendidikan Bahasa Melayu secara kronologis, iaitu:

1.    Pendidikan bahasa Melayu pada zaman awal.
2.    Pendidikan bahasa Melayu pada zaman penjajahan Inggeris.
3.    Pendidikan bahasa Melayu sesudah merdeka, iaitu era prareformasi pendidikan.
4.    Pendidikan bahasa Melayu sesudah merdeka, iaitu era reformasi pendidikan.

Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Awal

1.            Bahasa Melayu pada zaman awal merangkum bahasa Melayu purba, yakni 2,500 tahun sebelum Masihi tanpa bukti-bukti sejarah tentang bentuk atau strukturnya.

2.            Bahasa Melayu kuno dianggarkan bermula pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit, Palembang (683 M) dan di Talang Tuwo, Palembang (684 M), di Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M) dan di Karang Brahi, Meringin, Hulu Jambi (686 M), (Nik Safiah Karim et al. 2008).

3.            Bahasa Melayu klasik bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi serentak dengan kedatangan Islam yang disebut oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya (1969, 1972 dan 1988) sebagai tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu, yang seterusnya diwarisi dalam zaman-zaman selanjutnya.

4.            Bahasa Melayu peralihan yang menunjukkan peralihan daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini, yakni zaman yang diwakili oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji pada abad ke-19.

5.            Bahasa Melayu baharu, yakni tahap selepas abad ke-19. Walau bagaimanapun periodisasi seumpama itu tidaklah mutlak, dengan pengertian bahawa berlaku kesinambungan yang jelas antara tahap-tahap tertentu, terutama antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu baharu daripada sistem dan rumus-rumus bahasanya (Awang Sariyan, 1984).

Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Penjajahan Inggeris

1.            Pendidikan Bahasa Melayu dalam zaman penjajahan Inggeris tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan tentang pertumbuhan dan perkembangan sekolah Melayu, iaitu sekolah vernakular yang direncanakan Inggeris untuk pendidikan anak-anak Melayu. Misalnya sekolah Melayu di Gelugor, Pulau Pinang (1821), Teluk Belanga dan Kampung Gelam di Singapura (1856), Melaka (1858 dan 1903).

2.            Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Perak merupakan negeri yang pertama mendirikan sekolah Melayu, iaitu di Kuala Kangsar dan di Batu Gajah, Perak (1884) selain Selangor (1886).

3.            Pada tahun 1898, sebanyak 103 buah sekolah Melayu wujud di Perak, 25 buah di Negeri Sembilan, dan 6 buah di Pahang.

4.            Pada tahun 1907, terdapat 232 buah sekolah Melayu untuk murid lelaki dan 34 buah sekolah Melayu untuk murid perempuan (Awang Had Salleh, 1980:5).

5.            Pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor dan Perlis) adalah yang paling lewat. Sekolah Melayu yang pertama didirikan di Kedah (1897), Kelantan (1903), Terengganu (1915), dan Perlis (1913).

6.            Pada asalnya Bahasa Melayu diajarkan semata-mata sebagai prasyarat untuk memungkinkan anak-anak Melayu menjalani kehidupan yang cukup sederhana apabila dewasa. Soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pemikiran, dan bahasa tamadun tidak wujud sama sekali, apatah lagi dengan pengehadan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja. Inggeris tidak pernah merancang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di peringkat sekolah menengah.

7.            Jawatankuasa Barnes (1951) mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam pembinaan sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan, di sisi terus mempertahankan taraf bahasa Inggeris. Laporan Barnes sedikit banyak mendukung falsafah menjadikan bahasa Melayu sebagai landasan perpaduan melalui pendidikan.

8.            Sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk menyelaraskan usul-usul Laporan Barnes dan Jawatankuasa Fenn-Wu (1951). Antara usul:

8.1         Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu aliran bahasa Melayu dan aliran bahasa Inggeris.
8.2         Kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika ada permintaan sekurang-kurangnya daripada 15 orang murid di dalam kelas.
8.3         Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib di sekolah.

Usul-usul itu diluluskan oleh Majlis Perundang-undangan Persekutuan pada
bulan September 1951 dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952.

Pendidikan Bahasa Melayu sesudah Merdeka: Prareformasi Pendidikan

Usul penting Laporan Razak (1956) yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan bahasa Melayu ialah rencana membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat pelbagai keturunan dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tujuan pendidikan kebangsaan ialah:

“…menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”
                                  (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956: Perenggan 12)

Khusus tentang taraf bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, Laporan Razak mengusulkan:

1.    “…bahasa Melayu, mestilah dipelajarkan di dalam semua sekolah” dan “…dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah”. (Perenggan 18)

2.    “…bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education…” (Perenggan 22 (b))

3.    “Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan), kami cadangkan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar.” (Perenggan 71)

Antara kesan langsung Laporan Razak, maka wujudnya dua jenis sekolah, iaitu Sekolah Umum yang berbahasa penghantar bahasa Melayu dan Sekolah Jenis Umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Dalam konteks pembinaan negara, pengekalan sekolah pelbagai aliran yang bebas menggunakan bahasa penghantar masing-masing tidak selaras dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan bahasa kebangsaan wahana perpaduan.

         Pada tahun 1960, Jawatankuasa Penyemak Pelajaran telah meneliti kekurangan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Maka, lahirlah Laporan Rahman Talib (1960) sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Antara tindak lanjut daripada usul Laporan Rahman Talib ialah:

1.    Peperiksaan naik tingkatan bagi sekolah menengah Cina dimansuhkan pada tahun 1961 dan Peperiksaan Sijil Akhir Sekolah Menengah Cina dimansuhkan juga pada tahun 1963.

2.    Setiap calon diwajibkan lulus dalam Bahasa Kebangsaan bagi peperiksaan masuk sekolah menengah.

3.    Kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan wajib bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962.

4.    Langkah-langkah dilaksanakan untuk menambah bilangan guru terlatih sekolah menengah kebangsaan dan guru khas Bahasa Kebangsaan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan.

5.    Pembukaan sekolah menengah kebangsaan dipesatkan di seluruh negara.
   (Abu Zahari Abu Bakar, 1980:80 – 81)

Dapat dirumuskan bahawa dalam sistem pendidikan sesudah kemerdekaan, sudah mula terbina falsafah yang mendasari pendidikan bahasa Melayu di negara ini, iaitu:

“…bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat berbilang keturunan, atau dengan konsep yang lebih luas lagi bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara”.

Sektor bahasa ternyata menyumbang dalam pembinaan negara melalui penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Rancangan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Reformasi Pendidikan

Pada dasarnya, pendidikan bahasa Melayu dalam era ini merupakan kesinambungan pelaksanaan dalam era sebelumnya. Pendidikan bahasa Melayu masih tetap berkaitan dengan pemupukan perpaduan rakyat, pengilmuan masyarakat, dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama melalui bahasa kebangsaan.

Yang membezakannya daripada era kemerdekaan fasa pertama ialah penekanan yang lebih jelas kepada aspek-aspek tertentu, khususnya pembangunan yang lebih menyuluruh, bersepadu, dan seimbang. Reformasi pendidikan yang menandai fasa kedua era kemerdekaan bagi sistem pendidikan negara bertujuan untuk membaiki kandungan, objektif, bentuk, corak, dan amalan pendidikan yang sedang berlangsung bagi memenuhi tuntutan-tuntutan semasa dan cabaran-cabaran masa hadapan (Ahmad Muhammad Said, 1991: 3 – 4 dan Nik Aziz Nik Pa, 1994: 227 – 228).

Dalam konteks ini, reformasi pendidikan di Malaysia berkaitan rapat dengan upaya “pemanusiaan pendidikan” (humanization of education) – (Ahmad Muhammad Said, 1991: 6 – 7).

Falsafah Pendidikan Negara

          Falsafah Pendidikan Negara yang digubal dan diisytiharkan pada tahun 1987 dan dimantapkan pada tahun 1988. Antara strategi umum pelaksanaan reformasi pendidikan ialah bahasa Melayu diluaskan dan ditingkatkan penggunaannya sebagai alat berfikir dan berkarya supaya dapat menjadi bahasa ilmu yang berkesan.
(Ahmad Muhammad Said, 1991 dan Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 1991)

Antara strategi konkrit yang direncanakan dan dilaksanakan termasuklah bahasa Melayu merentas kurikulum dan meningkatkan aktiviti budaya ilmu melalui budaya membaca, budaya belajar, budaya berkarya, dan budaya bermusyawarah.

Dalam kajian Dr. Awang Sariyan (1997), beliau mengemukakan falsafah pendidikan bahasa sebagai yang berikut:

1.    Pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa yang telah dikurniakan Tuhan kepada seluruh manusia, sesuai dengan ungkapan haiwan natiq atau rational animal yang dikiaskan kepada manusia.

2.    Pendidikan bahasa sebagai upaya meneliti sistem alam ciptaan Tuhan (dalam konteks ini alam kecil atau alam manusia), sebagai suatu sains, sebagaimana penelitian terhadap sistem-sistem lain, umpamanya sistem cakerawala, struktur muka bumi dan sebagainya.

3.    Pendidikan bahasa sebagai sebagai suatu cabang pendidikan umum, iaitu sebagai satu subjek dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum (language across curriculum).

4.    Pendidikan bahasa sebagai wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat atau dengan perkataan lain seluruh unsur kebudayaan dan tamadun masyarakat kepada generasi baharu.
     (Awang Sariyan, Teras Pendidikan Bahasa Melayu, 2004: Halaman 55)

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Inti sari Dasar Pendidikan Kebangsaan di Malaysia ialah “mewujudkan suatu masyarakat yang bersatu padu melalui sistem persekolahan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar”.

Dua dokumen yang terpenting dalam hubungannya dengan pembentukan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ialah Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960. Secara ringkas, perkembangan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia dapat digambarkan melalui urutan tahun penggunaan bahasa tersebut sebagai bahasa penghantar di peringkat yang tertentu.

Tahun
Pelaksanaan
1957
Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib di semua sekolah rendah dan menengah bantuan kerajaan.
1958
Pembentukan kelas-kelas menengah yang berbahasa penghantar bahasa Melayu; kelas-kelas ini kemudian berkembang menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan.
1963
Sekolah Menengah Kebangsaan berasrama penuh yang pertama, iaitu Sekolah Menengah Alam Shah didirikan; kelas Tingkatan VI yang berbahasa penghantar bahasa Melayu dimulakan di sekolah tersebut.
1965
Kumpulan pertama penuntut aliran Melayu masuk ke Universiti Malaya.
1968
a.    Kumpulan pertama penuntut aliran Melayu mendapat ijazah.
b.    Kelas aliran Melayu mula di sekolah Vokasional.
1970
Semua mata pelajaran dalam Darjah 1 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris diajarkan dalam bahasa Melayu.
1973
Semua mata pelajaran dalam Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris diajarkan dalam bahasa Melayu.
1975
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris bertukar menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan sepenuhnya.
1976
Semua mata pelajaran Sastera, Sains dan Teknik dalam Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris diajarkan dalam Bahasa Melayu.
1978
Aliran Sastera Tingkatan VI Rendah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.
1981
Semua mata pelajaran Sastera, Sains dan Teknik di Tingkatan VI Rendah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris diajarkan dalam bahasa Melayu.
1982
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris diubah sepenuhnya menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan.
1983
Semua kursus dalam tahun pertama di pusat pengajian tinggi diajarkan dalam bahasa Melayu.

             (Disesuaikan daripada Asmah Haji Omar, 1978)
1987
Falsafah Pendidikan Negara
1996
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)
Akta Pendidikan 1996 diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong setelah diluluskan oleh Parlimen pada 15 Julai 1996 menggantikan Akta Pelajaran 1961.
       Diwartakan pada 1 Ogos 1996.
       Dikuatkuasakan pada 31 Disember 1997
Kandungan Utama Akta Pendidikan 1996
          Bahasa
          Kurikulum Kebangsaan
          Pengajaran Agama Islam
          Pengajaran Agama Selain Dari Agama Islam
          Penilaian dan Peperiksaan Murid
          Pengurusan Sekolah
          Kuasa Menteri Membuat Peraturan
          Dendaan dan Kompaun
2003
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi salah satu Dasar Pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantik bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI mula dilaksanakan pada tahun 2003.
2010
Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)
2010 – 2012
Persidangan Perlembagaan Baru dalam Pendidikan
2013 – 2025
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Secara luaran, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan di Malaysia sudah mencapai tahap yang memuaskan kerana bahasa Melayu sudah dapat dijadikan sarana ilmu pengetahuan dari peringkat dasar hingga peringkat pengajian tinggi. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang mendukung penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar menunjukkan kemajuan yang cukup membanggakan walaupun dibelenggu masalah-masalah tertentu.

Pendekatan Bersepadu Pendidikan Bahasa Melayu

          Dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia, pendidikan bersepadu pendidikan bahasa Melayu tertumpu pada dua aspek, iaitu sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah menengah (yang menggambarkan kandungan bidang bahasa) dan strategi pengajaran pemelajaran.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu

          Pelaksanaan pendidikan bahasa Melayu dalam era reformasi pendidikan direalisasikan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR, 1982) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM, 1988 bagi mata pelajaran bahasa dan 1989 bagi semua mata pelajaran).

          Ciri yang jelas pada sukatan pelajaran bahasa Melayu KBSM ialah konsep dan tafsiran yang mendalam dan meluas tentang bahasa dan pendidikan bahasa, baik daripada segi matlamat, objektif, kandungan, strategi pengajaran pemelajaran, mahupun bahan pengajaran pemelajaran.

          Beberapa penekanan yang dapat dikesan dalam pendahuluan sukatan Pelajaran Bahasa Melayu peringkat sekolah menengah, selaras dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama, dan bahasa ilmu pengetahuan, yang mencerminkan akal budi rakyat, meliputi:

1.    Penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu.
2.    Penguasaan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi.
3.    Pemahaman akan sistem bahasa Melayu untuk mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan sehari-hari. 
     (Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah Bahasa Malaysia, 1988:1)

          Matlamat pendidikan bahasa Melayu peringkat sekolah menengah pula diungkapkan sebagai: “…membimbing pelajar-pelajar menguasai kecekapan berbahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan bagi melahirkan fikiran dan perasaan tentang ilmu pengetahuan, hal-hal persendirian dan kemasyarakatan dlaam konteks rasmi, tak rasmi, dan penulisan (Rumi atau Jawi) selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.”

Perincian matlamat itu dinyatakan sebagai yang berikut:

1.    Menghargai dan membanggakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta alat perpaduan rakyat, sesuai dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.
2.    Memahami sistem bahasa Melayu dari segi bentuk, makna, dan fungsinya, dan menggunakannya dengan tepat dalam kehidupan sehari-hari.
3.    Menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan dalam bidang ilmu pengetahuan.
4.    Menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan dalam perhubungan sehari-hari.
5.    Membaca pelbagai bahan sebagai satu amalan untuk menimba ilmu pengetahuan dan memenuhi masa lapang.
    (Sukatan Pelajaran, 1988:2)
Strategi Pengajaran Pemelajaran

1.    Penggabungjalinan

Pada asasnya penggabungjalinan ialah upaya untuk mengintegrasikan segala kemahiran berbahasa dengan sistem bahasa (tatabahasa, sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata, dan peribahasa).

Secara lebih terperinci, penggabungjalinan sebagai suatu strategi pengajaran pemelajaran melibatkan tiga hal, iaitu:
a.    Penggabungjalinan antara kemahiran berbahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b.    Penggabungjalinan antara kemahira bahasa dengan sistem bahasa, terutama tatabahasa.
c.    Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 1989:4)
2.    Penyerapan

Pada hakikatnya, yang ditekankan dalam penyerapan ialah penyepaduan unsur yang berikut dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa, iaitu:
a.    Bidang ilmu;
b.    Hal ehwal persendirian dan kemasyarakatan;
c.    Semangat kewarganegaraan;
d.    Nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

3.    Kemahiran Berfikir

Program kemahiran berfikir diformalisasikan dalam tahun 1980-an atas kesedaran bahawa kebanyakan guru tidak sedar akan kemahiran berfikir yang digunakan oleh mereka dan juga penekanan yang lebih tertumpu pada penghafalan dan pengingatan kembali isi pelajaran dalam kurikulum pra-KBSM.

Berdasarkan beberapa kemahiran berfikir seperti Model Swartz dan Parks (1993), Model KWHL (Knowledge, What, How, Learnt), Model de Bono, Model PILTS (Programmed Instruction in the Learning of Thinking Skills), Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan Model Kemahiran Berfikir PPK (1993) yang dikelaskan kepada empat kategori utama yang saling berkaitan, iaitu:
a.    Pemikiran Kreatif
b.    Pemikiran Kritis
c.    Penyelesaian Masalah
d.    Membuat Keputusan

Masalah-masalah dalam Perkembangan Bahasa Melayu

1.    Masalah Dasar Bahasa

Masalah yang berkaitan dengan dasar bahasa di Malaysia dapat dilihat daripada dua sudut. Pertama, tafsiran yang salah dan cauvinistik terhadap Dasar Bahasa. Kedua, kesan daripada peruntukan tertentu tentang bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Sehingga saat Malaysia sudah lebih separuh abad mencapai kemerdekaan, peruntukan dalam Perlembagaan yang berkaitan dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi masih terus dijadikan bahan kritikan oleh golongan tertentu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi itu dianggap oleh golongan yang berkepentingan sebagai mengancam pertumbuhan bahasa-bahasa lain dan dikaitkan kedudukan bahasa Melayu itu dengan hak istimewa orang Melayu.

Kedua-dua tafsiran itu memang nyata salahnya. Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan tegas menyatakan bahawa “tiada seorang pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain.” Jelaslah bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sama sekali tidak menggugat kelangsungan hidup bahasa-bahasa lain.

2.    Masalah Pelaksanaan

Bahasa Melayu kehilangan tempat dan peranan dalam upacara dan majlis rasmi di peringkat kebangsaan apatah lagi di peringkat serantau dan antarabangsa. Yang amat berkaitan dengan fenomena ini ialah yang disebut oleh Profesor Ismail Hussein (1985) sebagai fenomena wujudnya golongan elit yang alpa dan angkuh yang melupakan tanggungjawab terhadap maruah bahasa dan bangsa.

Masalah yang tidak kurang besarnya dalam hal pelaksanaan bahasa Melayu ialah mutu bahasa yang digunakan di samping kurangnya bahan bacaan untuk peringkat pengajian tinggi yang tertulis dalam bahasa Melayu.

3.    Masalah Linguistik

Selain beberapa aspek sistem ejaan yang kurang selaras, masalah linguistik yang lebih besar ialah dalam hal peristilahan dan tatabahasa. Masalah peristilahan yang sering dibangkitkan, terutama oleh guru, pelajar (murid), penulis, dan penerbita ialah kekurangan istilah dalam pelbagai bidang dan istilah yang kerap berubah. Mari kita amati konsepsi bahasa Melayu moden yang dikemukakan olah St. Takdir Alisjahbana (1977:77): 
  
            “… soal yang terpenting adalah bagaimanakah dapat kita menimbulkan suatu sistem bahasa Melayu, yang pada dasarnya masih bersifat bahasa Melayu, tetapi sementara itu telah mencerna  ke dalam dirinya sistem-sistem masyarakat dan kebudayaan moden, yang amat dipengaruhi oleh ilmu, teknologi, dan ekonomi industri abad kedua puluh.”

4.    Masalah Penggunaan Bahasa Melayu

Penggunaan bahasa Melayu dalam SMS (Sistem Maklumat Ringkas), e-mel, Facebook, Twitter, Blogspot dan sebagainya.

Penggunaan bahasa Melayu lisan masih tercemar. Bahasa Melayu sering diungkapkan berselang seli dengan kata-kata Inggeris dalam media elektronik melalui drama, rancangan hiburan, dan kenyataan pemimpin tertentu.
(Pelita Bahasa, Jun 1998)

Bahasa Melayu lisan bercampur aduk dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Tamil, bahasa Cina dan sebagainya, yakni bahasa rojak.

Contoh:
Pintu gate, lada chilly, cuba try (Frasa)
Saturday I kena study sebab Monday ada test. (Ayat)

Penggunaan bahasa Melayu lisan – sekerat belut sekerat ular, bahasa campuran, bahasa caca-marba, dan bahasa campur aduk.    

Bahasa yang rancu cerminan fikiran yang celaru. Pengguna bahasa bertanggungjawab untuk tidak menggunakan bahasa itu secara sembrono dan sewenang-wenang.

Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dicampuradukkan dalam media elektronik telah, sedang dan akan merosakkan imej dan kedudukan bahasa Melayu di persada tanah air, nusantara dan antarabangsa.

Penggunaan bahasa yang bercampur aduk dalam hal-hal yang tidak perlu, terutama dalam konteks rasmi dianggap oleh Tan Sri Dato’ Dr. Awang Had Salleh sebagai pembiadapan terhadap bahasa kebangsaan. Malah, kata beliau, gejala ini menunjukkan bahawa tahap penguasaan mereka dalam kedua-dua bahasa itu adalah rendah.

5.    Cabaran dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

-       Pendidikan Vernakular Cina
-       Gabungan Persatuan Guru-Guru Cina Malaysia atau Jiao Zong – agresif memperjuangkan sekolah Cina sejak penubuhannya 25 Disember 1951 hingga kini.
-       Perjuangan masyarakat Cina, Huatuan dan Dong Jiao Zong menentang sebarang campur tangan yang boleh menghakis identiti pendidikan, bahasa dan budaya warisan Cina turun-temurun.
-       Sukatan Pelajaran dan Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu  di SJK © tidak memberikan ruang untuk memperkasakan Bahasa Melayu.
-       Kewujudan IPTS turut membantutkan perkembangan bahasa Melayu.
-       Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi yang masih tidak mengutamakan bahasa Melayu.
-       Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran.
-       Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagi lapisan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.
-       Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, sementara bahasa Inggeris dianggap menjadi kayu ukur taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan pulangan ekonomi.
-       Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu.

