Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, March 30, 2012

Makan Malam Amal Alumni MES 2012
















Untuk makluman ahli-ahli MES Alumni, tokoh-tokoh korporat, ahli-ahli akademik, ahli-ahli profesional, orang-perseorangan (jauh dan dekat) - jualan tiket individu (RM 100.00 untuk 1 tempat duduk) dan jualan tiket semeja (RM 1000.00 untuk 10 orang) sudah bermula dan boleh diperoleh mulai 26 Februari 2012. Bayaran melalui cek disyorkan atas nama: Lembaga Pengelola SMK Methodist. Tolong sertakan catatan nama penuh, no. kad pengenalan, no.telefon peribadi dan bilangan tiket yang ditempah untuk tujuan rekod. Bayaran secara tunai untuk pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan menghubungi: Encik Lee Weng Woh, Pengetua, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. No. telefon sekolah: 05 - 4596244, Encik Chai Loon Guan (012-3549306), YBhg.Prof.Dr. Yang Farina Abdul Aziz, Presiden MESA (yfarina@gmail) atau Pn.Christine Lee, Setiausaha MESA, (chrislee@ikkr.com.my). Harap maklum, terima kasih. Salam.

Jerayawara Sastera LMS 2012





















Bengkel Penulisan Sajak bersempena dengan Jerayawara Sastera 2012 melibatkan murid-murid SR dan SM serta Guru Perpustakaan Media, Daerah Larut, Matang dan Selama telah berjaya diadakan pada 29 Mac 2012 di Dewan Besar, SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Majlis Penutupan Rasmi telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Hj. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, March 29, 2012

Jerayawara Sastera

















Penulis bergambar kenangan dengan YBhg. Prof. Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP selepas selesainya Jerayawara Sastera di SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping pada 29 Mac 2012.

Wednesday, March 28, 2012

Tugasan BM







Peringatan:
Murid-murid Tingkatan 3 Endurance, 3 Thankfulness dan 3 Humility - sila lengkapkan tugasan kosa kata, frasa, dan sintaksis dalam edaran fotostat yang telah diberikan. Murid-murid Tingkatan 5 Sains 2 pula, sila baca nota ringkas drama dan menjawab tiga soalan pemahaman dalam buku kerja Booster Sasbadi sebelum menelaah edaran nota makalah Pelita Bahasa Mac 2012 tentang Pola Ayat Majmuk tulisan Suhaimi Mohd Salleh, Munsyi Dewan. Salam.

Jerayawara Sastera di Taiping






Taiping - Bandar Warisan. Kembali aku, musafir ilmu mewarnai landskap hijaumu dengan kasih ilmu dan cinta puisi selepas selesai Mesyuarat Pemurnian Buku "Jom Ke Sekolah" di Bilik Seri Asuhan/Bilik Seri Warisan, Jabatan Pelajaran Negeri Perak Darul Ridzuan pada 28 Mac 2012. Esok, 29 Mac 2012 - Jerayawara Sastera di SM Sains Tun Azlan Shah, Taiping. Salam.

Tuesday, March 27, 2012

Forum Remaja BM Batang Padang 2012


















Barisan hakim Forum Remaja Sekolah-sekolah Menengah Daerah Batang Padang 2012 di Dewan Besar SMK Sungai Kruit, 35600 Sungkai, Perak Darul Ridzuan pada 27 Mac 2012. Tahniah diucapkan kepada pasukan Forum Remaja SM Sains Tapah, SM Agama Slim River, SMK Chenderiang dan SMK Trolak Selatan atas kejayaan memasuki peringkat akhir pada 28 Mac 2012. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Monday, March 26, 2012

Sajak - DADAH













DADAH

Kerana duka
Kaurindui marijuana
Kerana lara
Kaucumbui ganja
Kerana kecewa
Terjerumus kau ke lembah dadah
Terjerumus kau ke buana hina
Lupa diri lupa keluarga
Lupa bangsa lupa agama

Kerana kau, dadah
Lalai anak bangsaku
Kerana kau, dadah
Cuai anak bangsaku
Dibelenggu leka lena
Dadah durjana

Dadah
Kau pembunuh
Dadah
Kau pemusnah

Ayuh!
Ayuh, anak bangsaku!
Banteras dadah, kita
Lepas bebas, kita
Daripada sakaratulmaut dadah
Dadah, musuh nusa bangsa!

Chai Loon Guan,
MES,Tg.Malim.
25 Mac 2012

Saturday, March 24, 2012

Mesyuarat Agung PIBG MES Ke-29




















Gambar kenangan sekitar Mesyuarat Agung PIBG Ke-29, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim di Dewan Besar MES pada 24 Mac 2012.

Thursday, March 22, 2012

Binaan Plot dalam Drama T2 - Hemodialisis

Binaan Plot dalam Drama – Hemodialisis
Penulis: Jais Sahok

Plot
I
Permulaan
Abah mengadu sakit perut. Mama hendak memanggil Afif untuk balik memeriksa Abah tetapi Abah menghalangnya. Abah tidak mahu mengganggu tugas Afif di kliniknya.

II
Perkembangan
Abah pengsan. Pada mulanya Mama menyangka bahawa Abah bergurau dengannya. Setelah mendapati keadaan agak serius, Mama menelefon Afif di kliniknya. Afif pulang ke rumah untuk membawa Abah ke klinik untuk membuat pemeriksaan yang lebih rapi namun Abah berkeras tidak mahu pergi.

III
Klimaks
Berlaku pertengkaran yang hebat antara kedua-duanya. Keadaan menjadi sangat tegang. Kedua-duanya saling bertukar hujah yang panas.

IV
Peleraian
Fiqri dan Doktor Leong membantu Abah duduk di kerusi roda. Abah berjaya dibawa ke klinik untuk dibuat pemeriksaan dan rawatan yang rapi. Akhirnya, Abah dibawa pulang ke rumah bersama dengan mesin hemodialisis.

Tema:
Etika dalam kerjaya seorang doktor dengan mengutamakan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Persoalan:
i. Seorang doktor harus menjalankan tugas secara professional.
ii. Etika doktor yang paling utama ialah menyelamatkan nyawa tanpa sebarang diskriminasi.
iii. Kemahiran keibubapaan adalah penting dalam mendidik anak-anak.


(Sumber: Buku Aktiviti KBSM Booster – Bahasa Malaysia Tingkatan 2, Sasbadi Sdn. Bhd. Petaling Jaya.)

Majlis Anugerah Sastera Negara 2012
























Penulis berpeluang untuk menghadiri Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-11 di Grand Mahkota Ballroom, Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 20 Mac 2012. DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-marhum Sultan Badlishah dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah telah berkenan ke majlis pengurniaan ini. Tahniah kepada penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, YBhg. Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (KEMALA).

Monday, March 19, 2012

Anugerah Sastera Negara

















Tokoh-tokoh sastera yang menerima Anugerah Sastera Negara.


Anugerah Sastera Negara: Pengiktirafan Tertinggi Sasterawan

ANUGERAH Sastera Negara (ASN) ialah pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup yang menulis dalam bahasa Melayu. Tokoh ini menurut penilaian panel telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi. Anugerah yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini membawa gelaran Sasterawan Negara kepada penerimanya.

Dalam ucapan YAB Tun Dato’ Hussein Onn (Allahyarham) pada Majlis Penyampaian Hadiah Karya Sastera 1976 di Rumah Malaysia, Kuala Lumpur pada 11 November 1977, beliau telah menyatakan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan taraf dan penghargaan kerajaan kepada sasterawan tanah air dengan meluluskan gagasan Anugerah Sastera Negara. Pada tahun 1979, YAB Tun Dato’ Hussein Onn telah membentuk sebuah Panel Anugerah Sastera Negara yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Musa Hitam, Menteri Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditugaskan menjadi Urus Setia Anugerah Sastera Negara.

Anugerah yang diberi adalah:

Warkah Penghormatan Negara,
Wang tunai sebanyak RM60,000.00. Penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000.00 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan meluasnya ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan, dan agensi kerajaan,Kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan,
Kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera,
Kemudahan untuk menerbitkan karya, dan
Penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing

Sejak terlaksananya program pengiktirafan ini dari tahun 1981 sehingga tahun 2009, seramai sepuluh orang tokoh sasterawan telah menerima Anugerah Sastera Negara. Mereka ialah Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A. Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), S. Othman Kelantan (2003) dan Anwar Ridhwan (2009).

Anugerah Sastera ini merangkumi tiga (3) proses utama iaitu pencalonan, penilaian dan Majlis Pengurniaan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pencalonan dibuka kepada semua institusi atau badan yang sah dan berdaftar, juga orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera mengemukakan calon yang layak dipertimbangkan untuk menerima anugerah tersebut. Pencalonan hendaklah dikemukakan dengan menggunakan borang pencalonan dengan syarat pencalon hendaklah mengemukakan satu nama sahaja dan calon yang dicalonkan hendaklah warganegara Malaysia dan menulis karya-karyanya dalam bahasa Melayu. Pencalon juga hendaklah mengemukakan hujah secara bertulis berdasarkan penilaiannya tentang karya sastera yang dihasilkan oleh calon tersebut, penilaiannya tentang sumbangan fikiran calon yang berkaitan dengan dunia sastera dan penilaiannya tentang kegiatan calon yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.

Panel Penilai Anugerah Sastera Negara ini dilantik oleh YAB Perdana Menteri terdiri daripada kalangan cerdik pandai bidang kesusasteraan, kebudayaan, kemasyarakatan, keagamaan dan lain-lain yang mengikuti serta memahami perkembangan dan kemajuan sastera.

(Sumber: DBP)

Sunday, March 18, 2012

Berita Bahasa Melayu





















Upaya Membudaya Atau Memasyarakatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Belum Sepenuhnya Tercapai - DBP
Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my) – Sabtu, 17 Mac 2012.

KUALA LUMPUR:
Ibu segala masalah yang dihadapi oleh negara ini dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkait rapat dengan proses pembinaan negara itu sendiri ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) Profesor Dr Awang Sariyan ketika berkata demikian turut menegaskan, ketidakfahaman tentang peranan bahasa sebagai asas pembangunan negara adalah disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan.

Ini kerana katanya, falsafah pembangunan umumnya lebih dikaitkan oleh sejumlah orang dengan pembangunan fizikal sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan.

"Malang sekali, sejumlah yang bersikap demikian ialah orang Melayu yang menjadi warganegara teras, baik daripada segi jumlah mahupun sejarahnya sebagai bangsa asal penduduk negara ini.

"Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.

"Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya (sendiri)," kata Dr Awang dalam kertas kerja bertajuk "Kemajuan Bahasa dan Persuratan Melayu Di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa: Cabaran dan Pelan Tindakan".

Kertas kerjanya itu dibentangkan dalam Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu DBP dengan kelompok-kelompok pemegang kepentingan yang berlangsung di Menara DBP di sini pada Rabu dan Khamis.

Enam kelompok kumpulan berkepentingan yang diundang dalam muzakarah itu ialah (i) persatuan bahasa, sastera dan penulis; (ii) media; (iii) sains dan teknologi; (iv) persatuan profesional; (v) persatuan bukan kerajaan, belia, seniman dan karyawan dan (vi) keagamaan.

Matlamat muzakarah ini adalah untuk mendapatkan saranan, pandangan dan masukan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan yang mempunyai peranan utama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu.

Kata Dr Awang lagi, dalam soal pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan, negara seringkali menjadi tikus yang membaiki labu.

“Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti diagnosis yang dilakukan ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah ini menjadi silap juga.

“Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, naib canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat dalam menggambarkan diagnosis yang silap itu iaitu ‘lain yang luka lain yang dibebat’,” tegas Dr Awang.

Dengan perkataan lain, kata Dr Awang, sesudah setengah abad merdeka, dapat dikatakan bahawa upaya membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah (bidang) lain yang menunjang kehidupan bertamadun belum sepenuh-penuhnya berhasil.

Kata Dr Awang lagi, adalah perlu diakui bahawa ada penjawat awam, sarjana dan kalangan dalam sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara tetapi pada masa yang sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri.

Pembinaan “sikap bahasa” katanya, ternyata perlu menjadi salah satu keutamaan dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah abad mendatang dan seterusnya.
Anggota masyarakat, tegas beliau, perlu disedarkan bahawa kecukupan “pakaian dan makanan” bukan satu-satunya matlamat kehidupan kerana ada agenda yang lebih besar daripada sekadar “hidup untuk makan”.

“Sekali lagi kita perlu belajar daripada sikap perihatin rakyat bukan Melayu yang meskipun mencapai ekonomi yang baik namun tetap memiliki rasa kepedulian yang tinggi kepada nasib bahasa dan budaya mereka,” ujar Dr Awang.

Peribahasa dalam Novel Hikmah













MAKALAH BAHASA MELAYU -
PERIBAHASA DALAM NOVEL HIKMAH
oleh Chai Loon Guan, Munsyi Dewan / Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pengenalan

Hampir setiap bangsa mempunyai peribahasa dan peribahasa sesuatu bangsa itu dapat mencerminkan watak bangsa tersebut. Sebenarnya, peribahasa merupakan susunan kata yang teratur, sedap didengar, dan cukup bermakna.

Peribahasa dibentuk atau dicipta berdasarkan pandangan dan perbandingan yang teliti terhadap alam sekeliling dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. Oleh sebab peribahasa dibentuk dengan satu ikatan bahasa yang indah dan padat, maka melekatlah peribahasa itu di mulut orang ramai turun-temurun.

Peribahasa digunakan orang sebagai kiasan, teladan, dan pengajaran. Itulah sebabnya peribahasa sering digunakan sebagai hiasan untuk mengindahkan karangan atau ketika memberikan ucapan atau syarahan.

Pada umumnya, peribahasa dapat dikatakan berasal daripada tiga sumber yang berikut:

1.Masyarakat biasa melalui pengalaman hidupnya.
2.Golongan cerdik pandai berdasarkan pemerhatiannya yang tajam terhadap keadaan dan masyarakat sekelilingnya.
3.Kitab suci al-Quran dan kitab-kitab agama lain khususnya Hindu dan Buddha yang pengaruhnya agak meluas dan kukuh di alam Melayu suatu ketika dahulu.
Jenis Peribahasa

Peribahasa yang telah tercipta memang banyak dan dapat dijeniskan seperti yang berikut:

1.Simpulan bahasa, yakni jenis peribahasa yang paling mudah dan ringkas. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata seperti ada hati, batu api, cepat tangan dan sebagainya.
2.Bandingan, yakni jenis peribahasa yang maknanya dinyatakan dengan amat jelas dan terus-terang secara membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Contohnya adil laksana hakim, angkuh seperti merak, baik seperti malaikat, dan sebagainya.
3.Perumpamaan, yakni jenis peribahasa yang maknanya tersirat di sebalik susunan kata yang membentuk perumpamaan itu. Biasanya perumpamaan mengandung kata-kata bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama. Contohnya bagai aur dengan tebing, umpama buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang, dan sebagainya.
4.Pepatah, yakni jenis peribahasa yang berangkap serta terdapat pengulangan kata di dalamnya untuk penegasan, falsafah, atau pengajaran yang hendak disampaikan. Contohnya berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, dan sebagainya.
5.Bidalan, yakni jenis peribahasa yang maksudnya tersirat di sebalik susunan kata yang membentuknya. Bidalan tidak mengandung sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan. Contohnya ada gula ada semut, air dicincang tiada putus, dan sebagainya.
6.Kata-kata hikmat, yakini jenis peribahasa yang biasanya terbit daripada ayat-ayat suci dalam kitab-kitab atau daripada percakapan serta penulisan seseorang yang dihormati dan terbilang. Kata-kata tersebut mengandung falsafah atau pengajaran yang berguna sebagai panduan hidup. Contohnya bahasa jiwa bangsa, membaca jambatan ilmu, dan sebagainya.

