Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, December 28, 2012

Penggunaan BM Ringkas


DBP diminta pantau penggunaan bahasa ringkas
Berita Harian - 29 Disember 2012

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memantau serta melaksanakan segera program Audit Bahasa Melayu bagi membendung penggunaan bahasa ringkas yang merosakkan keindahan bahasa kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penggunaan bahasa ringkas seperti ejaan dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) semakin menular dan mula diguna pakai dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di institusi pendidikan.

Beliau berkata, ledakan teknologi digital hari ini membolehkan generasi muda mengakses maklumat di hujung jari dan fenomena penggunaan bahasa ringkas memberikan kesan kepada generasi baru jika tidak dipantau.

“Saya juga harap rakyat dapat memupuk sikap cinta kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa yang betul setiap masa dalam urusan rasmi atau tidak,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.

Karya sastera dalam talian

Muhyiddin juga berharap karya sastera diterbitkan dalam talian selaras perkembangan semasa yang mana generasi muda hari ini banyak bergantung kepada alat mudah alih bagi dapatkan maklumat.

Beliau juga mahu supaya karya sastera yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia diberikan keutamaan oleh Jawatankuasa Penilai dan Pemilihan Teks Sastera untuk digunakan dalam mata pelajaran sastera, Bahasa Melayu dan KOMSAS di sekolah.

Ini penting kerana karya sastera yang memenangi hadiah bukan saja memiliki kualiti tinggi, malah nilai sastera serta aspek penggunaan bahasanya amat baik.

“Usaha memperkasakan karya sastera bukan hanya terletak pada tangan sasterawan, tetapi memerlukan dokongan dan sokongan semua pihak. Karya sastera yang baik memerlukan khalayak sastera yang membaca, menghargai dan berbangga dengan karya berkenaan,” katanya.

No comments: