Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, October 31, 2012

Majlis Persaraan Pn. Rusni bt. Ismail

Makluman I:
Majlis "Majlis Persaraan Pn. Rusni bt. Ismail" - Guru Kaunseling SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 09 November 2012 (Jumaat), pukul 7.30 pagi. 
Selamat Datang Tetamu Jemputan.
 

Tuesday, October 30, 2012

OLEH-OLEH DBP


Usai kursus pendedahan awal FROG, penulis mula kembali sibuk menguruskan majlis persaraan guru dan pecah tanah bangunan tambahan MES pada 9 November 2012.

Dalam kesibukan itu, sempat juga penulis menelaah, mengedit dan memurnikan kertas k
erja yang akan dibentangkan dalam Muzakarah Munsyi Dewan pada 28 November - 1 Disember 2012 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Tuan Ghani Abu, Editor Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka kerana mengirimi saya sepucuk surat penghargaan dan senaskhah majalah Tunas Cipta Oktober 2012. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan, Tg. Malim - 00.34 pagi, 31 Oktober 2012.

Catatan:
Makalah penulis - Penulis Muda Bukan Melayu di Buana Kebahasaan dan Kesusasteraan Kebangsaan tersiar dalam majalah Tunas Cipta Oktober 2012.

Saturday, October 27, 2012

Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman



Soalan Pemahaman
Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman
1.     Semua pernyataan yang berikut adalah benar tentang Raja Deli, kecuali…
A.    Baginda mempunyai tiga orang anak.
B.     Baginda dikasihi rakyat jelata.
C.    Baginda tidak mempunyai permaisuri.
D.    Baginda mengalami sakit-sakit tulang.

2.     Frasa ke negeri yang baqa akan berpindah dalam syair tadi bermaksud…
A.    Meninggal dunia.
B.     Berpindah ke rumah baharu.
C.    Berhijrah ke negeri lain.
D.    Meninggalkan rumah lama.

3.     Yang manakah antara yang berikut bukan gaya bahasa istana?
A.    Gering
B.     Baginda
C.    Mangkat
D.    Laki-laki

4.     Tema bagi Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman ialah…
A.    Kebesaran dan kekuasaan raja yang hebat.
B.     Berusaha sedaya mungkin untuk mengubati penyakit.
C.    Pemergian seorang raja yang tersohor dan disegani.
D.    Kita seharusnya sedar bahawa ajal maut ditakdirkan Tuhan.

5.     Pengajaran yang dapat dijadikan iktibar dalam kehidupan berdasarkan syair ini ialah…
A.    Setiap rakyat harus berkorban demi kesejahteraan pemimpin.
B.     Kita hendaklah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur.
C.    Sebagai manusia, kita haruslah tabah menghadapi ujian daripada Tuhan.
D.    Bermuafakatlah dalam melakukan sesuatu demi mewujudkan persefahaman.

 (Sumber: Kupasan dan Kajian KOMSAS Tingkatan 1 - Sasbadi Sdn. Bhd.)

Friday, October 26, 2012

Kertas Kerja Muzakarah Munsyi Dewan


Cuti hujung minggu - Hari Raya Aidiladha, penulis mula mengumpul bahan, membuat rujukan dan menulis draf awal mengenai tajuk kertas kerja yang diamanahkan untuk dibentangkan bersama dengan YBhg. Prof. Dr. Md Sidin bin Ahmad Ishak dalam Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 November - 1 Disember 2012.

Novel - Manisnya Cinta


Penulis menerima oleh-oleh kenangan (cenderamata novel - Manisnya Cinta) bertandatangan daripada novelis popular tanah air - Anis Ayuni pada 20 Oktober 2012 di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Seri Manjung bersempena dengan Program Bicara Buku 1Malaysia Peringkat Negeri Perak 2012.

Thursday, October 25, 2012

Majlis Pecah Tanah MES


Makluman:
Majlis "Pecah Tanah Bangunan Tambahan" SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 9 November 2012 (Jumaat), pukul 10.00 pagi. Selamat Datang AJK Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan Methodist English School Alumni (MESA).

Aidiladha 2012


Selamat Hari Raya Aidiladha 2012.

Latihan Tatabahasa BM



Latihan Tatabahasa BM Tingkatan 1 – 3
Set I
Lengkapkan Penjodoh Bilangan yang tepat dalam ayat yang berikut:

1.           Saya membelikan adik se___________ pena.
2.           Budin menghadiahi tunangnya se____________ cincin.
3.           Ayah memiliki lima ___________ sawah.
4.           Ibu membeli dua __________ durian di pasar.
5.           Ramesh membelikan Rani se_________ anggur.

Set II
Gariskan Kata Hubung Berpasangan dalam ayat majmuk yang berikut:

1.           Baik lelaki mahupun perempuan mempunyai hak yang sama.
2.           Buku ini berguna bukan saja bagi para pelajar tetapi juga bagi para guru.
3.           Cerita itu entah betul entah tidak.
4.           Jangankan ibu, ayah pun tak larat mengangkat batu giling yang berat itu.
5.           Ayah saya makin tua makin kerap sakit.

Set III
Lengkapkan ayat yang berikut dengan Kata Ganda Berentak/Bersajak:

1.           Jalan raya itu ______________kerana ketumpahan minyak pelincir.
2.           Adik-beradik Mazni ______________ belaka.
3.           Sayur-sayuran yang dipetiknya _____________.
4.           Pakaiannya kelihatan ______________ saja.
5.           Sekeliling istana itu _______________ disinari lampu-lampu yang dipasang untuk menyambut kedatangan para tetamu.
6.           Pakaian pengemis itu ________________ .
7.           Dengan _______________ dia berlalu dari situ.
8.           Perasaannya ________________setelah melihat rumahnya dijilat api.
9.           Sorakan penonton menjadikan suasana di situ _____________ .
10.        _____________ saja rambut Munah selepas dia bangun tidur.

(Sumber: Petunjuk Tatabahasa BM – Asraf, Sasbadi Sdn. Bhd., 2007)

Jawaban:
Set I:
batang, bentuk, bidang, biji dan gugus.
Set II:
baik...mahupun, bukan saja...tetapi juga, entah...entah, jangankan...pun, makin...makin.
Set III:
licin-licau, ramah-tamah, segar-bugar, serbah-serbih, terang-benderang, compang-camping, gopoh-gapah, gundah-gulana, hingar-bingar dan kusut-masai.

Wednesday, October 24, 2012

PANTUN BUDI

Pantun:

Nyiur gading puncak mahligai,
Kelapa pandan hjiau setandan;
Hancur daging tulang berkecai,
Budimu tuan dalam ingatan.

(Sumber: Deli Koesoma Cempakancana - Pantun & KonYit Chin - Foto)

Tuesday, October 23, 2012

SANTAPAN


Makan malam bersama dengan YBhg. En. Abd Wahab bin Ibrahim, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia, En. Suhaimi bin Ramli, Timbalan PPD Daerah Manjung dan En. Mohd Sharif Apen, Penolong Pengarah, MBKM pada 19 Oktober 2012 di Restoran Horizon, Seri Manjung, Perak Darul Ridzuan.

(Catatan: Kembara Buku 1Malaysia 2012 di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Seri Manjung pada 18 - 20 Oktober 2012)

Seni Ilham Cipta Chan Chang How






Monday, October 22, 2012

Sajak - KATAK



(Ilham cipta sajak - KATAK, bersempena dengan LADAP (FROG) pada 22 – 23 Oktober 2012 di Bilik Gerakan MES Tg. Malim)

Melompat
Katak
Keluar
Dari tempurung kedaifan
Dari kepompong keterasingan

Terjelir lidah
Katak
Menatap dunia mewah
Terbeliak mata
Katak
Menelaah buana indah
Tergiur nafsu
Katak
Digoda ghairah hidup

Melompat lagi
Katak
Mencari teduh awan
Di belukar hidup
Biarpun liat tersirat
Terbuku jua hasrat
Mahu hidup berdarjat
Mahu hidup bermartabat
Seusia hayat!

Chai Loon Guan,
MES Tg.Malim.

ANIS AYUNI



Penulis selaku moderator Majlis Bicara Buku 1Malaysia Peringkat Negeri Perak 2012 berpeluang untuk bergambar kenangan dengan novelis remaja tanah air yang terkenal, iaitu  ANIS AYUNI dan urus setia - PPD Manjung pada 20 Oktober 2012 di Hotel Lead View, Seri Manjung, Perak Darul Ridzuan.

Bicara Buku 1Malaysia Negeri Perak 2012


Penulis diberi tugas sebagai moderator bersempena dengan Majlis Bicara Buku 1Malaysia - Kembara Buku 1Malaysia Peringkat Negeri Perak 2012 pada 20 Oktober 2012 di Dewan Perbandaran Seri Manjung, Perak Darul Ridzuan. Antara panelis YBhg. Datin Zarina Jahaya, YBhg. Puan Latifah bt. Mohd Yusof (Anis Ayuni) dan YBrs. En. Mohd Sharif bin Apen (PP Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, KPM). Tema Bicara Buku 1Malaysia - Buku Memperkaya Minda. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Saturday, October 20, 2012

BM Tingkatan 1 - Pemahaman Sajak

Pemahaman Sajak Tingkatan 1 – Hari Akhir Persekolahan

1.    Apakah maksud ungkapan dakapan perpisahan dalam sajak ini?
A.    Pelukan terakhir
B.    Tidak sanggup berpisah
C.    Pelukan penuh kasih saying
D.   Tidak mahu melepaskan pelukan
2.    Pada hari akhir persekolahan semua pelajar akan menghadapi saat-saat yang berikut kecuali
A.    Meninggalkan guru yang disayangi
B.    Meninggalkan rakan-rakan yang menjadi teman sejati
C.    Meninggalkan semua rutin yang dilalui di sekolah setiap hari
D.   Melupakan semua ilmu yang diperoleh semasa di sekolah
3.    Sajak Hari Akhir Persekolahan bernada…
A.    Sinis
B.    Patriotik
C.    Romantik
D.   Melankolik
4.    Sajak Hari Akhir Persekolahan bertemakan
A.    Saat yang meninggalkan kesan pada hari akhir persekolahan
B.    Alam persekolahan merupakan detik indah buat pelajar
C.    Kenangan manis pada hari terakhir persekolahan
D.   Kesedihan kerana akan meninggalkan alam persekolahan
5.    Yang manakah bukan persoalan dalam sajak ini?
A.    Alam persekolahan pasti sukar dilupakan oleh para pelajar.
B.    Setiap ilmu yang diperoleh harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
C.    Guru harus berikrar untuk mendidik para pelajar dengan penuh tanggungjawab.
D.   Setiap pelajar akan mengakhiri zaman persekolahan dengan pelbagai kenangan.

Jawaban:
1. A  2. D  3. D  4. A  5. C