Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, June 30, 2012

RESOLUSI GAPENA


RESOLUSI SEMINAR BAHASA KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN GABUNGAN PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)

1. Mukadimah

Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidkan Kebangsaan yang bersidang pada 28 Jun 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka serta dihadiri oleh 21 pertubuhan kerabat GAPENA serta 20 badan bukan kerajaan (NGO) lain-lain dan tokoh-tokoh perseorangan serta masyarakat awam sejumlah 250 orang telah dengan sebulat suara membuat ketetapan berikut:

2. Ketetapan-ketetapan

I. Bahasa:

i. Persidangan menegaskan bahawa sebarang ulang kaji sistem pendidikan nasional dalam negara mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Perkara 152 - bahasa kebangsaan, Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidkan 1961, Akta 550 Akta Pendidikan 1996 yang kesemuanya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sebarang penyelewengan dari semua peruntukan ini adalah pelanggaran serius undang-undang negara, warganegara yang menganjurkan selain peruntukan ini adalah dianggap sebagai anti-nasional serta penjenayah. Jika pihak kerajaan yang menyeleweng dari peruntukan semua undang-undang mengenai perlaksanaan bahasa ini adalah tidak bertanggungjawab, melanggar ikrar jawatan mereka dan wajib meletak jawatan dari pemerintahan negara.

ii. Falsafah pendidikan ‘bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaa’ mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar di dalam semua tahap persekolahan dalam sistem kebangsaan sehingga ke tahap fasih dan cekap. Adalah amat perlu kurikulum ‘bahasa lisan’ diadakan semula untuk memastikan pencapaian kecekapan yang patut dalam kalangan semua warga negara sebagai jati diri mereka.

iii. Kelulusan bahasa kebangsaan yang cekap mestilah menjadi syarat kelulusan mendapat taraf kewarganegaraan melalui cara ‘pendaftaran’ dan ‘kemasukan’. Kelulusan bahasa lisan yang fasih mesti menjadi syarat sebagai cara mendapat kewarganegaraan mengikut ‘kuat-kuasa undang-undang’ ketika seseorang warganegara mendapat kad pengenalan. Demikian juga kecekapan dalam bahasa Melayu mesti menjadi syarat kenaikan pangkat dalam khidmat awam.

iv. Pengantar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti berlaku di semua tahap pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk menjadi bahasa jalinan perhubungan dan interaksi yang mantap dan berkesan di antara warganegara untuk menghapuskan masalah perhubungan dalam pelbagai tindakan resmi dan tidak resmi dan meneguhkan jatidiri.

v. Persidangan menolak usaha membuka sistem pendidikan ‘sekolah antarabangsa’ tanpa kouta, dan menuntut supaya semua pelajar Malaysia yang mengikuti sistem sekolah antarabangsa ini disyaratkan mengikuti Pengajian Malaysia seperti berlaku dalam IPTS dengan mencapai kecekapan dalam bahasa kebangsaan setaraf SPM.

vi. Persidangan dengan sebulat suara menolak sepenuhnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadi ‘bahasa selain bahasa Melayu’ sebagai asas kemasukan ke dalam maktab perguruan, cadangan mengadakan pusat perguruan bahasa-bahasa lain dan juga tindakan mengeluarkan guru-guru bahasa kebangsaan yang tidak berbahasa mandarin dari sekolah SJKC, kerana segala ini adalah usaha-usaha jalan belakang untuk menegakkan bahasa lain setara dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

vii. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan dan Buku Negara mesti memperuntukkan kewangan yang cukup bagi membanyakkan penerbitan dalam semua bidang ilmu dalam bahasa Melayu sebagai mengisi keperluan dan menerapkan ilmu ke dalam semua lapisan pendidikan dan masyarakat, dan penerbitan itu mesti dianggap sebagai tanam modal untuk membina bangsa yang berilmu demi kemajuan bangsa dan negara pada masa hadapan seperti berlaku di dalam negara-negara ‘pasaran baru muncul’.

viii. Persidangan memperakukan penubuhan Majlis Pemantauan Bahasa dan Tindakan Bahasa Kebangsaan sebagai badan berautonomi oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Akta Bahasa Kebangsaan untuk memastikan amalan dan kegunaan bahasa kebangsaan berlaku dengan meluas dan sempurna, pada sebarang masa dan tempat, dalam pelbagai bidang tadbiran, dagangan dan awam sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

II. Kesusasteraan

i. Pendidikan kesusasteraan kebangsaan mestilah dipertingkatkan menjadi satu mata pelajaran wajib sebagai usaha meneguhkan pendidikan bahasa Melayu dalam dasar MBMMBI dan meningkatkan kemahiran dan kefasihan dalam bahasa Melayu.

ii. Kementerian Pelajaran Malaysia dituntut menubuhkan mata pelajaran baru bernama ‘Rukunegara’ secara pengajaran ‘modular’ bagi menggantikan mata pelajar ‘tatanegara’, dan kursus baru ini mesti mengandungi mata pelajaran ‘sejarah’, ‘perlembagaan persekutuan’, ‘kesusasteraan’, ‘nilai-nilai dan etika nasional’ dan ‘kebudayaan pelbagai kaum’. Mata pelajaran ini wajib diikuti dalam semua jenis sekolah dari sekolah rendah sehingga ke tahap pengajian tinggi selama 15 tahun pembelajaran dan pengajian untuk memupuk patriotisme, kesatuan bangsa dan hubungan mesra antara pelbagai kelompok kaum bagi membina persefahaman antara kaum atau ‘intercultural understanding’.

III. Kebudayaan

i. Kebudayaan nasional berlandaskan Dasar Kebudayaan Nasional mesti ditafsir dalam bentuk kurikulum untuk menjadi mata pelajaran dalam semua tahap persekolahan di Malaysia untuk memupuk kesedaran kebangsaan, meneguhkan sistem negara dan melahirkan persefahaman antara warganegara Malaysia.

ii. Bentuk-bentuk seni dan budaya kaum-kaum di Malaysia dapat menjadi bahan pengajaran di dalam perlaksanaan mata pelajaran ‘kokurikulum’ dan pengajaran bahasa sebagai landasan estetika dan kesedaran kesenian yang lebih luas dalam kalangan para pelajar dalam semua tahap pendidikan.

iii. Pendidikan seni di sekolah wajib berlandaskan kebudayaan nasional dan penerimaan unsur-unsur dari luar berfungsi untuk memperkaya pencapaian kesenian itu.

Termaktub di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala LumpurPada 28 Jun 2012

Datuk Wira Profesor Dr Abdul Latif bin Abu BakarKetua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)Merangkap Pengarah Seminar

Disampaikan oleh Prof. Datuk Zainal Kling  kepada YB Dr. Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

RENUNGAN


Renungan

Esei - Kepentingan Hutan


Tajuk:
Negara kita merupakan sebuah negara yang kaya akan khazanah hutan semula jadi. Huraikan kepentingan-kepentingan hutan kepada kehidupan kita.

Negara kita, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan hutan semula jadi. Malangnya, akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan oleh aktiviti penerokaan hutan secara berleluasa di dada akhbar tempatan. Sebenarnya, negara kita memiliki beberapa jenis hutan semula jadi, iaitu hutan hujan tropika, hutan pantai, hutan paya dan hutan gunung. Perbuatan segelintir manusia pada zaman ini yang giat melakukan aktiviti pembalakan haram telah menyebabkan kepupusan hutan di negara kita. Persoalannya, tahukah anda akan kepentingan-kepentingan hutan kepada kehidupan manusia?

Hutan merupakan kawasan tadahan hujan dan diibaratkan span yang menyerap air ke bawah tanah. Hutan juga dapat mengelakkan tragedi bah dan tanah runtuh  yang meragut nyawa manusia. Hal ini disebabkan pokok-pokok di hutan berfungsi untuk mencengkam tanah-tanih dan memperlahan larian air permukaan yang akan menyebabkan tanah runtuh. Jikalau tiada akar yang mencengkam tanah-tanih, maka tanah-tanih tersebut akan mengalir ke dalam sungai semasa hujan dan dimendapkan di dasar sungai. Natijahnya, dasar sungai akan menjadi cetek dan lambat-laun akan berlakulah banjir jika hujan turun dengan lebatnya.

Selain itu, hutan juga membekalkan kayu-kayan seperti meranti, cengal, dan keruing yang sesuai untuk pembinaan rumah, industri pembuatan perabot dan sebagainya. Sumber-sumber tersebut juga menyumbang kepada pendapatan negara di samping memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata. Oleh itu, manusia haruslah mengurangkan kegiatan  pembalakan dan penebangan hutan  bagi menjamin sumber kayu-kayan kekal diwarisi oleh anak cucu generasi yang akan datang bak kata ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Hutan juga berperanan menyimbangkan ekosistem  kerana hutan merupakan habitat kepada flora dan fauna. Penebangan hutan menyebabkan banyak spesies flora dan fauna diancam kepupusan seperti seladang, orang utan, periuk kera, harimau malaya dan sebagainya. Sekiranya habitat flora dan fauna kepupusan, maka generasi muda tidak dapat mewarisinya zaman-berzaman.

Hutan paya di pinggir pantai berpotensi untuk menghalang hakisan ombak kerana terdapat banyak pokok bakau dan api-api. Jikalau pokok-pokok yang mampu menghalang hakisan ombak kemusnahan, tragedi Tsunami yang melanda selatan Thailand pada tahun 2004 barangkali akan berulang bak kata malang tidak berbau. Oleh itu, langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan perlu diambil oleh pihak yang berwajib demi kesinambungan spesies hutan paya di negara kita.

Seterusnya, hutan di gunung boleh dijadikan tanah empangan yang berkeupayaan untuk menyimpan bekalan air dan mengairi tanaman padi di samping menjana kuasa hidroelektrik. Contohnya, Empangan Muda berperanan mengairi tanaman padi di dataran Kedah-Perlis, Empangan Cenderoh dan Temenggor di Perak pula berpotensi untuk menjana kuasa hidroelektrik.

Konklusinya, kita sewajarnya menjaga hutan rimba kita supaya generasi pada hari ini dan yang akan datang tidak menyesal ibarat kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kerana hutan banyak memberikan kepentingan dan manfaat kepada kita. Marilah kita berganding bahu mempertahankan khazanah hutan belantara kita selagi hayat dikandung badan.

Hasil karya:
Vinnie Kuang We Nee, Tingkatan 3 Endurance, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

RENUNGAN

Renungan

Memorandum GAPENA


MEMORANDUM PENDIDIKAN NASIONAL GAPENA
(Disampaikan oleh YBhg. Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Bakar, Ketua 1 Gapena kepada YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia)

1. Mukadimah

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam mesyuarat Jawatankuasa Penuh pada 27 Jun 2012, dengan kehadiran 23 orang Ketua-Ketua Satu para kerabat GAPENA, telah membuat ketetapan-ketetapan berikut untuk disampaikan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia bagi pertimbangan Dialog Nasional Pendidikan Negara sebagai badan penilaian semula sistem pendidikan kebangsaan.

Bahawa persidangan:

i. memahami pendidikan ilmu sebagai penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa;
ii. menegaskan akan perlunya sistem pendidikan kebangsaan menjadi wahana dan instrumen pembinaan bangsa yang bersatu padu, demokratik dan dinamik;
iii. mendukung keperluan pendidikan ilmu sebagai asas untuk berdaya saing tinggi dalam dunia global sebagai kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat;
iv. mendukung cita-cita membina sistem pendidikan yang bertaraf dunia demi kelangsungan bangsa dan negara;

Maka disarankan ketetapan-ketetapan berikut menjadi pelbagai unsur untuk menambah baik sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada:

2. Memoranda

I. Falsafah Pendidikan:

i. Mencadangkan perubahan penegasan kepada falsafah pendidikan dengan mengutamakan pembinaan warganegara yang bersatu padu dan mempunyai sifat-sifat yang seimbang dalam pelbagai bidang keperibadian. Falsafah itu patut berbunyi:

ii. “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, bangsa dan negara dengan memperkembangkan potensi individu warganegara secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang unggul serta harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”

(Ulasan: Dalam bentuk yang sedia ada, falsafah itu terlampau membina ‘manusia’ yang ‘kurang’ berakar umbi kepada negaranya, manusia seimbang tetapi tidak unggul dengan pelbagai kecekapan serta keilmuan dan manusia yang mementingkan ‘diri’ dan ‘keluarga’ tetapi tidak bangsanya meskipun negara disasarkan juga. Kehadiran pelbagai lulusan dari luar negara amat jelas memaparkan peribadi yang kurang berakar umbi kepada bangsa dan negaranya)

iii. Fungsi sistem pendidikan kebangsaan mesti berlandaskan falsafah untuk membina perpaduan warganegara, meneguhkan kewujudan Negara Malaysia sebagai sebuah Negara-bangsa yang berdaulat, utuh dan berwibawa dan menyediakan warganya dengan semua bidang ilmu untuk maju, bersaing dan membina peradaban Malaysia.

II. Sistem Pendidikan

i. Jawatankuasa menegaskan kembali keperluan untuk melangsungkan sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada seperti termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 dengan semua perenggan yang menjadi mukadimahnya sebagai asas. Dituntut supaya dasar berikut ditegaskan semula:

“Suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, Kurikulum Kebangsaan dan peperiksaan yang sama; pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara.”

(Ulasan: dasar yang telah termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 adalah selaras dengan Peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Maka segala usaha untuk melaksanakan sistem yang tidak berasaskan semua perundangan ini adalah ‘ultra vires’, melanggar undang-undang, anti-nasional dan bagi pihak kerajaan hal itu merupakan pelanggaran ikrar jawatan mereka dan mereka wajib meletakkan jawatan. Sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh mendidik warganegara yang melanggar Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara).

ii. Gapena menolak sekerasnya cadangan oleh sesetengah pihak bagi mengadakan sistem pendidikan pelbagai aliran bahasa ataupun mengembalikan sistem pendidikan PPSMI yang dengan jelas melanggar semua peruntukan undang-undang di atas dan menyebabkan ribuan anak Malaysia menjadi ‘gagal’ dalam persekolahan mereka.

iii. Mencadangkan supaya sistem ‘jurusan’ (streaming) ke dalam sains dan sastera dihapuskan setelah sekolah dibertanggungjawabkan untuk melakukan penilaian para pelajar dalam Sekolah Menengah Rendah dan mendidik pelajar untuk memilih pilihan jurusan masing-masing melalui Guru Kaunseling dalam bidang ‘pembangunan kerjaya’ para pelajar.

III. Bahasa peng(h)antar

i. Bahasa peng(h)antar sistem pendidikan kebangsaan mestilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Undang-undang ini mesti terus dilaksanakan pada tahap tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam. Peruntukan-peruntukan mesti dibuat untuk institusi pengajian swasta (IPTS) mendidikan warganegara Malaysia dalam bahasa kebangsaannya dengan tahap kefasihan yang tinggi dan cekap.

ii. Sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh memasukkan asas bahasa selain bahasa kebangsaan untuk masuk ke institusi perguruan walaupun untuk pendidikan guru-guru dalam bahasa ibunda seperti yang diminta oleh sesetengah pihak supaya mengiktiraf kelulusan UCE – United Chinese Examination.

iii. Persidangan menolak cadangan membuka kuota ‘sekolah antarabangsa’ tanpa had kerana tindakan itu akan melahirkan warganegara Malaysia yang terasing serta tersisih (alienated) daripada nilai-nilai dan cita-cita kebangsaan dan tidak mempunyai kesedaran kebangsaan yang patriotik serta bertanggungjawab kepada perundangan negara. Semua anak Malaysia yang belajar di ‘sekolah antarabangsa’ mesti mengikuti mata pelajaran ‘pangajian Malaysia’ yang memperuntukkan kelulusan bahasa Melayu sehingga tahap SPM.

iv. Pengantar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti berlaku di semua tahap pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk menjadi bahasa jalinan perhubungan dan interaksi antara warganegara yang mantap dan berkesan dan menghapuskan masalah perhubungan dalam pelbagai tindakan rasmi dan tidak rasmi.

IV. Kurikulum

i. Pendidikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar di dalam semua tahap persekolahan dalam sistem kebangsaan sehingga tahap fasih dan cekap dan kurikulum ‘bahasa lisan’ mesti diadakan semula untuk memastikan pencapaian kecekapan yang patut dalam kalangan pelajar yang menjadi warganegara.

ii. Gapena mendesak KPM memperluas konsep TVET (Teknikal Vokasional Education and Training) supaya mengandungi latihan teknikal dan vokasional sahaja bahkan mempertingkatkan tahap pendidikan itu kepada taraf ‘kejuruan’ (kemahiran tahap tinggi) yang berasaskan ukuran antarabangsa, dalam semua bidang terutama industri kreatif, kesenian, hospitaliti, kulinari, industri sukan, ICT dan sebagainya.

iii. Kementerian Pelajaran Malaysia dituntut menubuhkan mata pelajaran baru bernama “Rukunegara’ secara pengajaran ‘modular’ bagi menggantikan mata pelajaran ‘tatanegara’, dan kursus baru ini mesti mengandungi mata pelajaran ‘sejarah’, ‘perlembagaan persekutuan’, ‘kesusasteraan’, ‘nilai-nilai nasional’ dan ‘kebudayaan pelbagai kaum’. Mata pelajaran ini mesti diikuti dari sekolah rendah sehingga tahap pengajian tinggi untuk memupuk patriotisme, kesatuan bangsa dan jalinan mesra serta membangun kesalingfahaman atau ‘intercultural understanding’ antara pelbagai kelompok kaum di Malaysia.

V. Sistem penilaian

i. Persidangan menyokong usaha kerajaan yang mengurangkan keperluan mengikuti sistem peperiksaan pada tahap menengah rendah dan memerlukan sekolah melaksanakan sendiri penilaian para pelajar, dengan syarat para Pengetua sekolah bertanggungjawab sepenuhnya bersama dengan para guru mereka untuk memastikan pelajar-pelajar memenuhi keperluan kurikulum, kandungan ilmu dalam mata pelajaran dan kemahiran mencapai tahap penguasaan ilmu yang tinggi dalam mata pelajaran yang tertentu.

ii. Sistem penilaian pada tahap menengah atas dan pra-universiti mestilah mengikuti aras dan tahap gred pencapaian yang wajar dan tetap dan tidak menggunakan kaedah ‘turun-naik’ dalam menentukan paras kecekapan pencapaian para pelajar.

VI. Pendidikan guru

i. Persidangan mencadangkan bahawa pendidikan guru mestilah secara professional dengan menggunakan segala teori dan kaedah pedagogi dan amalan menggunakan teknologi terkini dalam menyampaikan mata pelajaran mereka. Sistem ‘Teach for Malaysia” tidak dapat digunakan untuk memenuhi keperluan pendidikan secara formal. Program seperti ini hanya digunakan untuk melengkapi dan tambahan sahaja kepada sistem pendidikan guru.

ii. Persidangan menyokong tindakan KPM untuk meningkatkan tahap kelulusan para guru. Guru mestilah mencapai tahap tertinggi di dalam bidang ilmunya, melebihi dari sekadar SPM atau Diploma. Guru mesti mendapat peluang terbuka untuk meningkatkan keilmuan ke tahap yang tertinggi sehingga PhD bagi membolehkan mereka menyampaikan ilmu yang terbaik dan terkini dalam kalangan pelajar.

iii. Selaras dengan peningkatan profesionalisme dan ilmu itu maka wajar gred-gred penggajian ditingkatkan supaya dapat menarik lebih ramai lulusan yang terbaik untuk menceburkan diri dalam profesion keguruan.

iv. Guru mestilah dididik dan dilatih sebagai pengajar yang ‘penuh tanggungjawab’ terhadap profesion dan murid-muridnya. Sistem ‘keguruan’, yakni guru menjadi pengajar dan pembimbing melalui ‘tuisyen’ terbaik kepada semua murid di dalam bilik darjah tanpa mengira tahap kebolehan.

v. Murid-murid yang lemban, kurang cekap dan lambat mesti jangan dipisahkan dari murid yang lebih baik, atau dikhususkan di dalam satu bilik darjah yang terdiri dari kalangan mereka sahaja. Guru-guru mesti dapat bersama membimbing murid-murid dalam satu bilik darjah yang sama secara berkumpulan kecil supaya dapat meningkatkan pencapaian yang lemban kepada yang lebih cergas dan cekap.

VII. Kemudahan pendidikan

i. Semua sekolah mesti mendapat kemudahan yang sama tara baik di bandar mahpun di luar bandar. Adalah tidak patut sekolah-sekolah di luar bandar hanya mendapat ‘kemudahan asas’ sahaja walhal sekolah bandar mendapat kemudahan terkini dan tercanggih terutama di sekolah yang ‘terpilih’. Maka persidangan mendesak supaya semua sekolah dilayan sama rata dari segi bekala kemudahan dan juga bangunan. Oleh sebab banyak sekolah luar bandar masih lagi ‘daif’ maka tindakan segera mestilah dilakukan dalam jangka terdekat untuk meningkatkan taraf kemudahan, bangunan dan perbekalan lain setara dengan yang terbaik di bandar.

ii. Penegasan mesti diberikan kepada kemudahan ICT di luar bandar supaya para murid dan pelajar mendapat layanan sama rata dengan murid di bandar. Kekurangan kemudahan terutama kemudahan pembelajaran menyebabkan para pelajar sentiasa ‘terjebak’ di dalam lingkaran kejam (vicious circle) yang membawa kepada kejatuhan keputusan peperiksaan, pencapaian dan sekali gus mereka menjadi mangsa kepada dasar ‘meritokrasi’ yang terlampau mementingkan pencapaian peperiksaan tanpa ‘pemberatan’ terhadap konteks dan suasana pembelajaran dan pengajaran para pelajar di luar bandar dan di hulu itu.

iii. Menghapuskan perkiraan ‘meritokrasi’ bagi murid luar bandar yang terkurung dengan segala kekurangan dalam pembelajaran dan pengajaran mereka.

iv. Memperuntukkan sebilangan besar tempat di SBP untuk murid-murid luar bandar yang kurang berada, tidak mampu dan kekurangan kemudahan pembelajaran dan pengajaran.

v. Gapena mendesak supaya KPM segera melaksanakan sistem sekolah ‘satu sesi’ sebagai tindakan utama dalam peruntukan bajet 2013-2014 untuk membenarkan kesamaan bekalan kemudahan kepada semua sekolah di seluruh negara dan mengasingkan pendidikan agama kepada sesi petang sahaja.

VIII. Pengurusan pendidikan

i. Pengurusan pendidikan mesti terdiri dari golongan pendidik profesional yang faham akan prinsip urus tadbir, kaedah, masalah dan keperluan sistem pendidikan. Pentadbir umum tidak harus mentadbir sistem pendidikan secara profesional kerana akan gagal memahami keperluan pendidikan itu.

ii. Para pengajar dan guru mesti dibebaskan daripada urusan pentadbiran di sekolah. Pegawai pentadbiran khusus mesti diadakan untuk membebaskan para guru daripada tugas pengajaran dan penyelesaian masalah pengajaran serta pembelajaran bagi setiap murid atau pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran.

iii. Secara keseluruhan, sistem pendidikan mesti melibatkan dengan lebih erat anggota masyarakat, kesatuan guru, ibu bapa dan golongan profesional untuk membantu meningkatkan pencapaian dan prestasi sekolah. Dicadangkan supaya PIBG diganti dengan Majlis Penasihat Sekolah yang terdiri daripada pelbagai golongan dalam masyarakat setempat (komuniti).

iv. KPM didesak supaya menggunakan sumber dan pangkalan data peperiksaan pada tahap UPSR, PMR, SPM dan UPU untuk memastikan semua murid yang keluar selepas suatu peperiksaan nasional tadi dapat disalurkan semula kepada saluran pendidikan yang tertentu secara teratur, tersusun dan sistematis. Murid-murid yang tidak dapat masuk ke dalam sistem akademik mesti dapat disalurkan kepada saluran TVET dan Kemahiran (Skill) dengan segera sebaik selesai urusan pengambilan ke dalam pelbagai IPTA, IPGM, Kolej Komuniti dan sebagainya. Urusan ini akan membantu melahirkan tenaga mahir bagi keperluan industri dan pembangunan mega seperti ‘Iskandar’, ‘NCER’, ‘Pengerang’, koridor pembangunan, industri runcit (retail), automotif dan sebagainya.

IX. Penerbitan buku teks dan bacaan

i. Peruntukan kewangan mesti diadakan untuk menerbitkan buku bacaan yang banyak dalam semua bidang ilmu untuk membolehkan para pelajar dan masyarakat seluruh menimba ilmu dalam bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan mesti dijadikan bahasa ilmu melalui penerbitan dan penulisan buku dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilakukan dengan mengembling semua pakar dalam masyarakat, sekolah dan IPT untuk menulis manuskrip ilmiah yang boleh diterbitkan dengan murah dan banyak pada setiap tahun.

ii. KPM mesti mengembleng semua badan penerbitan dalam rangkaian kerjasama yang boleh mengeluarkan bahan bacaan dan buku ilmu dengan murah dan banyak sebagai sumber ilmu untuk semua warganegara. Peruntukan kewangan itu mestilah dianggap sebagai ‘tanam modal’ bagi membina manusia berilmu untuk menghadapi cabaran keperluan pasaran dann industri.

Mesyuarat Jawatankuasa Penuh GAPENA untuk memorandum ini telah dihadiri oleh pertubuhan-pertubuhan berikut seperti dalam lampiran.

Termaktub di Kuala Lumpur pada 14 Julai 2012.

Profesor Datuk Wira Abdul Latif bin Abu Bakar,
Ketua Satu GAPENA.

Friday, June 29, 2012

Karangan Pengalaman - Kemalangan Jalan Raya


Ketika anda dalam perjalanan ke sekolah , anda terlihat satu kemalangan jalan raya. Ceritakan pengalaman anda itu.

Pagi Jumaat yang lalu merupakan pagi yang tenang. Saya yang terbangun lewat akibat dibuai mimpi bergegas untuk bersiap sedia ke sekolah. Sepantas kilat saya menyiapkan diri sebelum menunggang basikal ke sekolah.

Walaupun saya dalam keadaan tergesa-gesa, pesanan ibu bahawa “Biar lambat, asalkan selamat” tetap saya ingati. Oleh itu, semasa saya tiba di suatu selekoh tajam, saya memperlahan kayuhan basikal. Tiba-tiba, sebuah kereta Proton yang dipandu laju muncul di hadapan saya. Namun begitu, saya sempat mengelak dan terjatuh dari basikal saya di bahu jalan raya.

Malang tidak berbau. Kereta Proton tadi terus melanggar sebuah kereta di belakang saya. Pemandu kereta Proton terpelanting melalui cermin hadapan keretanya yang pecah. Bunyi kemalangan itu telah mengejutkan ramai orang di sekitar kawasan tersebut. Orang ramai telah bertindak menelefon pihak polis dan ambulans.

Saya yang tercedera ringan pada masa itu tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain menjerit sambil meminta pertolongan. Seketika kemudian, pihak polis, bomba dan ambulans pun sampai. Pihak bomba segera menghulurkan bantuan dan perkhidmatan kemanusiaan. Seorang demi seorang mangsa dikeluarkan dari kedua-dua kereta tersebut. Tiba-tiba, kedengaran suatu letupan. Letupan itu menggegarkan kawasan sekitar. Semua orang terkejut melihat tragedi tersebut.

Beberapa barangan berharga mangsa tidak sempat diselamatkan. Mangsa  seperti “sudah jatuh ditimpa tangga”. Timbul rasa simpati pada mereka. Namun begitu, tiada mangsa yang tercedera serius akibat letupan itu. Kemudian, saya pula dibawa ke hospital yang berdekatan untuk menerima rawatan pesakit luar.

Saya dibenarkan keluar selepas pihak polis mengambil kenyataan saya. Mereka ingin mengetahui punca kejadian yang sebenar. Siasatan masih berlangsung. Ibu bapa saya terkejut apabila saya menelefon mereka untuk memberitahukan hal yang sebenar. Saya tetap bersyukur kerana terselamat daripada kecelakaan ini.

Hasil karya:
Liew Ban Chau, Tingkatan 3 Endurance, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.



Analisis Cerpen Kasut Kelopak Jantung


Analisis Cerpen Tingkatan 1:
Tajuk: Kasut Kelompak Jantung
Penulis: Ghazali Lateh

Tema:
Kesusahan hidup seorang pelajar miskin dalam menempuh alam persekolahan dan usaha gigih seorang guru dalam mendidik anak muridnya.

Persoalan:
(a) Ketabahan dalam menuntut ilmu.
(b) Ketegasan seorang guru yang mahu akan murid-muridnya berjaya.
(c) Kesusahan hidup masyarakat di pedalaman.
(d) Kemiskinan bukan penghalang seseorang itu untuk berjaya dalam pelajaran.
(e) Kita perlu menghargai jasa guru.

Plot:
Permulaan:
Cikgu Harun yang telah bersara menerima hadiah berupa kasut berjenama daripada bekas pelajarnya. Kenangan ketika mengajar di kawasan pedalaman kira-kira tiga puluh tahun yang lalu berputar semula.
Perkembangan:
Cikgu Harun kerap memarahi Ahmad yang tidak berkasut ke sekolah. Beliau mendenda Ahmad dengan menyuruh Ahmad memakai kasut daripada kelopak jantung pisang. Tindakannya itu telah menyebabkan Ahmad ponteng sekolah.
Klimaks:
Cikgu Harun pergi ke rumah Ahmad setelah beberapa hari Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun melihat sendiri keadaan hidup keluarga Ahmad yang tinggal di pondok buruk dalam serba kekurangan dan kedaifan.
Peleraian:
Cikgu Harun bersimpati akan nasib Ahmad. Beliau membeli sepasang kasut sekolah dan pakaian seragam sekolah yang baharu untuk Ahmad. Hadiah daripada Cikgu Harun itu mendorong Ahmad belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

Hasil rujukan:
Tan Qian Rou, Tingkatan 1 Meekness, SMK Methodist, Tg.Malim.

Cerpen - PERIBAHASA


Genggam Bara Api Biar Sampai Menjadi Arang”
Tulis sebuah karangan berdasarkan makna peribahasa di atas.

          Ali seorang budak yang bercita-cita tinggi. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Semangatnya berkobar-kobar kerana menganggap doktor itu pekerjaan yang mulia kerana bertanggungjawab mengubati pesakit yang menghidapi berbagai-bagai penyakit.

          Kampung Ali sering dilanda wabak penyakit. Ditambah pula dengan taraf kesihatan penduduk yang rendah, isu penyakit itu bertambah kronik dan menyebabkan penduduk kampung senantiasa hidup dalam keadaan runsing dan tidak tenteram.

          Apabila mengenangkan hidupnya dan penduduk sekampungnya yang penuh dengan keperitan, Ali menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Dia berhasrat untuk mengubah nasib penduduk kampung yang sering menjadi mangsa wabak penyakit. Cita-cita yang melangit itu harus dicapainya dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Genggam bara api biarlah jadi arang, fikirnya.

          Setiap hari, Ali akan meluangkan kira-kira 5 jam untuk mengulang kaji pelajaran. Tidak kira petang ataupun malam, Ali akan senantiasa membawa buku bersama-samanya. Masa yang selebihnya akan digunakan untuk aktiviti sukan dan riadah untuk menghilangkan tekanan.

          Sekiranya dia menghadapi soalan yang tidak difahami, dia tidak akan segan-segan untuk bertanyakan guru. Jika ada waktu terluang, Ali akan mengadakan perbincangan berkumpulan dengan rakan-rakannya. Di situ, mereka akan bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan, serta bertanyakan kemusykilan dalam pelajaran.

          Usaha gigihnya yang berterusan akhirnya membuahkan hasil. Dalam peperiksaan PMR, dia berjaya mendapat 8A dan telah ditawarkan untuk berpindah ke sekolah berasrama penuh. Selepas berjaya dalam peperiksaan SPM dengan keputusan yang cemerlang, Ali telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya ke England dalam bidang perubatan atas pembiayaan dan biasiswa kerajaan sepenuhnya.

          Biarpun Ali masih belum menamatkan pelajaran perubatannya di rantau orang namun ada sinar bahagia menyinari masa depannya. Sesungguhnya, kejayaan Ali banyak berpegang teguh pada peribahasa, “Genggam bara api biar sampai menjadi arang.”

Hasil karya:
Leong Yu Zhe, Tingkatan 3 Meekness, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Thursday, June 28, 2012

KPPM di MES Tg.Malim

Kudapan barisan pentadbir SMK Methodist, Tg. Malim dan penulis bersama-sama YBhg. Tan Sri Abd. Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di Kafe MES pada 26 Jun 2012.

Bab demi Bab Novel Tingkatan 1 - Hikmah


Analisis Novel Tingkatan Satu - HIKMAH
Penulis:  Mohamad Faris bin Ikmal
Tajuk: Bab demi Bab

BAB 1 - SAKIT HATI
Amri dikenakan hukuman rotan oleh Cikgu Salman akibat daripada aduan Sapura tentang salah lakunya. Selepas itu, Amri berdendam terhadap Sapura dan merancang untuk mengenakan Sapura dengan teruk.

BAB 2 - BERWASPADA
            Sapura diingatkan oleh Rozita agar berwaspada terhadap Amri. Sapura mengimbas kembali kejadian Amri membuli Saleh. Mula-mula sewaktu dia bertugas, dia mendengar Saleh meminta tolong. Dia ternampak akan Amri sedang memarahi Saleh. Menurut Amri, dia sedang mengajar budak itu agar menghormati murid yang lebih tua. Saleh mengiakan. Sapura mengadukan hal tersebut kepada Cikgu Salman. Apabila di depan Cikgu Salman, Saleh mengakui bahawa dialah yang bersalah. Saleh diberi amaran oleh guru, Amri pula dirotan di punggung. Amri tidak berasa sakit sebaliknya tersenyum sinis kepada Sapura.

BAB 3 - KESUSAHAN HIDUP
          Di rumah Amri, emak Amri mengadukan rasa segan kerana berhutang kepada Pak Dolah lebih-lebih lagi terlalu banyak hutang yang belum berbayar. Sikap ayah Amri yang tidak bertanggungjawab telah menyempitkan hidup mereka. Hati Amri memberontak di sekolah, puas apabila melihat orang lain merana kerana perbuatannya.

BAB 4 - KEKALUTAN
            Pada malam itu, ayah Amri pulang ke rumahnya. Sebaik sahaja ayah Amri masuk ke dalam rumah, dia terus meminta duit daripada ibu Amri. Ibu Amri menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai duit. Ayah Amri terus menyelongkar gerobak pakaian dan mengambil duit yang ada di dalamnya. Ayah Amri juga merentap gelang emas tinggalan arwah nenek. Amri menghalang ayahnya keluar, Amri juga meminta ayahnya memulangkan gelang ibunya. Sebaliknya, Amri telah ditampar oleh ayahnya. Ibu Amri mumujuk Amri agar bersabar dengan perbuatan ayahnya.

BAB 5 - RINTIHAN HATI
            Amri pergi ke sekolah dengan kesan lebam pada pipinya. Amri beralasan bahawa dia tergelincir dan terhantuk. Amri tidak mahu bercerita tentang penderitaan jiwanya kepada sesiapa pun. Pada waktu rehat, Amri mengasingkan diri dan merintih bersendirian. Amri ingin meredakan perasaannya dengan membuli murid-murid lain. Dia teringat akan Sapura. Amri merancang untuk mengenakan Sapura.

BAB 6 - MENGENAKAN SAPURA
            Amri menunggu Sapura di tempat letak basikal. Sapura hairan melihat gelagat Amri. Amri berpura-pura hendak meminta maaf kepada Sapura kerana bersikap sombong pada waktu rehat. Amri menunggang basikal beriringan dengan Sapura. Dia mengatakan bahawa dia telah berubah sikap dan tidak seperti dulu lagi. Ketika melalui kawasan sawah, Amri membrekkan basikalnya secara tiba-tiba. Sapura terjatuh ke dalam sawah kerana hendak mengelak daripada melangar basikal Amri. Amri ketawa puas hati kerana dapat mengenakan Sapura.

BAB 7 - BERSIMPATI
            Amri terkejut apabila mendapati rumahnya berselerak dan dahi ibunya berdarah. Amri terlalu marah akan perbuatan ayahnya terhadap ibunya. Sapura bersimpati terhadap Amri apabila mengetahui perkara yang sebenarnya. Rupa-rupanya, Amri tidak senakal seperti yang difikirkannya. Sapura membatalkan niatnya untuk memberitahu ibu Amri tentang sikap Amri terhadap dirinya.

BAB 8 - MENDAPATKAN UBAT
            Amri meminta izin daripada ibunya untuk membeli ubat di pekan. Wang yang ada padanya ialah wang simpanannya dan wang hasil tindakannya memeras ugut murid-murid lain. Amri tiada pilihan. Dia terpaksa menggunakan duit tersebut kerana bimbang akan kesihatan ibunya. Sepanjang perjalanan ke pekan, fikiran Amri asyik melayang mengingatkan semua peristiwa yang pernah dilakukannya.

BAB 9 - CEDERA DISAMUN
            Amri membeli ubat demam dan ubat luka untuk ibunya di sebuah farmasi. Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Amri telah ditahan oleh seorang pemuda. Pemuda itu memberitahu bahawa ada seseorang pengsan di belakang lorong. Alasan itu hanyalah helah semata-mata untuk membolehkan pemuda itu menyamun Amri. Mereka memukul Amri apabila Amri tidak memberikan wang yang diminta. Amri tidak berdaya untuk berbuat apa-apa lagi. Amri cedera teruk apabila dipukul oleh dua orang penyamun itu.

BAB 10 - KEINSAFAN
          Sapura bertemu dengan Amri yang tidak bermaya di lorong itu. Sapura dan ayahnya membawa Amri ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bertemu dengan ibunya. Amri dan ibunya mengucapkan terima kasih kepada Sapura sekeluarga kerana membantu mereka. Amri menyesal kerana bersikap buruk kepada Sapura. Amri sudah insaf dan berjanji tidak akan membuli murid-murid yang lemah lagi sebaliknya menjadi pembela kepada murid-murid yang pernah dibulinya dulu.  

Hasil rujukan:
Leong Ming Feng, Tingkatan 1 Meekness, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

BM

Bahasa Melayu Rendah

Penanda Wacana BM


Penanda Wacana BM
Penggunaan penanda wacana amat penting semasa anda menyambung ayat untuk melanjutkan idea. Selain itu, penggunaan penanda wacana juga akan melahirkan perenggan yang koheren. Koheren bermaksud ada kesinambungan antara satu ayat dengan ayat yang lain.

Kata Penghubung
Tetapi, lalu, jika, serta, agar, supaya, sungguhpun, kerana, walaupun

Penambahan
Dan, sebenarnya, juga, sekali lagi, bertitik tolak, hal ini demikian, kemudian, lebih-lebih lagi

Perbandingan/Perbezaan
Tetapi, berbeza dengan, jika dibandingkan dengan, sungguhpun begitu, walaupun, walau bagaimanapun, selain itu, sebaliknya, sehubungan dengan itu, namun demikian

Turutan
Keduanya, seterusnya, selepas itu, lebih penting lagi, akhirnya, kemudiannya

Contoh
Contohnya, misalnya, seperti

Masa
Akhirnya, selepas itu, pada ketika itu, dewasa ini, sementara itu, pada mulanya, sesekali, sebelum itu, semenjak itu

Kesimpulan/Rumusan
Oleh itu, akibatnya, ini bermaksud, meskipun demikian, oleh yang demikian, ringkasnya, dapat disimpulkan, kesudahannya, jelaslah, pendek kata, sebagai rumusan, demikianlah, oleh sebab itu

(Sumber: Bahasa Melayu Tingkatan 3, KPM/DBP – Halaman 237)

Tuesday, June 26, 2012

Lawatan KPPM


Lawatan singkat YBhg. Tan Sri Abd. Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ke MES Tg. Malim pada 26 Jun 2012.

Monday, June 25, 2012

Cerpen - Malang Tidak Berbau


CERPEN:
MALANG TIDAK BERBAU

“Bangun! Terima kasih cikgu!” Kedengaran suara ketua tingkatan yang lantang memberikan ucapan terima kasih kepada guru Geografi kami setelah mendengar loceng berbunyi menandakan waktu untuk pulang ke rumah. Aku dan rakan-rakan yang lain cepat-cepat berkemas untuk segera pulang ke rumah. Tidak sabar rasanya untuk berehat dan menjamah makanan yang disediakan oleh ibu di rumah. Aku segera memasukkan buku ke dalam beg lalu bergegas keluar kelas.

Sudah menjadi rutin harianku, berjalan kaki pulang ke rumah kerana jarak di antara rumahku dengan sekolah berhampiran. Hal ini dapat meringankan beban ibu bapaku untuk membayar tambang bas. Aku sudah biasa dengan keadaan begini. Ketika sedang asyik membaca buku rujukan Sains, tiba-tiba aku terdenagr akan satu hentaman yang kuat. Aku terkejut lalu bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui hal yang berlaku.

Setibanya di suatu simpang, aku ternampak akan sebuah kereta dan sebuah basikal yang ditunggang oleh seorang murid remuk berlanggaran antara satu sama lain. Aku lihat buku-buku bertaburan di atas jalan dengan tompokan darah. Sungguh ngeri melihat kejadian itu.

Tanpa membuang masa, aku segera bergegas ke pondok telefon awam yang berhampiran. Aku dengan pantas mendail nombor perkhidmatan ambulans untuk menyelamatkan mangsa. Aku memaklumkan bahawa terdapat suatu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah basikal di hadapan UPSI.

Orang ramai mula berkerumun dan mengelilingi mangsa. Ada yang cuba untuk menyelamatkan pelajar yang terpelanting jauh di tepi jalan. Ada juga yang sekadar melihat dan berbisik-bisik antara satu sama lain.  Kelihatan mereka seolah-oleh tidak prihatin dan bertanggungjawab. Mereka hanya tahu menuding jari sesama sendiri. Perbuatan mereka tidak ubah seperti ‘’enau alam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’’.

Selepas beberapa minit, sebuah van ambulans dan sebuah kereta polis sampai ke tempat kejadian. Pihak ambulans memulakan tugas mereka untuk menyelamatkan mangsa kemalangan yang semakin parah. Pihak polis berjumpa denganku untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang kemalangan tersebut kerana aku adalah saksi utama kemalangan tersebut. Aku menceritakan kejadian ngeri tersebut dari mula hingga akhir. Saksi-saksi yang lain juga turut disoal siasat.

Mangsa kemalangan, seorang pemandu lelaki dan seorang pelajar telah dikejarkan ke hospital yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Mereka berdua ditempatkan di satu wad di hospital berkenaan.

Keesokan harinya, aku mendapat khabar bahawa mereka berdua telah sedar. Aku mengajak keluargaku untuk menziarahi mereka. Kami menyediakan sedikit buah tangan untuk dihadiahkan kepada mereka. Mereka berdua mengucapkan jutaan penghargaan kepadaku kerana telah bertindak pantas menyelamatkan nyawa mereka. Pihak polis mengucapkan tahniah dan syabas atas tindakan pantasku yang telah berjaya menyelamatkan mangsa. Aku berbangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab kepada mangsa kemalangan. Yang jelas, aku perlu berhati-hati ketika di jalan raya kerana malang tidak berbau.

Ditulis oleh,
Noor Azwar bin Mohd Nazari,
Tingkatan 3 Endurance,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Maim,
Perak Darul Ridzuan.

TUGAS

Tugas seorang Pengurus Majlis bersempena dengan Majlis Makan Malam Amal Alumni MES 2012 di Kompleks Sukan Proton Tg. Malim pada 16 Jun 2012.

Saturday, June 23, 2012

KEHIDUPAN

RENUNGAN MALAM AHAD

BAHASA

Bahasa Melayu Rendah - bahasa pengucapan mencerminkan darjat atau taraf kebahasaan penuturnya.

Friday, June 22, 2012

HUJAN

Malam ini, 22 Jun 2012 - hujan turun bagaikan mutiara di kampung halamanku, Tanjong Malim. Terima kasih, Tuhan.

Pesta Kuih Cang

Pesta Kuih Cang, yakni sejenis kuih berupa nasi yang dibungkus dengan daun buluh kembali lagi. Esok - 23 Jun 2012. Selamat menyambut Pesta Kuih Cang kepada setiap warga Tionghoa di Malaysia khasnya dan di seluruh dunia amnya. Salam.

Thursday, June 21, 2012

QUOTES

RENUNGAN

Majalah "For Old Time Sake 3"

Majalah "For Old Time Sake 3" telah dilancarkan untuk jualan mulai 16 Jun 2012 bersempena dengan Majlis Makan Malam Amal Alumni MES 2012 di Kompleks Sukan Proton Tg. Malim. Harga senaskhah ialah RM 20.00. Yang berminat, sila berhubung dengan Setiausaha, MESA Tg. Malim atau hubungi 0123680131, 0122363202, 0176625716 atau layari laman sesawang - www.mesatgmalim.com. Terima kasih. Salam Goodwill.

Wednesday, June 20, 2012

Sajak - USIA


Tangis dinihari
meraung kepagian
Pagi usia pun
merangkak bangun
berdiri jatuh
sebelum sujud
di langit petang

Bagai tetamu
senja datang
bertandang
menziarahi rumah malam
bertemankan cinta
bertemankan air mata

Usia
seperti musafir perjalanan
disirami suka
dibajai duka
mentari bulan
di cakerawala kehidupan.

Chai Loon Guan,
Kompleks Sukan Proton Tg. Malim,
16 Jun 2012.

Saturday, June 16, 2012

MES (ALUMNI) DINNER 2012













Salam Goodwill.
Bagi pihak sekolah dan Alumni MES, saya sebagai pengurus majlis, ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama, galakan dan sumbangan yang telah diberikan dalam menjayakan Majlis Makan Malam Amal Alumni MES 2012 pada 16 Jun 2012 di Kompleks Sukan Proton Tanjong Malim. Terima kasih daun keladi YB Dato' Seri Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Tanjong Malim atas sumbangan sebanyak RM 50 000.00.

Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan.

MES (ALUMNI) DINNER 2012

YBhg. Datuk DJ Dave dan rakan-rakan seangkatan 1960-an sedang menghiburkan para hadirin (1000 tetamu) di Kompleks Sukan Proton Tg. Malim pada 16 Jun 2012. Terima kasih daun keladi. Salam.

MES (ALUMNI) DINNER 2012

Makan Malam Amal Alumni MES 2012 di Kompleks Sukan Proton Tg. Malim pada 16 Jun 2012. Penulis dapat bergambar kenangan dengan sahabat lama (Alumni MES 1967 - 1977), YBhg. Dr. Mohd Sharifudin Yusop, Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

MES (ALUMNI) DINNER 2012

Makan Malam Amal Alumni MES 2012. Penulis sebagai pengurus majlis, sempat bergambar kenangan dengan YBhg. Datuk DJ Dave (Alumni MES) di Kompleks Sukan Proton Tg. Malim pada 16 Jun 2012. Terima kasih daun keladi. Salam.

Friday, June 15, 2012

Makan Malam Amal Alumni MES 2012

Makan Malam Amal Alumni MES
Tarikh: 16 JUN 2012 (Sabtu)
Tempat: Kompleks Sukan Proton, Tg. Malim.
Masa: 7.30 malam.

Thursday, June 14, 2012

Selamat Pulang Anak Watan MES


Latar Tempat: MES Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.
Latar Masa: 16 JUN 2012, Sabtu - Pagi
Latar Masyarakat: ALUMNI MES

Wednesday, June 13, 2012

Sajak - TAHU


Yang tahu, buat-buat tak tahu.
Yang tak tahu, buat-buat tahu.
Yang buat-buat tahu, sememangnya tak tahu.
Yang sememangnya tak tahu, buat-buat tahu.

Yang penting
Elok beritahu, yang tak tahu
Elok memberitahu atau memberitahukan, yang tahu

Chai Loon Guan,
Dewan Kuliah, Aras 4,
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

Tuesday, June 12, 2012

Himpunan Alumni Hadiah Sastera Kumpulan Utusan

Himpunan Alumni Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) di Dewan Kuliah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur esok bersamaan 13 Jun 2012 (Rabu, 8.30 pagi - 5.00 petang). Selamat berwacana - bahasa dan susastera BM.

Saturday, June 9, 2012

JOM KE SEKOLAH!

JOM KE SEKOLAH!
Tarikh: 11 Jun 2012
Hari: Isnin
Masa: 7.15 pagi

Thursday, June 7, 2012

Sajak - GADIS ITU


GADIS ITU

Gadis itu
terlalu ghairah
mempamerkan goda
memperdagangkan berahi
di rumah lelaki


Gadis itukah
primadona terhormat
buaya darat
di kondominium mewah

atau 
kupu-kupu
yang berlegar-legar
dari kamar ke kamar
dari lorong ke lorong
siangmu
dirangkul buas
malammu
diratah puas
tewas dalam dakapan
lelaki gelandangan
di ranjang kehidupan!

Chai Loon Guan,
Cameron Highlands.



Wednesday, June 6, 2012

Sajak - KIAN


KIAN

Kian hilang
Akal kita
Bila nafsu
Merajai nawaitu
Tanpa takwa

Kian culas
Iman kita
Bila angan-angan
Menghantui kenyataan
Tanpa usaha
Tanpa agama

Kian kecundang
Hidup kita
Bila keangkuhan
Membelenggui kemanusiaan
Tanpa empati
Tanpa simpati

Kian jumud
Kehidupan
Tanpa rasa
Tanpa mesra
Tanpa bicara

Chai Loon Guan,
Kuala Krai, Kelantan Darul Naim.


Makan Malam Amal Alumni MES Tg. Malim


SIARAN AKHBAR


Persatuan Alumni SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan, ringkasnya MESA dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG, SMK Methodist, Tg. Malim akan menganjurkan Makan Malam Amal Alumni MES pada 16 Jun 2012, Sabtu, 7.30 malam bertempat di Kompleks Sukan Proton Tg. Malim.

Antara objektif utama penganjuran makan malam tersebut adalah untuk meningkatkan Tabung Pembangunan Sekolah, khususnya untuk merealisasikan pembinaan sebuah dewan terbuka yang berbumbung di Dataran Perhimpunan Goodwill. Dewan tersebut nanti akan berfungsi sebagai dewan serbaguna, dewan peperiksaan dan dataran perhimpunan yang selesa untuk murid-murid dan guru.

Makan Malam Amal Alumni MES akan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Kawasan Tg. Malim. Yang menggembirakan, sebanyak 900 tiket untuk 90 meja makan (setakat ini) telah berjaya dijual kepada bekas murid (1950-an hingga 2000-an), ahli profesional, ahli korporat tempatan, badan-badan bukan kerajaan, guru-guru, ibu bapa, masyarakat tempatan dan orang perseorangan dari seluruh pelosok tanah air.

YBhg. Datuk DJ Dave, penyanyi terkenal tanah air, Sifu Kenny Yau (pertunjukan Taici), Chai Loon Guan, penyair dan deklamator puisi bukan Melayu dan Adios Adiago, karikaturis (kesemuanya bekas murid MES), pasukan koir, tarian Malaysia dan caklempong MES akan membuat persembahan dan menambahserikan majlis pada malam tersebut. Pihak Alumni MES turut memberikan penghargaan dan meraikan bekas guru, guru besar, dan pengetua yang pernah mencurahkan jasa bakti di Methodist English School atau MES Tg. Malim. Terima kasih, Cikgu!

Kiriman:
Chai Loon Guan,
AJK Publisiti, MESA Tg.Malim,
Perak Darul Ridzuan.
6 JUN 2012.



Saturday, June 2, 2012

Sajak - ILMU



Ilmu
Nur
Yang mampu membezakan
Hak – batil
Adil – zalim
Mahmudah – mazmumah
Kehidupan

Tanpa ilmu
Butalah cita-cita
Biarpun celik mata
Jahillah minda
Biarpun cerdik harta
Uzurlah atma
Biarpun sihat aura
Pincanglah nuansa
Biarpun seimbang aksara

Ilmu
Nafas hayat
Dalam simpang-siur
Kehidupan

Chai Loon Guan,
Garden Seafood Tg. Malim.


Glosari:
Nur – cahaya, terang
Hak – benar, kebenaran
Batil – palsu
Mahmudah – terpuji
Mazmumah – tercela, terkeji, terhina
Jahil – tidak mengetahui, bodoh
Atma – jiwa
Aura – suasana/perasaan halus yang menyelubungi diri atau sesuatu
Nuansa – kelainan bunyi, makna, perasaan
Aksara – huruf, angka
Pincang - tempang, kekurangan, tidak seimbang
Hayat – hidup


(Sumber: Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2007)


MES SCHOOL SONG


MES SCHOOL SONG

Forward ME scholars
Onward to liberty
Cross Bernam with torch
Of knowledge and loyalty

Hurrah for MES
Hurrah for MES
Hurrah for MES
Our alma mater true

Remember your alma mater
Where're you may be
Help her better cater
Her students thro' eternity

Always round her rally
With love and loyalty
Live up her ideals really
Like sons of royalty

Chorus
Hurrah for MES!
Hurrah for MES!
Hurrah for MES!
Our Alma Mater true.

(Sumber: Goodwill MES Magazine 1958 - Volume III, Number I)

Friday, June 1, 2012

Karangan BM Tingkatan 2


Malang Tidak Berbau

          Meng Huat seorang budak yang nakal. Dia merupakan kawan baik jiran saya. Sebelum saya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, kami sentiasa bermain bola sepak di padang yang berhampiran dengan rumah kami. Dia bukan sahaja seorang budak yang nakal, bahkan juga suka mendera haiwan yang berada di tepi jalan. Selain jiran saya, Meng Huat tidak mempunyai kawan yang lain.

          Pada 20 November 2009 yang lalu, suatu kemalangan telah berlaku. Tragedi malang itu tidak terlupa oleh saya. Sebenarnya, hari itu juga merupakan hari terakhir saya bermain bola sepak dengan Meng Huat. Pada hari itu, saya dan kawan-kawan saya seperti biasa bermain bola sepak di padang. Tidak lama kemudian, Meng Huat pun tiba di padang. Dia ingin bermain bersama-sama.

          Selepas penat bermain, kami pun berehat di bawah sebatang pokok yang besar dan rendang. Tiba-tiba, hujan turun dengan lebatnya. Kami pun mengambil langkah seribu untuk balik ke rumah masing-masing. Malangnya, Meng Huat masih leka bermain walaupun hujan semakin lebat. Nasihat kami tidak diendahkan.

          Hujan semakin lebat. Sesekali angin bertiup kencang. Dedaun di sekitar berterbangan. Malang tidak berbau. Suatu kemalangan telah menimpa Meng Huat. Saya terdengar akan bunyi dentuman yang kuat. Panahan petir agaknya dan sesekali dituruti kilat. Meng Huat telah tercampak ke tepi padang.

          Rupa-rupanya, Meng Huat dipanah petir. Sekujur tubuh kelihatan kaku di tepi padang. Hujan masih turun. Kilat sabung-menyabung. Orang ramai cuba menghulurkan bantuan. Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat.

          Ketibaan ambulans telah mengesahkan bahawa Meng Huat sudah tidak bernyawa lagi. Meng Huat telah meninggal dunia dalam tragedi yang ngeri itu. Keluarga Meng Huat telah dihubungi oleh pihak polis. Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata sahaja.

          Yang jelas, peristiwa malang tersebut tidak dapat saya lupakan selagi hayat dikandung badan.


Hasil kerja:
Yap Kai Lun, Tingkatan 2 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sajak - NELAYAN


NELAYAN


akulah, nelayan
di senja usia
berkolek hidup
di kali desa
berpukat cekal
di sungai tabah

dalam hiruk-pikuk
kemanusiaan
dan gundah-gulana
kehidupan
insaf dan pasrah
masih sempatkah aku
berkolek pulang
ke rumah-Mu, Tuhan?

Chai Loon Guan,
Tg.Malim.