Peribahasa dalam Novel Hikmah

Selepas selesai membaca novel Hikmah, yakni novel yang menjadi teks wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid-murid Tingkatan Satu (Zon Utara) mulai 2010, saya mendapati bahawa penulis, Mohd Faris Ikmal banyak menggunakan unsur peribahasa dalam penulisan novelnya.

Antara unsur peribahasa yang tersenarai dalam novel Hikmah adalah seperti yang berikut:

1. (a) Campur tangan
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Turut serta dalam urusan orang lain
(d) Petikan:

(i) Sakit hatinya bertambah apabila mengenangkan perbuatan Sapura yang campur tangan ketika dia meminta wang perlindunggan daripada Saleh.

(Bab Satu – Sakit Hati, halaman 6)

(ii) Ramai antara mereka tidak berani lagi hendak campur tangan dalam urusan Amri tetapi Sapura tidak pernah takut. (Bab Dua – Berwaspada, halaman 9)

2. (a) Khabar angin
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Berita yang belum tentu benarnya
(d) Petikan:

(i) Guru-guru di sekolah itu juga ada yang mengetahui hal itu tetapi hanya sekadar khabar angin.

(Bab Satu – Sakit Hati, halaman 6)

3. (a) Pasang telinga
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Mendengar dengan teliti
(d)Petikan:

(i) Sapura membetulkan tempat duduknya dan pasang telinga sambil menumpukan perhatiannya terhadap pembelajaran. (Bab Dua – Berwaspada, halaman 14)

4. (a) Sakit hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Marah
(d) Petikan:

(i) Dia berasa sakit hati kerana Amri sengaja mencabarnya. (Bab Dua – Berwaspada, halaman 11)

5. (a) Senang hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Seronok
(d) Petikan:

(i) “Pergi. Kamu fikir aku takut kepada Cikgu Salman? Ingat, jika perkara ini sampai ke pengetahuan Cikgu Salman dan aku dihukum, jangan harap kamu akan berasa senang hati,” ugut Amri.

(Bab Dua – Berwaspada, halaman 11)

6. (a) Panas baran
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Cepat marah
(d) Petikan:

(i) Dia tidak lagi menunjukkan sikap baiknya sebaliknya bertukar menjadi orang yang panas baran.

(Bab Tiga – Kesusahan Hidup, halaman 22)

(ii) Amri tidak mahu kawan-kawannya atau guru-guru mendapat tahu kisah ayahnya yang panas baran dan suka memukul.

(Bab Lima – Rintihan Hati, halaman 31 – 32)

7. (a) Sampai hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Tergamak
(d) Petikan:

(i) Sampai hati ayah memperlakukan emak sedemikian rupa.

(Bab Empat – Kekalutan, halaman 25)

8. (a) Berat hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Enggan, kurang senang, tidak sampai hati

(d) Petikan:

(i) Berat hatinya mahu menyerahkan wang simpanan itu kepada ayah.

(Bab Empat – Kekalutan, halaman 25)

9. (a) Wang saku
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Wang perbelanjaan peribadi
(d) Petikan:

(i) Anak-anak orang lain dibekalkan wang saku.

(Bab Empat – Kekalutan, halaman 25)

10. (a) Membuka pekung di dada
(b) Jenis peribahasa: Pepatah
(c) Maksud: Mendedahkan aib diri sendiri.
(d) Petikan:

(i) Baginya, biarlah kisah keluarga itu diketahui daripada orang lain, bukan dari mulutnya. Dia sama sekali tidak akan bercerita tentang kisah tersebut. Itu bermakna membuka pekung di dada.

(Bab Lima – Rintihan Hati, halaman 32)

11. (a) Kecil hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Tersinggung
(d) Petikan:

(i) “Tidak ada apa-apa. Cuma…,” Sapura tidak dapat meneruskan kata-katanya kerana bimbang Amri akan kecil hati.

(Bab Enam – Mengenakan Sapura, halaman 42)

12. (a) Ada udang di sebalik batu
(b) Jenis peribahasa: Bidalan
(c) Maksud: Ada sesuatu maksud yang tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan atau perkataan.
(d) Petikan:

(i) “Ada udang di sebalik batu rupa-rupanya. Bodohnya aku. Mengapa aku percaya kepada budak nakal macam si Amri ini?” ujar Sapura memarahi dirinya sendiri.

(Bab Enam – Mengenakan Sapura, halaman 45 - 46)

13. (a) Ada ubi, ada batas. Ada masa dapat balas.
(b) Jenis peribahasa: Pepatah
(c) Maksud: Perbuatan yang jahat pada suatu waktu akan mendapat balasan juga.
(d) Petikan:

(i) “Tidak apa. Ada ubi, ada batas. Tunggulah saat dan ketikanya. Aku akan balas juga perbuatan engkau,” ikrar Sapura dalam hati.

(Bab Enam – Mengenakan Sapura, halaman 46)

14. (a) Barang kemas
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Barang-barang perhiasan perempuan
(d) Petikan:

(i) “Bukankah barang kemas pusaka nenek sudah habis digadai oleh ayah?” tanya Amri.

(Bab Tujuh – Bersimpati, halaman 49)

15. (a) Jaga tepi kain orang
(b) Jenis peribahasa: Pepatah
(c) Maksud: Mengambil tahu urusan orang lain
(d) Petikan:

(i) “Apa kata orang nanti? Adakah mereka akan menuduh aku hendak menjaga tepi kain orang lain?” fikir Sapura.

(Bab Tujuh – Bersimpati, halaman 54)

16. (a) Memeras ugut
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Meminta sesuatu dengan ugutan
(d) Petikan:

(i) Wang itu diambil daripada murid lain dengan cara memeras ugut mereka.

(Bab Lapan – Mendapatkan Ubat, halaman 56)

(ii) Bukan niat Amri hendak memeras ugut mereka.

(Bab Lapan – Mendapatkan Ubat, halaman 57)

(iii) Amri segera teringat akan keadaan dirinya yang suka memeras ugut.

(Bab Sembilan – Cedera Disamun,halaman 66)

17. (a) Patah hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Hilang keberanian, kecewa.
(d) Petikan:

(i) Patah hatinya mengenangkan susah payah dia mengayuh basikal sejauh sepuluh kilometer semata-mata untuk mendapatkan ubat itu.

(Bab Sembilan – Cedera Disamun, halaman 69)

18. (a) Baik hati
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Suka menolong orang lain
(d) Petikan:

(i) Amri tidak menyangka bahawa Sapura begitu baik hati.

(Bab Sepuluh – Keinsafan, halaman 73)

19. (a) Kaki buli
(b) Jenis peribahasa: Simpulan Bahasa
(c) Maksud: Orang yang suka menyakiti, menganiayai atau mungkin menakuti orang yang lemah.
(d) Petikan:

(i) “Aku berjanji pada diri aku bahawa aku akan membuang segala tabiat buruk aku. Aku tidak mahu menjadi kaki buli lagi. Jika boleh, aku mahu mereka semua mengenali aku sebagai seorang pelajar yang baik,” kata Amri berikrar.

(Bab Sepuluh – Keinsafan, halaman 74)

Kesimpulan:

Sesungguhnya, novel HIKMAH karya Mohd. Faris Ikmal banyak menggunakan unsur peribahasa seperti simpulan bahasa, bidalan dan pepatah sebagai wadah penceritaan yang menarik. Hal ini dapat dibuktikan apabila setiap bab novel HIKMAH menghadirkan unsur peribahasa sebagai wadah keindahan berbahasa, menampilkan nilai-nilai estetika dalam wacana penceritaan selain mengukuhkan binaan plot atau urutan cerita dari awal hingga akhir cerita sesuai dengan tahap dan aras kognitif pembaca sasaran yang rata-rata terdiri daripada murid-murid Tingkatan Satu dari negeri-negeri Zon Utara Malaysia.

Bibliografi:

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd., 1993. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.
Ahmad Tajudin, Ramlah Razali dan Asraf., 1989. Petunjuk Kemahiran Berbahasa KBSM. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn.Bhd.
Mohd. Faris Ikmal, 2010. HIKMAH. Selayang: V-Nice Resources Sdn.Bhd.
Kamus Dewan, 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(Sumber: Pelita Bahasa - Mac 2012)

Saturday, March 17, 2012

Latihan Intensif Calon Tokoh Nilam Kebangsaan 2012















Minum petang di Kafetaria BTPN selepas selesai latihan intensif Calon Tokoh Nilam Kebangsaan 2012 di BTPN Perak Darul Ridzuan pada 13 - 15 Mac 2012.

Makan Malam Alumni MES 2012




















16 MAC 2012:
Lembaga Pengelola Sekolah, pihak sekolah dan Alumni MES telah memulakan operasi turun padang ke kawasan sekitar bandar Tanjong Malim untuk menguar-uarkan Majlis Makan Malam Alumni MES 2012 di Kompleks Sukan Proton pada 16 JUN 2012 sekali gus memasarkan tiket-tiket jamuan kepada masyarakat Tg. Malim. Syukur kepada-Nya, sambutan amat menggalakkan.

Thursday, March 15, 2012

Tema Hari Guru













Tema Hari Guru

2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Wednesday, March 14, 2012

Hakim Teater Solo















Hakim Pertandingan Teater Solo Karnival BM SJK(C) dan SJK(T) Negeri Perak 2011 di Hotel Hillcity, Ipoh pada 1 November 2011.

Karnival BM SJK(C) dan SJK(T) Negeri Perak 2011















Nostalgia indah penulis dapat bergambar dengan YBhg. Dato' Mohd Rauhi bin Mohd Isa, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak Darul Ridzuan, pegawai JPN Perak dan barisan hakim Teater Solo SJK(C) dan SJK(T) Negeri Perak bersempena dengan Karnival Bahasa Malaysia SJK(C) dan SJK(T) Piala Pengarah Pelajaran Perak 2011 di Hotel Hillcity, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 1 November 2011. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Monday, March 12, 2012

Sepatung

















Belalang patung, sepatung atau sibur-sibur tercari-cari akan jalan pulang.

Nostalgia - Konvokesyen MPIK 1982

















Konvokesyen di Dewan Besar, Maktab Perguruan Ilmu Khas, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 1982 - tahun pertama bermulanya kerjaya aku sebagai seorang guru lulusan maktab yang bertauliah di SM Dato Bendahara CM Yusuf, 31800 Tg. Tualang, Perak. Kini, 2012, masih menjadi guru di buana ilmu - SMK Methodist, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan. Salam.

Sunday, March 11, 2012

Karangan BM T2 - Keruntuhan Akhlak Remaja

Keruntuhan Akhlak Remaja

Zaman ini, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin bertambah. Di dada akhbar, saban hari pelbagai masalah yang berkaitan dengan keruntuhan akhlak diberitakan. Antaranya termasuklah kes buli, gangsterisme, dan vandalisme. Justeru, tidak hairanlah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan.

Banyak faktor yang mendorong kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Namun begitu, punca utama ialah kegagalan remaja itu sendiri mengawal diri dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Mereka hendak mencuba perkara baharu tanpa memikirkan kesannya. Mereka terlalu ghairah menunjukkan kehebatan diri sehingga mendorong golongan remaja terlibat dalam gejala merokok, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme.

Selain itu, golongan remaja agak mudah dipengaruhi oleh kawan sebaya. Mereka akan terburu-buru menurut ajakan dan suruhan kawan sebaya, apatah lagi jika remaja berkenaan bergaul dalam kumpulan remaja yang bersikap negatif dan bermasalah dalam kehidupan sehari-hari.

Seterusnya, remaja juga agak mudah terpangaruh oleh paparan negatif dalam media massa. Pada masa yang sama juga, kemudahan Internet, yakni dunia tanpa sempadan turut menawarkan cukup banyak laman negatif yang mudah dilayari oleh remaja. Laman-laman inilah jika tidak dikawal selia akan mempengaruhi jiwa raga remaja pada hari ini.

Keluarga yang porak-peranda turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini. Ibu bapa remaja kurang menunjukkan teladan yang dapat dijadikan ikutan atau contoh yang baik. Sebaliknya, sesetengah ibu bapa kurang mengambil tahu masalah anak-anak mereka. Justeru, anak remaja yang terbiar tanpa bimbingan dan kasih sayang yang sepatutnya mula mencari jalan keluar dan bergaul dengan anasir-anasir negatif di luar rumah. Mereka mula bergentayangan di pusat beli-belah, kafe-kafe siber dan menjadi ahli samseng jalanan.

Kesimpulannya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini haruslah ditangani dengan bijak dan segera. Semua pihak, termasuklah ibu bapa atau penjaga, pihak sekolah, jiran tetangga, serta segenap lapisan masyarakat haruslah berganding bahu dan bersama-sama mengatasi masalah yang kian runcing di negara kita pada hari ini. Sesungguhnya, para remaja pada hari ini merupakan umarak (pemimpin) nusa bangsa pada masa depan.


Disediakan oleh,
Chai Wuang Xing, Tingkatan 2 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Karangan BM T3 - Laporan

Sebagai setiausaha sebuah persatuan di sekolah, anda diminta untuk menyiapkan laporan tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun. Sediakan laporan anda selengkapnya.

LAPORAN KEGIATAN PERSATUAN BAHASA MELAYU,
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN METHODIST, TANJONG MALIM
BAGI TAHUN 2011

Penasihat : Puan Maizon bt. Abdul Hamid
Pengerusi : Sdri. Nor Fahana bt. Mohamed Zain
Naib Pengerusi : Sdra.Mohd Syazwan bin Isyan Puzi
Setiausaha : Sdra.Tan Jia Meng
Bendahari : Sdra.Michael Goh Joon Seng
Ahli Jawatankuasa :
Sdri. Siti Ayisah bt. Selamat
Sdri. Nor Faizahtul Ain bt. Basri
Sdra. Mutu a/l Ganeson
Sdri. Mimi Gan Siew Leng
Juruaudit: : Sdra. Bah Los a/k Nah Liew

Persatuan Bahasa Melayu ialah persatuan yang ditubuhkan sejak sekolah ini dibuka. Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bahasa Melayu telah diadakan pada 12 Januari 2011. Kehadiran sebanyak 120 orang ahli dan tiga orang guru penasihat cukup memberangsangkan AJK PBM.

Tujuan Persatuan Bahasa Melayu ditubuhkan adalah untuk memenuhi keperluan kegiatan kokurikulum di sekolah. Persatuan ini harus aktif sepanjang tahun dengan menganjurkan dan melakasanakan pelbagai aktiviti. kebahasaan dan kesusasteraanBahasa Melayu dalam kalangan ahli yang berbilang kaum, agama dan latar belakang.

Dari segi kegiatan, Persatuan Bahasa Melayu dianggap sebagai persatuan yang paling aktif di sekolah sepanjang semester pertama tahun 2011. Antara kegiatan yang dijalankan ialah pertandingan syarahan dan peraduan bahas antara kelas. Sebenarnya, pertandingan tersebut diadakan sebagai usaha pihak sekolah untuk mencungkil bakat dan memilih wakil sekolah ke pertandingan di peringkat Daerah Batang Padang.

Pada semester kedua pula, Persatuan Bahasa Melayu dapat menganjurkan peraduan menulis karangan, sajak dan cerpen. Pertandingan tersebut bertujuan untuk memperoleh karya-karya yang bermutu untuk dimuatkan dalam majalah sekolah, IMPETUS. Pada semester ini juga, pihak sekolah melalui Panitia Bahasa Melayu turut menghantar peserta kepada pesta pantun.

Syabas dan tahniah kepada para pemantun sekolah yang telah mengungguli Pesta Pantun Daerah Batang Padang dan berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri. Pada penghujung semester, kebanyakan ahli persatuan menumpukan perhatian kepada bidang akademik, yakni mereka dikehendaki menghadiri ceramah, seminar, dan bengkel PMR dan SPM 2011.

Pada keseluruhannya, semua kegiatan yang dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli. Kalau sokongan seperti ini terus diberikan, kami amat yakin bahawa persatuan akan bertambah aktif lagi pada masa depan. Akhirulkalam, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan guru penasihat PBM, khususnya Cikgu Maizon bt. Abdul Hamid yang telah banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada kami sepanjang tahun 2011. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Laporan disediakan oleh,

Tan Jia Meng
(TAN JIA MENG)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan.

31 OKTOBER 2011

Pesta Ponggal MES 2012


















Pesta Ponggal MES 2012 telah berjaya dilangsungkan di Dewan SMK Methodist, Tg. Malim pada 11 Mac 2012 (Ahad: 8.15 pagi - 1.00 tengah hari). Pesta tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' R. Ramanathan, Pengasas Kuil Sri Sitti Vinayagar, Behrang Ulu. Turut sama memeriahkan majlis tersebut ialah tetamu kehormat YBhg. Dato' P.S. Naidu, Ahli Majlis Daerah Tg. Malim dan Pengerusi MIC Cawangan Behrang Ulu.

Mesyuarat Bersama di MES


















Mesyuarat Jawatankuasa Induk Alumni 2012 - 2013, LPS, PIBG dan barisan pentadbir MES Tg. Malim pada 26 Februari 2012 di Bilik Gerakan, SMK Methodist, Tg. Malim.

Saturday, March 10, 2012

Friday, March 9, 2012

GAJI


Jadual Gaji Baharu (Mutakhir) Guru 2012?

Penagih FB















Syukur, aku bukan penagih Facebook yang tegar! Gunakan FB untuk bertukar-tukar idea, menimba ilmu dan pengalaman yang bermanfaat demi kemanusiaan dan silaturahim manusia sejagat. Salam.

Thursday, March 8, 2012

Sajak - Rasuah















Rasuah

ra + suah = rasuah
- duit kopi
- duit teh
- duit rokok
- makan suap
- makan sogok
- tumbuk rusuk
bikin kita tergoda
bikin kita teraniaya
keadilan dijaja
kemungkaran berleluasa
yang miskin meratap papa
yang kaya gah berkuasa

rasuah = pemberi + penerima
nyah rasuah
di buana maruah
lemah rasuah
pemberi – penerima
kalah rasuah
penerima – pemberi
parah rasuah
pemberi + penerima
diberkas
didakwa
dipenjara
harta disita
nama diwarta
- seteru nusa bangsa

rasuah
nodai maruah
cemari amanah
lukai siasah

ayuh,
tegas tuntas
rasuah kita banteras!


Chai Loon Guan,
Tingkatan 3 Endurance,
SMK Methodist, Tg.Malim.

Hari Wanita Sedunia










Terima kasih gadisku.
Terima kasih wanitaku.
Terima kasih ibuku.
Terima kasih suriku.
Tanpamu, duniaku haru-biru!

SSM 2012

Tuesday, March 6, 2012

Bual Bicara Tatabahasa BM di LMS
















Penulis menerima cenderamata daripada YBrs. Pn. Hasmah bt. Mohd Yusoff, Pengerusi Panitia Bahasa Melayu Daerah Larut, Matang, dan Selama merangkap Pengetua Cemerlang DG 54, SMK Klian Pauh, 34000 Taiping selepas selesainya Bual Bicara Tatabahasa Bahasa Melayu dan Penulisan Sajak BM untuk guru-guru Bahasa Melayu Sekolah-sekolah Menengah Rendah Daerah Larut, Matang dan Selama, di Dewan Pendeta Za'ba, SMK Klian Pauh, Taiping pada 18 Februari 2012.

Kalau pinang
Hendak pulang ke tampuknya
Kalau sireh
Hendak pulang ke gagangnya
Kalau burung
Hendak pulang ke sangkarnya
Ke laut, menuju alur
Ke darat, menuju benar
Air setitik, sama dilautkan
Tanah sekepal, sama digunungkan
Kasih berpaut, jasamu puan mekar
Di hati tersemat, tak pernah pudar
Tak sedetik, saya lupakan
Tak setimpal, saya balaskan.

Seni Landskap Tg.Malim

Analisis Novel Tingkatan 3 - 6:20


















Analisis Novel: 6:20
Karya: Siti Jasmina Ibrahim

Biodata Penulis:

Siti Jasmina aktif dalam seni dan sastera sejak tahun 1995. Kini, beliau sebagai penulis profesional sepenuh masa. Sepanjang 1998-2004, beliau terlibat aktif dalam penerbitan teater dan pernah bertugas sebagai pengurus kreatif di SQ Production dan pengurus pemasaran di Uniputra Production.

Beliau lulusan graduan Diploma Penulisan Kreatif, Akademi Seni Kebangsaan dan medapat anugerah graduan cemerlang ASWARA. Ijazah Sarjana Muda (kepujian) kelas pertama Bacelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Anugerah Graduan Cemerlang Akademik Program Eksekutif Komunikasi Sesi 04/07 Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi , UPM.

Siti juga sangat aktif dalam penulisan drama televisyen, novel, puisi, skrip teater dan filem. Novel Trilogi Cinta memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu 2001 dan juga menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 kategori Kesusasteraan Remaja. Beberapa pengiktirafan dan hadiah diperoleh dalam genre novel, cerpen, skrip TV pentas dan puisi. Beliau pernah mewakili Malaysia dalam program seni dan sastera di Filipina pada tahun 1998 dan program MASTERA (drama pentas) di Bagor, Indonesia pada tahun 2000.

Siti turut mendapat Anugerah Tokoh Penulis Remaja, Anugerah Sasterawan dan Ilmuan Negeri Sembilan, hadiah pertama skrip pentas “Hikayat Qaziq” sayembara mengarang semperna perayaan Jubli Emas DBP 2007, menerima Anugerah Sasterawan Kreatif Terbaik Negara Malaysia bersempena dengan Hadiah Sastera (MASTERA) Indonesia. Terkini , beliau menerima Anugerah Seri Negara ke-8 kategori Anugerah Seni Teater (Penulis Bakat Muda Skrip) tahun 2008.

Tema:
Tema novel ini ialah penentangan generasi muda dalam anasir-anasir barat yang menguasai jiwa mereka. Nur Sukma , Teja dan Rafiq ialah antara golongan muda yang telah berusaha gigih untuk membantah anasir-anasir tersebut dan menyelamatkan golongan intelektual daripada terus hanyut dengan pengaruh barat yang menuntut kebebasan hidup seperti menganggotai kumpulan ‘Black Metal’ yang disertai oleh Jerry dan Iskandar.

Persoalan:
1 ) Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Contoh:
Ibu Sukma berasa amat bimbang atas keselamatan anaknya apabila Sukma ingin bertemu dengan tetamu yang menjadi tanda tanya yang muncul di hadapan rumahnya
pada jam 6.20 pagi kerana baginya tindakan Sukma itu akan membawa kecelakaan pada
dirinya sendiri.
2 ) Konflik dalam keluarga.
Contoh:
Ibu Sukma berperasangka bahawa Sukma mengalami tekanan jiwa dan emosi kerana gangguan daripada tetamu yang tidak diundang pada jam 6.20 pagi itu. Oleh sebab itu, ibu Sukma membelikannya sebuah buku untuk membantunya tetapi Sukma beranggapan bahawa ibunya menganggapnya tidak waras dan tidak menyayanginya lagi.
3 ) Tanggungjawab seorang sahabat.
Contoh:
Jerry sanggup membantu Sukma dalam misi menentang penubuhan Kelab WX2 walaupun Jerry tahu nyawanya di hujung tanduk jikalau membongkarkan rahsia di sebalik kelab tersebut.
4 ) Berani menegakkan kebenaran.
Contoh:
Sukma , Teja dan Rafiq membanting tulang untuk mancari lebih banyak bahan bukti dan informasi berkaitan kelab misteri itu. Sukma sanggup menghadirkan diri di kelab tersebut untuk menyelidik keadaan sebenar kelab itu.
5 ) Menunaikan perintah Tuhan.
Contoh:
Sukma dan ayahnya tidak lupa menunaikan kewajipan sebagai umat Islam.
6 ) Prihatin terhadap orang lain.
Contoh:
Tuan Haji Syaqiq berusaha keras untuk mengumpulkan dana bagi membiayai kos perubatan kulit dan pembedahan jantung Ehsan.
7 ) Remaja yang mudah terpengaruh.
Contoh:
Iskandar , Reny dan Jerry golongan intelektual yang turut terjebak dengan Kelab WX2 yang memperjuangkan kebebasan mutlak akibat pemikiran mereka yang telah dikuasai oleh cara pemikiran barat.

Hasil Kerja Kumpulan 1:
Ketua Kumpulan:
Einur Syuhada Syaifuza
Ahli Kumpulan:
Nur Syazana, Megat Danial Mikail, Anbarasi dan Chua Rig Kin, Tingkatan 3 Endurance, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Monday, March 5, 2012