Cetusan Cendekiawan Bahasa

“Belakangan ini, saya melihat semacam berlaku “kekacauan” dalam kalangan masyarakat apabila pemimpin negara membuat pengumuman tentang kepentingan penggunaan bahasa Inggeris. Banyak pihak yang telah menyalahtafsirkan kenyataan ini. Yang jelas kepada kita ialah kenyataan itu dijadikan “lesen” untuk menggambarkan sikap mereka. Sekarang, golongan ini mempunyai justifikasi untuk bersikap biadab terhadap bahasa kebangsaan.” – Tan Sri Dato’ Dr. Awang Had Salleh.                                               
                                       (Pelita Bahasa, Mei 1995, Halaman 10 -13)

Langkah-langkah yang dicadangkan dan ada kalanya yang diambil, bukan sahaja menuju ke arah mengukuhkan kedudukan bahasa Inggeris tetapi juga bersifat mencabar dan melemahkan kedudukan bahasa Melayu. Contoh – penggunaan bahasa Melayu/Inggeris dalam media elektronik: Mengapa pada saat Bahasa Melayu telah berjaya, maka kita mula berasa sangsi?   
                             (Prof.Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim)

Kewajaran Bahasa Melayu sebagai Asas dalam Sistem Pendidikan Sebuah Negara

1.    Faktor Sejarah (Sejarah Bahasa)
Bahasa Melayu - 200 juta penutur di dunia.
Bukti kehadiran bahasa Melayu pada batu bersurat Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Kota Kapor, Karang Berahi (683 – 686), Kw’un-Lun (Melayu)
Batu Bersurat Pagar Ruyong (1356)
Daftar kata Melayu dalam Bahasa Cina, Pigafetta (1521)
Naskhah Hikayat Seri Rama (1633)
Berita Cina tentang Mo-Lo-yeu (1644)
Kamus Melayu-Belanda, Melayu-Itali tulisan Valentyn tentang Bahasa Melayu (1726)

2.    Perlembagaan Negara
Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan:
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

3.    Pembinaan Negara Bangsa
Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pendidikan (1961), Falsafah Pendidikan Negara (1987), Akta Pelajaran (1996), MBMMBI (2010), Wawasan 2020, dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025)

4.    Perpaduan dan Jati Diri Bangsa
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di IPTA (1983),
Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152),
Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1967), Akta Pendidikan (1996), MBM (Memartabatkan Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia) menggantikan PPSMI (2010), dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025).

Usaha Permartabatan dan Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Sebuah Negara

Peranan Ibu bapa
-      Didikan awal harus bermula di rumah.
-      Ibu bapa harus menanamkan sikap cinta akan bahasa kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata melentur buluh biarlah dari rebungnya.
-      Sudut bacaan/perpustakaan mini/beli atau bekalkan bahan bacaan yang dapat mendidik anak-anak menggunakan bahasa Melayu yang betul.
-      Berkomunikasi dalam bahasa Melayu dari semasa ke semasa.
-      Keluarga mengunjungi pameran buku/kempen/ceramah/seminar kebahasaan dan kesusasteraan.

Sekolah
-      Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan.
-      Iltizam dan ketegasan Pengetua dalam menjayakan dasar MBMMBI bukan MBIMBM sejajar dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa dan bukan Bangsa Jiwa Bahasa.
-      Mata pelajaran Bahasa Melayu perlu diajarkan oleh guru-guru Bahasa Melayu/Pengajian Melayu yang menepati opsyen, kepakaran dan pengalaman.
-      Guru Bahasa Melayu harus menguasai ilmu pedagogi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang kreatif, inovatif, dan terkini.
-      Khidmat kepakaran Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Munsyi Dewan DBP, Jurulatih Eksekutif dan Jurulatih Utama BM dan Kesusasteraan Melayu amat diperlukan untuk merealisasikan 1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara.
-      Kegiatan Kurikulum / Kokurikulum / Kokurikulum Akademik.
Contohnya Persatuan Bahasa Melayu, Kelab Penulisan Kreatif, Kelab Teater Komsas, Pidato, Bahas Ala Parlimen, Forum Remaja, Majalah Dalam Kelas (MDK), Bersahabat dengan Kamus, Khemah Membaca dsb.
-      Murid bukan sekadar mempelajari Bahasa Melayu tetapi juga mencintai Bahasa Melayu.
-      Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) wajar disebarluaskan ke seluruh negara, yakni merangkum SK, SJK©, SJK(T), SMK, SMJK dsb.
-      Kepelbagaian Pendekatan, Teknik dan Kaedah (PTK) yang terkini dalam pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu.
-      Bahasa Melayu merentas kurikulum.

Institusi Pengajian Tinggi (IPTA dan IPTS)
-      Bahasa Melayu mesti digunakan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi.
-      Pengajian Bahasa Melayu – UKM, bahasa-bahasa lain turut diajarkan sebagai elektif/pilihan/soft skill.
-      Pembentangan sarjana/doktor falsafah dalam Bahasa Melayu.
-      Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu, yakni melalui usaha-usaha penerbitan buku-buku ilmiah/kajian/penyelidikan dalam Bahasa Melayu.
-      Program kebahasaan/kesusasteraan Bahasa Melayu di kampus-kampus IPTA/IPTS.
-      Jalinkan kerjasama dengan DBP/ITNM/Gapena/Aswara/Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Malaysia.
-      Wajibkan pengajian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di semua universiti awam dan swasta tempatan.

Media Massa (Media Elektronik/Media Cetak Arus Perdana)
-      Media massa perlu berganding bahu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sejajar dengan Memartabatkan Bahasa Melayu.
-      Perbanyak dan proaktifkan rancangan Bahasa dan Susastera Bahasa Melayu dalam media massa.
-      Selain Forum Perdana atau Isu Semasa, perlu diadakan siaran Ulasan Jurnal/Esei/Makalah, Bicara Buku, Bicara Tokoh dan sebagainya.
-      Utamakan laras bahasa lisan dan tulisan Bahasa Melayu yang tinggi, gramatis dan baku.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
-      Pergiatkan aktiviti penulisan, penerbitan (buku ilmiah dan bukan ilmiah), penataran, pengembangan dan pemantapan/pengukuhan bahasa dan susastera Bahasa Melayu.
-      Menganjurkan seminar, kolokium, kempen, ceramah, kembara bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan ke seluruh pelosok negara tidak hanya tertumpu pada IPT, bandar atau sekolah-sekolah elit sahaja.
-      Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan, iaitu DBP menjelajah ke seluruh negara melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang selain usaha pemantauan dan audit bahasa secara berterusan.

Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM)
-      Penterjemahan Karya Agung (Sejarah Melayu, dsb.) dan Karya Besar (Hujan Pagi, dsb.) untuk bacaan khalayak.
-      Penerbitan makalah, majalah, jurnal, buku sastera dan buku ilmiah dalam Bahasa Melayu.
-      Aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan kebukuan Bahasa Melayu.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Malaysia, Majlis Perbandaran/PBT/NGO/Swasta/Persatuan Penulis:
-      Maybank/Public Bank/Esso/Mobil – Hadiah Sastera Utusan/Perdana
-      Persatuan Linguistik Malaysia – perbanyak penerbitan makalah, majalah, buku rujukan ilmiah dalam Bahasa Melayu.
-      Gapena dan kerabatnya – proaktifkan kegiatan bahasa dan susastera Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.
-      PIBG, Alumni dsb. berperanan membina negara bangsa melalui bahasa Melayu.
-      Pihak Berkuasa Tempatan perlu memantau dan memastikan nama-nama syarikat, taman perumahan dan sebagainya melambangkan identiti bahasa kebangsaan berbanding dengan bahasa lain – audit bahasa.

Kementerian Pelajaran Malaysia

Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM)

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan BM pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. BM juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.

Tujuan utama memartabatkan BM adalah kerana BM merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.

Usaha MBM
1.    Penambahan Masa P & P
Tahap 1 – 360 minit (SK) dan 300 minit (SJK, tambahan 90 minit)
Tahap 2 – 300 minit (SK) dan 240 minit (SJK, tambahan 90 minit)

2.    Pendekatan Modular Kurikulum BM
3.    Asas Berbahasa (Back to Basics)
4.    Didik Hibur
5.    Penggunaan BM Standard Merentas Kurikulum
6.    Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P & P BM
7.    Program Bacaan
8.    Guru BM Berkualiti
9.    Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
10. BM, Bahasa Ilmu dan Komunikasi
11. Kolaborasi Antarabangsa Kursi BM di Universiti Luar Negara
12. Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025)

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, merangkum sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalus, termasuklah Perkara 4 dan 5, iaitu memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran serta meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa.


Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,  termasuk Perkara 2, 3, dan 7, iaitu memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai serta memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.


            Kerajaan, melalui KPM, DBP, ITBM, dan Gapena:


1.    Mewujudkan jaringan kerjasama perkongsian maklumat tentang segala aspek bahasa, susastera dan tamadun Melayu serta aspek-aspek pendidikan bahasa Melayu melalui portal yang ditangani bersama oleh wakil semua negara berbahasa Melayu dengan bantuan sumbangan maklumat daripada sesiapa atau pihak mana sahaja di dunia.


2.    Meneguhkan dan memesatkan gerak kerja Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) sebagai badan yang menjalin kerjasama antara negara yang mempunyai pusat atau program pengajian atau pengajaran bahasa dan pengajian Melayu/Indonesia.


3.    Mengadakan persidangan yang berkaitan dengan bahasa Melayu serantau atau antarabangsa.


4.    Menerbitkan jurnal, monograf, buku dan terbitan elektronik secara terancang tentang pelbagai aspek bahasa Melayu untuk keperluan di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.

Kesimpulan

-      Perjuangan bahasa ialah soal identiti, maruah dan usaha yang masih belum selesai.
-      Sikap acuh tak acuh sesetengah pihak mengenai Bahasa Melayu. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
-      Bahasa kebangsaan mesti bercitra Malaysia.
-      Bahasa Melayu harus diupayakan sebagai bahasa swasta secara lebih meluas, terutama dalam bidang dagang dan kegiatan komersial, perbankan, perundangan, insurans, komunikasi formal dan diangkat sebagai bahasa ASEAN/PBB.
-      Kerajaan dan pihak swasta harus mempunyai peta jalan Bahasa Melayu yang saling membantu. Kikis sikap rendah diri apabila berbahasa Melayu.

Marilah kita bersama-sama bermuhasabah dan membulatkan tekad serta membetulkan iktikad untuk terus memajukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara dan seterusnya menjadikan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan sebagai bahasa lokal, bahasa glokal dan bahasa global. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Cetusan Cendekiawan Bahasa

Untuk menandingi bahasa lain yang maju di dunia, kita hendaklah berupaya menghasilkan ilmu sebanyak-banyaknya dalam bahasa kita sendiri. Bahasa kita akan menjadi bahasa yang besar apabila kita mampu mencipta kemajuan, menciptakan ilmu melalui bahasa kita. (Allahyarham Datuk Hj. Hassan Ahmad, Pelita Bahasa, Februari 1995)

Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa!
(Allahyarham Mohd.Asraf Abdul Wahab, Pak Asraf)

Pantun

Tingkap papan kayu bersegi,
          Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
          Tinggi bangsa kerana bahasa.
  
Yang kurik kundi,
          Yang merah saga;
Yang baik budi,
          Yang indah bahasa.

                 (Sekalung Budi Seuntai Bahasa, Cetakan Keempat, 2000: DBP)

Sajak I
Akar Bahasa
Akar warga bangsa, bahasa
Akar budaya bangsa, bahasa
Akar jati diri bangsa, bahasa
Akar modal insan, bahasa
Akar pendidikan, bahasa
Akar kemajuan, bahasa
Akar kecemerlangan wawasan, bahasa
Akar kegemilangan gagasan, bahasa
Akar nusa bangsa, bahasa
Bahasa jiwa bangsa!

Chai Loon Guan,
SMK Methodist, Tg.Malim.
 (Pelita Bahasa Mac 2010)

Sajak II
MARI
(bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2012)

Mari kita berbahasa
Penuh santun
Bertamadun

Mari kita berbahasa
Penuh susila
Beraksara

Mari kita berbahasa
Penuh azam
Beriltizam

Mari kita berbahasa
Penuh ilmu
Berguru

Mari kita berbahasa
Penuh padu
Bersatu

Mari kita berbahasa
Penuh minat
Bermatlamat

Mari kita berbahasa
Penuh muhibah
Bermuhasabah

Mari kita  berbahasa
Penuh hasrat
Bermartabat

Mari kita berbahasa
Penuh perkasa
Cendekia membina bangsa
Wibawa membangun nusa
Bahasa Jiwa Bangsa!

Chai Loon Guan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg.Malim.

Bibliografi:

Abu Zahari Abu Bakar. 1980. Perkembangan Pendidikan di Semenanjung Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Ahamad Muhammad Said. 1991. “Reformasi Pendidikan: Rasional, Falsafah dan Strategi” dalam Idris Jauzi (Ed.). 1991. Reformasi Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1969. Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1988. The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the Aqaid of al-Nasafi. Kuala Lumpur: Universiti of Malaya Press.

Awang Sariyan. 1984. “Kesinambungan Bahasa dalam Karya Sastera Melayu: Suatu  Kajian Linguistik daripada Segi Sintaksis”. Tesis Sarjana Sastera, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Awang Sariyan. 1996. Warna dan Suasana: Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 2004. Teras Pendidikan Bahasa Melayu: Asas Pegangan Guru. Bentong, Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Awang Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan Penakatan Tamadun – Syarahan Raja Ali Haji 15 September 2005. Kuala Lumpur. DBP dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Juriah Long et. al. 1990. Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim et. al. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 1994. Kuala Lumpur: MDC Penerbit Pencetak Sdn. Bhd.

Sekalung Budi Seuntai Bahasa. 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd. Zahid Mohd Nordin. 1993. Wawasan Pendidikan Agenda Pengisian. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Pelita Bahasa. Februari 1995. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pelita Bahasa. Mei 1995. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pelita Bahasa. Jun 1998. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pelita Bahasa. Mac 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: